Saturday, October 5, 2013

Once Upon A Time 3



 Welcome home.
Ayat itu tanpa henti bermain di dalam benaknya sejak petang semalam. Berulang-ulang kali sehingga dirasakan kalau otak ini seperti pemain cakera, pasti sudah meletup kepanasan.
Satu ayat yang menyambut kepulangannya setelah sekian lama menyembunyikan diri daripada kenangan lampau. Sepatutnya dia berasa gembira tapi rasa yang wujud adalah sebaliknya. Namun bukan dua patah perkataan itu yang melumpuhkan ketenteraman hati tetapi nada sebaris ayat itu diucapkan.
Penuh kesakitan, kedinginan seolah ianya satu versi baru bagi ‘selamat tinggal’.
Jay mengeluh. Jari-jemarinya memicit-micit pangkal leher yang keletihan. Matanya dipejamkan dalam usaha mencari walau sedikit ketenangan yang seakan tak wujud sejak dia pulang daripada rumah Lily Nadira. Sepatutnya dia sudah dapat mengagak, segala yang berkaitan dengan wanita itu pasti takkan menjadi mudah.
Kuzer Harmy tak lemah dan dia tentunya takkan menangis patah hati hanya kerana kekasih lamanya kini sudah menjadi tunangan orang. Jadi kenapa perasaannya sekarang tak tenang? Dia pulang kembali ke sini kerana nak memulakan hidup baru tapi sekarang sepertinya dia masih lagi tersekat di dalam sebuah kisah lampau.
Lily masih lagi mempunyai kesan ke atasnya, membuatkan dia terasa seperti kanak-kanak hingusan yang tak berdaya dan bodoh. Ughh, kombinasi yang langsung tak sesuai untuk orang sepertinya!
Bagaimana setelah begitu lama tetap juga Lily yang mampu membuatkan dia berasa begini? Arghh!
Telefon bimbitnya yang berdering mengganggu konsentrasi dan dengan mata yang masih tertutup, tangannya mencapai objek tersebut daripada meja sisi katil.
“So, how did it go?” suara ceria di hujung talian menyapa.
Jay tersenyum nipis.
“My dear Ems. Let’s just say that hearing your voice is the best thing that ever happened to me since I came back.”
Kedengaran Ermeelia ketawa, diselangi bunyi kenderaan tak henti yang menunjukkan wanita itu berada di luar dan dalam perjalanan menuju ke suatu tempat.
Jam tangannya dikerling sekali lalu.
Hampir ke pukul 3 petang, bermakna pukul 7 malam di sana.
“Seteruk tu? Come on, Kuzer Harmy tak pernah menyerah kalah. Apa dah jadi?” Ermeelia menyoal.
Jay mengeluh. Sakit kepalanya sekali lagi menyerang, tambah membuatkan dia lelah.
“Going somewhere, Ems?” dia memilih untuk tidak menjawab sebaliknya menggantikan dengan soalan yang lain. Berharap agar Ermeelia akan memahami keengganannya untuk membuka cerita.
“On my way to meet dad for dinner. Just checking up on you. Jadi, jangan nak cuba ubah topik. Cerita semuanya, cepat!”
Dan ya, Ermeelia memang takkan menyerah kalah dengan mudah. Sifat yang mengingatkannya terus kepada… Lily. Aduh, parah begini!
“Sesuatu yang aku dah jangka akan berlaku. Sekarang, boleh tak aku tempah tiket dan balik ke sana?”
“I want you here with me too. I miss you.” Ermeelia membalas lembut.
“Tapi, selagi kau tak selesaikan apa saja yang masih tak selesai, kau takkan ke mana-mana. Hrmm aku rasa keluarga kau tak tahu pun lagi yang kau dah balik, kan?”
Bangun daripada katil, Jay berjalan ke tingkap lalu menyelak langsir. Membenarkan bilah-bilah cahaya menerangi bilik yang tadinya suram dengan kegelapan. Pandangannya dilemparkan jauh ke celahan bangunan konkrit yang tersergam tinggi.
Memang benar tekaan Ermeelia. Selain Lily, tak ada siapa lagi yang tahu tentang kepulangannya. Selepas petang semalam, baru dia sedar betapa serius kekalutan yang tercipta kesan daripada keputusan ‘terbaik’nya.
Berhadapan dengan keluarganya bermakna berhadapan dengan sebuah lagi penilaian dan hukuman tanpa peluang untuk membela diri. Jika dulu dia tak pernah ambil pusing, tapi sekarang dua proses tersebut kedengaran cukup memenatkan. 
“Quitter and now, a coward. Well, Lily Nadira must be better than I thought to be able to turn you into such a weakling.” komen Ermeelia apabila Jay hanya mendiamkan diri.
“That girl is a kryptonite.” gurau Jay.
“Dengar sini. Aku tahu keadaan memang takkan menjadi mudah tapi mereka merupakan bahagian terpenting dalam hidup kau. Dah sampai masanya untuk kau berhenti melarikan diri. Prove to them that you’re no longer that old twisted, manipulative Kuzer Harmy. Kau bukan lagi Kuzer yang curi kertas ujian dan kemudian jual atau… atau Kuzer yang suka kenakan orang lain hanya semata kerana bosan atau…”
“Okay, okay, Ems. I got your point. Satu lagi contoh dan kepala aku mungkin akan meletup. Itulah masalahnya. Berada di sini mengingatkan aku betapa teruk hidup aku dulu. Malangnya, aku terpaksa habiskan tiga hari dalam lokap untuk sedar semua tu.”
Sekali lagi ingatan tentang malam tu menerpa. Ah!!
“Ouch! Tak indah tapi sekurang-kurangnya kau belajar daripada kesilapan. Even your sweet darling Lily had her own share of … err mischief. Poinnya, semua orang ada kisah silam dan kau takkan pernah bergerak ke hadapan kalau kau tak berdamai dengan masa lalu.” Ermeelia berjeda sejenak.
“Lari bukan cara yang terbaik untuk memulakan lembaran baru, kecualilah kalau kau melarikan diri daripada mafia atau pun pembunuh bersiri. Tapi kau faham maksud aku, kan? Hrmm, aku dah sampai ni, nanti kita borak lagi. And Jay, try harder. You can do it! Bye.”
Talian dimatikan dan kesunyian kembali hadir menemani. Menyedarkan Jay betapa mudah dan selesa hidup bersama Ermeelia. Sebuah kehidupan yang dia tak pernah dapat apabila berada bersama mereka di sini yang menurut Ermeelia tadi ‘bahagian terpenting dalam hidup’ nya.
Gadis kacukan melayu-cina itu merupakan teman rapatnya di sana. Satu-satu sahabat yang memahami dan setia bersama selepas dia meninggalkan Malaysia dengan hati serta perasaan yang remuk demi memberi peluang kepada dirinya menjadi sesuatu yang lebih baik demi seseorang yang terlalu penting.
Ermeelia membawa keluar bahagian Kuzer Harmy yang dia tak pernah sangka wujud. Menjadikan dia seorang yang berbeza dan lebih matang. Namun, hubungan mereka tak mampu bergerak lebih daripada garisan persahabatan tak kiralah betapa dia cuba untuk menjadi seorang kekasih yang baik ketika mereka bersama. Setahun cuma perhubungan itu bertahan sebelum mereka memilih untuk terus kekal sebagai teman.
Jay menarik nafas.
Bagaimana nak membuka halaman baru kalau halaman yang dulu masih belum bernoktah? Dia perlu bebas tapi mustahil kerana apabila dia sudah berada di sini, dia dapat rasakan bahagian dirinya yang sudah lama disimpan kemas meronta-ronta untuk keluar.
Kerana Lily Nadira mengingatkan dia kepada semua yang dia cuba lari.


Terasa sejuk, berdiri bulu romanya. Seolah seseorang sedang bercakap tentangnya atau sedang memerhatikan gerak-gerinya.
Lily menggosok-gosok tengkuknya, mengomel sesuatu tentang deria rasa keenam.
Siapa saja yang nak bercakap tentang…
Oh!
Lily mengangkat muka dan matanya mendarat terus kepada wajah ketat Nizarif yang berkerut-kerut seperti  kambing tertelan kasut.
Deria rasa keenam la sangat. Hatinya mengomel.
Hampir setahun setengah bekerja di bawah lelaki itu dan Lily tahu yang ianya bukan petanda baik. Jarang sekali bagi orang perasan bagus seperti Nizarif untuk mencemar duli dengan melakukan lawatan rasmi ke mejanya yang bersepah dengan nota serta lakaran idea yang masih belum dizahirkan ke dalam AutoCAD.
Harus diakui, hari ini bukan hari yang produktif buat Lily. Sejak menjejakkan kaki ke ofis pukul 8.30 pagi tadi, dia hanya sekadar duduk di meja, menyemak e-mel daripada pembekal dan menjawab panggilan telefon daripada klien.
Fikirannya yang selalu melimpah dengan idea-idea kreatif kini tak lebih daripada satu kekosongan yang cukup menyebalkan. Betapa dia cuba menuntaskan fokusnya untuk menyiapkan design layout bagi ruang tamu sebuah vila yang sehingga sekarang tak lebih daripada satu imej kabur yang langsung tak membantu.
Menjelaskan sebab utama Nizarif tercegat di hadapannya dengan riak kurang senang.
“Apa dah jadi? Saya telefon Datin Hana tadi untuk follow up dan dia cakap awak ubah perjumpaan hari ni kepada esok. Are you out of your mind? Dia bukan orang biasa yang kerjanya hanya tunggu nak jumpa awak.”
Lily mengetap bibir.
Apa saja kerja Datin Hana yang penting selain daripada menghabiskan masa di spa dan bergosip di kelab?
Mahu saja rasanya dia meluahkan kata-kata tersebut kepada Nizarif tapi hal sebegini perlu diselesaikan dengan lebih professional. Memang salah Lily kerana menangguhkan perjumpaan hari ni dan pelanggan selalunya betul tapi dia memerlukan lebih masa.
“She kept changing the details till the last minute and obviously I need time to finalize the whole thing before I could show her the blueprint for the design layout.”
Kerutan di dahi Nizarif bertambah tebal, matanya merenung tajam wajah Lily.
“Lily Nadira, kalau saya nak dengar alasan, lebih baik saya jumpa Sally.” Nizarif memandang sekilas lalu ke arah Sally di meja sebelah yang turut mendongak apabila mendengar namanya disebut. Wanita berusia 27 tahun itu tersengih seraya memperbetulkan sanggul tinggi ala-ala Audrey Hepburnnya.
“No offence, Sally.” ujar Nizarif, mengalihkan tumpuannya semula kepada Lily.
“Offence taken.” balas Sally selamba, kembali mengadap komputernya dan menyambung kerja.
“Why didn’t you consult with me first? Biar saya ingatkan awak, ini masih lagi projek saya.”
Lily menelan air liur, agak gerun sebenarnya apabila dimarahi begitu.
“Okay, saya minta maaf, Encik Nizarif. Sekadar cuba mengambil inisiatif sendiri. Saya yang cakap dengan Datin Hana untuk tangguh perjumpaan hari ni kepada esok dan dia setuju. Ada beberapa perkara lagi yang saya perlu uruskan tapi jangan risau, semuanya akan selesai hari ni.” beberapa keping katalog dan brosur dicapai lalu diletakkan di hadapan Nizarif.
“Kalau Datin Hana ada citarasa yang baik, saya pasti dia akan suka dengan apa yang saya akan tunjukkan esok.” sambung Lily, mengjungkitkan keningnya dengan yakin walaupun sebenarnya dia sedikit ragu. Ditambah pula dengan fakta yang ini merupakan projek penting pertama yang diuruskannya apabila Nizarif dengan murah hati membenarkannya untuk membantu dan tentu saja di bawah seliaan ketat mengalahkan kawalan di kem tentera. 
Setahun sebagai junior designer, dia hanya dibenarkan mengurus projek-projek kecil atau sekadar menjadi pembantu kepada projek-projek utama. Sungguh kali ni dia memerlukan sesuatu yang akan nampak baik di dalam senarai pengalaman kerjanya. Jadi, apabila Nizarif menawarkan peluang tersebut, tentu saja dia tak lepaskan.
Yang memeningkan kepala adalah tugasan ini dirasakan terlalu berat untuk orang yang masih ‘hijau’ sepertinya. Datin Hana merupakan salah seorang klien yang terkenal dengan sikap cerewet dan perfectionist nya, menjadikan berurusan dengan wanita separuh abad itu sesuatu yang hampir kepada sukar. Tapi pada masa yang sama mudah kerana Datin Hana tak lokek untuk berbelanja.
“Walaupun saya suka keyakinan awak tu tapi kadang-kadang ia sangat menakutkan saya. Datin Hana merupakan klien penting untuk kita, untuk DesignHouse. Saya benarkan awak yang baru setahun jagung ni uruskan projek dengan datin bagi pihak saya sebab saya percayakan potensi awak dan juga… sebab awak pembantu saya.”
Telefon bimbit Lily di atas meja bergetar, menandakan mesej masuk. Sengaja dibiarkan beberapa ketika berlalu dengan mengulang baca mesej tak penting daripada Irman menyatakan barang-barang yang dipesannya daripada pembekal sudah selamat sampai.
“Dan pilihan Encik Nizarif tak salah. Now, if you’ll excuse me, I have a sofa frame to inspect, a table lamp to check. Toodles, fellow comrades.” Lily tersenyum, mencapai tas tangan serta buku nota daripada atas meja dan mula melangkah menuju ke pintu. Tidak peduli jika perubahan mood secara tiba-tiba itu membuatkan Nizarif serta beberapa orang lagi rakan sekerjanya memandang dengan hairan.
Kalau lampu meja, kain langsir atau sofa dapat mengalihkan perhatiannya daripada memikirkan tentang raksasa bernama Kuzer Harmy, memang Lily sanggup.
Sampai ke tengah malam nanti membelek benda-benda tersebut pun tak apa. 


***************************************************
Chapter 3!! 
Ya, cepat sebab saya banyak masa terluang sehingga dua minggu akan datang. 

Still a chapter on the beast himself and of course, his 'princess'. 

Happy reading.

Komen dan kritikan amat dihargai.

Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti~ ^^
Share:

0 comments: