Thursday, October 10, 2013

Once Upon A Time 4, 5


4
“Kuzer ada datang jumpa awak?” soalan itu membuatkan dahi Hajah Zanariah berkerut. Lantas dia mengalihkan tumpuan daripada buku di tangan kepada suaminya yang baru saja melabuhkan punggung di atas katil.
“Rindu anak ke? Kuzer kan masih bertapa kat Auckland, nak datang jumpa saya apanya.”
Suaminya ketawa kecil, menggeleng kepala beberapa kali menunjukkan yang dia tahu sesuatu berkaitan anak lelaki tunggal mereka itu.
“Lainlah kalau dia dah balik ke sini. Hrmm, apa yang awak tak beritahu saya ni?” Hajah Zanariah menanggalkan cermin mata, meletakkannya di atas meja lalu berjalan menghampiri katil. Wajah penasarannya menuntut penjelasan lanjut daripada si suami.
“Dia balik sini kelmarin. Agaknya dah penat lari daripada tanggungjawab kot.” jelas Tuan Haji Juwaidi.
“Macam mana awak tahu tu? Jangan cakap awak suruh orang perhatikan Kuzer 24 jam. Tolonglah Juwaidi Harmy, dia tu anak kita, bukannya tahanan perang.” ujar Hajah Zanariah. Riaknya jelas tidak senang dengan tindakan suaminya.
Meskipun Kuzer sering buat masalah tapi tu tak bermakna mereka harus meletakkan anak mereka di dalam kawalan radikal seperti itu. Namun, kepulangan anaknya merupakan satu berita yang baik walaupun tidak disangka.
Pening kepala menguruskan Kuzer yang sememangnya banyak karenah sehinggakan apabila dia menghilang empat tahun dulu selepas melarikan diri daripada perkahwinan yang menerima persetujuan penuh daripada Kuzer sendiri tanpa sebarang paksaan, jantungnya hampir luruh.
Ikutkan hati, mahu saja diturut ke mana Kuzer pergi, mengheret anak itu pulang dan meluahkan segala kekesalan serta amarah kerana memalukan keluarga sebegitu. Tapi entahlah, naluri keibuannya menyuruh Hajah Zanariah untuk melakukan yang sebaliknya. Memaksanya untuk menerima keputusan Kuzer dan memberi peluang kepada anak bujang itu mencari dirinya yang lebih baik dan benar.
Dia serta Juwaidi gagal untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak mereka dek kerana kesibukan bekerja yang tak pernah surut. Jadi, sekurang-kurangnya yang dia boleh buat ialah membiarkan Kuzer mencari jalannya sendiri, jauh daripada sini, jika itu dirasakan cocok.
“Ish, ke situ pula! Tak ada masa saya nak buat semua tu. Awak jangan lupa, orang tua ni yang tanggung semua perbelanjaan anak kesayangan awak tu sampailah sekarang. Tentulah saya tahu ke mana ‘pelaburan’ saya tu pergi.” Tuan Haji Juwaidi menjeling tajam, sedikit kurang senang apabila dituduh melulu. Semua kerana insiden lama yang nampaknya masih segar di dalam ingatan Zanariah.
Benar dia menyuruh orang untuk menyiasat tentang latar belakang bakal menantunya tapi itu lapan tahun dulu.  Lagi pun tak ada yang salah untuk seorang ayah mengambil jalan sebegitu semata-mata risaukan masa depan anaknya. Tambahan pula, Maira Sheila merupakan puteri sulung mereka, jadi dia tak boleh tersalah pilih. Manusia sekarang banyak tipu muslihat dan dengan perangai Kuzer yang sedikit pun tak membantu, dia perlukan seorang menantu yang betul-betul boleh dipercayai. Sayang sekali apabila tindakannya itu sampai ke telinga Zanariah, isterinya itu marah sakan.
Ah, perempuan memang takkan faham logik seorang lelaki! Cuba menjadi ayah yang baik tapi tiba-tiba bertukar menjadi penjahat di dalam rumah sendiri.
“Hairan, kenapa dia tak datang sini jumpa kita?” soal Hajah Zanariah.
“Bila bercakap tentang anak awak tu, tak ada yang menghairankan. Dia buat apa yang dia suka tanpa pedulikan orang lain.”
“Eh, eh, Kuzer anak awak juga. Entah-entah perangai dia yang macam tu ikut perangai awak muda-muda dulu.”
“Sekurang-kurangnya saya tak pernah kena gantung sekolah sebab rosakkan semua kertas jawapan ujian. Dan awak jangan lupa yang kerana Kuzer juga, seorang budak tak bersalah hampir dibuang sekolah. Aduh, kalau ingatkan balik apa yang dia dah buat, nak demam saya rasa! Yang penting sekarang, Kuzer dah balik dan berharaplah dia tak jadi lebih teruk daripada dulu.” balas Tuan Haji Juwaidi, memejamkan matanya yang terasa semakin berat.
Seharian bekerja, badannya yang kini sudah mula dimakan usia memerlukan rehat yang cukup supaya mampu meneruskan rutin sama keesokannya.
Mendengar itu, Hajah Zanariah tersenyum.
 “Mungkin dia takut kita marahkan dia lagi pasal dulu tu.” Hajah Zanariah turut berbaring di sisi suaminya, menarik selimut sehingga ke paras dada.
“Ketakutan dia tu berasas.” acuh tak acuh Tuan Haji Juwaidi membalas, memikirkan sendiri berapa minit lagi perbincangan tentang Kuzer ini akan berterusan sebelum dia dibenarkan untuk tidur dengan tenang.
“Perkara tu dah lama. Lily pun dah bahagia sekarang. Mungkin Kuzer masih perlukan masa sebab tu dia tak beritahu kita yang dia dah balik. Saya tak nak paksa apa-apa dan bila…”
“Dia perlukan masa dan suami awak ni perlukan tidur. Jadi, selamat malam Puan Hajah Zanariah.”
Hajah Zanariah mencebik geram.
Perangai suaminya ni memang sama saja dengan perangai Kuzer, suka buat orang naik darah.

5
            Ketukan bertalu-talu di pintu membuatkan Zaed Akram yang baru saja melangkah keluar daripada bilik mandi sedikit kalut. Menyumpah sendiri, dia terkoncoh-koncoh menyarungkan seluar.
Baru saja cadangnya nak melelapkan mata dan merehatkan tubuh yang lesu setelah seharian menempuh perjalanan memenatkan. Nampaknya niat itu terpaksa ditangguhkan dulu meskipun matanya mungkin tak akan bersetuju.
“Kejap.” laung Ed daripada dalam bilik.
Rambutnya yang basah dilap sekali lalu dengan tuala sebelum tuala tersebut dicampak ke dalam bakul baju kotor yang hanya menanti masa untuk dihantar ke dobi. Tidak peduli lagi untuk melihat refleksinya di cermin, dia bergerak ke almari lalu mencapai sehelai t-shirt dan melangkah ke ruang tamu dengan hati yang berbara.
Ketukan tersebut semakin kuat dan galak, tambah membuatkan darah Ed mendidih.
Sama ada sesiapa saja yang berada di luar sana tak dengar laungannya tadi atau memang sengaja mahu mencari pasal seawal 2 pagi begini.
Dia mendengus. Pintu ditariknya dengan kasar.
“Bahagian mana tentang ‘kejap’ yang kau tak…” kata-katanya dimatikan oleh rasa tak percaya yang menggunung. Hilang terus rasa mengantuknya, terbang melayang entah ke mana. Efek yang lebih hebat daripada secawan kopi mahu pun nescafe.
Matanya digosok beberapa kali untuk memastikan dia benar-benar tak bermimpi.
“Hello, Ed.” lelaki tinggi lampai tersebut tersenyum nakal. Senyuman yang selalu dikenakan apabila dia sedang memikirkan sesuatu yang bakal membawa masalah, senyuman yang membuatkan Ed teringat terus kepada berpuluh-puluh rancangan jahat yang pernah mereka jalankan bersama.
Tapi kali ini, senyuman itu mungkin kerana lelaki itu sedar usaha kecilnya untuk menaikkan darah Ed tadi berjalan dengan penuh jayanya.
“Well, I’ll be damned. Kuzer Harmy is back.” Ed ketawa, menggelengkan kepala seolah masih tak percaya dengan kepulangan teman baiknya itu.
Jay turut sama ketawa.
“The one and only. Boleh tak sekarang kau benarkan aku masuk atau kau nak tengok kad pengenalan aku dulu?” ujar Jay, mendepakan tangannya seakan sudah bersedia untuk diperiksa. 
“Maaflah bro, aku masih lagi terkejut. Kau tahu kau ada kesan macam tu ke atas orang. Masuklah, buat macam rumah aku.” Ed bergerak beberapa tapak daripada muka pintu untuk memberi ruang kepada Jay menapak masuk.
Menutup pintu, dia berjalan membontoti Jay ke ruang tamu.
“Oh by the way,  kau pakai baju terbalik.” komen Jay  dengan bersahaja seraya menghenyakkan dirinya ke atas sofa.
Matanya dibiarkan melata di sekeliling ruang rumah Ed yang tampak kemas dan cantik dekorasi dalamannya. Bersesuaian dengan personaliti temannya itu yang amat mementingkan penampilan.
Sesuatu yang membezakan mereka berdua sebenarnya.
Kuzer Harmy lebih ringkas dengan hanya jeans serta jaket, manakala Zaed Akram pula takkan dapat dipisahkan daripada Bottega atau pun Christian Louboutin untuk melengkapkan imejnya sebagai anak seorang naib canselor merangkap penganalisis kewangan.
Penampilannya daripada hujung rambut sehingga ke hujung kaki sentiasa kemas dan rapi. Rambutnya tak pernah dibiarkan panjang walau seinci, wajahnya tak pernah dibiarkan tak bercukur dan pakaiannya sentiasa padan sehingga kadang-kadang Jay terfikir tentang jenis modul yang diterapkan di rumah oleh bapa Ed, Professor Madya Datuk Dr. Zakiy Hassan.
“Bila kau balik?” soal Ed.
“Dua hari lepas. Ed, aku harus cakap yang aku bangga dengan kau. Dah ada syarikat sendiri, rumah sendiri. Aku sentiasa tahu kau berbakat besar.”
“Kau menyindir atau benar memuji? Syarikat IT kecil-kecilan saja, tak ada apa yang nak dibanggakan pun. Mana kau tahu aku tinggal kat sini?”
Jay memandang Ed, tersengih nakal.
“Aku tanya adik kau, Zakri.”
“Kau telefon adik aku kat asrama sana nun? Keluarga kau tinggal dekat je, tak payah nak dramatik sangat sampai perlu telefon Zakri kat Perak.”
“Now, now, where’s the fun in that? Aku beritahu kerani sekolah tu yang aku ayah kau dan aku perlu bercakap dengan Zakri segera. Bukan salah aku kalau mereka terlalu mudah percaya. Oh ya, aku mungkin ada ugut adik kau sikit tapi sebab aku tak nak dia buka mulut kepada keluarga kau tentang kepulangan aku.” Jay berkata. Riak kebosanannya membuatkan tawa Ed meletus.
“Jay, kau masih tak berubah. Otak bergeliga kau tu kalau digunakan untuk bisnes, mesti dah jadi jutawan.” dia bergerak menuju ke dapur, menghilang di sebalik kegelapan yang menghiasi segenap ruang rumah.
“Bisnes apa, Skim Cepat Kaya? Aku mungkin ada bakat mengenakan orang seperti tu.”
Kembali bersama dua botol air mineral di tangan, Ed menghulurkan satunya kepada Jay dan mengambil tempat di sofa berhadapan dengan lelaki itu.
Pertama kali dia mengenali Kuzer Harmy adalah ketika mereka berdua berumur 13 tahun. Sejak daripada itu, mereka menjadi kawan rapat dan Ed turut terlibat sama dalam apa juga yang ada di dalam kepala gila Jay.
Namun berbeza daripada temannya itu yang seolah tak punya batasan dan gemar merencana, dia lebih senang mendengar dan kalau rancangan tersebut dirasakan keterlaluan, sama ada dia cuba menghalang atau menjauhkan diri sehingga semuanya selesai.
Tetapi selalunya dia akan berusaha memujuk Jay keluar daripada semua idea gila tersebut. Satu usaha yang tak pernah membuahkan hasil apabila berdepan dengan kedegilan tahap batu manusia bernama Kuzer Harmy.
Pada pendapat papa, Jay memerlukan pemulihan serta terapi namun bagi Ed, lelaki itu hanya memerlukan kasih-sayang, perhatian dan persahabatan.
Persahabatan… Yang mana sekarang sedang berdiri di atas landasan yang cukup rapuh apabila mengenangkan hal yang dia pasti belum sampai ke pengetahuan Jay.
“Untuk sesuatu seperti tu, kau perlukan penolong yang sama handal dalam hrmm… memutar kebenaran.” gurau Ed.
Jay mengjungkitkan kening.
“If you’re referring to Lily Nadira, forget it. That little barbie doll is engaged.” segaris kekecewaan singgah ke wajah itu dan walaupun seketika cuma tapi sempat ditangkap jelas oleh mata Ed.
Kekecewaan yang benar wujud di dalam hati makhluk pentingkan diri yang tak suka dikalahkan oleh perasaan.
Dia tahu semuanya yang terjadi di antara dua manusia tersebut dan hubungan mereka sesunguhnya tak normal. Jay dan Lily merupakan gandingan sama padan, bukan saja daripada segi fizikal tetapi juga mental. Cara mereka berfikir hampir sama dan keupayaan mereka memutar belit keadaan tak perlu dipertikaikan. Itulah yang terjadi apabila terlalu banyak menghabiskan masa dengan satu sama lain, hasil 16 tahun persahabatan.
Dia sendiri mengenali Lily melalui Jay.
Kalau ada perkara yang betul-betul penting buat Kuzer Harmy selain dirinya sendiri, perkara itu adalah Lily Nadira. Kerana itu dia pasti ramai terkejut apabila Jay memilih untuk menghilang beberapa hari sebelum pernikahan mereka.
“Yup, aku ada dengar. Apa perasaan kau? Err… maksud aku, memandangkan kau dengan dia rapat dulu.” Ed berdehem. Botol air mineral itu dicapai lalu diteguk sekali, membasahkan tekak yang tiba-tiba terasa kering.
Cuaca malam ni memang panas atau itu perasaan dia semata? Fuh!
“ ‘Rapat’ tu mungkin perkataan yang agak longgar. Kami hampir berkahwin, Ed. Apa pun, kau tahu siapa tunang dia?” Jay menyoal, wajahnya kelihatan benar berminat untuk tahu.
Mata Ed membulat.
“Eh?! Manalah aku tahu. Jarang berbual dengan Lily. Masing-masing sibuk. Lagi pun, pelik pula nak berborak bila kau tak ada.” alat kawalan jauh di sisinya dicapai dan tanpa sebab, televisyen dihidupkan. Sengaja mahu mengalihkan seketika perhatiannya daripada Jay yang sedang membuat pertimbangan sendiri.
Buat masa sekarang, menonton adegan Gerald Butler serta Katherine Heigl yang sedang bertekak mempertahankan pendapat masing-masing di dalam The Ugly Truth lebih baik daripada melayani soalan-soalan Jay berkaitan Lily serta tunangannya. 
“Pelik.” ujar Jay, membuatkan dahi Ed berkerut. Nyata kurang senang dengan reaksi temannya itu.
“Apa yang peliknya? Kau tinggalkan dia lama, Jay. Memang melampaulah kalau kau harapkan dia untuk tunggu kau selepas semua tu. Like any normal human being with sound minds, she moved on. So should you.” ujar Ed satu per satu supaya jelas di pendengaran Jay. Wajahnya itu direnung, cuba untuk menebak apa saja yang ada di dalam fikiran lelaki tersebut.
“Pelik sebab Lily tak nak beritahu aku siapa tunang dia, dan kau pun sama. Hrmm, anyone I know?”
“Ya Allah, Jay. Aku bukan tak nak beritahu kau tapi aku tak tahu! Jangan nak mengarut, boleh tak? Lagi pun, siapa saja tunang Lily tak ada mengena dengan kau. Kau Kuzer Harmy dan kau boleh dapat sesiapa saja yang kau nak.” suara Ed meninggi.
Dia bangun daripada sofa, sengaja mahu mewujudkan sedikit jarak di antara mereka berdua. Terasa mula dihimpit oleh aura gelap Jay yang kembali muncul, membuatkannya lemas dan rimas.
Ed tahu apa yang ada di dalam fikiran Jay ketika ini dan memikirkan itu saja sudah buat dia sesak nafas.
Dia kenal benar Kuzer Harmy dan menyerah kalah dengan mudah bukan perangainya. Kalau dia mahukan jawapan, memang itulah yang akan dicarinya tak kira apa juga cara serta harganya. Salah satu kesukaran apabila berurusan dengan orang seperti Jay adalah rasional tak pernah menang kerana dia langsung tak peduli.
“Aku tak berminat dengan siapa-siapa, tak punya perasaan pun untuk itu. Tapi… aku berminat nak kenal dengan tunang Lily. Jangan risau, aku budak baik sekarang. Takkan buat benda-benda bodoh macam dulu lagi.” Jay membasahkan bibir sebelum menambah.
“Aku pasti dia seorang yang sangat membosankan.”
Senyuman yang kini terukir di bibir Jay membuatkan Ed kecut perut.
“Mungkin, sebab tu Lily tak nak beritahu kau. Dia tak nak kau gelakkan pilihan dia atau… dia tak nak kau buat masalah. Lily kawan kita, belajar respek keputusan dia. Lupakan saja, tak penting pun.” dan dia tak pasti kalau Jay mendengar kata-katanya kerana lelaki itu kini sedang sibuk membelek sesuatu di telefon bimbitnya.
Melemparkan alat kawalan jauh ke atas sofa, Ed meraup wajahnya dengan kasar. Dia menarik nafas.
Jika Jay sudah mula berlagak seakan dia tak wujud, maknanya lelaki itu sedang merancang sesuatu dan sebarang rundingan tak akan diterima atau pun diambil kira lagi. Perkara yang kerap dilakukan Jay sekiranya dia tidak mahu dileteri dengan poin-poin serta hujah yang dirasakan tak penting dan membuang masa.
Hantu kau, Jay! Ed mengetap bibir.
“Jay, apa tujuan kau balik sini?” dia bertanya, kali ni nadanya lebih serius menuntut perhatian.
Jay mengangkat muka, membalas renungan Ed dengan sedikit rasa kagum.
“I didn’t know you had a temper, Zaed Akram. Impressive.” keningnya dijungkitkan, masih lagi mahu menyakat.
“Jay.” Ed mengeluh berat.
Jujur dia senang Jay sudah kembali tapi sekurang-kurangnya dia perlu tahu tujuan kepulangan lelaki tersebut supaya dia dapat bersedia dengan apa juga yang bakal dan akan berlaku.
“I belong here. My life, my story will end here.” satu jawapan tenang daripada seseorang yang dulunya tak pernah punya perasaan.

Jawapan yang buat Zaed Akram terus kematian kata.

********************************************************

Assalamualaikum and olla! 
Howdy ho, peeps? 

Introducing Zaed Akram, my personal favorite. 

What good of a king without his second in command, or is the second in command is a prince himself? 
Who doesn't love a prince, especially one with a secret to hide.

But, I kinda adore their bromance banter though. 

Stay tune and let me know your personal favorite heee~


As usual, komen dan kritikan sangat dihargai. It keeps me motivated ngeee...

Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti ^^
Share:

3 comments:

Mak Mila Xynkxorx said...

terjatuh cinta dengan karya anda,,,apabila bace novel one day you'll be mine :)
best gilerr

InawzaYusof said...

Hai!! Selamat datang ke Escape Hatch Mak Mila Xynkxorx~ ^^ *waves*

Aww thank you so much for reading ODYBM! For the first time orang beritahu jatuh cinta dengan karya saya instead of jatuh cinta dengan Encik Ehsan haha :) I'm honored, really! Thank you~

Wheww, there's a butterfly in my stomach now hehe

Anyway, please do enjoy your stay here. Looking forward to hear from you again.

xoxo

Mak Mila Xynkxorx said...

huhuu jatuhh cinta dengann en ehsan y xder perasaan itu sudah semestinya.. rasa nak ulang banyak kali bace.. skrang cube untuk beralih arah kpd en Jay pula...hihihii