Tuesday, October 5, 2010

One Day You'll Be Mine 2


2
Aku tidak pasti siapa yang harus disalahkan dalam hal ini. Aku atau ibu serta abah. Mereka sebagai ibu bapa seharusnya faham keadaan aku. Berkali-kali sudah aku katakan yang aku belum bersedia untuk bersama dengan sesiapa pun. Kenapa mereka enggan memahami keadaan aku? Kenapa mereka harus membuat keputusan untuk aku? Sekarang, aku terperangkap! Aku tidak mengenali Ehsan, sehingga sekarang pun aku rasa amat susah untuk aku bersama dengannya. Tidak ada walau sedikit perasaan untuk lelaki yang sudah sebulan bergelar suami aku itu. Aku pasti, dia juga begitu. Kami sama-sama terjebak di dalam masalah ini kerana kedua orang tua kami mengambil keputusan untuk menentukan hidup kami berdua daripada membiarkan kami memilih jalan sendiri. Sangat tidak adil!

Tiga tahun dulu, hidup aku sangat kelam sehingga aku rasa aku tidak mampu untuk bernafas lagi. Jika aku fikirkan kembali, amat mustahil untuk aku hidup seperti ini. Aku pernah bahagia, dan sungguh, aku harap kebahagian itu akan kekal milik aku, tapi… Perkara yang paling menyakitkan ialah orang yang bertanggungjawab membunuh kebahagian aku adalah diri aku sendiri, Nur Anith Fitriah!

Sejak kejadian tu, aku tak pasti jika aku berhak untuk hidup gembira lagi. Tidak setelah apa yang aku lakukan. Aku hancurkan kegembiraan sebuah keluarga! Meskipun mereka di sekililing aku berulang kali menyatakan bahawa semua yang berlaku itu bukan salahku, namun ia langsung tidak mengubah perasaanku. Apa mereka fikir pembohongan mereka itu akan dapat mengembalikan kehidupan aku seperti sedia kala? Tidak mungkin! Kerana aku tahu, semua yang berlaku itu salah aku.

Syukur kerana aku berjaya sampai ke tahap ini,  melewati zaman gelap itu meskipun sakitnya langsung tidak berkurangan. Dan mereka kata waktu itu pengubat sakit yang mujarab, maaf tapi aku terpaksa membantah. Dua tahun selepas kejadian itu, ibu mula sibuk mencari jodoh untuk aku. Sudah aku nyatakan bahawa aku masih belum bersedia untuk memulakan kehidupan aku semula dengan orang lain tetapi mereka langsung tidak ambil peduli. Setiap cadangan mereka aku tolak sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk tidak bertanyakan pendapat aku lagi.

Ia seakan takdir aku terikat dengan Ehsan kerana kami berkongsi sebuah kisah yang hampir sama jalan ceritanya. Masing-masing enggan untuk memulakan kehidupan yang baru kerana kesakitan masa lalu. Siapa sangka lelaki yang tidak mempunyai sebarang emosi itu pernah berkahwin suatu ketika dahulu ketika dia melanjutkan pelajaran di luar negara dahulu. Sayangnya, perkahwinan mereka itu tidak bertahan lama. Aku tidak tahu sebabnya tapi menurut ibu, isterinya itu ternyata belum bersedia untuk sebuah keluarga. Sedikit rasa kasihan muncul di dasar hati aku kepada Ehsan kerana selepas itu, hidupnya sangat kacau. Untuk dia terluka sebegitu teruk, aku pasti Ehsan sangat menyayangi bekas isterinya.

“Ehsan ada bagi masalah kat Fitri?”mama bertanya. Suaranya kedengaran benar-benar prihatin. Yalah, di antara semua orang, aku rasa mama lah orang yang paling mahu perkahwinan ini berjaya.
Aku memandang mama.
Honestly or you want me to lie?

“Ermm…not exactly. Dia tak banyak cakap, dengan dunia dia sendiri. Dia dan kamera kesayangannya tu.”aku menjawab.
Mama mengangguk-angguk, sedia maklum mungkin dengan perangai anak lelakinya itu.

“Fitri tolong sabar, ya. Janganlah sampai bercerai-berai.”

Aku cukup tak suka jika hidup aku ditentukan oleh orang lain dan itu yang berlaku sekarang ini. Aku berhak untuk kebahagiaan aku sendiri, begitu juga Ehsan. Tak kiralah apa saja jalan yang kami pilih untuk meneruskan kehidupan masing-masing, jika itu membahagiakan kami, aku tak rasa timbul masalah walaupun pilihan itu adalah untuk bersendirian sampai ke tua! Aku dan Ehsan tak bahagia dengan hidup kami sekarang tetapi mereka tetap enggan faham. Dua minggu lepas perkahwinan kami, ada juga kami menyuarakan hasrat untuk berpisah kepada mama. Akibatnya, mama dimasukkan ke hospital setelah mendengar berita itu. Sesungguhnya aku tidak mahu sekali lagi menjadi penyebab kepada satu lagi kehilangan, dan kerana itu, aku masih cuba bertahan. Berharap mereka semua akan sedar nanti yang perkahwinan ini sangatlah mengarut.

“Assalamualaikum, nenek!”terdengar suara kecil memberi salam daripada luar pintu.

 “Waalaikummusalam. Dah balik pun diorang.”mama berkata.

Seorang anak perempuan berusia tujuh tahun berlari mendapatkan mama.

“Macam mana sekolah?”mama bertanya kepada anak itu, mencium kedua belah pipinya.

“Seronok!”balasnya, ceria.

Aku memandang ke arah Ehsan yang baru sahaja masuk. Beg sandang milik anak itu diletakkannya di atas meja makan.

“Pergi salam ibu.”mama menyuruh.

Anak itu mengangguk, berjalan perlahan menghampiri ku.

“Ibu.”katanya, mencium tanganku.

Keadaan ini masih agak janggal kepada aku serta Aya atau Zuhul Danisa Alya binti Dzul Ehsan. Aya merupakan puteri tunggal kepada suami 'tercinta' aku itu, hasil daripada perkahwinannya dahulu. Namun kerana sikap lelaki itu yang tidak bertanggungjawab dan sambil lewa, Aya tidak tinggal bersama kami. Mana mungkin lelaki itu dapat menguruskan seorang anak dengan perangainya sekarang ini. Perkahwinan ini bukan sahaja menjadikan aku isteri, tetapi juga ibu kepada anak itu yang sememangnya tidak pernah mendapat kasih-sayang seorang ibu. 

Tragis benar kehidupan lelaki itu. Berkahwin seawal usia 20-an, ketika rakan yang lain sibuk berjuang untuk mengukuhkan masa depan, dan setahun kemudiannya bercerai selepas kehadiran seorang cahaya mata. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana Ehsan menjalani kehidupannya ketika itu. Seorang anak, pelajaran, hati yang hancur…Mungkin semua itu yang membentuk Ehsan yang ada di hadapan aku sekarang ini.

“Pergi mandi. Lepas tu kita makan sama-sama dengan ibu dan papa.”mama berkata lagi.

Pantas anak itu mengganguk, berlalu ke biliknya.

“Abah mana?”Ehsan bertanya, matanya meliar memandang sekeliling.

“BEM ada mesyuarat hari ni. Tak balik lah kot tengah hari ni. Kak Long pun katanya tak dapat datang.Elisa pula ada kelas. Kita berempat sajalah.”

Ehsan kelihatan seperti tidak peduli dengan apa saja jawapan yang diberikan mama, meskipun dia yang bertanya tadi.

“Sampai bila nak hidup macam ni, Angah? Tak kesian ke dengan Aya?”mama sudah memulakan rutin sebelum makan tengah harinya, meleteri anak keduanya yang teramatlah degil itu.

Ehsan memejamkan mata, kelihatan tenang seperti biasa. Seolah-olah apa sahaja yang dikatakan oleh orang sekelilingnya langsung tidak bermakna. Mungkinkah lelaki ini mengalami masalah otak sehinggakan dia tidak dapat mempamerkan apa-apa emosi selain daripada ketenangan dan keselambaan yang sering sahaja menghangatkan hati aku?

“Cubalah fikirkan pasal orang lain sama. Aya tu anak Angah. Dengan pilihan hati Angah sendiri, kan?”suara mama lirih.

Mendengar itu, Ehsan membuka matanya.

“Terima kasih mama sebab ingatkan Angah pasal tu. Terima kasih sebab sudi jaga Aya. Terima kasih sebab carikan Angah seorang isteri yang sangat ‘sempurna’. Tapi Angah lagi berterima kasih kalau mama tak masuk campur dalam hidup Angah lagi.”

Bagus, dia permainkan aku depan mamanya. Kami berdua tahu yang aku tidak pernah cuba untuk menjadi seorang isteri yang baik kepadanya. Lagi pun, dia sendiri yang berkata kami tidak perlu memainkan peranan itu dan berpura-pura sebagai pasangan yang bahagia.
Mama menarik nafas. Nampak bingung dengan sikap anaknya itu. Sudahlah mama, berhenti berharap sajalah bahawa anak mama itu boleh berubah. Dia tak akan pernah peduli tentang orang lain kecuali diri serta kamera bodohnya itu.

“Mama harap sangat Fitri dapat luangkan lebih masa dengan Aya. Cuba untuk rapatkan diri dengan dia.”sasaran mama beralih kepada aku pula.

Uh oh...this is bad. Kalau boleh, aku tak mahu dekat dengan apa saja milik lelaki itu! Tolonglah faham aku mahu hidup aku balik…!!! Hati aku menjerit.

“InsyaAllah.”hipokrit, hipokrit, sangat hipokrit Fitri.

Mama nampak senang dengan jawapan aku. Aku memandang ke arah Ehsan, dan kemudian menyedari bahawa itu adalah satu tindakan yang salah. Matanya tepat memandang ke arahku, tetapi tidak dapat aku baca apa yang sedang bermain di dalam fikirannya. Aku sendiri tidak tahu jika dia mahu aku untuk rapat dengan anaknya atau menguruskan kehidupan aku sendiri.
Sesungguhnya aku tidak bersedia untuk semua ini. Menjadi ibu kepada seorang anak yang tidak pernah aku kenal, bukan sesuatu yang mudah buat aku. Lagipun, hubungan aku dan Ehsan yang seperti ini tidak memungkinkan aku untuk menjadi seorang ibu yang baik kepada Aya. Kami akan berpisah suatu hari nanti. Jadi, teramat mustahil untuk aku menjadi ibu kepadanya seperti yang diharapkan mama. 

~komen, kritikan amat dihargai :) ~
Share:

2 comments:

saadiah~~ said...

giler cold ehsan nih..hehe..

MaY_LiN said...

wawa..
welcome back..
hihihi
nape la jadi cenggitu dorang ni..