Tuesday, November 26, 2013

Once Upon A Time 7


Lily tersenyum puas. Hari yang berjalan dengan lancar dan boleh dikatakan, satu pencapaian membanggakan. Sehingga Nizarif yang lokek dengan senyum itu pun terpaksa menyerah kalah dan menghadiahkan kata-kata pujian yang tambah membuat hatinya berbunga.
Sedari semalam lagi Lily tak berhenti membuat persiapan untuk perjumpaannya dengan Datin Hana pada pukul 2 petang tadi. Perjumpaan yang turut disertai oleh encik bos, Nizarif, sesungguhnya membuatkan Lily cuak dan risau. Dengan hanya dua jam tidur dan memandu ke ofis bagaikan zombie, mujurlah dia tak melakukan perkara-perkara bodoh yang tentu saja akan memalukan dirinya lalu menjejaskan kredibiliti DesignHouse.
Jikalau dulu dia menyangkakan kerjaya sebagai pereka dalaman sesuatu yang mudah dan glamor seperti selalu ditonton di televisyen tapi kini, ternyata sangkaannya itu sedikit tersasar. Terdapat skop yang lebih besar tentang kerjaya pilihannya ini dan yang tentu, ia tidak hanya berkisar kepada memilih warna cat yang sesuai untuk bilik atau pun memastikan susun atur perabot kena dengan ruang.
Menjadi pereka dalaman sebenarnya lebih memerlukan skil sosial serta negotiasi di samping kesabaran tinggi kerana semua urusan kerja melibatkan pihak lain seperti pembekal dan klien. Ianya bukan sekadar membenarkan kreativiti bekerja tetapi juga menguruskan setiap perincian bagi memastikan progres projek berjalan lancar supaya memberikan hasil terbaik dan 99% sempurna.
Dan tadi, syukur perjumpaan mereka berjalan dengan baik.
Pemilihan warna serta fabrik yang dirasakan sesuai untuk ruang tamu tersebut sudah dibuat. Walaupun Datin Hana tak suka dengan perabot-perabot yang dicadangkan oleh Lily daripada bilik pameran DesignHouse tapi wanita itu tertarik dengan kerusi dan beberapa lagi aksesori daripada dalam katalog yang diunjukkan kepadanya. Manakala untuk skim warna pula, mereka bersetuju untuk memberi penekanan utama kepada lampu meja eksklusif serta kusyen.
Namun, kerja masih belum selesai. Banyak yang perlu dilakukan lagi seperti mencadangkan beberapa dekorasi tambahan untuk melengkapkan ruang tamu tersebut dan setelah  menghabiskan hampir dua jam bersama Datin Hana, Lily rasa dia lebih memahami citarasa wanita itu.
InsyaAllah, kalau tak ada aral, pesanan boleh dibuat minggu ini juga.
Sebuah kejayaan kecil yang diraikan oleh Lily dengan mengunjungi pasaraya sebaik saja selesai tugasan di ofis untuk membeli barang keperluan harian kiriman ibu dan juga beberapa barangan lain untuk dirinya sendiri.
Membuat nota mental untuk membelek beberapa brosur yang dibawa pulang daripada pejabat, tangan Lily pantas mencapai sebungkus biskut lalu dimasukkan ke dalam troli.
Hrmm, mungkin juga dia boleh mendapatkan inspirasi daripada sumber-sumber di Internet.
“Lily Nadira sebagai pembantu di DesignHouse. Macam tak percaya.” suara garau tersebut membuatkan seluruh urat di dalam tubuh Lily tegang.
Dia mengetap bibir.
Sepatutnya dia tahu sebaik saja lelaki ini kembali, hidupnya takkan sama lagi. Selamat tinggal hidup yang aman dan bebas gangguan.
“Kalau aku kenal Lily yang dulu, dia bukan jenis yang suka menerima arahan apatah lagi bekerja di bawah orang.” Jay menghentikan langkahnya bersebelahan Lily dengan senyuman sinis yang sememangnya menjadi tanda pengenalan buat lelaki itu.
“Junior designer.” Lily membetulkan, kembali menolak troli dengan hati yang bengkak.
Jay menuruti langkahnya.
“Apa kau buat kat sini?” soal Lily.
“Kebetulan.” jawab Jay sepatah.
Lily tergelak.
“Hah, ‘kebetulan’ Kuzer Harmy tak boleh pakai.”
“Tepat sekali, jadi kenapa kau tanya lagi?” ringan saja tangan Jay memasukkan beberapa bungkus makanan ringan ke dalam troli, tidak mengendahkan jegilan Lily. Sengaja mahu menyakat.
‘Perjumpaan’nya hari ini tidak berjalan seperti yang diharapkan. Beberapa orang daripada mereka berpura-pura tak mengingatinya manakala beberapa orang lagi enggan membuka mulut langsung untuk berbicara tentang Lily yang mana Jay pasti mempunyai kaitan dengan satu lagi tindakan bodohnya bertahun-tahun lalu.
Harus diakui dulu dia memang terkenal dengan sikap protektif serta cemburu buta terutama sekali apabila ianya berkaitan dengan Cik Lily Nadira. Jadi, untuk memastikan Lily kekal bersamanya serta bebas daripada gangguan sesiapa pun, perkara yang mampu difikirkan ketika itu ialah dengan menghalang kawan-kawan lain daripada bercakap atau pun menghampiri Lily. Dan berdasarkan reputasi serta darjah kegilaannya dulu, tentu saja tak ada yang berani mempertikaikan arahan bodoh tersebut.  
Nampaknya sehingga sekarang ‘peraturan’ tersebut masih diguna pakai.
“Dah tukar profesion jadi paparazzi pula, mengendap aku sampai ke sini?”
“Orang normal mungkin akan nafikan tu tapi…”
“Kau tak normal.” pintas Lily dengan geram.
“Ha-ha exactly. Aku takkan cuba nafikan benda yang terang-terangan benar. Sungguh, aku ikut kau ke sini tapi hanya sebab aku teringin nak jumpa dengan tunang kau. Dan amat aku hargai kalau tunang kau bukan lelaki sama yang kerja dekat DesignHouse tu. Kita berdua tahu citarasa kau terhadap lelaki sedikit…hrmm… pelik?” Jay menduga.
Daripada pemerhatiannya hari ini, memang benar kata Ed. Lily Nadira sudah berubah. Menjadi sesuatu yang sungguh berbeza daripada seorang gadis yang terkenal dengan sikap memberontak serta penuh dengan helah. Satu evolusi membanggakan bagi Jay, paduan sebuah kematangan dan pengalaman.
Matanya dibiarkan jatuh kepada Lily yang nampak terlalu berminat membaca label di belakang paket M&M. Satu usaha untuk tidak mengendahkan kewujudannya di sebelah tentunya.
Wanita itu mengenakan sut paduan hitam merah yang dipadankan bersama sepasang kasut tumit tinggi dua inci, melengkapkan penampilan semi formalnya. Rambut panjang Lily dibiarkan bebas, dihiasi ringkas dengan hanya dua sepit yang juga berwarna merah. Walaupun sekadar bermekap tipis, wanita itu tetap kelihatan cantik, manis. Lambang utuh sebuah keyakinan dan kekuatan yang tak pernah gagal buat Jay kagum.
“Kau, Encik Kuzer Harmy, adalah bukti jelas betapa teruknya citarasa aku dulu.” ujar Lily, kali ini nadanya mencabar. Langkahnya dihentikan sebelum berpaling dan memandang terus ke wajah lelaki itu dengan satu senyuman yakin.
“Bukan macam sesetengah orang, aku cepat belajar daripada kesilapan. Terutama sekali kesilapan besar macam kau.” jari telunjuknya menunjal badan lelaki itu.
“Ah!” Jay ketawa, meletakkan kedua belah tangannya ke dada seperti benar dalam kesakitan.
Sungguh, kalau perkataan mampu menghancurkan Jay, kata-kata Lily tadi tanpa ragu akan menukarkannya kepada debu-debu kecil yang berterbangan di udara. Tapi untuk seseorang yang sering dipanggil ke bilik guru disiplin serta guru kaunseling, dia sudah imun dengan apa juga bentuk penghinaan sama ada secara halus atau terus.
“Aku anggap tu sebagai cara tak langsung kau memuji aku. Lily, kau tahu kata-kata kau tak ada kesan ke atas aku, jadi tak perlu mencuba. Nonetheless, I’m a changed man now and I came in peace. Cuba berlaku baik dan berhenti berprasangka, boleh?” ketika itu matanya dan mata seorang lelaki bertopi besbal bertentangan. Lantas mengingatkan Jay kepada seseorang yang dikenalinya. Sebelum sempat Jay bereaksi, begitu mudah pula lelaki itu menghilangkan diri di sebalik sebuah keluarga yang nampak serius membincangkan menu makan malam mereka pada hari ini.
Dahinya berkerut.
Hrmm, pelik!
Lambat-lambat mereka berdua menuju ke bahagian yang menempatkan serbuk pencuci serta pelembut pakaian. Lily mengambil sebotol pelembut, membelek beberapa ketika lalu diletakkan semula ke tempatnya.
Riaknya tegang seakan botol pelembut tak bersalah itu sungguh menyakitkan hatinya.
Lucu sebenarnya barisan ayat Jay tadi. Kalau benar lelaki ini dah berubah, dia takkan mengekori Lily sedari pagi mahu pun ada di sini bersamanya menyibuk di dalam hal yang sedikit pun tak penting.
“Kau tahu kenapa kau tak boleh rasa apa-apa, Jay?”
Jay sekadar mengangkat bahu. Dia tak berminat untuk menjawab atau mendengar jawapan kepada soalan tersebut kerana fikirannya kini tertumpu kepada satu perkara yang lebih menarik.
Otaknya sedang ligat bekerja, mencari kembali informasi walau secebis tentang lelaki tadi yang mungkin wujud di dalam kotak memorinya.
Sejak daripada melangkah keluar daripada hotel, dia rasa seolah sedang diperhatikan. Pada mulanya dia memilih untuk mengabaikan perasaan tersebut tetapi apabila matanya asyik mendarat pada kenderaan serta lelaki yang sama di sepanjang hentiannya hari ini, dia tahu ada sesuatu tak kena.
Sekarang, dia seratus peratus pasti. Lelaki tersebut merupakan orang yang sama dia jumpa siang tadi ketika sesi interogasinya dengan Amzar, Feroz, Marzuki dan juga Badrul. Dan apabila ada orang yang sanggup bersusah-payah mengikutnya sehingga ke pasaraya lewat petang begini, usaha tersebut bagi Jay harus dihargai.
“You’re an emotionally crippled beast.”
Suara Lily mengganggu konsentrasinya berfikir. Entah bagaimana dia boleh terlupa dengan kewujudan wanita itu bersamanya.
“Uh.” itu saja respon Jay.
Lily memandang Jay dengan hairan.
Hairan kerana untuk pertama kalinya respon yang keluar daripada mulut lelaki itu hanya satu perkataan. Bukan perkara biasa untuk juara bahas tak rasmi seperti Jay. Namun baik menurut Lily kerana dia sendiri sudah penat nak bertekak. Dia mahu segera pulang ke rumah tapi keberadaan Jay di sini hanya melambatkan pergerakannya.
“Jay, aku dah tak larat nak bertekak dengan kau hari ni. It has been a long day in the office and …”
“Okay, bagus! Kita sambung bertekak esok sebab sekarang aku pun ada hal perlu diselesaikan. It’s a date.” laju saja Jay memotong. Mengenyitkan mata, lelaki itu segera bergerak meninggalkannya terpinga-pinga sendirian.
Lily membeku di situ.
Apa yang baru saja berlaku? Kuzer Harmy menyerah kalah dengan mudah dan berkelakuan pelik. Walaupun definisi ‘pelik’ dalam konteks Jay itu sebenarnya ‘normal’.
Dan sambung bertekak esok… Oh tolonglah! Tentu saja dia tak mahu berjumpa dengan lelaki itu, bukan saja esok tapi sampai bila-bila. Ditambah pula dengan usaha Jay untuk mencari tahu siapa gerangan tunangannya, lagilah Lily mahu cuba menjauhkan diri.
Lily tahu dia tak mungkin dapat menyembunyikan hal tersebut lebih lama lagi daripada pengetahuan Jay tapi dia sangat memerlukan lebih waktu untuk bersedia. Waktu untuk memastikan sendiri tahap kestabilan emosi lelaki itu dan kebolehannya menerima berita tersebut tanpa melakukan sesuatu yang bodoh.
Kalau benar seperti Jay katakan tadi yang dia sudah berubah, mungkin penerimaannya nanti bakal lebih baik daripada apa yang selalu Lily bayangkan di dalam kepala berulang kali.
Tapi kenapa dia perlu peduli dengan perasaan Jay? Lelaki tu tak ada kaitan langsung dengannya dan dia boleh berkawan dengan sesiapa saja dia suka.

Perbuatan Jay dulu tak boleh dimaafkan dan keadaan takkan kembali seperti dulu. Itu muktamad!! 
Share:

0 comments: