Friday, December 28, 2012

Cerpen: Di Sini Bermulanya...

Merah.

Perkataan itu menerpa masuk ke dalam akalannya sekali lagi dan reaksinya tetap juga sama- tersenyum sendirian seperti orang yang sudah kehilangan akal. Masih waras sebenarnya dia cuma di ketika ini, kewarasannya lebih didominasi oleh satu susuk yang tak pernah henti membuai perasaan dan membuat hati berbunga.

Ah, sebenarnya dia memang sudah gila! Entah sejak bila dirinya begini pun dia tidak pasti. Yang dia tahu, saban malam dia akan menghabiskan masa di meja tulisnya, ditemani secawan kopi serta perasaan yang berbaur.

Tangannya ligat sahaja mencapai kotak rokok di sisi sebelum menyalakan sebatang. Sekadar memerhatikan apabila asap putih yang tercipta itu perlahan-lahan mengikut gerak angin meninggalkannya.

Dan bayangan itu datang lagi.

Bukankah lebih baik jika ianya juga turut hilang bersama kepulan asap itu?

Manis sekali, terlalu manis dan cocok warna itu buatnya. Sehinggakan setiap kali dia bergerak atau menuturkan sesuatu, dunia sekeliling seolah-olah pudar serinya.

Aduh, semakin parah nampaknya! Kacau kalau begini terus. Apa yang mereka akan kata kalau mereka dapat melihat keadaan aku sekarang ni?

Si hebat yang kini semakin berhabuk kewibawaannya.

Dia ketawa kecil seraya menggeleng. Lucu melayani fikiran sendiri.

Si hebat konon. Apa saja yang dia ada untuk melayakkannya menyandang panggilan itu?

Kosong.

Ya, kerana dia tak pernah mempunyai apa-apa. Tidak dulu, dan apa mungkin akan berubah sekarang?

**********

“Hai, Mira. Macam mana hari ni?” Sarah bertanya, matanya meliar memandang keadaan sekeliling restoran yang sedikit lengang.

Masih awal, dan kebanyakkannya masih tersekat di dalam kesesakan trafik yang cukup mengerikan. Memakan masa dan juga tenaga sehingga pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi. Mujur sahaja hari ini dia bernasib baik, tidak perlu berhadapan dengan cubaan yang satu itu.

“Oh macam biasa! Tengah hari tadi tak menang tangan. Sekarang ni baru boleh berehat sikit. Awal Kak Sarah datang hari ni?” gadis genit itu menjawab.

“Abang Kefli habis kerja awal.”balas Sarah.

Kepenatan yang mula meresapi ke segenap penjuru badan setelah beberapa hari gagal untuk melelapkan mata tidak dipedulikannya. Untuk apa mengeluh jika dia sendiri yang memilih untuk hidup seperti ini? Sibuk dan tenggelam dengan tugasan yang tak henti-henti supaya dapat mengisi fikirannya yang kosong.

Perkataan yang benar untuk menggambarkan keadaan dirinya – kosong.
Tanpa sebarang perasaan atau ingatan yang pernah menjadi sebahagian daripada diri, bukankah itu membuatkan seseorang itu kosong? Hampir enam bulan dan tetap tiada perkembangan. Dirinya kini tak lebih daripada robot yang bekerja mengikut manual yang telah tertulis rapi.
Satu kejadian yang meragut semua rasa itu lalu meninggalkannya di dalam satu jurang gelap yang sangat dahsyat.

“Sayang, apa yang dimenungkan tu?”lembut suara itu mengelus cuping telinganya.

Enam bulan dan Sarah masih lagi gagal untuk menanam kembali perasaan yang pastinya pernah wujud untuk tunangan di sisinya ini. Lelaki yang setia bersama, melayani kejanggalan yang tercipta di antara mereka tanpa jemu atau marah. Tetap juga sabar meskipun dia sedar yang peluang untuk dirinya mengingati kembali sejarah yang pernah terlakar di antara mereka amat tipis.

Cuba untuk mengukir senyuman, Sarah sekadar menggeleng.

Tak perlu dicerita apa yang sedang bersarang di dalam hatinya. Kefli pastinya lebih arif untuk meneka dan memahami. Bukankah itu yang sering diutarakannya sejak enam bulan dulu? Dan sekarang sungguh dia perlu berhenti membebani tunangannya itu dengan rungutan yang tak penting.

“Abang Kefli nak jadi waiter lagi ke hari ni?” gurau Mira. Tentu saja dia merujuk kepada peristiwa beberapa hari lalu di mana restoran itu kekurangan pekerja apabila salah seorang daripada pelayan tiba-tiba sahaja mengambil cuti sakit. Pada hari itu jugalah restoran miliknya dilanda kesesakan memberangsangkan sehingga dirinya dan juga Kefli yang sekadar datang untuk melawat terpaksa turut sama membantu. Mujurlah Kefli tidak kisah, malah kelihatan cukup senang melakukannya.

Tunangan sebegitu baik, tetap kenapa perasaan itu tidak muncul kembali?

Kefli mengangkat bahu.

“Boleh saja, no problem. Kefli Zulkarnain sentiasa sedia untuk berkhidmat.”guraunya kembali.

Lelaki itu dan sifat humornya, memang takkan pernah gagal membuat hatinya terhibur. Mungkin itulah salah satu sifatnya yang membuat hatinya tertawan suatu ketika dahulu.

Leka sebentar Sarah meneliti tunangan yang sedang berbual rancak dengan Mira. Kefli Zulkarnain, lelaki berkulit sawo matang yang cukup bergaya dengan ketinggian yang sesuai dengan binaan badannya. Wajahnya merupakan himpunan sejuta keyakinan yang menggunung, lambang utuh keperibadiannya. Bertepatan sekali dengan kerjayanya sebagai pengurus projek yang sudah sering berhadapan dengan urusan rumit yang berharga nilainya.

Wajah itu jugalah yang pertama menyapa pandangannya saat dia kembali membuka mata setelah beberapa hari terlantar seperti patung. Kerisauan dan kesedihan yang menghiasi riak itu dahulu cukup menggusarkan hati, seperti sudah kehilangan seluruh dunia pula.

Namun, tidak pernah pula Kefli membuka cerita tentang hubungan mereka yang lalu apatah lagi cuba membantu dirinya untuk mengingati kembali. Sehingga kadang-kadang Sarah merasa seolah Kefli seperti tidak mahu dia memperoleh semula ingatannya.

Tidak mahukah dia melihat Sarah yang dahulu atau dirinya yang sebelum ini terlalu menyebalkan sehingga tak perlu dibangkitkan semula?

Manusia yang sebagaimana kau dulunya, wahai Sarah?

**********
Kefli memeluk tubuh, bersandar santai di pintu Golf GTI putih miliknya. Matanya tertacap penuh kepada sesusuk tubuh yang sedari tadi membeku di tepi pusara, langsung tidak menghiraukan terik mentari yang semakin menikam. Menunggu dengan sabar, sedar bahawa tunang kesayangannya itu memerlukan waktu.

Ya, mereka berdua boleh dikatakan pengunjung setia pusara itu. Yakin sepenuhnya itu yang diperlukan oleh Sarah – bersama dengan ibu tercintanya walaupun kini sekadar bertemankan dua nisan sahaja. Satu-satunya ingatan yang masih kukuh, langsung tidak terusik selepas kemalangan itu. Selain daripada itu, segalanya tak lebih daripada satu kisah yang kabur.

Kejamkah jika dia katakan yang dia lebih selesa begitu? Tidak ada yang menarik untuk diingati kembali, semuanya adalah himpunan cerita yang menyakitkan hati. Mungkin tidak adil bagi Sarah tapi…

Entahlah, kalau dibiarkan rasional akal dan pujukan hati terus berdebat, memang boleh gila jadinya.

Mungkin Sarah tidak ingat tetapi dia, Kefli Zulkarnain tak pernah lupa.

Dia tahu segalanya. Sungguh kerana dia sentiasa peduli tentang apa saja yang berkaitan dengan Sarah. Terlalu penting buatnya.

“Maaf buat awak tunggu lama. Terleka pula.”suara lembut itu meragut terus segala yang berlegar di kotak fikirannya. Matanya jatuh kepada seulas bibir yang kini sedang menguntum senyuman.

Manis sekali.

Sampai bilakah dia akan buat aku terus angau begini? Bertahanlah, Kefli. Nasib badan, nasib badan.

“Tak ada masalah. I could wait forever.”ujarnya, separa serius.

Bukankah itu yang dilakukannya sebelum ini? Menunggu, menunggu dan menunggu.

“Awak rajin mengelamun sekarang, kan? Saya membosankan atau ... awak teringatkan girlfriend lain?” gurau Sarah seraya menarik sunglasses yang dipakainya.

Berderau darah Kefli yang mendengar. Jantungnya seakan berhenti berdenyut.

Dia ingat atau aku yang terlalu paranoid?

Kefli ketawa, cuba menghilangkan kegugupan yang mula beraja di dalam sana.

“Semakin pandai bergurau Cik Sarah kita sekarang ni. Girlfriend lain tu memang tak adalah kot. Tapi kalau bahagian membosankan tu ermm… mungkin benar.” sebagai balasan, satu cubitan hinggap ke lengannya. Sarah turut ketawa, aman dan menyenangkan sahaja bunyinya.

Saat yang terlalu berharga tapi sampai bila mampu bertahan?

“Dan awak nak tanya lagi daripada mana saya dapat perangai loyar buruk tu? Oh Encik Kefli, you’re ruining me.” Sarah menjegilkan matanya, berpura-pura marah.

Come on, good sense of humor makes you more attractive. Tengok saya, kacak bergaya kelakar disukai ramai, kan?” lelaki itu mendepangkan tangannya.

Sarah merenungnya dan Kefli kenal benar makna disebalik renungan yang penuh rasa bersalah itu.

“Err sebelum perasan saya jadi lebih kronik, jom kita pergi makan.” dia membukakan pintu kereta, mengisyaratkan kepada tunangan tersayang supaya masuk.

Namun, Sarah langsung tidak berganjak, tetap juga beku di tempatnya tadi.

“Awak tak jemu, Kefli?”

“Untuk apa saya jemu?”

“Maafkan saya sebab saya sungguh tak boleh ingat apa-apa. Awak terlalu baik dan benar kalau saya katakan saya akan lakukan apa saja untuk dapatkan semula yang pernah kita ada dulu. Sekarang, ‘kita’ terlalu hambar, kan?” soalnya. Satu soalan yang memerlukan jawapan yang terbaik.

Perlahan Kefli menghampirinya.

“Percayalah bila saya kata apa yang kita ada sekarang ni lebih baik. Kita tak perlukan ‘masa lalu’ untuk terus bergerak ke hadapan, Sarah. Apa salahnya kalau kita buka lembaran yang baru? Apa yang ada di belakang tak penting selagi apa yang kita mahukan ada di depan sana.”

“Tapi…”

Kefli menggeleng.

“Awak tak nak mulakan kisah yang baru dengan saya? I would do anything to win you back, you know.

Sedar, dia sedang bermain dengan api. Terlalu banyak halangan sebenarnya.

Sememangnya selama enam bulan lalu dia berjaya menyembunyi apa saja yang berkaitan dengan kehidupan lalu milik wanita kesayangannya itu tetapi sampai bila? Tak mungkin dia selamanya mampu menjauhkan Sarah daripada hidupnya yang lalu, daripada mereka yang mengenalinya.

Atau patutkah dia memberitahu Sarah yang semua yang ada di hadapannya kita tak lebih daripada satu kepalsuan semata?

“Kefli Zulkarnain, I would like to see you try.

Kata-kata Sarah itu seperti menjawab pertanyaannya.

Tidak, dia tidak perlu tahu! 

**********
Dia tidak memberi sebarang reaksi, hanya membeku di situ memerhatikan langkah wanita bersanggul tinggi itu. Hatinya merobak-robak menahan marah kerana dia tahu persis tujuan kedatangannya pada malam itu – mahu mengganggu ketenangan malam yang menyenangkan.
Wanita itu memang takkan mungkin membiarkan dia aman! Bukan saja dirinya, malah mama juga pernah menerima nasib yang sama.

Mama… Sebak datang bertandang apabila terbayang wajah pucat mama. Bertahun-tahun menanggung derita kanser sendirian. Hanya dia tempat mama mengadu, namun sayangnya ketika itu dia masih terlalu kecil untuk memahami. Abah?

Ah, dia patut bersyukur lelaki itu masih mahu mengakuinya sebagai anak! Setelah bertahun-tahun mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah serta suami, apabila mama sudah pergi jauh meninggalkannya barulah lelaki itu muncul semula.

Semua kerana perempuan di hadapannya kini – ibu tiri yang sangat tidak diundang kewujudan dan kedatangannya.

Dia mengepal penumbuk. Terlalu menyakitkan apabila mengingati kembali kenangan lampau. Dan kerana itu Sarah beruntung, cukup beruntung sebenarnya.

Auntie nak you hentikan semua perkara tak masuk dek akal tu.”setelah puas meneliti sekeliling rumah bujang itu, dia berkata. Matanya merenung tajam wajah milik anak muda itu.

Care to explain, Puan Astri?”selamba dia membalas.

“Jangan nak belagak bodoh. Auntie tahu apa yang you cuba lakukan. Semua rancangan bodoh  you tu ada dalam poket auntie.” Astri mencebik, benci apabila anak tirinya itu masih lagi mahu bermain tarik tali dengannya. Padahal dia tahu apa yang sedang dilakukannya, dia sudah dapat menjangka.

Bukankah seluruh keluarga mereka sememangnya gemar merampas?! Hati Astri memekik. Memang anak ini tidak tahu apa-apa tetapi itu tak dapat mengubah amarah yang disimpannya bertahun-tahun. Demi pujukan si suami, dia cuba membukakan hati untuk menerima kehadirannya ke dalam keluarga mereka. Ya Tuhan, betapa dia cuba untuk menganggap anak itu sebagai anak kandungnya namun entah mengapa terlalu keras hati ini.

Dan akhirnya, inilah yang terhasil. Sama-sama hanyut dibuai kemarahan serta dendam yang tak mungkin terbalas. Daripada pandangan anak muda ini, dia yang bertanggungjawab merampas kebahagiaan keluarga kecil mereka sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

Itu adalah rahsia antara Astri dan suaminya, anak tirinya ini tak perlu tahu.

“Itulah masalahnya. Rancangan bodoh yang mana satu?”

Astri mengetap bibir. Sedar anak yang satu itu hanya mempermainkannya.

“Rancangan bodoh yang melibatkan Sarah!”

You don’t own her!”tempik anak muda itu. Dadanya berombak-ombak menahan kemarahan yang menggunung.

Neither do you. Stop messing with her life! Dia bukan anak patung atau pun robot yang boleh diprogram sesuka hati. Jangan jadi gila.” marah Astri. Sebolehnya dia mahu anak tirinya itu faham dan berhenti melakukan apa saja yang sedang dilakukannya sekarang.

You don’t understand. She is all I have! She is all I have… but your son took her away from me. Dan auntie harap saya duduk dan biarkan saja sekarang ni? Keadaan dah berubah kerana saya takkan biarkan perkara yang sama berlaku kepada saya.”

Dia membalas renungan ibu tirinya dengan berani, meskipun kebenarannya, kekuatannya semakin bersisa kini. Mungkin kerana semua yang dikatakan oleh wanita itu benar. Dia tidak punya hak ke atas Sarah, apatah lagi menentukan kisahnya.

Sarah juga punya pilihan sendiri!

“Dia saja yang saya ada sekarang ni.”sekali lagi diulanginya, tetapi kini tak lebih daripada satu bisikan.

“Jangan mengarut! Hentikan semua ni atau auntie akan beritahu dia semuanya. Sarah perlu tahu kebenarannya, hidupnya yang lalu.”

Astri menggelengkan kepala. Kesal sungguh dengan segala yang menimpa.

“Dia bahagia dulu.  Mereka bahagia.”sengaja perkataan ‘mereka’ itu ditekannya.

Oh really, she was happy? Are you sure?”

Dahi Astri berkerut, kurang memahami apa yang cuba disampaikan. Sepertinya anak itu mengetahui sesuatu.

“Kalau mahu dia tahu, cerita sekali tentang perangai sebenar lelaki yang pernah disanjung-sanjungnya dulu tu.”

Auntie tak faham.”

Dia ketawa. Bangga melihat jalur keliru yang wujud di wajah bermekap tipis itu.

Nampaknya tak semua perkara di dalam genggaman Puan Astri.

Your son was cheating on her.”

**********  

Kedua belah tangannya menutup mulut, kelihatan sedikit pun tidak percaya. Hampir saja terjelopok Astri di situ.

Benarkah apa yang didengarnya tadi? Apa mungkin untuk anaknya melakukan sesuatu serendah itu? Tidak, tidak! Dia tidak sama seperti ayahnya.

Anak muda itu mengangguk laju. Anggukan yang penuh dengan keyakinan dan kesakitan bersilih ganti.

“Mana you tahu?”desisnya.

I’m his half-brother, of course I know. Dan kalau auntie dah lupa, Sarah tu kan…”

“Mana you tahu anak auntie buat perkara macam tu?”potong Astri, kasar dan dingin. Seolah-olah kata-kata selanjutnya daripada anak tirinya itu bakal menusuk lebih dalam.

“Dia cerita semuanya kat saya. Supaya kesakitan yang saya rasa berganda. Auntie dengan dia sebenarnya memiliki persamaan yang cukup banyak. Like mother, like son.”sinis kedengaran responnya.

“Ambil saja milik saya yang masih bersisa, auntie. Saya dah penat sebenarnya. Tak punya apa-apa tetapi tetap juga merasa kehilangan tu.”

Astri menggenggam kedua belah tangannya, terpukul dengan kata-kata itu.

Memang dia yang bersalah sebenarnya. Bukannya dia tidak tahu perasaan anak tirinya itu kepada Sarah tetapi sengaja dia buat tuli. Tetap juga berusaha untuk menjodohkan Sarah dengan anak kesayangannya.

Sarah – gadis yang baginya sudah seperti anak sendiri. Dengan sikap lemah-lembut dan peramahnya, hati ibu mana yang tak berkenan. Ketika pertama kali diperkenalkan oleh anak tirinya, dia sudah memasang rencana sendiri. Begitu tekad dengan niatnya sehingga dia bertindak memujuk sang suami untuk menghantar anak yang sering saja mengundang kebenciannya itu jauh daripada sini. Sejauh mungkin supaya rancangannya tidak punya penghalang.

Baginya, tiada yang dapat membahagiakan gadis itu selain daripada…Razif.  Atau dia sebenarnya tidak mahu melihat anak tirinya itu bahagia dek kerana dendam yang masih tersimpan kukuh kepada ibunya?

“Sarah tahu tentang perbuatan Razif tu?”

“Sehari sebelum kemalangan. Razif memang tak cintakan Sarah, auntie. Dia sengaja terima kerana mahu menyakitkan hati saya. Apa lagi yang baru? Bukankah itu matlamat utama keluarga auntie?

“Tttak…tak, Kefli. Bukan macam tu… Ya Tuhan!” Astri menggeleng, cuba menidakkan sesuatu yang cukup benar.

Betapa dia berusaha untuk menghalang sebarang komunikasi di antara Sarah dan juga Kefli. Sehinggalah apabila Kefli pulang semula ke tanah air, tiada apa lagi yang mampu dilakukannya untuk menghalang perhubungan yang sudah tercipta. Salah dia juga kerana mempergunakan rasa bersalah dan kesedihan Sarah untuk menjayakan rancangannya.

Untuk apa semua itu kini? Razif sudah tiada, Sarah kehilangan hampir separuh hidupnya dan Kefli pula terpaksa menjadi mangsa kepada semua percaturannya.

Pentingkan diri!

Dia sedar kini, Razif bukanlah lelaki yang tepat untuk membahagiakan Sarah. Malah bukan tempatnya untuk membuat keputusan itu.

Astri menarik nafas, memandang wajah beku Kefli.

Sekarang, hanya tinggal satu perkara lagi untuk dilakukan.

Auntie bagi you dua pilihan, Kefli. Either you tell her the truth, or I will.” tegas Astri berkata.

**********

“Mira, nanti kalau Niky masuk kerja, suruh dia jumpa saya tau.” Sarah berkata. Jarinya ligat sahaja menekan kalkulator mengira bil-bil bulan ini yang masih belum berbayar. Dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh terlalu leka sehingga begitu sekali.

Itulah padahnya kalau berterusan membiarkan diri hanyut dengan fikiran yang pelbagai. Susahnya diri sendiri. Mujurlah sekarang segala urusan boleh diselesaikan secara on-line. Memudahkan sedikit kerjanya dan yang pasti, lebih membuatkan dia leka dan lalai.

“Kak Sarah nak bagi gaji lebih ke kat si Niky tu? Alaa, bestnya.” ujar Mira, kedengaran sedikit cemburu.

“Bukan macam tu lah. Niky tu student lagi, nak pakai duit lebih. Kalau Mira pun minta gaji awaal sebab nak jelaskan yuran, Kak Sarah confirm bagi punya.”

“Yalah, Mira kan pekerja kesayangan.”sampuk Rehar pula yang baru muncul membawa pesanan makanan.

Mira mencebik. Rimas tentunya apabila sering sekali diusik Rehar.

Daripada pintu masuk, kelihatan sesusuk tubuh yang amat dikenalinya. Seolah sudah melekat kembali ke dalam akalnya yang kosong. Dua minggu menghilangkan diri, tanpa sebarang khabar di atas alasan sibuk bekerja, baru sekarang lelaki itu muncul. Setelah berhari-hari membuat hatinya risau dan bimbang.

Hrmm, nampaknya perasaan yang pernah wujud untuk lelaki bernama Kefli itu masih kukuh di dalam sana. Dia hanya terlupa cara untuk menyintainya dan perasaan itu memang tak pernah hilang.

Lelaki yang punya kewibawaan yang tinggi sehingga dapat memenangi perasaannya kembali. Kefli, Kefli, cukup mengagumkan.

“Haa tu, hero pujaan hati Malaya dah sampai.”gurau Mira.

Kasar saja kelihatannya Kefli melangkah, tidak seperti selalu. Wajahnya juga muram, dipenuhi dengan emosi yang tak mampu ditebak.

Hati Sarah mula resah.

Apa yang sudah berlaku? Tak pernah sekali pun dia melihat Kefli begini. Masalah di tempat kerja?

“Sarah, we need to talk.” pendek saja dia berkata. Tidak berusaha untuk menerangkan tatkala tangannya memegang erat lengan Sarah supaya menuruti langkahnya.

“Kefli, kenapa ni?”soalnya, mula panik.

“Saya terangkan nanti.”



Memang inilah yang harus dilakukannya sedari awal lagi. Berterusan berbohong dan menyembunyikan kebenaran takkan pernah membantu.

Sayangnya dia hanya sedar semua itu apabila ibu tirinya tidak memberi sebarang pilihan lain lagi. Sarah perlu mendengar daripada mulutnya sendiri, insan bernama Kefli Zulkarnain yang suatu ketika dulu pernah menyerahkan seluruh hatinya kepada wanita itu.

Dia juga sebenarnya sama seperti Puan Astri yang hebat. Sewenang-wenangnya mempercaturkan hidup orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Bukan haknya untuk menentukan jalan cerita Sarah sungguhpun dia ingin benar menjadi salah satu daripada watak penting di dalamnya.

Sarah, wanita yang dikenalinya sejak zaman sekolah lagi. Anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu bapa di usia 15 tahun, tanpa saudara-mara rapat. Mungkin kerana persamaan di antara mereka itulah yang menarik dirinya untuk terus mendekati Sarah.

Kesalahannya hanya satu, terlalu lurus dan bodoh! Memperkenalkan Sarah kepada Astri dan abah merupakan penyesalan terbesarnya. Siapa sangka ibu tirinya itu akan merancang sesuatu seperti itu? Ah, tak guna!

Dia tahu betapa bermaknanya diri Sarah kepada Kefli! Hanya Sarah yang dia ada ketika itu, yang memahaminya, yang mendengar kisahnya tanpa bosan. Kerana walaupun dia masih punya ayah, seorang ibu tiri dan adik tiri, jiwanya kosong. Tak pernah sekali pun mereka menganggap dirinya sebahagian daripada keluarga, tetapi sekadar menunaikan tanggungjawab kerana di dalam tubuhnya juga mengalir darah yang sama seperti abah dan juga Razif!

Cukup tidak menghairankan apabila abah bersetuju dengan cadangan Astri untuk menghantarnya jauh daripada sini untuk melanjutkan pelajaran. Kalau boleh, untuk selamanya mungkin.

Rancangan Astri cukup baik kerana selepas itu, dia bertindak membawa Sarah tinggal bersamanya, menjadikan wanita itu anak angkatnya. Ya, supaya dia mudah untuk menggunakan rasa terhutang budi Sarah untuk mengikatnya kepada Razif.

Sepanjang ketiadaan Kefli, tak pernah sekali pun dia dapat berbicara dengan Sarah. E-mailnya tak pernah berbalas, surat apatah lagi. Seolah-olah sudah tidak punya ruang lagi untuk dirinya di sana.

Kepulangannya semula ke sini disambut dengan berita yang cukup menghancurkan hati. Namun dia masih cuba untuk bertahan, tidak akan mudah mengaku kalah dengan kesakitan itu.

Apa lagi yang mampu dilakukan jika semua yang wujud seperti senang dengan perhubungan yang tercipta di antara dua manusia itu? Sarah sendiri redha menerimanya, jadi tak mungkin dia pula yang melebih-lebih walaupun hampir saja muka Razif dipecahkannya saat lelaki itu memberitahu dengan bangga kisah cintanya dengan wanita lain.

Senang hatinya melihat aku seperti manusia yang kehilangan akal. Syabas, Razif! Bentak hati Kefli.

Tetapi hilang langsung amarahnya apabila teringatkan pemergian lelaki itu yang kini sudah hampir tujuh bulan. Tak baik menyimpan dendam kepada orang yang sudah tiada. Mudah-mudahan dia ditempatkan bersama orang yang beriman.

Akibat daripada kemalangan yang meragut nyawa itu, Sarah hilang ingatan. Keadaan yang cukup untuk memberi harapan baru kepada Kefli. Dia tekad untuk mempergunakan kelebihan itu sepenuhnya – memberikan Sarah identiti baru yang jauh daripada manusia-manusia yang mungkin mengenalinya.

Rumah, pekerjaan, kawan-kawan; segalanya yang Sarah ada sekarang tak lebih daripada sebuah rancangan bodohnya. Padahal wanita itu memiliki sebuah kehidupan yang cukup berjaya sebelumnya.

“Kefli, apa semua ni? Tolong jelaskan.” Sarah menarik-narik tangan Kefli di dalam usaha untuk menarik perhatian lelaki itu.

“Ini rumah awak dulu.”jawab Kefli.

Sarah memerhati sekeliling rumah itu. Terasa sungguh asing tetapi gambar-gambar yang dipamerkan megah di dalam frame berwarna emas berukir cantik itu membenarkan kata-kata Kefli.

Gambarnya bersama seorang lelaki lain…bukan Kefli. Kelihatan cukup bahagia dengan senyuman yang menghiasi bibir masing-masing.

Dia punya abang? Sarah tertanya sendiri.

Perlahan-lahan frame itu dicapainya.

“Muhd Razif bin Azmi.”

Muhd Razif bin Azmi? Kedengaran cukup benar di telinganya meskipun Sarah sedar yang dia tidak punya ingatan langsung tentang lelaki bernama Razif. Tidak, bukan Razif yang menarik perhatiannya tetapi…

Kefli Zulkarnain bin Azmi.

Oh…jadi lelaki di dalam gambar ini adalah saudara Kefli? Kepalanya mula berdenyut.

“Adik awak?”

Kefli mengangguk.

“Adik tiri saya, dan…” Kefli menelan liur yang tersekat di kerongkong.

Teruskan, Kefli. Jangan ragu lagi. Dia perlu tahu.

“Tunang awak.”

“Apa awak cakapkan ni? Tunang saya… Habis awak?”Sarah mengambil beberapa tapak menjauhi Kefli yang tiba-tiba dirasakan berupaya untuk menyakitinya. Sekali lagi dia menatap gambar itu.

Arggh, tetap juga kosong! Dia memang tak ingat apa-apa.

Benci sungguh Sarah dengan keadaannya ketika itu. Terasa begitu rapuh dan kerdil.

“Sarah, Razif sebenarnya yang patut berada di tempat saya sekarang ni. Dan betul kalau awak katakan yang saya mengambil kesempatan di atas keadaan awak. Tapi…entahlah. Memang agaknya saya tak berfikiran waras waktu buat semua keputusan tu.”

“Awak tipu saya, Kefli? Saya percayakan awak! Mana Razif sekarang?”

“Kemalangan tu…dia…ughh Sarah, dia…Razif dah tak ada. Malam kemalangan tu awak bersama dia.” Kefli tunduk memandang lantai, tidak mampu membalas pandangan berbisa Sarah.

Memang dia layak menerima kemarahan itu. Salahnya kerana menyembunyikan kebenaran di atas sesuatu bernama sayang dan cinta.

“Kenapa awak sorokkan semua ni daripada saya? Kenapa perlu awak tipu saya? Patutlah senang benar awak kalau saya tak ingat apa-apa. Tak sangka…”

“Saya buat semua tu sebab saya sayangkan awak, Sarah. Ah, awak takkan faham! Ya, mungkin saya pathetic, sangat menyedihkan sehingga perlu mengambil bayangan adik sendiri untuk mendapatkan awak. Katakan apa saja yang mahu, fikir saja apa yang awak suka tapi saya tak peduli. I have nothing to lose anymore.

Kefli mengeluarkan sesuatu daripada dompetnya lalu diletakkan di atas meja di hadapan Sarah. Dia tak mampu lagi berlama-lama di situ.

Ini adalah kali terakhir dia akan membenarkan sang hati punya rasa. Kali terakhir juga dia akan berada di sini mungkin.

Kenapalah dia terlalu benak untuk menyedari yang dia sememangnya tak pernah punya apa-apa. Sarah bukan miliknya dulu, bukan juga miliknya sekarang atau sampai bila-bila. Bodohlah kerana membiarkan dirinya terus berharap!

Bukankah dia sudah aman dengan kekosongan yang wujud sebelum kedatangan Sarah ke dalam hidupnya? Jadi, apa yang mengubah kenyataan itu? Si hebat Kefli Zulkarnain tidak memerlukan sesiapa untuk terus hidup.

“Ini kad ibu Razif. Saya pasti dia lebih daripada bersedia untuk jawab semua pertanyaan awak tu.”

Dengan berat dia menapak ke arah pintu.

“Saya tamatkan segalanya kat sini, Sarah.”

**********


Hati Sarah sedikit berdebar, tidak tahu sebenarnya apa yang bakal terjadi nanti sekiranya bertentang muka. Seminggu dibiarkan berlalu begitu sahaja demi menenangkan fikiran yang maha kusut. Dan semalam, dia mendapat panggilan daripada Puan Astri, err ibu… Hrmm, Sarah masih belum dapat membiasakan diri memanggil wanita itu dengan panggilan ibu meskipun wanita itu sudah banyak berjasa kepadanya.

Dia sudah tahu segalanya kini, meskipun tanpa sebarang memori semua yang sudah berlaku. Sarah perlu membuat keputusan dan tanpa diberikan waktu yang lebih, si pengecut itu mahu ‘melarikan’ diri jauh daripada sini pula.

Berani sungguh dia! Sudah mempermainkan perasaannya, berlakon menjadi tunangan yang begitu mencairkan hati, dan sekarang, dia mahu pergi begitu saja?

Jangan harap!

Ketika dia sampai, Kefli baru selesai mengangkat kotak berisi buku-buku miliknya keluar, menyusunnya dengan kemas di hadapan pintu. Memang gayanya seperti sudah tidak mahu pulang lagi ke sini.

“Nak pergi mana?”soal Sarah, mengjungkitkan keningnya.

Kefli pantas menoleh. Kelihatan seolah tidak percaya pula dengan kehadirannya di situ.
Membeku sebentar dia, cuba menyakinkan diri sebelum kembali menumpukan perhatian kepada kotak-kotak di sisi. Rokok yang dikepit di antara dua jarinya dibuang begitu saja ke dalam pasu bunga.

“Apa awak buat kat sini?” sedikit pun tidak punya kemesraan di situ.

Cepat benar manusia berubah, kan? Sedangkan sebelum ni dia berkata hanya aku yang dirinya ada.

Sarah menghampiri, membelek kotak-kotak yang sudah sedia tersusun dengan kagum. Banyak juga barang-barang lelaki ini, mengalahkan dirinya pula.

“Semua ni untuk dibuang.” ujar Kefli.

Terlopong Sarah yang mendengar.

“Buang? Kenapa?”

“Barang lama. Menyakitkan mata je. Tak penting semua tu. Apa awak buat kat sini?” Kefli sekali lagi mengulangi soalannya. Tidak peduli kalau ayat yang dituturkannya tadi mengguris perasaan wanita di hadapannya itu.

Ah, kehadiran Sarah di sini saja sudah mampu membuatkan fikirannya bercelaru! Sedangkan beberapa hari lalu dia sudah tekad dengan keputusannya. Terlalu besar rupanya kuasa Cik Sarah ke atas diri Kefli Zulkarnain.

Fuh, bertahan Kefli!

Sarah menggigit bibir.

“Kalau awak ke sini nak tawarkan simpati awak, manusia menyedihkan ni tak perlukannya. Jadi, balik sajalah, Sarah. Mungkin ibu angkat kesayangan awak tu boleh bantu carikan awak lelaki yang terbaik, yang lebih sesuai.”

“Kemahiran berkata-kata awak memang tak meragukan, Encik Kefli. Okay, kalau macam tu, buangkan ini sekali. Saya pun dah tak perlukannya. Barang lama, menyakitkan mata saja.” Sarah mengeluarkan beberapa pucuk surat yang daripada tas tangannya lalu dihulurkan kepada Kefli.
Terpinga-pinga sebentar lelaki itu, tidak memahami sehinggalah pemberiannya tadi bertukar tangan.

“Ughh surat saya dulu. Mana awak dapat ni?”soalnnya.

“Puan Astri yang berikan. Dia dah cerita semuanya kepada saya dan saya…dah tahu persis awak ni bagaimana.”

“Oh…”

“Awak pernah menjadi sesuatu yang penting kepada saya juga nampaknya dulu.”Sarah ketawa, menutup kegugupan hati.

Mengangkat bahu tanda tidak peduli, Kefli mencampakkan surat-surat tersebut ke dalam satu kotak.

“Tak penting. It’s all in the past now.”

Keras rupanya hati manusia yang satu ini. Sarah menggeleng.

“Awak tak nak mulakan kisah yang baru dengan saya?” lunak suara itu bertanya, hampir luruh di saat yang sama jantung Kefli.

“Aa..Apa awak mengarut ni?”

I would do anything to win you back, you know.”Sarah berpura-pura tidak mendengar, menyambung dengan muka yang cukup selamba.

“Bukan sepatutnya awak marahkan saya sebab tipu awak ke? Atau..atau kerana mengatur hidup awak sesuka hati saya?”

Ya, itu lebih tepat. Sarah memang patut berasa marah kerana ditipu tetapi sekarang kenapa pula dia mengarut yang bukan-bukan? Demam kerana terkejutkah wanita pujaan hatinya itu?
Sarah mengerutkan dahinya seraya mengangguk.

“Awak benar. Tapi untuk apa marah kalau ada orang yang sayangkan saya sepenuh hatinya? Kefli Zulkarnain, mungkin saya tak ingat apa-apa tetapi sekarang ni, hanya awak yang betul-betul melekat di dalam fikiran. Awak yang bertanggungjawab memberikan saya nafas baru atau selamanya saya tak akan bernyawa.”

“Wow, macam pernah dengar! Daripada novel terbaru yang awak baca?”

Satu tamparan hinggap ke dadanya.

“Jangan bergurau. Saya serius ni.” wanita itu menjegilkan matanya.

“Okay, saya pun serius. Tapi apa yang buat awak ubah fikiran? Seminggu yang lalu awak seperti tak sanggup nak tengok muka saya pun.”

Sarah tersenyum.

“Sebab mengetahui perkara sebenar dan memahami keadaan sebenar adalah dua perkara yang berbeza.”

Dan dengan jawapan terbaik itu, hatinya kembali terpaut.  Mungkin si hebat ini masih punya sesuatu untuk menceriakan hidupnya yang kosong.

Masa yang sesuai untuk memulakan sebuah lembaran yang lebih indah, dengan nafas baru.

“Cik Sarah, bagaimana awak nak mulakan cerita baru kita?”

“Ermm, ‘once upon a time’ terlalu klise. I want something that would look good on our wedding card? Something like…”

Di sini bermulanya kisah kami…






**********************************
Lama rasanya tak menulis cerpen, rasa kekok sikit.
Terima kasih daun keladi kepada semua yang sudi baca.
Amat menghargai sebarang komen dan kritikan~

Untuk One Day You'll Be Mine, sampai sini saja updatenya. ^^
Maaf kerana terlalu lama dibiarkan menunggu.
Berjuta-juta terima kasih kepada semua yang menyokong, sentiasa bertanya, tak pernah jemu meninggalkan komen-komen yang cukup terbaik - tak terbayar usaha dan jasa anda, anda dan anda sekalian. 
Dan bila Ehsan, Fitri & Nik sudah zahir menjadi sebuah novel nanti, saya harap sokongan tu akan tetap berterusan.  

Terima kasih sekali lagi.   



Jumpa lagi nanti ya?