Monday, December 3, 2012

One Day You'll Be Mine 30



“Perempuan tak tahu untung. Tak sedar diri kau ya?” jerkah Firasha, meluru laju ke arahku seperti peluru sesat.

Ketika itu, aku hanya berharap agar aku boleh bertukar menjadi kecil seperti Alice in Wonderland. Walaupun kedengaran seperti seorang pengecut yang hanya tahu bersembunyi tetapi ketahuilah bahwa aku mempunyai seratus peratus hak untuk merasa demikian.

Ini bukan kali pertama aku berperang mulut dengan Firasha, jadi aku tahu benar kepetahan dan kepedasan kata-katanya. Jujur aku katakan, aku sedikit gerun. Bertambah gerun dengan kewujudan Ehsan di situ.

Bukankah dia sepatutnya menuruti langkah Farez serta Aya dan meninggalkan aku untuk berhadapan dengan Firasha seorang diri? Urusan aku bukan urusannya, sudah semestinya Ehsan tak akan berlama-lama di situ, menjadi penonton kepada drama yang tentu sahaja membosankan. Jadi kenapa dia masih lagi tercegat di sini dan membuatkan aku bertambah cemas?

Aku cuba untuk mengundur ke belakang tetapi terhalang oleh meja reception itu.
Jalan mati! Sekiranya tak ada jalan untuk melarikan diri, apa yang boleh dilakukan adalah cuba untuk bertahan.

Aku mendongak membalas renungan tajam Firasha.

Perbezaan ketinggian yang agak ketara di antara kami membuatkan aku semakin geram. Kalah sebelum sempat berkata apa-apa...Arghh!

Firasha tersenyum sinis sehinggakan aku andaikan sekiranya ini merupakan pergaduhan kanak-kanak tadika, dia pasti akan mengejek aku dengan panggilan ‘si pendek’ atau ‘bantut’.

“Jadi tolonglah sedarkan aku. Beritahu aku apa yang aku dah buat sehingga kau sanggup ikut minah kilang ni ke sini.” kataku dengan berani.

Sepanjang 27 tahun hidup aku, belum pernah lagi aku diserang macam ni. Karma? Adakah ini yang dirasakan oleh Ehsan semalam tatkala aku menyerang masuk ke studionya melemparkan kata-kata yang berbisa? Ini adalah pembalasan tunai yang sungguh menyebalkan.

Good one, Fitri.” puji Ehsan, menyedarkan aku kembali akan kewujudannya di situ yang secara tiba-tiba memberikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan lioness garang ini.

Mendengar itu, wajah Firasha bertambah masam. Dia mencebik, seolah-olah jijik dengan kehadiran Ehsan di situ.

“Diam! Lelaki dayus macam kau tak layak bersuara.” sinis sahaja kata-kata itu dilontarkan kepada Ehsan.

Ouch! Perempuan ni memang sangat menyakitkan hati. Oh sabarlah Fitri! Jangan kau buat satu lagi perkara bodoh.

Aku meneliti reaksi Ehsan tetapi seperti biasa, dia kelihatan sedikit pun tidak terkesan dengan penghinaan Firasha itu. Memang benar dia seorang yang tidak punya perasaan.

Tumpuan Firasha kini beralih kepada Ehsan.

Bagus, sasarannya kini bukan sahaja aku tetapi Ehsan juga. Terima kasih kerana memburukkan keadaan.

Satu jelingan tajam aku hadiahkan kepada Ehsan di sisi.

Sejak bila pula dia suka masuk campur hal orang lain? Polisi hidupnya sepatutnya menghalang Ehsan daripada berada di sini bersama aku, apatah lagi untuk bersuara tentang sesuatu yang jelas tidak mempunyai kaitan dengannya. Sungguh aku tidak memahami perubahan mendadak itu. Adakah dia suka dihina, diherdik dengan butiran yang dahsyat bisanya? Rupanya hati Ehsan lebih keras daripada apa yang selama ini aku sangkakan.

“Firasha, kau datang sini untuk bercakap dengan aku. Abaikan saja apa yang Ehsan kata. Anggap dia tak wujud kalau itu dapat membantu. Sekarang beritahu aku, kenapa kau ke sini menjerit-jerit macam orang hilang akal?” tuturku lembut, masih cuba untuk menyelesaikan masalah ini dengan penuh diplomasi walaupun kesukarannya semakin menggugat kesabaran.

“Kau fikir diri kau dah cukup bagus untuk buat Nik macam tu? Hey, kau patut bersyukur lelaki macam dia nakkan perempuan low class macam kau! Kalau tak, kau akan end up dengan sampah macam dia ni je.” satu lagi penghinaan keras terbang laju daripada mulut Firasha dan hinggap di hatiku yang mula membara.

Dia menunjal keras dadaku sebelum aku menepisnya dengan kasar.

Nik...Sekali lagi kerana lelaki itu! Mangsanya masih sama, Ehsan dan juga aku. Mudah sahaja untuk Firasha memperkecil-kecilkan orang lain. Siapa dirinya sehingga mempunyai hak yang sebegitu besar untuk berkata sedemikian? Kaya sangatkah dirinya? Hebat sangatkah penampilannya? Setinggi manakah darjatnya untuk menyamakan kewujudan manusia yang lain dengan sampah?

Ehsan tidak layak menerima penghinaan sebegitu kerana dia tidak tahu apa-apa!

“Siapa kau untuk masuk campur urusan kami? Hitman Nik? Ini masalah aku dengan dia dan akan diselesaikan di antara aku dan dia. Kedatangan kau ke sini hanya memburukkan keadaan.”

“Aku bukan hitman tapi aku boleh upah sorang kalau aku nak. Nik dah lalui macam-macam untuk berada di sini dengan kau yang aku kira tak layak untuk dapat semua tu. Perkara yang paling mulia boleh kau buat adalah hargainya.”

Pengorbanan apakah yang telah dilakukan Nik untuk bersama aku sehingga Firasha meletakkannya begitu tinggi sekali? Sehebat manakah ianya sehingga Ehsan serta diriku sendiri terpaksa menerima bait-bait penghinaan yang begitu biadap daripada Firasha? Aku tak tahu kerana Nik tidak pernah mahu berkongsi ceritanya dengan aku seolah-olah ia merupakan rahsia mutlak dirinya. Dia sungguh tidak mempercayai aku lagi.

“Itu aku punya pasal!” bentakku dengan geram.

Dia tinggalkan aku selama tiga tahun tanpa sebarang khabar dan apabila dia kembali, menghuru-harakan hidup aku, aku perlu menyanjunginya pula? Sekadar membenarkan perbuatan salah yang telah dilakukannya? Undang-undang apakah itu?

“Sekarang kau cuba nak beritahu aku yang kau lebih suka habiskan masa dengan sampah ni dan anak har...”

Jangan Fitri, jangan!

Namun sebelum sempat aku tahan, ringan sahaja tangan ini melayang ke pipinya.

Ya, peristiwa yang sama berulang kembali cuma bezanya kali ini, sedikit pun aku tidak menyesal atau rasa bersalah. Memang sepatutnya dia ditampar kerana kata-kata yang kurang ajar sebegitu. Tidak aku peduli lagi apa hubungan Firasha dengan Nik kerana sungguh dia tak berhak untuk menghina mereka yang penting di dalam hidup aku sesukanya. Mereka juga manusia yang perlu dihormati meskipun mereka tidak punya kedudukan yang gah.

Tanganku yang kebas itu tidak aku pedulikan, sebaliknya membalas pandangan terkejut Firasha tanpa berkedip.

“Jangan libatkan Aya atau Ehsan.” aku memberi amaran.

“Kurang ajar! Berani kau tampar aku, bodoh.” serentak Firasha mengangkat tangannya untuk membalas tamparan aku tadi dan kali ini mungkin dengan kesakitan yang berganda.

Jantungku semakin laju. Di dalam tidak sedar, aku memejamkan mata, bersedia untuk menerima apa saja yang akan berlaku. Tidak langsung aku cuba untuk mempertahankan diri daripada serangannya itu. Seluruh tubuhku seolah-olah membeku, memaksa aku untuk menerima dan bertahan.

Waktu dirasakan bergerak terlalu perlahan.

 “Nope, I don’t it’s  necessary to do that.” suara garau Ehsan membuatkan aku membuka mata. 

Wajah Ehsan serius manakala tangannya  sedang menggenggam erat tangan Firasha sehingga berkerut dahi wanita itu menahan kesakitan. Dia meronta-ronta cuba untuk melepaskan diri namun Ehsan tetap diam, berpura-pura tidak memahami maksud rontaan itu. Sebaliknya, dia menguatkan lagi cengkamannya sehingga aku bimbang tangan kecil milik Firasha akan patah akibat tekanan kuat itu.

Get your filthy hand off me! Sakitlah.” jerit Firasha.

 “Kau perlu biarkan si Nik tu selesaikan masalah dia sendiri supaya kau boleh habiskan lebih masa untuk belajar sedikit adab sopan. Sekarang tolong keluar daripada sini sebelum aku baling kau daripada tingkap tu.” kata-kata itu tidak lebih daripada hanya satu bisikan, diucapkan tanpa sebarang emosi tetapi ia masih berjaya membuat aku menggeletar.

Aku memandang Firasha.

Tiba-tiba sahaja simpati aku jatuh padanya.

Tidak aku tahu hubungan sebenar Firasha dan Nik namun aku tahu satu perkara, apa yang dilakukan Firasha pada hari ini adalah kerana sayangnya kepada lelaki itu. Lelaki yang hanya berjaya menoreh-noreh hatiku meninggalkan calar dan luka. Ya, hanya dia yang mampu untuk melakukan sesuatu seperti itu. Firasha hanya cuba untuk mempertahankan sesuatu yang dirasakannya adalah hak Nik kerana baginya tidak adil bagi aku untuk menghukum Nik dengan terus mendiamkan diri. Kasih sayangnya itu membuatkan dia lupa bahawa manusia yang terluka di sebalik semua ini sebenarnya adalah aku! Aku yang menanggung perit tiga tahun dulu, menyangka satu-satunya lelaki yang aku cintai mati kerana aku. Aku yang menanggung pedih apabila dia kembali dengan hanya satu penjelasan yang cukup rapuh. Aku yang merasai semua itu! Aku!

Sangkaku duka itu cuma kenangan, sayangnya aku salah apabila setiap kali aku melangkah ke hadapan untuk mencari episod bahagia bersama dia yang aku sayangi, aku hanya akan ditolak tersungkur ke belakang semula. Sehingga kadang-kadang, sebahagian diri ini seakan dapat menyakinkan aku betapa mustahilnya dongengan indah yang aku impikan itu. Hatiku perlahan-lahan mula membeku untuk cuba menelan semua yang ‘dihadiahkan’ oleh Nik kepadaku. Mungkin kerana itu aku betah untuk membiarkan dia tertunggu-tunggu.

Ehsan melepaskan pegangannya dengan kasar.

Firasha mendengus. Dadanya berombak-ombak menahan kemarahan, tetapi mulutnya berkunci rapat. Seumpama kanak-kanak yang merajuk mainannya diambil, Firasha menghentak-hentakkan kakinya menuju ke pintu.

Sekali pintu itu cuba dibukanya, namun gagal.

Nampaknya, Ehsan masih belum puas mengenakan Firasha. Ah, adakah semua perkara tidak lebih daripada gurauan kepadanya?!

“Boleh tak kau buka pintu ni?” Firasha menoleh, menghadiahkan panahan berapi kepada Ehsan.

“Aku ingatkan kau nak keluar melalui tingkap tu.” balas Ehsan dengan cukup selamba.

“Firasha, beritahu aku yang Nik tak suruh kau ke sini?” kata-kata itu sebenarnya lebih kepada satu kenyataan dan harapan daripada pertanyaan. Kerana aku tak rasa aku mampu untuk menerima sebuah jawapan yang hanya akan membuatkan cinta aku kepada Nik menjadi satu hukuman yang tidak punya belas kasihan.

Tolonglah Firasha, katakan Nik tidak sekejam itu! Tolonglah benarkan keyakinanku yang masih tinggi untuk lelaki itu. Aku pasti Nik Afezal tak mungkin akan melakukan sesuatu yang pengecut begini. Menghantar seseorang untuk menghentam aku manakala dirinya sendiri terus bersembunyi.

“Aku ke sini atas kehendak aku sendiri. Nik tak tahu apa-apa and I intend to keep it that way.

Aku menarik nafas.

Terasa seperti satu bebanan yang menghempap badan ini diangkat pergi. Kelegaan yang benar-benar aku harapkan. Lihatlah, aku masih mengenali Nik Afezal.

Ehsan berpaling dan menekan sesuatu di atas meja.

Nik loves you. More than anything else on Earth and you have no idea what you’ve put him through for the past three years. Kalau sesuatu berlaku, aku nak kau ingat tu.” ujar Firasha sebelum berlalu meninggalkan studio itu tanpa pandangan kedua.

Dalam kata-kata itu menerobos masuk, meninggalkan satu macam perasaan yang tidak dapat aku gambarkan.

Jikalau sesuatu berlaku? Apa maksud Firasha? Oh Tuhan, janganlah Kau timpakan apa-apa ke atas Nik. Selamatkanlah dia walau di mana dia berada, apa juga yang dilakukannya. Aku tak tahu apa yang aku akan lakukan kalau aku kehilangan dia sekali lagi. Bagaimana aku akan...Oh! Aku bukan sahaja masih sayangkan dia tetapi aku sangat sayangkan dia.

“Kau okay?” Ehsan bertanya, menyedarkan aku kembali daripada segala fikiran yang kurang enak.

“Uh aku..ermm...itu bukan sesuatu yang biasa bagi aku. Jadi soalan jenis apa tu? Semestinya aku tak okay.” aku berkata, bergerak menjauhi Ehsan yang dirasakan hanya seinci daripada ku.

“Betul? Diserang macam tadi tu adalah perkara bias dalam hidup aku. Sekurang-kurangnya sejak aku kenal kau.”

Aku yang mendengar sekadar menggosok hidung, menahan pedas gurauan kasarnya itu. Apa yang aku lakukan kepada Nik itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan dan aku tak harap pun agar Ehsan melupakannya sebaik sahaja permohonan maaf aku diterima cuma dia tak perlulah mengulanginya setiap setengah jam.

“Keadaan dah selamat?” Farez menjengulkan kepalanya daripada sebalik pintu.

“Dah. Korang boleh ke...”

“Keluar selepas dua minit.” potong Ehsan.

Pandanganku dituntaskan kepada Ehsan yang benar simple dengan bermuda shorts dan t-shirt polo berwarna kuning air. Rambut duri duriannya digayakan kemas dengan gel, membuatkan dia kelihatan tidak ubah seperti remaja belasan tahun.

Aku pasti Ehsan hanya bergurau. Tak mungkin dia mahu Aya dan Farez terus berkurung di dalam sana selepas subjek yang merbahaya itu kini sudah tiada?

Kami hanya bertentangan tanpa suara.

Dia serius. Sesuatu yang mahu dikatakannya kepada aku? Sesuatu seperti ‘Jangan datang ke sini lagi kalau hanya untuk bawa masalah’ mungkin?

Dup dap dup dap jantung ini tetapi Ehsan nampaknya tidak akan membuka mulut untuk menghentikan debaran yang beraja. Mahu aku memulakan dahulu? Di manakah sifat gentlemannya yang dipamerkan sebentar tadi? Takkanlah hilang bersama waktu yang bergerak pergi.

Sungguh aku terharu apabila dia bersuara untuk aku tadi. Sesuatu yang tidak aku jangkakan daripada makhluk aneh sepertinya yang lebih gemar mengamalkan konsep ‘mind your own business’. Mempertahankan aku sebegitu, ah hati mana yang tidak cair?

Jangan dibuai angan yang mengarut, Fitri! Ketahuilah yang tidak ada apa pun yang akan berubah. Dia masih Dzul Ehsan yang tak akan pernah berhenti buat kau sebal. Jangan mudah terpedaya dengan lakonannya itu. Ehsan hanya mahu menyakitkan hati Nik, tak lebih dan tak kurang. 

Walaupun begitu, aku masih perlu berterima kasih kepadanya.

“Err...aku tahu ini akan jadi awkward kepada kita tapi...terima kasih sebab selamatkan aku daripada kena tampar tadi walaupun aku memang patut dan layak kena tampar. Sekurang-kurangnya aku akan tahu apa perasaan kau.” aku memaksa diriku untuk ketawa agar kejanggalan yang wujud dapat dikurangkan.

Mention not. Aku yang patut berterima kasih sebab kau stood up for Aya dan juga aku mungkin hrmm?” duga Ehsan, sengaja mahu melihat reaksi aku.

“Uh itu! Dia menghina orang yang aku sayang.”

Pada mulanya itu sekadar ucapan biasa yang tidak punya makna tertentu tetapi apabila Ehsan menjungkitkan keningnya, barulah aku sedar bagaimana ia sebenarnya kedengaran.

“Aku maksudkan Aya. Kau tak ada di dalam senarai. Lagi pun, kata-kata sebegitu tak akan mampu untuk mencalarkan kekebalan sistem pertahanan kau yang mengagumkan tu.”

Ehsan merenung aku, menimbang kebenaran yang wujud di dalam ucapan itu.

Bahaya!

Satu suara tiba-tiba menjerit membuatkan aku mula kaget.

Apa yang bahaya? Aku bertanya kembali kerana sememangnya aku tidak tahu.

Dia akan nampak.

Huh, nampak apa?

“Aku rasa aku patut pergi sekarang. Err kau hantar Aya balik?” tidak mahu mengambil tahu jawapan kepada soalan itu, aku mengorak satu persatu langkah ke pintu sebelum ditarik semula ke tempat aku mula berdiri tadi.

“Melarikan diri tak akan menyelesaikan sebarang masalah, Fitri.”

“Apa maksud kau melarikan diri?!” marahku, agak geram kerana pergerakan aku terhalang.

Ehsan sekadar mengangkat bahu.

“Tak ada apa-apa yang terjadi kepada Aya. Aku tak kisah langsung apa yang Nik dah buat. Don’t let other people dictates your life. Keputusan kau adalah hak kau. Jangan biarkan apa-apa pun berdiri di antara kau dan kebahagiaan kau. Because I would never allow that.”

“Apa yang cuba kau cakapkan...” aku membuka mulut untuk bertanya tetapi sebelum sempat aku menghabiskan barisan ayatku, Ehsan sudah terlebih dahulu memotong. Wajahnya kosong, tidak memberikan aku sebarang klu untuk menyelesaikan teka-teki yang baru diberikannya.

“Okay, dua minit dah habis! Aku nak selesaikan kerja aku.” dia mengambil susunan portfolionya di atas meja dan berlalu pergi, meninggalkan aku terpinga di situ tanpa sebarang penjelasan.
 

Sejam kemudian kereta aku selamat dipakirkan di perkarangan rumah ibu yang sudah hampir dua minggu tidak aku kunjungi dek kerana kesibukan yang tiada berpenghujung. Jikalau ibu tidak menelefon tadi menyuruh aku singgah untuk makan tengah hari bersama dengan leteran panjang yang amat aku rindui, sudah tentu aku akan terus pulang ke rumah dan berterusan mengasingkan diri daripada dunia dengan harapan ia dapat menyelamatkan aku daripada kedukaan yang lebih parah.

Kereta Abang Asyraf dan abah digaraj memberitahu aku bahawa mereka juga akan turut serta makan tengah hari itu. Selalunya abah sibuk dengan urusan kerja manakala Abang Asyraf pula tidak menentu cutinya. Jadi agak mustahil bagi kami untuk makan bersama tetapi nampaknya, hari ini hari yang bertuah. Aku bukan sahaja boleh berjumpa dengan abah, malah Abang Asyraf serta anak-anak saudara yang tersayang.

 Sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah, hatiku serta-merta bertukar sejuk dan tenang. Dengan dekorasi bahagian dalam rumah yang sederhana, dinding putih bersih yang dihiasi lukisan-lukisan abstrak kegemaran abah, sungguh mendamaikan. Sebetulnya aku benar-benar rindukan rumah ini, rindukan ibu serta abah.

Ah, bukankah 27 terlalu tua untuk homesick?!

Aku memberi salam, mengejutkan abah yang sedang mengagah Hariz serta Abang Asyraf yang sedang membelek telefon bimbitnya itu.

“Eh Fitri! Tak dengar bunyi kereta pun.” tegur abah.

“Dah ada bakat jadi pencuri nampak. Masuk pun senyap je.” sampuk Abang Asyraf pula.

Aku sekadar tersenyum, menghampiri kedua entiti yang aku rindui itu lalu menyalami tangan mereka sebelum mengambil tempat duduk di sebelah abah.

“Nampak kurus dan tak sihat. Are you eating well?” abah bertanya. Kerisauan jelas kelihatan di wajah tua itu.

“Penat dan kurang tidur, selain daripada tu Fitri sihat je. Selepas makan masakan ibu, Fitri akan lebih baik. Masakan ibu ada kuasa untuk menyembuh.” aku menjawab riang, cuba untuk menghilangkan kerutan di dahi abah.

Abang Asyraf memandang aku dengan penuh curiga, seolah dapat menghidu punca kepada keadaan aku yang padanya agak teruk itu. Yalah, mana ada orang yang nampak cantik dengan lingkaran gelap bawah mata, kan? Namun aku mengabaikan pandangannya itu dan mengalihkan perhatian kepada si comel Hariz. Pipinya aku cubit dan satu ciuman aku hadiahkan ke dahinya.

“Kalau duduk bersendirian terlalu berat, rumah ni sentiasa terbuka untuk Fitri. Pindah balik ke sini dan temankan ibu serta abah. Kami berdua bukannya bertambah muda. Kalau ada anak-anak, lapang sikit rasanya dada ni.” abah berkata lagi.

“Fitri tak duduk sorang-soranglah. Kan Kristine ada.” walaupun dia jarang ada kat rumah sebab asyik melayan karenah Hezry yang mengarut tu. Aku menambah di dalam hati.

How’s everything with your you-know-who?” Abang Asyraf akhirnya tidak dapat membendung lagi keinginannya untuk mengambil tahu hal peribadi aku. Sengaja mahu merendahkan pilihanku itu di hadapan abah mungkin.

Soalan yang hanya membuatkan aku bertambah penat. Penat untuk memikirkan pembohongan yang mampu menyelamatkan Nik serta diriku sendiri daripada pandangan buruk orang lain, ibu bapaku terutamanya.

“Jawapan yang macam mana abang harapkan?” aku mengeluh kerimasan, sengaja tidak memandang ke arah Abang Asyraf. Bukan kerana takut, bukan juga kerana marah. Aku hanya mahu melalui hari ini tanpa sebarang konfrontasi. Seseorang itu hanya mampu melalui satu kejadian yang besar di dalam sehari dan konfrontasi Firasha sudah cukup mengambil sebahagian daripada tenaga aku.

“Tak perlulah berterusan membela dia.” tempelak Abang Asyraf, kurang senang apabila aku seolah-olah mahu mempertahankan Nik.

Tidak mahu sesuatu yang sepatutnya menjadi perbualan bertukar menjadi perbalahan, apatah lagi dengan abangku sendiri, aku mengangkat tangan menyerah kalah serentak bangun.

 “Fitri nak join gossip ladies kat dapur.”

Abang Asyraf juga seperti Firasha. Mereka berdua tidak berniat jahat, hanya dua manusia yang mengharapkan sesuatu yang terbaik buat orang yang mereka sayang. Tetapi mereka tersalah percaturan apabila mereka menganggap campur tangan dan desakan mereka akan memudahkan keadaan. Ia hanya membuatkan segalanya bertambah berantakan dan berserabut. Aku menghargai perhatian  Abang Asyraf ke atas ku, sungguh tetapi dia perlu membenarkan aku menjalani kehidupan aku sendiri dan berhenti mengecilkan Nik. Kalau benar dia sayangkan aku, dia kena belajar menghormati orang yang aku sayangi.

Hello my two and the half beautiful ladies.”

“Mak Cu!” jerit Melati. Dia yang sedang sibuk menghancurkan sisa bawang besar di atas meja dapur itu berlari mendapatkan aku.

Kak Rini tersenyum dan senyuman itu kelihatan lemah sekali. Wajahnya pucat, membuatkan aku sedikit risau.

“Kak Rini okay ke? Kenapa nampak macam tak sihat je?” aku bertanya.

“Err...Semua orang asyik tanya soalan tu je dekat Kak Rini. Cakaplah sejak dapat baby baru ni, Kak Rini makin kurang cantik.” Kak Rini menarik muncung, berpura-pura merajuk.

“Begitulah, Fitri. Orang cakap betul-betul, dia bergurau pula. Ibu pun sampai naik risau. Pucat sangat muka tu.” bebelan ibu membuatkan muncung Kak Rini bertambah panjang. Aku ketawa dengan gelagat manjanya itu.

“Siapa cakap Kak Rini kurang cantik? Beritahu Fitri, meh Fitri debik dia.” gurauku.

“Mari kita mula dengan yang duduk kat luar sana tu dulu. Nama dia mula dengan huruf ‘A’.” kata-kata Kak Rini yang selamba tu sekali lagi mengundang ketawaku. Hilang segala masalah yang bertamu di hati. Benarlah, ketawa dan keluarga adalah ubat kesakitan yang cukup mujarab.

“Daripada mana ni?” ibu bertanya, menyenduk tomyam yang masih berasap ke dalam mangkuk kaca.

“Studio Ehsan. Hantar Aya tadi.”

“Aya tak datang?” soal Melati, mata galaknya tiba-tiba bercahaya.

Aku menggeleng.

“Dia tinggal dengan papanya.” jawapanku itu membuatkan Melati sedikit kecewa.

Tentu sahajalah dia mengharapkan kehadiran Aya atau dia akan bersendirian tanpa teman untuk bermain.

“Semakin kerap ke sana nampak. Dari mata turun ke hati?” ujar Kak Rini.

“Hish apa Kak Rini merepek ni? Fitri ke sana pun sebab Aya je. Kalau tak, kirim salam jelah. Lagi pun, bukannya Kak Rini tu tak kenal Ehsan macam mana. Dia tak suka kalau Fitri asyik kacau dia. Macamlah Fitri teringin sangat nak kacau dia. Please.” balasku dengan lancar, membuatkan ibu menjeling tajam. Masakan tidak, Ehsan kan menantu pilihannya. Aku masih lagi tak faham apa yang ibu nampak di dalam diri Ehsan sehingga ibu membuat keputusan dia adalah lelaki yang terbaik untuk aku. Kadang-kadang, cara ibu bapa berfikir amat sukar untuk dibaca dan diramal.

“Ya ke dia tak suka?” misteri sungguh cara Kak Rini berkata-kata sehingga aku dan ibu sama-sama berpandangan sebelum menuntaskan perhatian kepadanya yang sedang mengambil pinggan daripada kabinet itu.

“Apa?” dia bertanya, berpura-pura tidak faham.

“Rini ada berbual dengan Ehsan ke?” ibu bertanya, sedikit berharap bunyinya. Berharap untuk apa aku kurang pasti.

 Kak Rini lantas menggeleng.

“Oh.” hanya itu respon ibu sebelum kembali menyelesaikan kerjanya di sinki yang tertangguh.

Aku menjungkitkan kening.

 “Tak ada apa-apalah, Fitri adikku sayang.”

Dan aku tahu yang ada sesuatu di sebalik ‘tak ada apa-apalah’ Kak Rini itu. Sesuatu yang dirahsiakannya dan sesuatu itu tentang Ehsan. Perasaan ingin tahuku semakin membuak-buak.
Kak Rini aku hampiri dengan muka selamba, berpura-pura membantunya menyusun pinggan di atas meja.

“Itu je? Fitri tak akan memaksa?” tanya Kak Rini, bercekak pinggang dan kelihatan amat tidak berpuas hati.

Aku mengangkat bahu, cuba untuk kelihatan tidak berminat. Memang aku tidak mempunyai walaupun sedikit bakat lakonan tetapi aku rasa tak salah mencuba, kan? Sudah semestinya aku nak tahu sebab di sebalik kenyataan Kak Rini yang mencurigakan itu. Apa maksudnya apabila Kak Rini katakan yang Ehsan sebenarnya tak bencikan aku? Atau itulah yang aku rasa Kak Rini maksudkan.

“Walaupun ia mungkin sesuatu yang dapat mengubah tanggapan Fitri kepada Ehsan?” Kak Rini masih mahu berteka-teki, mungkin dia akan bertambah gembira sekiranya dia tahu yang dia berjaya menyeksa aku dengan rasa ingin tahuku sendiri.

Aku yang baru selesai menyusun gelas di dalam dulang itu pantas menoleh.

Okay my lady, spill it out.”

Kak Rini tersenyum lebar tetapi dia tidak terus membuka cerita, sengaja membiarkan beberapa saat berlalu dengan penuh debaran.

“Fitri pun tahu yang kan yang si Ehsan tu kawan baik Asyraf dulu. Dan...” Kak Rini memandang aku, membasahkan bibirnya sebelum menyambung.

“Dan menurut Asyraf, he used to develop a crush on you. High school crush, things like that. Sepatutnya ni rahsia diorang berdua tapi tahulah kan abang Fitri tu macam mana. Tak boleh nak simpan rahsia. Kak Rini pun tak sepatutnya beritahu Fitri tapi tak apalah. Fitri patut tahu dan gembira. You might be his first love after all. Seingat Kak Rini, cinta pertama selalunya sukar untuk dilupakan.”


******************************************************************
Hello!
A little bit of romance to spice up this beautiful morning. ^^
Apa pendapat semua untuk bab kali ni? 
Nik again anyone? 
Terima kasih seperti biasa untuk semua yang sudi singgah ke sini, baca dan komen. Sangat dihargai. 

p/s: Nak tahu pasal Firasha, boleh baca mula daripada bab 19. Dan saya dah ubah sikit bab 22 sebenarnya. 



Jumpa lagi nanti ya?   
  
Share:

13 comments:

Anonymous said...

Fitri seorang yg pelik,kalo dia masih x dpt tangkap yg sbnarnye Ehsan 2 dh lama cintakan dia.....hehehe...

naimah razak said...

ye lor...ehsan n fitri...haddooiii bila la dia nk sedar..dah dpt jwpn dri publisher ker...xsabar la tunggu n3 n end up citer ni...nk beli buku...

mizz acu said...

Err? Biar betul? Hbs knapanya ms fitri still wife dia.. Dia xcuba pikat fitri? Nape kawenn ngnn org laiinn??

shaza said...

Hrp Fitri pun jatuh cintan kat Ehsan jugak

Anonymous said...

high school crush....betchaaa!!! Ehsan ehsan...si cold ice neh...ssh sgt nk say 3 magic words tu khen....
Ms author yooo....the story getting hot...plot pun dah berkembang...yeahh....4-5hr teaser...pastu a week after baru full n3....argghhh cant wait...
anway..thx a lot ms author....

StunningUmi said...

Ahah .., first love rupenye ...

asnierin said...

..suke sgt2!!

Anonymous said...

Twice a day sy bukak page ni... bila nk smbung?? Senang2 novelkan jela.. hehe.

Anonymous said...

tak sabar nak tunggu ni apa akan jadi kepada diorang ek

Anonymous said...

fitri mempertahankan orang yang dia sayang dah terbukti yang dia juga sayangkan ehsan hahaha lagi satu nak tergelak pun ada firasha nak kena baling dari tingkap dengan ehsan fuhh serius takut

Mashitah Najwa said...

Where is the sambungan??!!please lah..I want no know what happen after that.. ~mashitah

Mashitah Najwa said...

Nguekk!!nak sambungan..nak tahu apa yang jadi..wahai penulis yang baik...please bagi sambungannya!!

InawzaYusof said...

Dear Mashitah Najwa,

For your information, One Day You'll Be Mine has been published as a novel. So, memang saya letak entri sampai sini saja. Kalau nak baca sambungannya, kenalah cari novel hahaha :)

Thanks for reading.

xoxo