Saturday, October 19, 2013

Once Upon A Time 6


Matahari yang masih terlindung di sebalik awan mula mewarnai alam dengan serakan cahayanya, menandakan permulaan kepada satu lagi hari baru. Burung-burung sudah dahulu bangun menceriakan sekeliling dengan kicauan tanpa henti, mencipta satu kedamaian yang terlalu dekat dengan jiwa.
Rata-rata orang sedang sibuk bersiap sama ada untuk ke tempat kerja mencari rezeki atau pun ke sekolah menuntut ilmu. Semua tak terlepas daripada tanggungjawab yang menjanjikan sebuah kehidupan yang lebih baik.
Bagi Maira Sheila, dia lebih selesa menjadi seorang surirumah sepenuh masa. Mendedikasikan seluruh harinya kepada dua orang anak serta suami tercinta. Selama sembilan tahun dia menguruskan keluarga di rumah, tak pernah sekali pun dia menyesal kerana meninggalkan kerjayanya meskipun papa serta mama keras tak bersetuju.
Walaupun dia tak pernah mengutarakannya tapi Sheila sebenarnya tak mahu menjadi sesuatu seperti ibunya. Sentiasa sibuk mengejar dunia kerjaya sehingga mengabaikan keluarga. Seawal usia lima tahun lagi dia sudah belajar menjaga diri sendiri serta adik-adiknya. Berkongsi cerita dengan pembantu rumah yang bertukar ganti daripada kedua ibu bapa yang sepatutnya sentiasa di sisi.
Sheila menuang kopi yang masih berasap ke dalam cawan suaminya. Matanya dilirik ke arah si kembar yang sedang mengunyah roti bakar, berbisik sesama mereka dan kemudian tertawa.
“Terima kasih.” ucap Umar yang kini turut tertarik dengan gelagat kedua anak mereka. Dia memandang Sheila tapi isterinya sekadar mengangkat bahu.
“Apa senyum-senyum ni?” Umar bertanya.
Si kembar tersebut saling berpandangan, berkongsi satu sengihan nakal lalu menggeleng. Gelengan yang Umar serta Sheila sendiri tahu bermakna ‘sesuatu’ bukan ‘tak ada apa-apa’.
“Saya dengar adik awak dah balik.” tumpuan Umar beralih semula kepada Sheila yang baru duduk di sisi.
Sheila mengerutkan dahi.
“Baru semalam Angah beritahu dia balik sini minggu depan. Hrmm ada perubahan jaduallah tu.”
“Bukan adik awak yang itu lah. The infamous Kuzer Harmy.”
Hampir tersedak Sheila mendengar nama itu disebut. Cepat-cepat dia mengambil tisu lalu mengelap mulut.
Adik lelakinya yang tak pernah peduli untuk membalas e-mel mahu pun panggilan telefonnya. Memilih untuk mendiamkan diri sepenuhnya seolah kalau mungkin, memutuskan semua yang menghubungkan dia dengan kehidupannya di sini.
Kalau sudah setekad itu, kenapa pulang sekarang?
Meskipun mama melarang tapi Sheila tak pernah berputus asa untuk memujuk Jay supaya kembali ke sini. Satu usaha yang sia-sia tapi sekurang-kurangnya dia mahu adiknya itu tahu yang dia tak pernah bersendirian dan ada orang yang menyayanginya selalu.
Dan walaupun Jay dulunya tak pernah berhenti menyusahkan hidup Umar, tak sudah-sudah mencipta masalah di antara mereka, tapi Sheila yakin Jay mampu menjadi seseorang yang lebih baik.
“Took him long enough. Mana abang tahu?”
Umar menyudukan nasi goreng ke dalam mulut, mengunyah beberapa ketika. Sengaja pula membiarkan isterinya itu tertanya-tanya sendiri.
“Abah beritahu semalam. Dia tinggal kat hotel.”
“Kenapa dia tak balik rumah saja? Pelik-pelik sungguh budak tu.”
“Duit banyak sangat kot sampai tak tahu nak buat apa. Oh he’s staying at a competitor’s hotel, I might add.” untuk itu, satu tamparan hinggap ke lengannya.
Umar sekadar tersengih.
“Hari ni biar saya hantar budak-budak ke sekolah. Hafiz, Haikal, salam mama. Jom, nanti jalan sesak.” air kopinya diteguk untuk terakhir kali sebelum bergerak ke pintu.
Sheila membontoti daripada belakang, melayani karenah anak-anaknya yang kini riuh mengira duit belanja mereka.
“Jangan lupa bekal ni.” ujarnya, membuatkan si kembar menarik muka masam. Sudah diagak helah mereka berdua. Memang berpura-pura terlupa mengambil bekalan tersebut daripada atas meja.
“Bawa bekal untuk budak perempuan la, mama.” komen Haikal.
Sheila bercekak pinggang memandang Umar yang sedang berdiri di sebelah kereta, tersenyum geli hati.
Baru tujuh tahun dah banyak songeh. Haish la anak-anak…


Aroma kafein yang menyelerakan menghiasi ruang udara, memaksa Jay membuka mata. Bunyi bising daripada arah dapur kali ni menghalang niatnya untuk menyambung semula tidur.
Jam di tangan dilirik sekali.
Uh! Dia mengeluh malas.
Dengan tubuh yang masih selesa dibaluti selimut, dia bangun, mencapai telefon bimbitnya dan mengheret kaki menuju ke dapur. Menggosok-gosok matanya, Jay terpaku seketika di muka pintu, cuba mencerna pemandangan asing di depannya itu.
Zaed Akram kini segak dengan slack hitam serta kemeja jalur putih merah jambu yang dipadankan bersama ves dan lengkap bertali leher sedang menyiapkan sarapan pagi. Bercakap tentang etika pemakaian ketika menyediakan makanan dan Ed baru saja lulus dengan cemerlangnya.
Jay menekup mulut menahan tawa sebaliknya menggantikan dengan batuk kecil.
“Terima kasih sebab benarkan aku tumpang sofa kau. Terima kasih juga sebab selimutkan aku semalam. Your sweetness touch my heart.” ujar Jay. Tangannya diletakkan ke dada dengan riak yang sengaja dituluskan seolah dia benar memaksudkan kata-katanya tadi.
Ed menoleh. Keningnya bertaut.
“Kenapa kalau kau cakap apa-apa mesti ada unsur sarkasme kat situ?” balas Ed, mengisyaratkan kepada Jay supaya duduk. Dia meletakkan sebiji mug di atas kaunter bersama tiga bungkus nasi lemak.
“Dan kenapa kalau aku cakap sesuatu kau selalu anggap aku sarkastik?” dengan malas, Jay menarik kerusi lalu duduk. Mukanya disembamkan ke atas meja kaunter.
Awal betul hari si Ed ni bermula, sama seperti hari-hari mama dan abah. Mengingatkannya terus kepada hari persekolahan yang sungguh membosankan.
“Lepas ni apa pula? Kau nak ajak aku tidur sekatil dengan kau?” soal Jay, nakal.
“Tengok! Aku dah agak kau memang nak main-mainkan aku. Grow up, Jay.”
Berderai tawa Jay melihat muka bengang Ed kerana dipermain-mainkan.
Sensitif sungguh kawannya di pagi indah begini. Dihantui mimpi ngeri atau pun tersalah tidur semalam?
Menuang nescafe ke dalam mug, Jay sekali lagi membelek telefon bimbitnya.
“Apa rancangan kau hari ni?” soal Ed, kembali duduk di kerusi yang dikosongkannya sebentar tadi. 
Jay mengangkat muka, tersengih.
“Balik hotel, sambung tidur.  Kemudian, ada beberapa kawan lama yang aku nak jumpa.”
Ed mengecilkan mata, tidak sedikit pun percaya dengan pembohongan jelas Jay itu. Dia tahu Jay ada rencana lain dan pastinya berkaitan dengan perbincangan menyakitkan kepala mereka semalam.
Beberapa saat sebelum niat sebenar Jay mula mengambil tempat di dalam benaknya.
Wajah Ed berubah.
Kali ni, memang dia tak bersetuju langsung dengan pelan tak masuk akal begitu.
Apa otak Jay tak pernah berehat ke? Dan kenapa semua idea yang wujud di dalam kepala lelaki itu semuanya tak normal?
“Kau rasa tunang Lily tu salah seorang daripada kawan kita dan jangan beritahu aku yang kau nak jumpa mereka semata-mata nak mengeratkan silaturrahim. Gosh, kau masih lagi menakutkan.”
“I have a few suspects in mind.” balas Jay dengan selamba, tidak peduli dengan respons tak bersetuju kawannya.
Air nescafe yang sedang diteguk Ed terus naik ke hidung, tersedak lelaki itu.
Suspek?! Apa ni, drama televisyen Castle? Semakin parah pula kegilaan Kuzer Harmy.
“Satu perkataan, gila. Aku tak faham kenapa kau peduli sangat siapa tunang Lily. Dia tak peduli pun tentang kau. You’ve basically downgraded yourself to stalker level and I tell you my friend, that is not healthy.”
Jay tersenyum, memusing-musingkan telefon bimbitnya dengan jari dan apabila tangan Ed menarik telefon bimbit tersebut barulah dia kembali mengangkat muka.
“Kau buat semua ni sebab kau nak Lily balik, kan? Kau masih sayangkan dia dan tengok dia bahagia tanpa kau buat hati kau tak senang. Betul?” tebak Ed.
Soalan yang baik dan sayangnya Jay tak punya jawapan yang pasti. Ya, perasaannya kepada Lily masih sama, tak guna dinafikan kerana itu kebenarannya.
Tujuan serta tindakannya kini bertindih sehingga dia turut keliru. Lily sebahagian daripada masa lalu yang cuba dilepaskannya kerana dia mahu bebas dan tenang seperti masa-masanya di Auckland bersama Ermeelia. Jadi bukankah sepatutnya dia senang jika Lily sudah mempunyai hidup baru yang lebih gembira dan mudah?
Lily ada pilihan lain, dan pilihan membahagiakan itu bukan Kuzer Harmy. Bermakna dia sudah boleh melepaskan wanita itu pergi dengan sepenuh hati dan ikhlas. Semudah itu juga dia dapat membuka buku baru dan membina jalan cerita berbeza.
Masalahnya di sini ialah, keikhlasan untuk melepaskan Lily pergi tu terlalu palsu untuk disimpan atau dinilai.
Jadi, apa sebenarnya dia nak?
Dengan berhati-hati Jay cuba menyusun jawapan supaya Zaed tidak menyedari konflik yang sedang dihadapinya. Manusia bermoral tinggi seperti temannya itu pasti takkan melepaskan peluang untuk membentangkan hujah umpama peguam di mahkamah tentang bagaimana dia hanya mementingkan diri sendiri dan tak punya pendirian.
Bla bla bla… Dia dah dengar macam-macam dan semuanya sama.
Bukan salah dia kalau dia tak mampu nak memikirkan tentang manusia lain yang tentu sekali tak pernah peduli tentangnya kecualilah di masa dia jatuh tersungkur atau pun… ditahan dilokap.
“Aku peduli sebab Lily tak nak aku tahu. Bermakna dia sedang sembunyikan sesuatu daripada aku dan aku tak suka rahsia. With Lily, there’s always a catch.”
“What catch?! Semua tu dalam kepala kau saja. Lily dah berubah, bukan macam dulu lagi. Dia dah bahagia dengan hidup dia, Jay. Kenapa kau tak boleh nak faham tu?”
Jay merenung Ed, lama.
Ada sesuatu yang semenjak semalam lagi dirasakan tidak kena tentang sahabatnya yang satu ini dan kini, dia rasa dia tahu apa.
“Untuk seseorang yang cakap dah lama tak jumpa Lily, kau seperti tahu banyak perkara tentang dia.”
Membetulkan duduknya, Ed mengeluh.
Kalau ketika ini dia ditawar untuk menggunakan talian hayat demi menyelamatkan diri, tentu saja Ed akan menggunakannya. Tak ada yang lebih menakutkan daripada interogasi Kuzer Harmy yang tak mengenal erti penat.
Kedua belah tangannya diangkat umpama menyerah kalah.
“Okay, aku tipu kau. Aku memang ada jumpa dia. Rumah aku yang kau cakap cantik ni, semuanya idea Lily. Dia kerja kat DesignHouse sekarang.”
Mata Jay bersinar dan Ed tidak dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.
“Jadi, kau sebenarnya tahu siapa tunang Lily?”
Ughh! Itu juga soalan yang diajukannya.
Jay memang takkan menyerah kalah. Jalan terbaik untuk mengelak daripada menjawab soalannya adalah dengan melarikan diri. Mungkin kini dia pula yang patut menghilang, menggantikan tempat Jay.
Ed menilik jam tangannya lantas bangun. Mugnya diletakkan ke dalam sinki.
“Aku dah nak gerak. Unlike the stalker that you’ve become, I have a job to keep, a business to run. Ni kunci rumah untuk kau simpan. Amaran keras, jangan cuba nak jual apa saja yang ada dalam rumah ni.” guraunya.
“Mengelak daripada menjawab. Taktik lapuk tapi okay, aku terima.” Jay berkata.
Ketawanya dan Ed bergabung.

“Oh ya, sebelum kau mulakan apa saja misi menyiasat kau tu, mandi dulu. You stink.” 


*****************************************************
Assalamualaikum & hello ^^
Presenting... Bab 6.
Tak banyak progres but hopefully this would do. 
Still on my two favourite characters; Jay & Ed. 

So, kelas akan mula Isnin ni. 
Update will be... almost to none :P 

Basically, I've finished writing Phase 1 for Once Upon A Time. There are 6 phases altogether. 

Kepada yang sudi singgah, baca dan komen, terima kasih. I love you guys to bits and pieces. 


Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti~

Share:

0 comments: