“Zarith.” dia
separuh berlari ke arahku. Wajah putihnya kemerah-merahan dan terdapat jaluran
air mata yang menghiasi pipi gebu itu.
Dia sangat
cantik! Terlalu cantik sehingga aku tidak dapat mempercayai yang dia sudah
mempunyai anak dan kerana kecantikan itu jugalah aku kaku umpama mannequin di pasaraya. Rambutnya yang
melepasi bahu itu ditutupi selendang jarang berwarna ungu. Lesung pipit yang
menambahkan kemanisan wajahnya jelas setiap kali bibir yang cantik terukir itu
bergerak.
“Kakak.”
panggilan Ina menyedarkan aku yang sedari tadi merenung perempuan cantik itu
walaupun dia kini sudah berdiri tegak di hadapanku. Serta-merta aku rasakan
wajahku bertukar panas.
“Ah, ya! Maaf.”
aku berkata, menyerahkan semula Zarith kepadanya.
Lantas pipi
milik anak itu diucupnya berkali-kali, menunjukkan betapa dia mengasihi anaknya
itu.
“Terima kasih
sebab tolong jagakan dia. Saya risau sungguh. Ya Tuhan, hampir gila dibuatnya.”
dia berkata dengan satu senyuman kelegaan.
Jikalau aku
sahaja terpegun melihatnya, kaum lelaki apatah lagi. Mungkin kerana itu di usia
yang muda dia sudah disambar. Teringin pula aku untuk melihat reaksi Ehsan
sekiranya melihat wanita ini. Apa masih beku atau pun cair seperti lilin yang
dibakar?
Anaknya juga
sangat comel. Alisnya lentik, hidungnya mancung, pipi gebunya yang montok dan
sekali pandang, Zarith kelihatan seakan anak kacukan. Tentu sahaja kerana
mamanya sendiri seperti cewek bule.
“Mention
not. Mereka berdua yang jumpa dia.” aku membalas senyumannya, menunjuk ke
arah Ina serta rakannya.
“Terima kasih
kepada semua sekali.” wanita itu ketawa, menampakkan barisan giginya yang
tersusun rapi.
Terlalu
cantik...
Aku hanya
mengangguk.
Setelah beberapa
minit berlalu tanpa sebarang bicara, aku mengangguk sekali lagi dan mula
mengatur langkah kembali ke dalam kedai. Sebagaimana aku asyik merenung
dirinya, begitu jugalah dia merenung aku tadi sehingga membuatkan aku tidak
selesa. Seperti membalas dendam pula lagaknya.
“Tunggu! Saya Nahda.” tangan kanannya
dihulurkan manakala mata galaknya di arahkan tepat kepada aku..
Sunglasses
aku tanggalkan lalu memasukkannya ke
dalam tas tangan sebelum membalas
huluran itu. Dia menggenggam erat tanganku, matanya masih meneliti aku daripada
hujung kaki sehingga ke hujung rambut.
Malu pula dengan
keadaan diri aku yang cukup simple dihiasi
pula dengan sepasang mata panda dek kerana tidur yang tidak cukup.
“Fitri.” aku memperkenalkan diri.
Tiba-tiba sahaja
wajah cantik itu bertukar serius, mengangguk penuh yakin seolah dia benar sudah
mengenali aku. Perubahannya itu membuatkan aku tertanya-tanya sendiri.
“Saya tahu.”
“Hah?!” kaget
sebentar aku dengan kata-katanya yang tidak langsung ku duga itu.
“No, no...Maksud
saya cantik nama tu. Sesuai dengan awak.”dia ketawa, cuba menyembunyikan
kegugupan di atas ketelanjuran kata-katanya sebentar tadi.
Hrmm aku tak
rasa aku salah dengar tapi entahlah, di dalam kepenatan begini,aku sudah tidak
pasti lagi apa yang benar apa yang tidak. Perlahan-lahan aku memicit dahi yang
mula berdenyut. Cahaya lampu yang berwarna putih mencucuk-cucuk mataku lalu sunglasses aku sarungkan semula.
“Dan ini hero
saya, Zarith Ariffin.” Zarith ketawa terkekeh-kekeh mempamerkan dua batang gigi
arnabnya apabila diagah Nahda.
Hati aku sedikit
berbunga dan cemburu melihat aksi dua beranak ini. Bilalah agaknya aku boleh
mengagah anak sendiri? Ah, dengan kisah hidup aku yang masih bercelaru, lambat
lagilah rasanya!
Bersabarlah
wahai hati.
“Nice meeting you Nahda, Zarith. Saya
minta diri dulu. Jaga baby elok-elok,
jangan sampai hilang lagi.” gurauku. Pipi montel Zarith aku cuit.
“Err Fitri...Sebagai tanda terima kasih, saya
belanja awak minum?” laju sahaja dia berkata seperti bimbang aku akan
meninggalkan mereka berdua tanpa sempat dia menyatakan hasratnya itu. Matanya
penuh mengharap tetapi sesungguhnya aku penat dan tiada lain yang aku mahu
selain daripada pulang ke rumah dan berehat. Sebelah petangnya pula aku
terpaksa ke pejabat dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Jadi tidak mungkinlah
untuk aku menerima pelawaannya itu.
“Saya sebenarnya...” aku terhenti, cuba
memikirkan cara yang baik untuk menolak. Wajahnya aku pandang.
“Please.” tuturnya lembut.
Mampukah aku
untuk mengharungi hari ini tanpa tidur? Sekiranya aku ke pejabat, entah pukul
berapa baru aku pulang ke rumah. Esoknya pula aku masih perlu bekerja.
Teragak-agak sebentar aku untuk menyambung kata. Riak Nahda yang begitu polos
dan penuh pengharapan itu tidak membantu aku untuk membuat sebarang keputusan.
Zarith mula
merengek kebosanan, memberi sedikit masalah kepada Nahda untuk mendukungnya.
Aku perlu membuat keputusan segera, segan pula membuat orang ternanti-nanti
sedangkan diri ini bukannya sesiapa. Dia tulus dengan pelawaannya itu dan
angkuh sangatkah aku untuk menolaknya? Tapi...
Aku menarik
nafas sedalam-dalamnya.
Kata orang badan
ni tidak boleh dimanja-manjakan sangat atau kita akan menjadi lemah. Aku rasa
aku masih akan hidup tanpa tidur.
Belajar untuk susah sedikit, Fitri! Jikalau ketika di universiti dahulu
kau betah untuk tidak tidur seharian menyiapkan assignment, tidak mungkin kali ini kau tidak mampu?
“Okay tapi saya
nak bayar dulu barang saya kat dalam tu.” akhirnya aku memberi persetujuan
membuatkan Nahda tersenyum senang.
“Terima kasih,
awak memang baik. Awak selesaikan dulu kerja awak tu. Nanti saya tunggu dekat
sana.” jarinya diluruskan ke satu arah.
“Okay.” balasku.
Hrmm aneh sekali
tetapi aku menyenanginya meskipun kami baru kenal.
Selepas sahaja
menyelesaikan segala urusanku, aku menemui Nahda yang sudah sedia menanti
dengan Zarith yang kini sudah tertidur nyenyak di dalam strollernya. Hanya
Nahda dan Zarith di situ, suaminya tidak ikut bersamakah? Teringin juga aku
untuk bertemu dengan lelaki yang berjaya menakluki wanita secantik ini. Tentunya
dia memiliki kewibawaan dan kesegakan yang tersendiri sehingga mampu memenangi
Nahda yang pada aku satu di dalam seribu. Kecantikannya sesuai dengan
perwatakannya yang lembut dan baik itu. Sukar untuk berjumpa dengan orang
sepertinya di zaman moden ini.
Wanita seperti
Nahda sudah semestinya tidak akan membiarkan dirinya dikuasi kemarahan dan
melakukan sesuatu bodoh yang memalukan diri sendiri. Aku tidak pasti jika wajah
itu pernah atau mampu untuk mengukir kemarahan. Pastinya perempuan begini yang
dicari oleh lelaki, bukan seperti aku. Spontan akalku membandingkan diriku
dengan Nahda yang aku kenali tidak melebihi dua jam itu.
“Terima kasih.”
ucapnya kepada pelayan yang baru sahaja selesai mengambil pesanan itu. Aku
hanya mampu tersenyum memerhatikan pelayan tersebut meninggalkan meja kami dan
bergerak ke kaunter. Tidak mempunyai
idea untuk memulakan sebarang perbualan, aku berpura-pura meneliti lukisan yang
tersergam megah di dinding sebelum cuba mencongak jumlah lampu yang terdapat di
situ.
Aktiviti yang
tidak berfaedah, aku tahu tetapi aku tidak punya apa-apa untuk dikatakan.
Kalaulah Nahda boleh berhenti merenung aku sebegitu dan berkata sesuatu...
“Kenapa?”
akhirnya aku mengalah dan bertanya.
Nahda ketawa
kecil, hanya menggeleng.
“Sangat gembira
jumpa awak. I just couldn’t believe it.”
“Tak percaya apa?”
aku mengerutkan dahi. Setiap kata-kata Nahda pasti sahaja membuatkan aku
tertanya-tanya. Semenjak aku mengenalinya beberapa puluh minit yang lepas,
sentiasa sahaja dia menuturkan sesuatu yang kedengaran agak pelik kepada ku.
Seorang lagi yang boleh dimasukkan ke dalam senarai manusia pelik aku?
“Fitri adalah
kawan pertama saya.” dia berkata.
“Kawan pertama?”
kekurangan rehat membuatkan ‘transfer rate’ aku agak perlahan. Maklumat secara
langsung yang sampai memerlukan masa yang lebih lama untuk diproses oleh otakku
manakala maklumat secara tidak langsung atau kiasan mengambil masa dua kali
ganda untuk diproses apabila aku kepenatan. Jadi amatlah tidak disaran untuk
menggunakan teknik berkenaan sekiranya aku berada di dalam mode sedemikian.
“Pertama kali
menjejakkan kaki ke Malaysia pula tu.”
Wow, pertama
kali menjejakkan kaki ke Malaysia?! Dari mana dia datang? Itu menjelaskan
kenapa dia kelihatan seperti wanita bangsa asing; kulitnya yang putih, matanya
yang kecoklatan.
“Betul? Sebelum
ni awak tinggal di mana?”
“Somewhere in the globe. Saya lahir,
tinggal dan berkeluarga di sana tapi my
mum memang asal Kuala Lumpur. Zarith pun lahir kat sana sebab tu saya
begitu teruja untuk bawa dia balik Malaysia.”
“Oh kiranya
bercuti dengan keluargalah ni? Berapa lama?” walaupun dibesarkan di luar
negara, dia masih juga teringatkan negara kelahiran ibunya.
Sikap yang harus
dipuji kerana tidak semua memiliki sifat patriotik sebegini. Lihat sahajalah
pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negeri, hampir
kesemuanya lebih gemar berkerja dan tinggal di sana daripada pulang mencari
rezeki di tempat sendiri.Ya, memang harus diakui gaji yang ditawarkan di
Malaysia jauh lebih rendah namun itu bukan alasan untuk bersikap pentingkan
diri sendiri. Sebagai rakyat Malaysia kita amat bertuah sebenarnya kerana
dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan. Berada di luar lingkaran api pasifik
yang mana menjauhkan negara kita daripada sebarang kejadian alam yang
menakutkan seperti gunung berapi, ribut taufan
dan gempa bumi. Kestabilan ekonomi dan politik yang menyelamatkan kita
daripada sebarang kebuluran dan rusuhan. Ah, terlalu banyak kelebihannya!
Ehemm...kenapa
pula aku tiba-tiba bertukar patriotik dengan membentangkan semua fakta yang
pernah aku baca daripada buku geografi sekolah dahulu? Tak sangka pula aku
masih mengingati semua itu. Boleh tahan juga daya ingatan aku rupanya.
“Lebih kurang
macam tu tetapi tak pasti lagi berapa lama, bergantung kepada urusan saya di
sini.”
“Suami ikut
sekali ke?” aku tidak dapat menahan diri aku dariapda menyebut tentang itu.
Sungguh aku penasaran untuk tahu.
Nahda tersenyum
lagi seraya menggeleng.
“Divorced.”
“Maaf, itu soalan yang sangat tak sopan. Saya
tak berniat nak sibuk hal hidup awak.”
“Eh, tak ada apa-apalah!
Jangan risau. Saya dah terbiasa dengan soalan tu. ” Nahda mencari mengeluarkan
sesuatu daripada dompetnya sebelum menghulurkan sekeping kad kepadaku.
Teragak-agak
sebentar aku sebelum mencapainya, membaca satu persatu ayat yang tertulis di
situ.
Oh, jadi Nahda
seorang doktor! Terlopong aku membaca kelulusan yang dirangkai indah di dalam
tulisan bertinta emas itu. Rasa kagumku kepada wanita itu semakin menggunung.
Semakin kerdil terasa diri ini.
“Saya seorang
psychiatrist. Salah satu sebab yang membaca kepada perceraian saya dan suami. Dia
kata saya ni gila kerja dan mungkin dia benar. Tak boleh nak salahkan dia.”
Perasaan kurang
percaya singgah di hati ini apabila melihat Nahda. Bukankah dia terlalu muda
untuk melalui semua kepahitan sebegitu? Zarith pula masih kecil untuk
kehilangan seorang ayah dan aku fikir kehidupan aku sudah teruk.
Setelah melalui
masalah yang hebat itu, Nahda masih berupaya untuk kelihatan tenang.
Membesarkan Zarith seorang diri membuktikan ketabahannya sebagai seorang
manusia. Berbeza dengan aku yang hanya tahu menangis menyesali nasib setiap
kali dihambat masalah.
Aku perlu berubah!
Aku perlu berhenti menangis apabila masalah datang mengetuk kerana ia adalah
sesuatu yang sangat tak cool. Ia buat
aku kelihatan lemah, kan? Hakikatnya, aku mahu orang di luar sana memandang aku
sebagai seorang yang cekal dan kuat tetapi kecengengan aku sedikit sebanyak
mencalarkan imej aku terutamanya di hadapan Kristine serta keluargaku. Oleh
kerana itu, mereka masih sahaja menganggap aku keanak-anakan. Itulah susahnya
menjadi anak bongsu ini. Apalah nasib...
Nahda mengamati
aku untuk beberapa ketika dengan satu riak yang tidak dapat aku
interpretasikan.
“Cerita tidak
selalunya indah, kan Fitri?” soalnya, seperti dapat membaca segala yang bermain
di dalam fikiran aku.
Aku mengangguk
perlahan.
“Kenapa, saya
nampak macam ada masalah besar?” aku bertanya kembali, separa bergurau. Kurang
senang apabila dia kembali meneliti aku, lagaknya seperti aku salah seorang
pesakitnya pula. Tidak mengejutkan aku jika dia mengeluarkan recorder kecil
daripada tas tangan yang sedari tadi di dalam pegangannya itu.
“Masalah tu ada
di mana-mana. Yang berbeza hanyalah cara kita menerima masalah tersebut. Denial, anger, bargaining, depression and
acceptance, the five stages of grief. Selalunya dikaitkan dengan penerimaan
seseorang terhadap kematian atau pun kehilangan. Tahu?”
Aku
memandangnya, sekadar mengangkat bahu.
“Semua orang
sebenarnya melalui lima fasa ini apabila berhadapan dengan apa sahaja masalah.
Masa peralihan daripada satu fasa ke fasa yang lain juga berbeza mengikut
individu. Ada yang mengambil masa yang singkat untuk menerima realiti dan ada
juga yang tersekat di fasa keempat untuk satu jangka masa yang lama.
Kadang-kadang sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya.”
Tidak tahu aku
kenapa aku perlu mendengar semua itu, kerana semuanya bagi aku tidak lebih
daripada satu informasi yang tiada kaitannya dengan aku. Sedayanya aku cuba
untuk menahan diri daripada menguap, tidak mahu berlaku kurang sopan kepada
Nahda yang semakin rancak bercerita. Pada pandangan aku, kata-katanya benar.
Dia memang teramat menyayangi kerjayanya. Satu bidang yang sedikit pun tidak
mempunyai kaitan dengan aku.
Adakah aku
kelihatan seperti seorang yang sedang menghadapi masalah untuk menerima
realiti?
“Aduh Fitri,
maafkan saya. Membosankan kawan pertama saya kat sini dengan cerita pasal kerja
saya.”
Pantas aku
menggeleng, tersenyum mendengar apabila dia mengomel sesuatu tentang
perangainya yang begitu teruja apabila bercerita tentang kerjayanya dan bebelan
yang pernah diterima daripada bekas suaminya.
“Tetapi satu je
saya nak awak tahu.”tangannya menggenggam erat tanganku, matanya memandang aku
tanpa berkedip.
Membuat aku
berdebar serta-merta.
“Terdapat
garisan yang sangat tipis di antara kasih dan obsesi. Jangan mudah keliru.”ujarnya,
serius.
Kami
berpandangan untuk seketika, hanya senyap tatkala pelayan meletakkan minuman di
atas meja. Sebelum beredar, sempat pula dia mencuit Zarith yang masih tidur
itu.
“Maafkan saya
tetapi saya tak rasa saya faham…”
“Tak ada maksud
tersembunyi. Hanya itu yang saya cuba sampaikan.”
“Oh.” aku diam
semula, tidak tahu apa lagi yang harus aku katakan. Hari ini terlalu pelik bagi
aku. Perhatian aku alihkan pula kepada Zarith di dalam stroller.
“Nyenyak Zarith
tidur.”
“A ah selalunya
selepas habis sebotol susu, dia memang akan tidur nyenyak. Kadang-kadang naik
risau pula kita bila dia tak bangun-bangun.” Nahda membuka cerita, jari
telunjuknya mengusap pipi Zarith.
Perhatian kami
berdua jatuh kepada anak comel itu, leka memerhatikannya yang sedang enak
dibuai mimpi. Sungguh indah menjadi kanak-kanak, tidak dibebani sebarang
masalah. Bebas bermimpi tanpa gangguan sesiapa pun. Tidak ada makhluk aneh yang
menyakitkan hati mahu pun kekasih yang sukar untuk difahami. Jangan fikirkan
mereka, Fitri! Amankanlah diri kau daripada mereka walaupun untuk seketika.
Berbual dengan
Nahda rupa-rupanya agak menyeronokkan terutamanya apabila tidak berkaitan
dengan kerjayanya. Dia seorang yang tinggi pengetahuan dan mempunyai banyak
pengalaman yang dapat dikongsikan.
Kami bercerita
tentang banyak perkara walaupun kebanyakannya adalah berkenaan dengan diri aku.
Aku tidak tahu kenapa tetapi dia kelihatan begitu beriya-iya dan berminat untuk
mengenali aku sehingga aku amat bersyukur apabila dia tidak mencatit semua jawapan
yang aku berikan kepada setiap soalannya ke dalam buku nota. Terasa seperti aku
juga salah seorang pesakit yang sedang dikajinya.
Lama juga kami
menghabiskan masa bersama kerana ketika aku sampai ke rumah, jam sudah
menginjak ke pukul satu tengah hari. Kepulanganku disapa dengan sekujur tubuh
yang sedang berbaring melunjur di atas sofa dengan muka yang dipaluti mask kehijauan serta hirisan timun di
kedua belah matanya. Begitu santai kelihatan seolah-olah berada di spa mewah
pula.
Bau haruman aloe
vera dan chamomile yang dicampur membangkitkan kesegaran yang menenangkan.
Hilang sedikit penat aku dengan suasana yang dirasakan begitu damai seolah-olah
berada di pantai. Bijak sahaja Kristine membangkitkan ketenangan sebegitu untuk
merehatkan tubuh badannya setelah seharian menjalani hari yang mencabar. Rahsia
kecantikan Kristine yang tidak memerlukan belanja yang banyak. Katanya, jikalau
kita tidak mempunyai masa untuk memanjakan diri di spa, sekurang-kurangnya kita
boleh membawa mood berada di spa itu ke rumah.
Aku sememangnya tidak mempunyai tabiat berkunjung ke pusat-pusat
kecantikan dan boleh dikatakan perkataan ‘spa’ itu sendiri agak asing bagi aku.
Kekurangan bakat
dalam menjadi seorang wanita sejati? Jangan jawab soalan tu kerana aku rasa aku
sudah boleh agak jawapannya.
“Ke mana kau
pergi? I almost lodge a police report for
missing person you know.” tegur Kristine tanpa membuka mata mahupun
menoleh, masih sahaja kaku seakan mumia di atas sofa.
“Beli barang
sedikit, lepas tu jumpa kawan. Kau dah makan?” aku berbasa-basi.
“Pukul dua nanti
nak keluar dengan Hezry. Oh putera katak kau hantar bunga ke sini. Nak minta
maaflah tu. Apa yang kau dah buat kat dia? Mesti tak sehebat apa yang aku akan
buat kepada dia jika aku berada di tempat kau.” gurau Kristine.
Aku mampir lalu
mencapai hirisan timun yang diletakkan di atas mata kanannya.
“Fitri, letak
balik. Aku tak mahu jumpa Hezry nanti kelihatan seperti seekor panda.” jeritnya
sedikit kalut, menimbulkan rasa kelakar di dalam hatiku.
Agaknya apa yang
dia akan buat kalau matanya bengkak seperti mata aku sekarang?
“OMG sweetie! Kau
menangis semalaman, kan? Nik tingtong tu buat kau menangis lagi!” dia bingkas
bangun, menarik tanganku agar duduk di sisinya.
“Bukan salah
dia. Aku yang salah sebab cengeng sangat.” jawapanku itu hanya membuatkan
Kristine mendengus geram. Dia menunjal dahiku dengan jari runcingnya.
Sakitlah!
“Kau tak perlu
nak menangkan dia. Aku benci dengar. Janganlah berterusan biar diri kau dibuli.
You above all people deserve to be happy.
Fitri, kau cantik, kau baik, kau ada kerjaya dan aku amat yakin kau tak
akan menghadapi sebarang kesukaran untuk mencari pengganti Nik. Dump him!”
Kalau ia semudah
itu. Tidak tahukah Kristine bahawa apabila sekali sang hati sudah memberikan
komitmennya kepada seorang lelaki, komitmen itu tidak akan mudah ditukar ganti?
“Terima kasih.
Kau sangat sweet, Kristy. Oh aku
perlu ke tempat kerja sekejap lagi! Aku masuk dululah. Have fun nanti, okay?”
“Larilah kalau
itu akan buat kau bahagia. Aku hanya nak kau terima hakikat yang Nik bukan
lelaki yang boleh buat kau bahagia.”
Bagaimana dia
tahu semua ini kalau aku sendiri masih tidak pasti? Kuasa apa yang dia ada
untuk menentukan kebahagian aku? Semakin mengarut pula si Kristine ni. Walaupun
hubungan dia dan Hezry satu kejayaan, tapi itu tidak bermakna dia berhak
memperkecilkan Nik.
Mungkin hubungan
aku dan Nik ketika ini agak rapuh serta sering sahaja membuatkan aku sedih
tetapi itu tidak bermakna tidak wujud kebahagiaan untuk kami. Bukankah manusia
perlu melalui kesedihan untuk bahagia? Kebahagiaan dan kesedihan adalah dua
elemen yang saling memerlukan umpama pantai dan ombak. Sepi lah pantai tanpa
deburan ombak dan hilanglah ombak tanpa pantai yang setia menunggu
kehadirannya.
“Bunga kau kat
dalam sinki di dapur.”
“Alright, thanks.”
Nik berikan aku
bunga lagi. Itu sahaja modalnya untuk memujuk aku, sejak daripada zaman
universiti lagi. Tidakkah dia tahu betapa perlunya untuk mencari teknik memujuk
yang baru kerana tekniknya yang satu itu sudah lapuk dan tidak memberi sebarang
kesan kepada aku lagi? Nanti sahajalah aku uruskan pemberiannya itu kerana
sekarang aku perlu bersiap ke tempat kerja.
Hari-hari
seterusnya yang aku lalui bebas daripada manusia bernama Nik Afezal. Tidak sekali pun dia cuba untuk
menghubungi aku, hanya memberikan masa untuk aku menenangkan diri dengan sabar
meskipun aku tahu sabar dan Nik bukan lagi padanan yang cocok. Atau sebenarnya
dia sudah bosan melayan rajukan serta karenah aku yang tidak sepenting
urusannya itu? Namun aku tahu dia mengingati aku kerana setiap hari, ada sahaja
jambangan bunga yang menanti aku di rumah sehinggakan Kristine sudah naik bosan
untuk membuka pintu. Alaa, aku tahu yang dia sebenarnya cemburu kerana Hezry
jarang sekali menghadiahkannya bunga. Yalah perempuan mana yang tak suka bunga,
kan?
Tapi teruskanlah
membazir, Encik Nik. Aku nak tengok selama mana kau mampu bertahan.
“Ibu, terima
kasih tau sebab hantar Aya. Papa tu memang tak boleh harap!” Aya memeluk
tubuhnya dengan muncung yang panjang sedepa.
Aku menahan
ketawa, cuba untuk kelihatan serius atau Aya akan menyangka aku tidak memandang
serius marahnya itu.
Sebetulnya
ketika aku sedang membersihkan rumah pagi tadi, mama menelefon dan meminta
supaya aku menghantar Aya ke studio Ehsan kerana katanya Ehsan tidak sempat
untuk singgah ke rumah kerana sibuk bekerja.
Baguslah kerana
itu bermakna Ehsan sudah berjaya ‘menyembuhkan’ kamera kesayangannya yang tiada
ganti itu. Tetapi yang tidak bagusnya adalah perangai sambil lewanya juga sudah
kembali.
Aduh, anak
seorang pun tak terjaga! Tidak hairanlah sekiranya sehingga kini dia masih
single tanpa pengganti. Namun aku rasa bukan itu sebabnya di dalam kes Ehsan.
Sebagaimana kameranya tidak boleh ditukar ganti, begitu jugalah kewujudan ibu
Aya, Mega Ariyana di dalam hidupnya walaupun dia enggan mengakuinya.
Ehsan begitu
menyintai dan masih menyintai bekas isterinya.
Tanpa sedar,
tanganku memegang dada yang secara tiba-tiba berubah berat.
Kesakitan apakah
ini?
“Dia sibuk,
Aya.” aku memujuk.
“Tapi Aya rasa
papa sengaja buat macam tu supaya dia boleh jumpa ibu.” respon yang tidak
diduga itu membuatkan air liur aku bertukar pahit, tersedak aku dibuatnya.
“Aa..apa yang
Aya merepek ni? Mak Cu suruh cakap macam tu ke?”
Tersengih Aya
dengan reaksi aku itu.
Cis!
Aku menarik Aya
ke sisiku, menggenggam erat tangannya melintasi jalan menuju ke studio Ehsan.
“Aya rasa papa
sukakan ibu.”
“Berhenti
merepek. Papa Aya tu bukannya manusia normal. He has no feeling for people.” kedengaran agak tidak munasabah
kata-kataku itu dan semestinya tidak sesuai diucapkan kepada anak kecil seperti
Aya tetapi hanya itu yang mampu aku fikirkan di dalam masa yang singkat sebegitu.
Lagipun kata-kata Aya sebentar tadi entah mengapa membuatkan aku sedikit tidak
keruan.
Elisa, cerita
apakah yang sudah kau suapkan kepada Aya sehingga dia mampu untuk berfikir
begitu? Susah benar apabila mempunyai adik ipar yang tinggi imaginasinya. Benar
imaginasi itu penting untuk perkembangan otak namun di dalam kes Elisa ini, ia
hanya menggangu perjalanan oksigen aku.
Fuh bawa
bertenang Fitri kerana Aya sendiri sebenarnya tidak tahu maksud kata-katanya
tadi!
Aku menekan buzzer dan menunggu beberapa ketika
sebelum Farez muncul. Aya melambaikan tangannya apabila anak muda itu
mengenyitkan mata kepada kami berdua.
“Hari yang
tenang?” soalnya sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke dalam studio.
Belum sempat aku
membuka mulut, Ehsan yang baru keluar daripada ‘tempat persembunyiannya’
menyampuk.
“Cepat Farez,
selamatkan semua peralatan. Pastikan tak ada satu pun benda yang boleh
dipecahkan ada berhampiran.” wajahnya cukup selamba meskipun aku tahu itu
adalah sebuah gurauan.
Lihatlah, mereka
tidak akan berhenti mengusik aku tentang kejadian itu. Ia amat memalukan tetapi siapa sangka
makhluk-makhluk kreatif seperti mereka ini akan dapat mencari jalan untuk
menjadikan kejadian itu sesuatu yang lucu.
“Hey
boys, be nice. I’m not here to destroy anything...”
“Manusia bodoh
kat dalam sana, buka pintu ni.” serentak kami berempat mengalihkan pandangan
kepada seorang manusia menakutkan yang sedang mengetuk-ngetuk pintu kaca studio
Ehsan dengan kasar.
Buntang mata aku
melihat wajah bengis itu. Hampir sahaja luruh jantung aku.
Kerana
ketakutan, Aya menyembamkan wajahnya kepadaku manakala tangannya menggengam
erat tanganku. Aku mengusap kepalanya, cuba untuk menenangkan Aya dan juga
diriku sendiri. Usapan yang membawa janji yang aku tak akan membenarkan apa-apa
atau sesiapa pun menyakitinya.
Aku menarik
nafas yang dirasakan tersekat. Pelukan Aya yang bertambah erat seakan tidak
membantu.
Masalah besar
ni. Apa yang sudah berlaku sehingga dia sanggup ikut aku ke sini? Aku perlu
melakukan sesuatu atau akan berantakan lagi studio ni dengan amukan yang
berganda dahsyatnya.
“Tapi aku tak
pasti pula tentang dia.” Ehsan dan aku berpandangan.
“Open this damn door, morons!”
Ringan sahaja
badan aku terasa. Janganlah pula aku pengsan di sini.
“Saya rasa saya
masuk ke dalam dulu. Mari kita selamatkan diri, Aya!” Farez menepuk bahu Ehsan
sebelum menarik Aya dan menghilang di sebalik pintu yang sedari tadi bertutup
rapat.
Pengecut!
Kalaulah boleh, aku juga mahu menuruti langkah Farez serta Aya. Apabila aku
bangun pagi tadi, bergaduh dengan dia ni di hadapan Ehsan bukanlah sesuatu yang
aku bayangkan untuk mewarnai hari aku atau mengisi kekosongan jadual harianku.
Arghh masak,
masak! Nik, kau hantar hitman kau pula untuk menyerang aku sekarang? Penatlah
begini.
“Maafkan aku
tetapi benar yang aku tak tahu apa-apa tentang serangan hendap ni. Dan sungguh
bila aku katakan yang aku datang ke sini dengan aman, bukan untuk
mengharu-birukan studio kau.” aku berkata dengan laju, bimbang Ehsan akan salah
faham. Berpeluh-peluh aku dibuatnya. Namun Ehsan hanya ketawa, menjentik
hidungku sebelum bersandar santai bersilang kaki di meja receptionnya.
Terlongo aku
dengan tindakannya itu.
“Sekarang Fitri
yang tersayang, patut kita buka pintu dan benarkan dia masuk?” berdrama pula si
Ehsan di waktu-waktu kritikal begini sedangkan perasaan aku ketika itu, usah
dicerita lagilah. Berkecamuk dengan
emosi yang pelbagai.
Tak cukup dengan
Ehsan dan Nik, sekarang aku perlu berhadapan dengan Firasha pula? Bawa
bertenang, Fitri. Kau boleh menangani semua ni. Kalau dia sakitkan hati aku,
aku mungkin boleh calarkan keretanya.
Hish, bergurau
pula aku ni! Okay, sekarang mari kita uji kehebatan Cik Firasha kita.
******************************************************
Yay updated pada hari yang sangat indah~
Selamat hari lahir kepada diri sendiri haha ^^
Perjalanan cerita masih panjang sebenarnya dan ini adalah permulaan kepada satu kisah baru.
Komen, kritikan sangat dihargai.
Terima kasih untuk masa yang diluangkan singgah ke sini dan membaca tulisan tak seberapa ni.
Saya sayang anda, anda, anda semua.
Jumpa nanti?
AY (22nd November 2012)
3 comments:
apy bdy....
apa yg bkal blaku yek... perang lg kot. .hailah fitri... ap sal ko msi xnk lpskn c nik 2...
Nahda tu ex nik kan ..mcm lmbt plak plot cite ni byk narration
Hepi bestday~
Ai bygkn firashha ni cm gerggasi.. Hahahhaha.. Ape ke boodohnya dia ni.. Dh la nyebook hal org lain.. Pttnya si farishha ni yg kawen ngn nik.. Br sepadan!
Si nahda tu ex wife si nik kah? Gaya cm diia kenal siapa itu fitrri.. Hmmmm
Post a Comment