Showing posts with label OUAT. Show all posts
Showing posts with label OUAT. Show all posts

Friday, October 13, 2017

The Long Hiatus Is Over!

I'm back! It took me ages to edit my blog template after the old one kinda stopped working. I've also changed my domain from: ay-mycollection.blogspot.com to what-floats-your-boat.blogspot.my


Tajuk: ONCE UPON A TIME
Penulis: Inawza Yusof
Penerbit: Penulisan2u
ISBN: 978-967-0992-49-5
Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak)

To those who have been following Encik Jay, Encik Ed and Miss Lily, be sure to grab a copy of Once Upon A Time from your nearest bookstores. Available since January 2017!!

Yes, I actually did finish writing their stories. After 3 years. Beating my own record of 2 years for ODYBM. Have been procrastinating, blame me. Not proud of it, really. 

You can also read Chapter 1 - Chapter 15 at Wattpad. The link is down below - 


But yeah, do get yourself a copy! Drop me your reviews or comments on the piece, okay? 


Thursday, February 6, 2014

Once Upon A Time 10



Zaed Akram tersenyum sendirian, sudah bagai orang tak betul lagaknya. Dia mencapai laptop daripada atas kaunter dan berlalu ke ruang tamu, sebelah tangan lagi menggenggam telefon bimbit.
Baru saja dia melabuhkan punggung di sofa apabila bunyi kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci menarik perhatiannya. Menunggu barang ketika sehingga wajah Jay terjengul di muka pintu tanpa sebarang emosi. Membuatkan Ed tambah berminat untuk merenung kerana dia tahu hari sahabatnya itu tak bergerak seperti yang dirancangkan.
“Apa laporan penyiasatan hari ni, detektif?” sengaja Ed bertanya.
Sekadar mengangkat bahu, Jay tak cuba untuk memberikan jawapan lebih. Sebaliknya lelaki itu bergerak mematikan televisyen dan membatu seketika di hadapan kotak empat segi tersebut dengan penuh misteri.
Tindakan yang buat Ed tertanya-tanya.
“Jay?”
“Ed.”
Mereka berdua saling berpandangan.
Jay tetap diam memeluk tubuh tapi aura beku yang dibebaskannya sudah menerangkan serba sedikit tentang keadaan sebenar kepada Ed.
Lelaki itu baru tahu sesuatu yang tak menyenangkannya dan apa yang Ed ingin tahu kini ialah ‘sesuatu’ yang mana satu. Masalah dengan menyimpan terlalu banyak rahsia ialah dia mudah keliru dan paranoid.
Apa yang perlu dilakukannya sekarang ialah belagak normal dan bertenang. Bermacam-macam bahagian Kuzer Harmy sudah dia tengok dan terpaksa berdepan dengan salah satu daripadanya bukan hal besar.
Kuzer Harmy tak menakutkannya!
“Satu soalan. Kenapa?” Jay memulakan tapi masih tak memberi sebarang klu tentang subjek bicara mereka.
“Aku perlukan kau untuk lebih spesifik lagi. Kenapa apa?”
Temannya itu ketawa, mendatar tanpa sebarang nada. Namun, cukup kasar dipendengaran Ed kerana dia tahu lelaki itu sedang mengejeknya. Sedikit pun tidak percaya dengan lakonan kelas pertamanya tadi.
Tentu saja, penipu handal takkan mudah tertipu.
“I could play this game all night, Ed. You know how much I love games.”
“Macam mana aku nak beritahu kalau aku tak tahu apa kau cakapkan ni? Soalan kau yang tergantung tu memerlukan penjelasan, reti tak?”
“Aku nak tahu kenapa kau suruh Aidil ikut aku sepanjang hari?!”
Phewww…
Ed menghela nafas lega walaupun dia tak sepatutnya berasa lega terutama sekali kerana tindakannya itu jelas menaikkan kemarahan Jay. Tapi, keadaan mungkin lebih buruk lagi kalau Jay sedang bercakap tentang soal lain. Jadi, sesungguhnya dia bersyukur.
“Ah, patutlah aku telefon Aidil tadi dia tak angkat! Rupa-rupanya kau dah cakap dengan dia.” balas Ed, kembali tenang.
“Aidil Marwan, poetry to nerdy? Tolonglah Ed, kau boleh upah orang yang lebih baik daripada tu.” komen Jay.
Ed tersenyum, menggaru-garu keningnya.
“Let me get this straight. Kau marahkan aku sebab suruh Aidil yang ikut kau, bukan kerana privasi kau diceroboh?” sengaja dia menekan nama ‘Aidil’, mahu memprovok respons daripada Jay. Tangannya mencapai kotak rokok daripada atas meja, mengeluarkan sebatang lalu menyalakannya. Rokok tersebut disedutnya dalam-dalam sebelum membenarkan kepulan asap itu menghiasi ruang udara lalu menghilang beberapa saat kemudian. 
Mengecilkan matanya, Jay merenung Ed daripada atas sehingga ke bawah. Dirasakan temannya seperti seorang model yang keluar terus daripada salah satu muka surat majalah Men’s Health atau pun GQ.
“Kedua-dua sekali. What do you hope to achieve by doing that?”
“Jay, aku kawan kau dan tentu saja aku risaukan kau. Kau baru balik sini dan aku tak nak kau terlibat dalam sebarang masalah lagi.”
Jay mengetap bibir.
Itulah satu-satunya jawapan yang bermain-main di dalam kepala sepanjang perjalanan ke apartmen Ed. Dia sudah boleh mengagak kerana itu merupakan jawapan yang cukup dia tak suka.
“Aku bukan budak kecil dan aku tak perlukan kau untuk jaga aku. I’ve told you, those dark days were way behind me.”
“Oh maafkan aku sebab risaukan kau.” sela Ed. Dia turut bangun supaya pandangan mereka berada di tahap yang sama.
“Aku tak rasa kau dah berubah sepenuhnya, Jay. Kau soal-siasat kawan-kawan lama kita, tunggu Lily sepanjang hari, ikut dia sampai ke pasaraya. Apa tu? Kalau ada perubahan pun, aku rasa kau semakin teruk.”
“Aku cuba cari jawapan kepada soalan yang kau dan Lily tak mahu aku tahu!” suara Jay meninggi.
“Ah, balik semula kepada soalan tu! Lebih banyak perkara untuk kau pedulikan daripada  mengambil tahu tentang perhubungan Lily Nadira. Dia bukan masalah kau lagi.” marah Ed kembali.
Kalau dia perlu mencekik lelaki itu untuk menyumbat masuk fakta tersebut ke dalam kepalanya, dia akan lakukan tanpa sedikit ragu pun.
Jay seperti orang hilang akal. Sikap protektif serta mengongkongnya terhadap Lily perlu dikikis sebelum menjadi lebih parah. Kerana perangai Jay yang sebegitulah wanita itu takut untuk memberitahunya perkara sebenar dan dia sebagai seorang teman yang baik akan terus menyimpan rahsia.
“Kita bukan sedang bercakap tentang Lily. Jangan cuba nak ubah topik. Ed, kalau kau nak tahu apa aku buat hari ni, kau hanya perlu tanya. Tak payah nak buat macam tu. Aku kawan kau, bukan penjenayah!” tak betah untuk menunggu lebih lama, dia berjalan menuju ke pintu tetapi laju tangan Ed mencengkam bahunya.
Wajah Ed sama keras, menunjukkan dia masih punya beberapa poin untuk disampaikan.
“Masalah kau Jay adalah kau tak boleh terima bila orang buat sesuatu kerana betul-betul pedulikan kau. Kau anggap semuanya buruk, tak baik.”
Mendengus, tangan Ed ditepisnya kasar.
“Masalah kau pula kau sentiasa anggap kau lebih baik daripada aku. Ini bukan hanya tentang kau suruh orang ikut aku tapi juga tentang kawan baik aku yang langsung tak percayakan aku. Gunakanlah apa jenis perkataan pun, risau, peduli, ambil berat. But we both know that you just couldn’t trust me not to cause trouble.”
Ed terbungkam.
Jarang sekali baginya untuk bersetuju dengan sebarang ayat yang keluar daripada mulut Kuzer Harmy namun tidak malam ni.
Satu tindakan bodoh daripada pihaknya walaupun dia tahu jelas Jay tak suka diragui begitu. Tinggal satu alasan lagi yang boleh diguna pakai untuk membenarkan apa yang dilakukannya hari ini iaitu dia hanya cuba memastikan perjalanan aktiviti Jay bagi menghalang bencana yang lebih besar.
Dan ya, apabila difikirkan kembali, memang temannya benar. Aidil bukan pilihan yang tepat untuk menjalankan kerja ala-ala James Bond seperti itu. Johnny English pun boleh melakukannya dengan lebih baik.
“That’s what I thought.” Jay mengangguk, sedikit kecewa.
Sungguhpun dia tahu itu memang satu kebenaran tapi dia mahu Ed menafikannya, bukan bersetuju dan sekadar tercegat di situ bagai seorang pesalah, sekali pun tak cuba membela diri.
Sangat mengecewakan!
Telefon Jay bergetar lantas mengalihkan tumpuan mereka berdua kepada objek putih jenama Apple yang dipegang oleh lelaki itu. Dia meneliti apa saja mesej yang baru masuk untuk seketika sebelum menarik daun pintu, berura-ura untuk keluar.
 “Kau nak pergi mana?” temannya bertanya.
“Mana-mana sajalah.”
Memerhatikan sehingga tubuh Jay hilang di sebalik pintu, Zaed menarik nafas. Terasa seperti baru selesai berperang dan pulang tanpa sebarang kemenangan.
Satu-satu teman paling rapatnya kini kecewa dan merajuk dengannya dan satu rahsia yang disimpan juga semakin hari terasa semakin berat untuk terus dipegang.
Dia mencapai telefon daripada atas meja lalu mendail satu nombor.
“Code red. We have a problem.” dia berkata sebaik saja panggilan bersambung.


Jay mendekapkan telefon ke telinga sementara tangannya menyarungkan jaket ke badan. Angin malam yang menyejukkan tapi sayang tak sampai ke hati yang sedang panas.
Peduli, risau, huh! Semua tu alasan semata. Kalau kedua ibu bapanya sendiri tak pernah nak ambil kisah, inikan pula orang luar.
Dalam hidupnya, hanya beberapa orang saja yang benar-benar penting dan hari ni, salah seorang daripada mereka sudah mengecewakannya.
 “Uh…assalamualaikum. Boleh tak ambil Jay dekat kawasan rumah Ed? Susah nak dapat teksi malam-malam macam ni.”
“Waalaikummussalam. Boleh, tak ada masalah. Lagi setengah jam ya.” balas suara di hujung talian, kedengaran sungguh prihatin.
“Lama lagi pun tak apa. Jumpa nanti.” tidak menunggu barang sesaat dua, panggilan terus dimatikan. Telefon bimbit tersebut dimasukkan ke dalam kocek jaket.
Jay dah bosan dan permainan semakin meleret.

Segala teka-teki berakhir malam ni! 

*******************************
Updated! Yes, with another cliffhanger ^^ 
Well...just because. 

By the way, Escape Hatch is now with a new look! 
What do you think? 
Is it much more easier or much more complicated? 


Terima kasih daun keladi kepada semua yang baca, silent reader or not. I heart you guys to bits.

Jumpa lagi nanti! Adios~


Monday, January 13, 2014

Once Upon A Time 9

          


       Nizarif menutup lampu biliknya. Bersedia untuk pulang ke rumah, menghabiskan masa bersama dua ekor kucingnya dan mungkin juga menyiapkan lukisan CAD bagi ruang dapur vila Datin Hana sebelum melangkah ke katil. Kerjanya kali ini sedikit ringan dengan pembahagian tugas kepada beberapa orang junior termasuk Lily dan rakan kongsinya, Kenneth yang menguruskan pelan elektrikal untuk residensi tersebut.
Sling bag dicapai dan setelah memastikan pintu ofisnya dikunci rapat baru dia bergerak ke ruang kerja DesignHouse yang menempatkan dua orang intern, empat orang junior, seorang akauntan dan seorang penyambut tetamu. Nani, seorang pereka bebas yang sudah hampir tiga tahun bersama mereka pula lebih selesa bekerja daripada rumah. Hanya apabila punya urusan dengan pelanggan baru ibu beranak dua itu singgah ke ofis.
Sewaktu dia dan Kenneth mula membangunkan DesignHouse, mereka berdua terpaksa bertungkus-lumus untuk mencari klien. Bermula dengan projek kecil-kecilan, sekarang DesignHouse sudah mempunyai ruang pameran sendiri. Ruangan kerjaya sebegini memerlukan kesabaran dan kenalan yang ramai. Bukan mudah untuk memenangi kepercayaan orang tambahan pula DesignHouse ketika itu masih baru.
Bunyi keluhan berat seseorang membuatkan langkah Nizarif terhenti, lantas jam tangannya ditilik. Sudah hampir ke pukul 10 malam dan setahunya, di waktu-waktu begini hanya dia sorang saja yang berada di pejabat.
“Encik Nizarif dah nak balik ke?”
Tersentak Nizarif, hampir saja beg di tangannya terbang dan hinggap kepada siapa juga pemilik suara tersebut. Sepantas kilat dia menoleh.
Beberapa saat kemudian degupan jantungnya kembali normal. Wajah polos milik si gadis direnungnya, antara geram dan lega.
“Apa awak buat dalam gelap ni? Bukan tadi awak dah balik ke?” soal Nizarif dengan riak yang sengaja diseriuskan.
Kus semangat, hilang habis kekacakannya. Nasib baik tak menjerit, kalau tak lagilah bertambah tak kacak. Punah kewibawaannya depan junior seperti Lily Nadira.
Lily mengangguk.
“Tertinggal barang kat pejabat. Lepas tu saya tengok Encik Nizarif ada kat dalam ofis, saya pun siapkanlah kerja sikit.”
“Awak ada kat ofis ni sejak petang tadi lagi? Cari nahas betul. Nak kita berdua kena tangkap basah ke apa?!” walaupun dia sengaja mahu menakutkan Lily tapi Nizarif sendiri cuak apabila memikirkan kemungkinan itu. Semakin lama mereka berdua berada di sini, semakin tak selamat pula dirasakan. Bukan cara yang baik untuk menamatkan zaman bujangnya.
Wanita itu terdiam, seolah baru terfikir tentang perkara tersebut. Wajah Lily terus berubah, nampak jelas kegugupannya.
“Okay, bad judgement on my part. Saya pergi ambil beg saya, kemudian kita boleh keluar.” dengan pantas, dia berlalu ke meja.
Nizarif mengangguk. Perhatiannya ditumpukan kepada Blackberry di tangan kerana jikalau tak, pasti dia akan leka meneliti pergerakan wanita itu.
Kecil genit tapi berbisa, Kenneth pernah bergurau. Mungkin kerana peribadi Lily yang berani dan sedikit garang apabila diprovok.
Dia mengambil Lily bekerja atas rekomendasi ibunya yang merupakan teman kepada Puan Masyitah, ibu Lily. Pertama kali mereka berjumpa adalah di majlis perkahwinan kakak Nizarif dan ibu wanita itu merupakan katerer serta wedding planner yang bertugas menguruskan majlis tersebut.
Perkataan pertama yang ‘dihadiahkan’ Lily kepadanya ialah ‘snobbish’ yang mana Nizarif akui, mempengaruhi keputusannya untuk mengambil wanita itu menyertai DesignHouse. Sungguhpun dia tak memerlukan seseorang yang keras kepala dan tak berpengalaman di dalam pasukannya tapi Nizarif teringin benar nak tengok sejauh mana keberanian Lily boleh pergi.
Bayangkanlah betapa terkejutnya wanita itu ketika dia memperkenalkan diri sebagai pemilik DesignHouse. Saat yang sangat berharga sehingga dia terpaksa memanggil sepenuh kekuatan untuk tidak ketawa.
“Okay, selesai. Jom.” ujar Lily, sudah bersedia dengan beg dan fail ditangan.
Mengisyaratkan kepadanya supaya keluar dulu, Nizarif berlalu ke pantri lalu mematikan lampu terakhir yang menerangi ruang kerja tersebut. Dia berjeda sejenak memerhatikan kawasan sekitar ofis yang lengang. Setelah berpuas hati baru dia melangkah ke pintu.
Kelihatan Lily masih terpacak di luar, sedang leka meneliti hujung kasutnya seakan objek itu begitu menarik perhatian.
Mengenangkan hubungan mereka yang tak pernah rapat, amat janggal bagi Nizarif apabila Lily masih di situ. Jika sebelum ni, apa saja peluang yang wujud akan digunakan Lily untuk menjauhkan diri daripadanya.
“Kenapa ni? Nak minta naik gaji ke?”
Lily berpaling bersama segaris senyuman yang hanya bertahan sesaat cuma tapi tidak menjawab.
“Bila awak berkelakuan pelik macam ni, saya ragu-ragu sama ada awak benar Lily Nadira atau pun jelmaan makhluk lain. Kalau awak tak nak saya tinggalkan awak sorang-sorang kat sini, baik awak cakap sesuatu.” Nizarif cuba bergurau.
 “Oh tak ada apa. Saya cuma rasa selesa dengan dunia saya kat sini.” jawab Lily.
Benar, di sini satu-satunya tempat dia dibiarkan hidup dengan dunianya sendiri. Tanpa gangguan sesiapa walaupun sekali-sekala fikiran tentang seseorang tak penting dan menyakitkan hati singgah.
Di sini, dia boleh melakukan sesuatu yang sangat disukainya walaupun di bawah tekanan seorang ketua perasan bagus seperti Nizarif.
Nizarif mengangguk.
Mereka berjalan beriringan menuju ke parkir kereta. Masing-masing senyap kembali, kematian idea untuk meneruskan bicara kerana momen ini sememangnya tak pernah wujud di antara Nizarif serta Lily.
Perbualan mereka sebelum ni terhad kepada hal berkaitan kerja yang mana melibatkan dia mengintimidasi wanita itu dengan kemarahan yang sengaja dibuat-buat dan Lily memberikan berjenis-jenis jawapan logik dan bernas.
 “Awak sedang melarikan diri daripada sesuatu. Sebab seingat saya, Lily Nadira gambarkan DesignHouse ni sebagai dunia orang bajet bagus yang tak bertimbang rasa.”
Jemari kanan Lily menekup mulut, matanya membulat kerana terkejut besar. Tak sangka perbualannya di dalam tandas bersama Sally tempoh hari sampai ke telinga Nizarif.
Opssiee!
Nizarif sekadar tersenyum.
“Pencerobohan privasi.” tutur wanita itu.
“A little birdie told me. Hrmm, awak sedang larikan diri daripada siapa?”
Lily menghela nafas.
“There’s no one answer to that question. The beast, the truth, the past.”
Kebuntuan sudah memikirkan langkah seterusnya sehingga dirasakan mengelakkan diri daripada berdepan dengan realiti lebih mudah. Namun, sampai bila dia harus melarikan diri?
Lily yakin ibu serta ayah masih lagi belum tahu tentang kepulangan lelaki itu. Kalau tak, pasti mereka juga akan risaukannya. Risau jika hatinya akan kembali remuk sedangkan mereka tak tahu, luka itu tak pernah sembuh.
Banyak hati yang perlu dijaga, terutamanya hati tunangan yang sentiasa sabar dan memahami. Jadi, kenapa harus perasaan Jay juga yang dibimbangkannya?
Nizarif menghentikan langkah.
“This is my stop.” ujarnya, menunjuk ke arah kereta Ford Fiesta biru metalik miliknya.
“Oh, okay. Jumpa esok.” balas Lily, acuh tak acuh.
Dia meneruskan langkah menuju ke keretanya yang hanya selang tiga petak daripada kereta bosnya itu.
“Lily Nadira.” panggil Nizarif.
Lily menoleh.
“Face the beast, tell the truth and the past doesn’t matter.”
Satu kata-kata yang membuat kekuatan Lily Nadira kembali bercambah. Tersenyum, dia mengangguk.
Tangannya mengeluarkan telefon bimbit daripada tas tangan dan mula menaip.
:hai J  I’m ready, let’s tell him

**************************************
Face the beast, tell the truth, and the past doesn't matter.

Ada seseorang berikan saya nasihat tu dan dia benar. 
Untuk itu, terima kasih. 
Nah, sudah diabadikan di sini, biar kekal selamanya~

Updated! Finally. Terima kasih nurulrezzan kerana mengingatkan hehe
Dan juga kepada Cik Soleh kesayangan yang selalu tinggalkan jejak di Disqus box kat bawah tu. 

Okay, komen dan kritikan amat dihargai.

Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti! 

Monday, December 16, 2013

Once Upon A Time 8


    
Aidil bersiul nyaring, menimbang kunci di tangan dengan penuh kebosanan. Perjalanan menuju ke keretanya yang sengaja diparkir di petak paling hujung dirasakan memakan masa terlalu lama. Haba panas yang mula membakar sebaik saja melangkah keluar daripada pasaraya tadi membuatkan badannya tambah melekit.
Sapu tangan daripada kocek belakang seluarnya dikeluarkan lalu mengelap peluh yang meleleh di dahi.
Satu hari yang cukup membazirkan. Lebih membazir daripada duduk di hadapan komputer dan bermain DotA sepanjang hari. Dia sendiri tak tahu apa yang patut dicapainya hari ni dengan belagak sebagai seorang penyiasat. Bakat yang baru disedari tak wujud di dalam dirinya. Kalau tak, masakan berkali-kali hampir ditangkap. Dia bersetuju untuk melakukan aktiviti tak berfaedah seperti ini pun kerana terhutang budi.
Sudahlah orang yang diekorinya sedari pagi boleh dikategorikan sebagai seorang yang ketika zaman sekolahnya dulu sebagai ‘Berbahaya’. ‘Berbahaya’ dalam konteks ini bukan bererti keganasan fizikal tapi lebih kepada pembulian mental.
Anak pengarah urusan sebuah syarikat telekomunikasi yang punya rangkaian perniagaan serta hotel serata Malaysia, siapa tak kenal…
“Kuzer Harmy?” jantungnya dirasakan berhenti berdegup di saat itu juga. Air liurnya tersekat dikerongkong.
Terasa semua mimpi buruknya ketika zaman persekolahan dulu menjadi nyata. Bertentang mata dengan pemenang tetap ‘Anugerah Pelajar Paling Teruk’, jika anugerah tersebut benar wujud, yang kini sedang bersandar santai di pintu keretanya.
Sekarang sungguh dia rasa tak selamat untuk memandu pulang.
“Aidil, my friend.” sapa Jay, ceria.
Lelaki itu mendekat lalu menariknya ke dalam pelukan yang hanya bertahan sesaat cuma. Aidil sedikit kaget, tidak tahu respons yang sesuai kerana sememangnya mereka tak pernah menjadi kawan, lebih kepada bahan ejekan adalah.
Dia merupakan salah seorang mangsa pembulian Jay yang sampai bila-bila pun takkan dilupakan. Balasan kerana dia melaporkan kepada cikgu tentang Zaed Akram, yang mana merupakan teman baik Jay, merokok di dalam kawasan sekolah. Satu pengajaran kepadanya supaya tak menyibuk hal orang lain.
Sejujurnya, Aidil sangat tidak menyukai Kuzer Harmy. Sejak pertama kali matanya terpandang lelaki itu ketika melangkah masuk ke sekolah, dia terus menyampah. Dengan perangai sombong serta perasan bagus, Jay tak sudah-sudah mencari masalah dan menyusahkan semua orang. Seolah status kewangannya yang mewah memberinya sepenuh kebenaran untuk melakukan apa-apa sesuka hati. 
Walaupun begitu, tak pernah sekali pun dia mendengar lelaki itu bermegah-megah dengan kesenangan yang dimiliki. Malah apabila difikirkan kembali, Jay tak pernah membuka cerita tentang keluarganya kepada sesiapa. Dia ke sekolah pun menumpang Zaed, tidak dihantar atau dijemput oleh pemandu keluarga seperti rakan-rakan Aidil yang lain. 
“Err… apa kau buat kat sini?” soal Aidil, menyembunyikan kegugupannya walaupun Jay kelihatan cukup tenang.
Namun begitu, Jay tak boleh dipercayai untuk tak mencuba apa-apa. Ketenangannya satu topeng kepalsuan cuma, untuk menutup apa saja idea jahat yang sedang dirancangkannya.
“Oh macam tu ke kau tegur kawan lama?” ujar Jay, seakan berkecil hati. Bibirnya mengukir senyuman sinis. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek jeans, benar-benar relaks.
Aidil rasa pakar sakit jiwa perlu mengheret lelaki ni masuk ke dalam sana dan mengkaji apa juga yang menjadikan dia seorang manusia yang terlalu mengjengkelkan, menyebalkan serta tak berhati perut. Otak seorang raksasa, bak kata rakan-rakannya dulu.
“Atau kau masih marah dengan apa aku buat dulu? Okay, aku minta maaf, Aidil. Aku tak patut malukan kau macam tu.”
Mata Aidil mengecil, cuba menilai keikhlasan lelaki itu.
‘Memalukan’ mungkin perkataan yang terlalu ringan memandangkan rasa serta insiden tersebut masih lagi kukuh di dalam ingatan, mengganggu tidur malamnya.
Kedengaran sedikit janggal dan tak kena tetapi dia dulu amat menyukai puisi serta mendeklamasikan sajak namun tak pernah terpilih untuk mewakili sekolah dan sebab utamanya mungkin kerana dia langsung tak berbakat. Satu sekolah tahu tu tapi hanya dia terlalu tuli untuk menyedarinya.
Suatu hari yang malang sebelum sekolah berakhir, dia mendapat surat kebenaran untuk diserahkan kepada waris bagi menyertai pertandingan deklamasi sajak sebagai peserta kedua yang kononnya dikirimkan kepadanya oleh Cikgu Nurizan melalui Lily Nadira. Pertandingan yang Aidil tahu dengan sepenuh keyakinan akan berlangsung keesokannya kerana dia merupakan salah seorang peserta yang gagal dalam proses pemilihan tiga minggu 8 itu.
Masih lagi dia ingat, Lily Nadira dengan senyuman manisnya memberitahu Cikgu Nurizan berpesan supaya dia berpakaian lengkap baju melayu dan menunggunya di bilik guru. Kerana kegembiraan yang teramat, dia lupa terus yang Lily turut tak boleh dipercayai sama seperti Jay. Teringat juga dia untuk memastikan sendiri dengan Cikgu Nurizan tapi Lily berjaya mematikan niatnya dengan memberitahu Cikgu Nurizan sudah pulang.
Dipendekkan cerita, keesokannya dengan berbaju melayu lengkap bersampin dan tanjak ditangan, dia menunggu seperti orang bodoh di hadapan bilik guru sehinggalah Cikgu Nurizan menghampiri bersama seorang lagi peserta yang hanya berbaju sekolah biasa, kehairanan.
Selepas tu, semuanya terbongkar dan dia terpaksa meneruskan pembelajaran di dalam kelas seperti biasa dengan pakaian ala-ala pahlawan melayu lama dan rasa malu yang usah dicerita lagilah. Menjadi bahan ketawa Jay dan satu sekolah berhari-hari lamanya sehingga melangkah ke sekolah dirasakan seperti satu penyeksaan.
Keyakinannya kemudian merudum jatuh dan tak ada apa lagi yang dibencinya selain daripada puisi, sajak serta Kuzer Harmy. Menjelaskan sekarang kenapa dia lebih selesa mengadap komputer daripada berinteraksi dengan manusia lain.
“Okay, tapi kau nak apa?” Aidil bertanya.
“Kau yang ikut aku, jadi aku yang patut tanya kau soalan tu. Apa kau nak, hrmm?” soal Jay.
Uh oh!
“Mana ada. Aku ke sini nak beli barang-barang sikit.” dalih Aidil.
“Ahaa melainkan barang-barang yang kau beli tu halimunan, aku rasa baik kau beritahu aku perkara sebenar. Kenapa kau ikut aku sedari pagi tadi?” kali ni suara Jay lebih serius.
Kepala Aidil yang tak gatal digaru, berbelah bagi di antara terus berbohong atau pun menceritakan hal sebenar. Tapi dia sudah berjanji untuk menyimpan rahsia.
“Mana kau tahu aku ikut kau? Mungkin kebetulan je aku ada kat sini.”
Jay menggelengkan kepalanya, tersenyum sinis.
Aidil sedang melindungi seseorang dan Jay mahukan jawapan segera. Usaha lelaki gempal itu untuk melengahkan masa memang sangat tak dihargai.
“Kau tahu, ada seorang bijaksana beritahu aku yang dengan Kuzer Harmy, tak wujud sebarang kebetulan. Terus-terang aku katakan masa mula aku nampak kau siang sebelum ni, aku sungguh tak kenal. Kemudian dalam pasaraya tadi bila aku tengok topi besbal dan t-shirt yang kau pakai ni, otak aku baru ingat satu nama.” dia diam sebentar, sengaja mahu membuatkan Aidil tambah tak senang.
 “Aidil Marwan, from poetry to nerdy.” satu barisan ayat yang sering digunakannya di sekolah dulu untuk mengusik Aidil. Semuanya kerana minat lelaki itu berubah 360 darjah daripada seorang lelaki berjiwa lembut yang meminati puisi kepada permainan video dan komputer.
“Aku suka t-shirt ni. Aku ada lima helai lagi t-shirt sama kat rumah.” Aidil mempertahankan.
Hampir terlopong Jay mendengar. Lelaki itu dipandangnya dengan riak tak percaya.
Lelaki ni bercakap tentang t-shirt? Sungguh? Uh, tolonglah!
Dia menarik nafas dengan kasar, memaksa diri untuk terus bersabar.
 “Aidil, kalau kau nak pakai t-shirt yang sama sejak zaman sekolah dulu, pakai saja. Cara kau menguruskan penampilan kau tak menarik minat aku. Apa yang aku nak tahu sekarang ialah kenapa kau ikut aku?” tegas Jay.
“Jay, aku… Aku buat apa yang dia suruh je.”
Jay mengerutkan dahi. Wajahnya yang sedari tadi tenang mula bertukar tegang.
“Siapa?”
“Dia... dia yang suruh aku ikut kau.”
“Siapa?!” suara Jay meninggi, mula kurang sabar.
Wajah serba salah Aidil direnung tanpa berkedip.
“Ed.”



****************************************************************

Cliffhanger, yes! Baik untuk kesihatan.
Ed, Ed... didn't anyone tell you not to mess with the beast?
Especially the one that's trying so hard to redeem himself?

Apa kau buat ni, Ed? Not good, not good.


Kritikan dan komen amat dihargai.
Terima kasih daun keladi buat semua. ^^

Jumpa lagi nanti~

Tuesday, November 26, 2013

Once Upon A Time 7


Lily tersenyum puas. Hari yang berjalan dengan lancar dan boleh dikatakan, satu pencapaian membanggakan. Sehingga Nizarif yang lokek dengan senyum itu pun terpaksa menyerah kalah dan menghadiahkan kata-kata pujian yang tambah membuat hatinya berbunga.
Sedari semalam lagi Lily tak berhenti membuat persiapan untuk perjumpaannya dengan Datin Hana pada pukul 2 petang tadi. Perjumpaan yang turut disertai oleh encik bos, Nizarif, sesungguhnya membuatkan Lily cuak dan risau. Dengan hanya dua jam tidur dan memandu ke ofis bagaikan zombie, mujurlah dia tak melakukan perkara-perkara bodoh yang tentu saja akan memalukan dirinya lalu menjejaskan kredibiliti DesignHouse.
Jikalau dulu dia menyangkakan kerjaya sebagai pereka dalaman sesuatu yang mudah dan glamor seperti selalu ditonton di televisyen tapi kini, ternyata sangkaannya itu sedikit tersasar. Terdapat skop yang lebih besar tentang kerjaya pilihannya ini dan yang tentu, ia tidak hanya berkisar kepada memilih warna cat yang sesuai untuk bilik atau pun memastikan susun atur perabot kena dengan ruang.
Menjadi pereka dalaman sebenarnya lebih memerlukan skil sosial serta negotiasi di samping kesabaran tinggi kerana semua urusan kerja melibatkan pihak lain seperti pembekal dan klien. Ianya bukan sekadar membenarkan kreativiti bekerja tetapi juga menguruskan setiap perincian bagi memastikan progres projek berjalan lancar supaya memberikan hasil terbaik dan 99% sempurna.
Dan tadi, syukur perjumpaan mereka berjalan dengan baik.
Pemilihan warna serta fabrik yang dirasakan sesuai untuk ruang tamu tersebut sudah dibuat. Walaupun Datin Hana tak suka dengan perabot-perabot yang dicadangkan oleh Lily daripada bilik pameran DesignHouse tapi wanita itu tertarik dengan kerusi dan beberapa lagi aksesori daripada dalam katalog yang diunjukkan kepadanya. Manakala untuk skim warna pula, mereka bersetuju untuk memberi penekanan utama kepada lampu meja eksklusif serta kusyen.
Namun, kerja masih belum selesai. Banyak yang perlu dilakukan lagi seperti mencadangkan beberapa dekorasi tambahan untuk melengkapkan ruang tamu tersebut dan setelah  menghabiskan hampir dua jam bersama Datin Hana, Lily rasa dia lebih memahami citarasa wanita itu.
InsyaAllah, kalau tak ada aral, pesanan boleh dibuat minggu ini juga.
Sebuah kejayaan kecil yang diraikan oleh Lily dengan mengunjungi pasaraya sebaik saja selesai tugasan di ofis untuk membeli barang keperluan harian kiriman ibu dan juga beberapa barangan lain untuk dirinya sendiri.
Membuat nota mental untuk membelek beberapa brosur yang dibawa pulang daripada pejabat, tangan Lily pantas mencapai sebungkus biskut lalu dimasukkan ke dalam troli.
Hrmm, mungkin juga dia boleh mendapatkan inspirasi daripada sumber-sumber di Internet.
“Lily Nadira sebagai pembantu di DesignHouse. Macam tak percaya.” suara garau tersebut membuatkan seluruh urat di dalam tubuh Lily tegang.
Dia mengetap bibir.
Sepatutnya dia tahu sebaik saja lelaki ini kembali, hidupnya takkan sama lagi. Selamat tinggal hidup yang aman dan bebas gangguan.
“Kalau aku kenal Lily yang dulu, dia bukan jenis yang suka menerima arahan apatah lagi bekerja di bawah orang.” Jay menghentikan langkahnya bersebelahan Lily dengan senyuman sinis yang sememangnya menjadi tanda pengenalan buat lelaki itu.
“Junior designer.” Lily membetulkan, kembali menolak troli dengan hati yang bengkak.
Jay menuruti langkahnya.
“Apa kau buat kat sini?” soal Lily.
“Kebetulan.” jawab Jay sepatah.
Lily tergelak.
“Hah, ‘kebetulan’ Kuzer Harmy tak boleh pakai.”
“Tepat sekali, jadi kenapa kau tanya lagi?” ringan saja tangan Jay memasukkan beberapa bungkus makanan ringan ke dalam troli, tidak mengendahkan jegilan Lily. Sengaja mahu menyakat.
‘Perjumpaan’nya hari ini tidak berjalan seperti yang diharapkan. Beberapa orang daripada mereka berpura-pura tak mengingatinya manakala beberapa orang lagi enggan membuka mulut langsung untuk berbicara tentang Lily yang mana Jay pasti mempunyai kaitan dengan satu lagi tindakan bodohnya bertahun-tahun lalu.
Harus diakui dulu dia memang terkenal dengan sikap protektif serta cemburu buta terutama sekali apabila ianya berkaitan dengan Cik Lily Nadira. Jadi, untuk memastikan Lily kekal bersamanya serta bebas daripada gangguan sesiapa pun, perkara yang mampu difikirkan ketika itu ialah dengan menghalang kawan-kawan lain daripada bercakap atau pun menghampiri Lily. Dan berdasarkan reputasi serta darjah kegilaannya dulu, tentu saja tak ada yang berani mempertikaikan arahan bodoh tersebut.  
Nampaknya sehingga sekarang ‘peraturan’ tersebut masih diguna pakai.
“Dah tukar profesion jadi paparazzi pula, mengendap aku sampai ke sini?”
“Orang normal mungkin akan nafikan tu tapi…”
“Kau tak normal.” pintas Lily dengan geram.
“Ha-ha exactly. Aku takkan cuba nafikan benda yang terang-terangan benar. Sungguh, aku ikut kau ke sini tapi hanya sebab aku teringin nak jumpa dengan tunang kau. Dan amat aku hargai kalau tunang kau bukan lelaki sama yang kerja dekat DesignHouse tu. Kita berdua tahu citarasa kau terhadap lelaki sedikit…hrmm… pelik?” Jay menduga.
Daripada pemerhatiannya hari ini, memang benar kata Ed. Lily Nadira sudah berubah. Menjadi sesuatu yang sungguh berbeza daripada seorang gadis yang terkenal dengan sikap memberontak serta penuh dengan helah. Satu evolusi membanggakan bagi Jay, paduan sebuah kematangan dan pengalaman.
Matanya dibiarkan jatuh kepada Lily yang nampak terlalu berminat membaca label di belakang paket M&M. Satu usaha untuk tidak mengendahkan kewujudannya di sebelah tentunya.
Wanita itu mengenakan sut paduan hitam merah yang dipadankan bersama sepasang kasut tumit tinggi dua inci, melengkapkan penampilan semi formalnya. Rambut panjang Lily dibiarkan bebas, dihiasi ringkas dengan hanya dua sepit yang juga berwarna merah. Walaupun sekadar bermekap tipis, wanita itu tetap kelihatan cantik, manis. Lambang utuh sebuah keyakinan dan kekuatan yang tak pernah gagal buat Jay kagum.
“Kau, Encik Kuzer Harmy, adalah bukti jelas betapa teruknya citarasa aku dulu.” ujar Lily, kali ini nadanya mencabar. Langkahnya dihentikan sebelum berpaling dan memandang terus ke wajah lelaki itu dengan satu senyuman yakin.
“Bukan macam sesetengah orang, aku cepat belajar daripada kesilapan. Terutama sekali kesilapan besar macam kau.” jari telunjuknya menunjal badan lelaki itu.
“Ah!” Jay ketawa, meletakkan kedua belah tangannya ke dada seperti benar dalam kesakitan.
Sungguh, kalau perkataan mampu menghancurkan Jay, kata-kata Lily tadi tanpa ragu akan menukarkannya kepada debu-debu kecil yang berterbangan di udara. Tapi untuk seseorang yang sering dipanggil ke bilik guru disiplin serta guru kaunseling, dia sudah imun dengan apa juga bentuk penghinaan sama ada secara halus atau terus.
“Aku anggap tu sebagai cara tak langsung kau memuji aku. Lily, kau tahu kata-kata kau tak ada kesan ke atas aku, jadi tak perlu mencuba. Nonetheless, I’m a changed man now and I came in peace. Cuba berlaku baik dan berhenti berprasangka, boleh?” ketika itu matanya dan mata seorang lelaki bertopi besbal bertentangan. Lantas mengingatkan Jay kepada seseorang yang dikenalinya. Sebelum sempat Jay bereaksi, begitu mudah pula lelaki itu menghilangkan diri di sebalik sebuah keluarga yang nampak serius membincangkan menu makan malam mereka pada hari ini.
Dahinya berkerut.
Hrmm, pelik!
Lambat-lambat mereka berdua menuju ke bahagian yang menempatkan serbuk pencuci serta pelembut pakaian. Lily mengambil sebotol pelembut, membelek beberapa ketika lalu diletakkan semula ke tempatnya.
Riaknya tegang seakan botol pelembut tak bersalah itu sungguh menyakitkan hatinya.
Lucu sebenarnya barisan ayat Jay tadi. Kalau benar lelaki ini dah berubah, dia takkan mengekori Lily sedari pagi mahu pun ada di sini bersamanya menyibuk di dalam hal yang sedikit pun tak penting.
“Kau tahu kenapa kau tak boleh rasa apa-apa, Jay?”
Jay sekadar mengangkat bahu. Dia tak berminat untuk menjawab atau mendengar jawapan kepada soalan tersebut kerana fikirannya kini tertumpu kepada satu perkara yang lebih menarik.
Otaknya sedang ligat bekerja, mencari kembali informasi walau secebis tentang lelaki tadi yang mungkin wujud di dalam kotak memorinya.
Sejak daripada melangkah keluar daripada hotel, dia rasa seolah sedang diperhatikan. Pada mulanya dia memilih untuk mengabaikan perasaan tersebut tetapi apabila matanya asyik mendarat pada kenderaan serta lelaki yang sama di sepanjang hentiannya hari ini, dia tahu ada sesuatu tak kena.
Sekarang, dia seratus peratus pasti. Lelaki tersebut merupakan orang yang sama dia jumpa siang tadi ketika sesi interogasinya dengan Amzar, Feroz, Marzuki dan juga Badrul. Dan apabila ada orang yang sanggup bersusah-payah mengikutnya sehingga ke pasaraya lewat petang begini, usaha tersebut bagi Jay harus dihargai.
“You’re an emotionally crippled beast.”
Suara Lily mengganggu konsentrasinya berfikir. Entah bagaimana dia boleh terlupa dengan kewujudan wanita itu bersamanya.
“Uh.” itu saja respon Jay.
Lily memandang Jay dengan hairan.
Hairan kerana untuk pertama kalinya respon yang keluar daripada mulut lelaki itu hanya satu perkataan. Bukan perkara biasa untuk juara bahas tak rasmi seperti Jay. Namun baik menurut Lily kerana dia sendiri sudah penat nak bertekak. Dia mahu segera pulang ke rumah tapi keberadaan Jay di sini hanya melambatkan pergerakannya.
“Jay, aku dah tak larat nak bertekak dengan kau hari ni. It has been a long day in the office and …”
“Okay, bagus! Kita sambung bertekak esok sebab sekarang aku pun ada hal perlu diselesaikan. It’s a date.” laju saja Jay memotong. Mengenyitkan mata, lelaki itu segera bergerak meninggalkannya terpinga-pinga sendirian.
Lily membeku di situ.
Apa yang baru saja berlaku? Kuzer Harmy menyerah kalah dengan mudah dan berkelakuan pelik. Walaupun definisi ‘pelik’ dalam konteks Jay itu sebenarnya ‘normal’.
Dan sambung bertekak esok… Oh tolonglah! Tentu saja dia tak mahu berjumpa dengan lelaki itu, bukan saja esok tapi sampai bila-bila. Ditambah pula dengan usaha Jay untuk mencari tahu siapa gerangan tunangannya, lagilah Lily mahu cuba menjauhkan diri.
Lily tahu dia tak mungkin dapat menyembunyikan hal tersebut lebih lama lagi daripada pengetahuan Jay tapi dia sangat memerlukan lebih waktu untuk bersedia. Waktu untuk memastikan sendiri tahap kestabilan emosi lelaki itu dan kebolehannya menerima berita tersebut tanpa melakukan sesuatu yang bodoh.
Kalau benar seperti Jay katakan tadi yang dia sudah berubah, mungkin penerimaannya nanti bakal lebih baik daripada apa yang selalu Lily bayangkan di dalam kepala berulang kali.
Tapi kenapa dia perlu peduli dengan perasaan Jay? Lelaki tu tak ada kaitan langsung dengannya dan dia boleh berkawan dengan sesiapa saja dia suka.

Perbuatan Jay dulu tak boleh dimaafkan dan keadaan takkan kembali seperti dulu. Itu muktamad!! 

Saturday, October 19, 2013

Once Upon A Time 6


Matahari yang masih terlindung di sebalik awan mula mewarnai alam dengan serakan cahayanya, menandakan permulaan kepada satu lagi hari baru. Burung-burung sudah dahulu bangun menceriakan sekeliling dengan kicauan tanpa henti, mencipta satu kedamaian yang terlalu dekat dengan jiwa.
Rata-rata orang sedang sibuk bersiap sama ada untuk ke tempat kerja mencari rezeki atau pun ke sekolah menuntut ilmu. Semua tak terlepas daripada tanggungjawab yang menjanjikan sebuah kehidupan yang lebih baik.
Bagi Maira Sheila, dia lebih selesa menjadi seorang surirumah sepenuh masa. Mendedikasikan seluruh harinya kepada dua orang anak serta suami tercinta. Selama sembilan tahun dia menguruskan keluarga di rumah, tak pernah sekali pun dia menyesal kerana meninggalkan kerjayanya meskipun papa serta mama keras tak bersetuju.
Walaupun dia tak pernah mengutarakannya tapi Sheila sebenarnya tak mahu menjadi sesuatu seperti ibunya. Sentiasa sibuk mengejar dunia kerjaya sehingga mengabaikan keluarga. Seawal usia lima tahun lagi dia sudah belajar menjaga diri sendiri serta adik-adiknya. Berkongsi cerita dengan pembantu rumah yang bertukar ganti daripada kedua ibu bapa yang sepatutnya sentiasa di sisi.
Sheila menuang kopi yang masih berasap ke dalam cawan suaminya. Matanya dilirik ke arah si kembar yang sedang mengunyah roti bakar, berbisik sesama mereka dan kemudian tertawa.
“Terima kasih.” ucap Umar yang kini turut tertarik dengan gelagat kedua anak mereka. Dia memandang Sheila tapi isterinya sekadar mengangkat bahu.
“Apa senyum-senyum ni?” Umar bertanya.
Si kembar tersebut saling berpandangan, berkongsi satu sengihan nakal lalu menggeleng. Gelengan yang Umar serta Sheila sendiri tahu bermakna ‘sesuatu’ bukan ‘tak ada apa-apa’.
“Saya dengar adik awak dah balik.” tumpuan Umar beralih semula kepada Sheila yang baru duduk di sisi.
Sheila mengerutkan dahi.
“Baru semalam Angah beritahu dia balik sini minggu depan. Hrmm ada perubahan jaduallah tu.”
“Bukan adik awak yang itu lah. The infamous Kuzer Harmy.”
Hampir tersedak Sheila mendengar nama itu disebut. Cepat-cepat dia mengambil tisu lalu mengelap mulut.
Adik lelakinya yang tak pernah peduli untuk membalas e-mel mahu pun panggilan telefonnya. Memilih untuk mendiamkan diri sepenuhnya seolah kalau mungkin, memutuskan semua yang menghubungkan dia dengan kehidupannya di sini.
Kalau sudah setekad itu, kenapa pulang sekarang?
Meskipun mama melarang tapi Sheila tak pernah berputus asa untuk memujuk Jay supaya kembali ke sini. Satu usaha yang sia-sia tapi sekurang-kurangnya dia mahu adiknya itu tahu yang dia tak pernah bersendirian dan ada orang yang menyayanginya selalu.
Dan walaupun Jay dulunya tak pernah berhenti menyusahkan hidup Umar, tak sudah-sudah mencipta masalah di antara mereka, tapi Sheila yakin Jay mampu menjadi seseorang yang lebih baik.
“Took him long enough. Mana abang tahu?”
Umar menyudukan nasi goreng ke dalam mulut, mengunyah beberapa ketika. Sengaja pula membiarkan isterinya itu tertanya-tanya sendiri.
“Abah beritahu semalam. Dia tinggal kat hotel.”
“Kenapa dia tak balik rumah saja? Pelik-pelik sungguh budak tu.”
“Duit banyak sangat kot sampai tak tahu nak buat apa. Oh he’s staying at a competitor’s hotel, I might add.” untuk itu, satu tamparan hinggap ke lengannya.
Umar sekadar tersengih.
“Hari ni biar saya hantar budak-budak ke sekolah. Hafiz, Haikal, salam mama. Jom, nanti jalan sesak.” air kopinya diteguk untuk terakhir kali sebelum bergerak ke pintu.
Sheila membontoti daripada belakang, melayani karenah anak-anaknya yang kini riuh mengira duit belanja mereka.
“Jangan lupa bekal ni.” ujarnya, membuatkan si kembar menarik muka masam. Sudah diagak helah mereka berdua. Memang berpura-pura terlupa mengambil bekalan tersebut daripada atas meja.
“Bawa bekal untuk budak perempuan la, mama.” komen Haikal.
Sheila bercekak pinggang memandang Umar yang sedang berdiri di sebelah kereta, tersenyum geli hati.
Baru tujuh tahun dah banyak songeh. Haish la anak-anak…


Aroma kafein yang menyelerakan menghiasi ruang udara, memaksa Jay membuka mata. Bunyi bising daripada arah dapur kali ni menghalang niatnya untuk menyambung semula tidur.
Jam di tangan dilirik sekali.
Uh! Dia mengeluh malas.
Dengan tubuh yang masih selesa dibaluti selimut, dia bangun, mencapai telefon bimbitnya dan mengheret kaki menuju ke dapur. Menggosok-gosok matanya, Jay terpaku seketika di muka pintu, cuba mencerna pemandangan asing di depannya itu.
Zaed Akram kini segak dengan slack hitam serta kemeja jalur putih merah jambu yang dipadankan bersama ves dan lengkap bertali leher sedang menyiapkan sarapan pagi. Bercakap tentang etika pemakaian ketika menyediakan makanan dan Ed baru saja lulus dengan cemerlangnya.
Jay menekup mulut menahan tawa sebaliknya menggantikan dengan batuk kecil.
“Terima kasih sebab benarkan aku tumpang sofa kau. Terima kasih juga sebab selimutkan aku semalam. Your sweetness touch my heart.” ujar Jay. Tangannya diletakkan ke dada dengan riak yang sengaja dituluskan seolah dia benar memaksudkan kata-katanya tadi.
Ed menoleh. Keningnya bertaut.
“Kenapa kalau kau cakap apa-apa mesti ada unsur sarkasme kat situ?” balas Ed, mengisyaratkan kepada Jay supaya duduk. Dia meletakkan sebiji mug di atas kaunter bersama tiga bungkus nasi lemak.
“Dan kenapa kalau aku cakap sesuatu kau selalu anggap aku sarkastik?” dengan malas, Jay menarik kerusi lalu duduk. Mukanya disembamkan ke atas meja kaunter.
Awal betul hari si Ed ni bermula, sama seperti hari-hari mama dan abah. Mengingatkannya terus kepada hari persekolahan yang sungguh membosankan.
“Lepas ni apa pula? Kau nak ajak aku tidur sekatil dengan kau?” soal Jay, nakal.
“Tengok! Aku dah agak kau memang nak main-mainkan aku. Grow up, Jay.”
Berderai tawa Jay melihat muka bengang Ed kerana dipermain-mainkan.
Sensitif sungguh kawannya di pagi indah begini. Dihantui mimpi ngeri atau pun tersalah tidur semalam?
Menuang nescafe ke dalam mug, Jay sekali lagi membelek telefon bimbitnya.
“Apa rancangan kau hari ni?” soal Ed, kembali duduk di kerusi yang dikosongkannya sebentar tadi. 
Jay mengangkat muka, tersengih.
“Balik hotel, sambung tidur.  Kemudian, ada beberapa kawan lama yang aku nak jumpa.”
Ed mengecilkan mata, tidak sedikit pun percaya dengan pembohongan jelas Jay itu. Dia tahu Jay ada rencana lain dan pastinya berkaitan dengan perbincangan menyakitkan kepala mereka semalam.
Beberapa saat sebelum niat sebenar Jay mula mengambil tempat di dalam benaknya.
Wajah Ed berubah.
Kali ni, memang dia tak bersetuju langsung dengan pelan tak masuk akal begitu.
Apa otak Jay tak pernah berehat ke? Dan kenapa semua idea yang wujud di dalam kepala lelaki itu semuanya tak normal?
“Kau rasa tunang Lily tu salah seorang daripada kawan kita dan jangan beritahu aku yang kau nak jumpa mereka semata-mata nak mengeratkan silaturrahim. Gosh, kau masih lagi menakutkan.”
“I have a few suspects in mind.” balas Jay dengan selamba, tidak peduli dengan respons tak bersetuju kawannya.
Air nescafe yang sedang diteguk Ed terus naik ke hidung, tersedak lelaki itu.
Suspek?! Apa ni, drama televisyen Castle? Semakin parah pula kegilaan Kuzer Harmy.
“Satu perkataan, gila. Aku tak faham kenapa kau peduli sangat siapa tunang Lily. Dia tak peduli pun tentang kau. You’ve basically downgraded yourself to stalker level and I tell you my friend, that is not healthy.”
Jay tersenyum, memusing-musingkan telefon bimbitnya dengan jari dan apabila tangan Ed menarik telefon bimbit tersebut barulah dia kembali mengangkat muka.
“Kau buat semua ni sebab kau nak Lily balik, kan? Kau masih sayangkan dia dan tengok dia bahagia tanpa kau buat hati kau tak senang. Betul?” tebak Ed.
Soalan yang baik dan sayangnya Jay tak punya jawapan yang pasti. Ya, perasaannya kepada Lily masih sama, tak guna dinafikan kerana itu kebenarannya.
Tujuan serta tindakannya kini bertindih sehingga dia turut keliru. Lily sebahagian daripada masa lalu yang cuba dilepaskannya kerana dia mahu bebas dan tenang seperti masa-masanya di Auckland bersama Ermeelia. Jadi bukankah sepatutnya dia senang jika Lily sudah mempunyai hidup baru yang lebih gembira dan mudah?
Lily ada pilihan lain, dan pilihan membahagiakan itu bukan Kuzer Harmy. Bermakna dia sudah boleh melepaskan wanita itu pergi dengan sepenuh hati dan ikhlas. Semudah itu juga dia dapat membuka buku baru dan membina jalan cerita berbeza.
Masalahnya di sini ialah, keikhlasan untuk melepaskan Lily pergi tu terlalu palsu untuk disimpan atau dinilai.
Jadi, apa sebenarnya dia nak?
Dengan berhati-hati Jay cuba menyusun jawapan supaya Zaed tidak menyedari konflik yang sedang dihadapinya. Manusia bermoral tinggi seperti temannya itu pasti takkan melepaskan peluang untuk membentangkan hujah umpama peguam di mahkamah tentang bagaimana dia hanya mementingkan diri sendiri dan tak punya pendirian.
Bla bla bla… Dia dah dengar macam-macam dan semuanya sama.
Bukan salah dia kalau dia tak mampu nak memikirkan tentang manusia lain yang tentu sekali tak pernah peduli tentangnya kecualilah di masa dia jatuh tersungkur atau pun… ditahan dilokap.
“Aku peduli sebab Lily tak nak aku tahu. Bermakna dia sedang sembunyikan sesuatu daripada aku dan aku tak suka rahsia. With Lily, there’s always a catch.”
“What catch?! Semua tu dalam kepala kau saja. Lily dah berubah, bukan macam dulu lagi. Dia dah bahagia dengan hidup dia, Jay. Kenapa kau tak boleh nak faham tu?”
Jay merenung Ed, lama.
Ada sesuatu yang semenjak semalam lagi dirasakan tidak kena tentang sahabatnya yang satu ini dan kini, dia rasa dia tahu apa.
“Untuk seseorang yang cakap dah lama tak jumpa Lily, kau seperti tahu banyak perkara tentang dia.”
Membetulkan duduknya, Ed mengeluh.
Kalau ketika ini dia ditawar untuk menggunakan talian hayat demi menyelamatkan diri, tentu saja Ed akan menggunakannya. Tak ada yang lebih menakutkan daripada interogasi Kuzer Harmy yang tak mengenal erti penat.
Kedua belah tangannya diangkat umpama menyerah kalah.
“Okay, aku tipu kau. Aku memang ada jumpa dia. Rumah aku yang kau cakap cantik ni, semuanya idea Lily. Dia kerja kat DesignHouse sekarang.”
Mata Jay bersinar dan Ed tidak dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.
“Jadi, kau sebenarnya tahu siapa tunang Lily?”
Ughh! Itu juga soalan yang diajukannya.
Jay memang takkan menyerah kalah. Jalan terbaik untuk mengelak daripada menjawab soalannya adalah dengan melarikan diri. Mungkin kini dia pula yang patut menghilang, menggantikan tempat Jay.
Ed menilik jam tangannya lantas bangun. Mugnya diletakkan ke dalam sinki.
“Aku dah nak gerak. Unlike the stalker that you’ve become, I have a job to keep, a business to run. Ni kunci rumah untuk kau simpan. Amaran keras, jangan cuba nak jual apa saja yang ada dalam rumah ni.” guraunya.
“Mengelak daripada menjawab. Taktik lapuk tapi okay, aku terima.” Jay berkata.
Ketawanya dan Ed bergabung.

“Oh ya, sebelum kau mulakan apa saja misi menyiasat kau tu, mandi dulu. You stink.” 


*****************************************************
Assalamualaikum & hello ^^
Presenting... Bab 6.
Tak banyak progres but hopefully this would do. 
Still on my two favourite characters; Jay & Ed. 

So, kelas akan mula Isnin ni. 
Update will be... almost to none :P 

Basically, I've finished writing Phase 1 for Once Upon A Time. There are 6 phases altogether. 

Kepada yang sudi singgah, baca dan komen, terima kasih. I love you guys to bits and pieces. 


Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti~