Matahari yang masih
terlindung di sebalik awan mula mewarnai alam dengan serakan cahayanya,
menandakan permulaan kepada satu lagi hari baru. Burung-burung sudah dahulu
bangun menceriakan sekeliling dengan kicauan tanpa henti, mencipta satu
kedamaian yang terlalu dekat dengan jiwa.
Rata-rata orang sedang
sibuk bersiap sama ada untuk ke tempat kerja mencari rezeki atau pun ke sekolah
menuntut ilmu. Semua tak terlepas daripada tanggungjawab yang menjanjikan
sebuah kehidupan yang lebih baik.
Bagi Maira Sheila, dia
lebih selesa menjadi seorang surirumah sepenuh masa. Mendedikasikan seluruh
harinya kepada dua orang anak serta suami tercinta. Selama sembilan tahun dia
menguruskan keluarga di rumah, tak pernah sekali pun dia menyesal kerana
meninggalkan kerjayanya meskipun papa serta mama keras tak bersetuju.
Walaupun dia tak pernah
mengutarakannya tapi Sheila sebenarnya tak mahu menjadi sesuatu seperti ibunya.
Sentiasa sibuk mengejar dunia kerjaya sehingga mengabaikan keluarga. Seawal
usia lima tahun lagi dia sudah belajar menjaga diri sendiri serta adik-adiknya.
Berkongsi cerita dengan pembantu rumah yang bertukar ganti daripada kedua ibu
bapa yang sepatutnya sentiasa di sisi.
Sheila menuang kopi
yang masih berasap ke dalam cawan suaminya. Matanya dilirik ke arah si kembar
yang sedang mengunyah roti bakar, berbisik sesama mereka dan kemudian tertawa.
“Terima kasih.” ucap
Umar yang kini turut tertarik dengan gelagat kedua anak mereka. Dia memandang
Sheila tapi isterinya sekadar mengangkat bahu.
“Apa senyum-senyum ni?”
Umar bertanya.
Si kembar tersebut
saling berpandangan, berkongsi satu sengihan nakal lalu menggeleng. Gelengan
yang Umar serta Sheila sendiri tahu bermakna ‘sesuatu’ bukan ‘tak ada apa-apa’.
“Saya dengar adik awak
dah balik.” tumpuan Umar beralih semula kepada Sheila yang baru duduk di sisi.
Sheila mengerutkan
dahi.
“Baru semalam Angah
beritahu dia balik sini minggu depan. Hrmm ada perubahan jaduallah tu.”
“Bukan adik awak yang
itu lah. The infamous Kuzer Harmy.”
Hampir tersedak Sheila
mendengar nama itu disebut. Cepat-cepat dia mengambil tisu lalu mengelap mulut.
Adik lelakinya yang tak
pernah peduli untuk membalas e-mel mahu pun panggilan telefonnya. Memilih untuk
mendiamkan diri sepenuhnya seolah kalau mungkin, memutuskan semua yang
menghubungkan dia dengan kehidupannya di sini.
Kalau sudah setekad
itu, kenapa pulang sekarang?
Meskipun mama melarang
tapi Sheila tak pernah berputus asa untuk memujuk Jay supaya kembali ke sini.
Satu usaha yang sia-sia tapi sekurang-kurangnya dia mahu adiknya itu tahu yang
dia tak pernah bersendirian dan ada orang yang menyayanginya selalu.
Dan walaupun Jay
dulunya tak pernah berhenti menyusahkan hidup Umar, tak sudah-sudah mencipta
masalah di antara mereka, tapi Sheila yakin Jay mampu menjadi seseorang yang
lebih baik.
“Took him long enough.
Mana abang tahu?”
Umar menyudukan nasi
goreng ke dalam mulut, mengunyah beberapa ketika. Sengaja pula membiarkan
isterinya itu tertanya-tanya sendiri.
“Abah beritahu semalam.
Dia tinggal kat hotel.”
“Kenapa dia tak balik
rumah saja? Pelik-pelik sungguh budak tu.”
“Duit banyak sangat kot
sampai tak tahu nak buat apa. Oh he’s staying at a competitor’s hotel, I might
add.” untuk itu, satu tamparan hinggap ke lengannya.
Umar sekadar tersengih.
“Hari ni biar saya
hantar budak-budak ke sekolah. Hafiz, Haikal, salam mama. Jom, nanti jalan
sesak.” air kopinya diteguk untuk terakhir kali sebelum bergerak ke pintu.
Sheila membontoti
daripada belakang, melayani karenah anak-anaknya yang kini riuh mengira duit
belanja mereka.
“Jangan lupa bekal ni.”
ujarnya, membuatkan si kembar menarik muka masam. Sudah diagak helah mereka
berdua. Memang berpura-pura terlupa mengambil bekalan tersebut daripada atas
meja.
“Bawa bekal untuk budak
perempuan la, mama.” komen Haikal.
Sheila bercekak
pinggang memandang Umar yang sedang berdiri di sebelah kereta, tersenyum geli
hati.
Baru tujuh tahun dah banyak
songeh. Haish la anak-anak…
Aroma
kafein yang menyelerakan menghiasi ruang udara, memaksa Jay membuka mata. Bunyi
bising daripada arah dapur kali ni menghalang niatnya untuk menyambung semula
tidur.
Jam di tangan dilirik
sekali.
Uh!
Dia mengeluh malas.
Dengan tubuh yang masih
selesa dibaluti selimut, dia bangun, mencapai telefon bimbitnya dan mengheret
kaki menuju ke dapur. Menggosok-gosok matanya, Jay terpaku seketika di muka
pintu, cuba mencerna pemandangan asing di depannya itu.
Zaed Akram kini segak
dengan slack hitam serta kemeja jalur putih merah jambu yang dipadankan bersama
ves dan lengkap bertali leher sedang menyiapkan sarapan pagi. Bercakap tentang
etika pemakaian ketika menyediakan makanan dan Ed baru saja lulus dengan cemerlangnya.
Jay menekup mulut
menahan tawa sebaliknya menggantikan dengan batuk kecil.
“Terima kasih sebab
benarkan aku tumpang sofa kau. Terima kasih juga sebab selimutkan aku semalam.
Your sweetness touch my heart.” ujar Jay. Tangannya diletakkan ke dada dengan
riak yang sengaja dituluskan seolah dia benar memaksudkan kata-katanya tadi.
Ed menoleh. Keningnya
bertaut.
“Kenapa kalau kau cakap
apa-apa mesti ada unsur sarkasme kat situ?” balas Ed, mengisyaratkan kepada Jay
supaya duduk. Dia meletakkan sebiji mug di atas kaunter bersama tiga bungkus
nasi lemak.
“Dan kenapa kalau aku
cakap sesuatu kau selalu anggap aku sarkastik?” dengan malas, Jay menarik
kerusi lalu duduk. Mukanya disembamkan ke atas meja kaunter.
Awal betul hari si Ed
ni bermula, sama seperti hari-hari mama dan abah. Mengingatkannya terus kepada
hari persekolahan yang sungguh membosankan.
“Lepas ni apa pula? Kau
nak ajak aku tidur sekatil dengan kau?” soal Jay, nakal.
“Tengok! Aku dah agak
kau memang nak main-mainkan aku. Grow up, Jay.”
Berderai tawa Jay
melihat muka bengang Ed kerana dipermain-mainkan.
Sensitif sungguh
kawannya di pagi indah begini. Dihantui mimpi ngeri atau pun tersalah tidur
semalam?
Menuang nescafe ke
dalam mug, Jay sekali lagi membelek telefon bimbitnya.
“Apa rancangan kau hari
ni?” soal Ed, kembali duduk di kerusi yang dikosongkannya sebentar tadi.
Jay mengangkat muka,
tersengih.
“Balik hotel, sambung
tidur. Kemudian, ada beberapa kawan lama
yang aku nak jumpa.”
Ed mengecilkan mata,
tidak sedikit pun percaya dengan pembohongan jelas Jay itu. Dia tahu Jay ada
rencana lain dan pastinya berkaitan dengan perbincangan menyakitkan kepala
mereka semalam.
Beberapa saat sebelum
niat sebenar Jay mula mengambil tempat di dalam benaknya.
Wajah Ed berubah.
Kali ni, memang dia tak
bersetuju langsung dengan pelan tak masuk akal begitu.
Apa otak Jay tak pernah
berehat ke? Dan kenapa semua idea yang wujud di dalam kepala lelaki itu
semuanya tak normal?
“Kau rasa tunang Lily
tu salah seorang daripada kawan kita dan jangan beritahu aku yang kau nak jumpa
mereka semata-mata nak mengeratkan silaturrahim. Gosh, kau masih lagi
menakutkan.”
“I have a few suspects
in mind.” balas Jay dengan selamba, tidak peduli dengan respons tak bersetuju
kawannya.
Air nescafe yang sedang
diteguk Ed terus naik ke hidung, tersedak lelaki itu.
Suspek?! Apa ni, drama
televisyen Castle? Semakin parah pula kegilaan Kuzer Harmy.
“Satu perkataan, gila.
Aku tak faham kenapa kau peduli sangat siapa tunang Lily. Dia tak peduli pun
tentang kau. You’ve basically downgraded yourself to stalker level and I tell
you my friend, that is not healthy.”
Jay tersenyum,
memusing-musingkan telefon bimbitnya dengan jari dan apabila tangan Ed menarik
telefon bimbit tersebut barulah dia kembali mengangkat muka.
“Kau buat semua ni
sebab kau nak Lily balik, kan? Kau masih sayangkan dia dan tengok dia bahagia
tanpa kau buat hati kau tak senang. Betul?” tebak Ed.
Soalan yang baik dan
sayangnya Jay tak punya jawapan yang pasti. Ya, perasaannya kepada Lily masih
sama, tak guna dinafikan kerana itu kebenarannya.
Tujuan serta
tindakannya kini bertindih sehingga dia turut keliru. Lily sebahagian daripada
masa lalu yang cuba dilepaskannya kerana dia mahu bebas dan tenang seperti
masa-masanya di Auckland bersama Ermeelia.
Jadi bukankah sepatutnya dia senang jika Lily sudah mempunyai hidup baru yang
lebih gembira dan mudah?
Lily ada pilihan lain,
dan pilihan membahagiakan itu bukan Kuzer Harmy. Bermakna dia sudah boleh
melepaskan wanita itu pergi dengan sepenuh hati dan ikhlas. Semudah itu juga
dia dapat membuka buku baru dan membina jalan cerita berbeza.
Masalahnya di sini
ialah, keikhlasan untuk melepaskan Lily pergi tu terlalu palsu untuk disimpan
atau dinilai.
Jadi, apa sebenarnya
dia nak?
Dengan berhati-hati Jay
cuba menyusun jawapan supaya Zaed tidak menyedari konflik yang sedang
dihadapinya. Manusia bermoral tinggi seperti temannya itu pasti takkan
melepaskan peluang untuk membentangkan hujah umpama peguam di mahkamah tentang
bagaimana dia hanya mementingkan diri sendiri dan tak punya pendirian.
Bla bla bla… Dia dah
dengar macam-macam dan semuanya sama.
Bukan salah dia kalau
dia tak mampu nak memikirkan tentang manusia lain yang tentu sekali tak pernah
peduli tentangnya kecualilah di masa dia jatuh tersungkur atau pun… ditahan
dilokap.
“Aku peduli sebab Lily
tak nak aku tahu. Bermakna dia sedang sembunyikan sesuatu daripada aku dan aku
tak suka rahsia. With Lily, there’s always a catch.”
“What catch?! Semua tu
dalam kepala kau saja. Lily dah berubah, bukan macam dulu lagi. Dia dah bahagia
dengan hidup dia, Jay. Kenapa kau tak boleh nak faham tu?”
Jay merenung Ed, lama.
Ada sesuatu yang
semenjak semalam lagi dirasakan tidak kena tentang sahabatnya yang satu ini dan
kini, dia rasa dia tahu apa.
“Untuk seseorang yang
cakap dah lama tak jumpa Lily, kau seperti tahu banyak perkara tentang dia.”
Membetulkan duduknya,
Ed mengeluh.
Kalau ketika ini dia
ditawar untuk menggunakan talian hayat demi menyelamatkan diri, tentu saja Ed
akan menggunakannya. Tak ada yang lebih menakutkan daripada interogasi Kuzer
Harmy yang tak mengenal erti penat.
Kedua belah tangannya
diangkat umpama menyerah kalah.
“Okay, aku tipu kau.
Aku memang ada jumpa dia. Rumah aku yang kau cakap cantik ni, semuanya idea
Lily. Dia kerja kat DesignHouse sekarang.”
Mata Jay bersinar dan
Ed tidak dapat membaca apa yang sedang difikirkannya.
“Jadi, kau sebenarnya
tahu siapa tunang Lily?”
Ughh! Itu juga soalan
yang diajukannya.
Jay memang takkan
menyerah kalah. Jalan terbaik untuk mengelak daripada menjawab soalannya adalah
dengan melarikan diri. Mungkin kini dia pula yang patut menghilang,
menggantikan tempat Jay.
Ed menilik jam
tangannya lantas bangun. Mugnya diletakkan ke dalam sinki.
“Aku dah nak gerak.
Unlike the stalker that you’ve become, I have a job to keep, a business to run.
Ni kunci rumah untuk kau simpan. Amaran keras, jangan cuba nak jual apa saja
yang ada dalam rumah ni.” guraunya.
“Mengelak daripada
menjawab. Taktik lapuk tapi okay, aku terima.” Jay berkata.
Ketawanya dan Ed
bergabung.
“Oh ya, sebelum kau
mulakan apa saja misi menyiasat kau tu, mandi dulu. You stink.”
*****************************************************
Assalamualaikum & hello ^^
Presenting... Bab 6.
Tak banyak progres but hopefully this would do.
Still on my two favourite characters; Jay & Ed.
So, kelas akan mula Isnin ni.
Update will be... almost to none :P
Basically, I've finished writing Phase 1 for Once Upon A Time. There are 6 phases altogether.
Kepada yang sudi singgah, baca dan komen, terima kasih. I love you guys to bits and pieces.
Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti~