Thursday, November 22, 2012

One Day You'll Be Mine 29


“Zarith.” dia separuh berlari ke arahku. Wajah putihnya kemerah-merahan dan terdapat jaluran air mata yang menghiasi pipi gebu itu.

Dia sangat cantik! Terlalu cantik sehingga aku tidak dapat mempercayai yang dia sudah mempunyai anak dan kerana kecantikan itu jugalah aku kaku umpama mannequin di pasaraya. Rambutnya yang melepasi bahu itu ditutupi selendang jarang berwarna ungu. Lesung pipit yang menambahkan kemanisan wajahnya jelas setiap kali bibir yang cantik terukir itu bergerak.

“Kakak.” panggilan Ina menyedarkan aku yang sedari tadi merenung perempuan cantik itu walaupun dia kini sudah berdiri tegak di hadapanku. Serta-merta aku rasakan wajahku bertukar panas.

“Ah, ya! Maaf.” aku berkata, menyerahkan semula Zarith kepadanya.

Lantas pipi milik anak itu diucupnya berkali-kali, menunjukkan betapa dia mengasihi anaknya itu.

“Terima kasih sebab tolong jagakan dia. Saya risau sungguh. Ya Tuhan, hampir gila dibuatnya.” dia berkata dengan satu senyuman kelegaan.

Jikalau aku sahaja terpegun melihatnya, kaum lelaki apatah lagi. Mungkin kerana itu di usia yang muda dia sudah disambar. Teringin pula aku untuk melihat reaksi Ehsan sekiranya melihat wanita ini. Apa masih beku atau pun cair seperti lilin yang dibakar?

Anaknya juga sangat comel. Alisnya lentik, hidungnya mancung, pipi gebunya yang montok dan sekali pandang, Zarith kelihatan seakan anak kacukan. Tentu sahaja kerana mamanya sendiri seperti cewek bule.

 “Mention not. Mereka berdua yang jumpa dia.” aku membalas senyumannya, menunjuk ke arah Ina serta rakannya.

“Terima kasih kepada semua sekali.” wanita itu ketawa, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Terlalu cantik...

Aku hanya mengangguk.

Setelah beberapa minit berlalu tanpa sebarang bicara, aku mengangguk sekali lagi dan mula mengatur langkah kembali ke dalam kedai. Sebagaimana aku asyik merenung dirinya, begitu jugalah dia merenung aku tadi sehingga membuatkan aku tidak selesa. Seperti membalas dendam pula lagaknya.

 “Tunggu! Saya Nahda.” tangan kanannya dihulurkan manakala mata galaknya di arahkan tepat kepada aku..

Sunglasses aku tanggalkan lalu memasukkannya ke dalam tas tangan sebelum  membalas huluran itu. Dia menggenggam erat tanganku, matanya masih meneliti aku daripada hujung kaki sehingga ke hujung rambut.

Malu pula dengan keadaan diri aku yang cukup simple dihiasi pula dengan sepasang mata panda dek kerana tidur yang tidak cukup.

 “Fitri.” aku memperkenalkan diri.

Tiba-tiba sahaja wajah cantik itu bertukar serius, mengangguk penuh yakin seolah dia benar sudah mengenali aku. Perubahannya itu membuatkan aku tertanya-tanya sendiri.

 “Saya tahu.”

“Hah?!” kaget sebentar aku dengan kata-katanya yang tidak langsung ku duga itu.

“No, no...Maksud saya cantik nama tu. Sesuai dengan awak.”dia ketawa, cuba menyembunyikan kegugupan di atas ketelanjuran kata-katanya sebentar tadi.

Hrmm aku tak rasa aku salah dengar tapi entahlah, di dalam kepenatan begini,aku sudah tidak pasti lagi apa yang benar apa yang tidak. Perlahan-lahan aku memicit dahi yang mula berdenyut. Cahaya lampu yang berwarna putih mencucuk-cucuk mataku lalu sunglasses aku sarungkan semula.

“Dan ini hero saya, Zarith Ariffin.” Zarith ketawa terkekeh-kekeh mempamerkan dua batang gigi arnabnya apabila diagah Nahda.

Hati aku sedikit berbunga dan cemburu melihat aksi dua beranak ini. Bilalah agaknya aku boleh mengagah anak sendiri? Ah, dengan kisah hidup aku yang masih bercelaru, lambat lagilah rasanya!

Bersabarlah wahai hati.

Nice meeting you Nahda, Zarith. Saya minta diri dulu. Jaga baby elok-elok, jangan sampai hilang lagi.” gurauku. Pipi montel Zarith aku cuit.

 “Err Fitri...Sebagai tanda terima kasih, saya belanja awak minum?” laju sahaja dia berkata seperti bimbang aku akan meninggalkan mereka berdua tanpa sempat dia menyatakan hasratnya itu. Matanya penuh mengharap tetapi sesungguhnya aku penat dan tiada lain yang aku mahu selain daripada pulang ke rumah dan berehat. Sebelah petangnya pula aku terpaksa ke pejabat dan menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh. Jadi tidak mungkinlah untuk aku menerima pelawaannya itu.

 “Saya sebenarnya...” aku terhenti, cuba memikirkan cara yang baik untuk menolak. Wajahnya aku pandang.

Please.” tuturnya lembut.

Mampukah aku untuk mengharungi hari ini tanpa tidur? Sekiranya aku ke pejabat, entah pukul berapa baru aku pulang ke rumah. Esoknya pula aku masih perlu bekerja. Teragak-agak sebentar aku untuk menyambung kata. Riak Nahda yang begitu polos dan penuh pengharapan itu tidak membantu aku untuk membuat sebarang keputusan.

Zarith mula merengek kebosanan, memberi sedikit masalah kepada Nahda untuk mendukungnya. Aku perlu membuat keputusan segera, segan pula membuat orang ternanti-nanti sedangkan diri ini bukannya sesiapa. Dia tulus dengan pelawaannya itu dan angkuh sangatkah aku untuk menolaknya? Tapi...

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya.

Kata orang badan ni tidak boleh dimanja-manjakan sangat atau kita akan menjadi lemah. Aku rasa aku masih akan hidup tanpa tidur.  Belajar untuk susah sedikit, Fitri! Jikalau ketika di universiti dahulu kau betah untuk tidak tidur seharian menyiapkan assignment, tidak mungkin kali ini kau tidak mampu?

“Okay tapi saya nak bayar dulu barang saya kat dalam tu.” akhirnya aku memberi persetujuan membuatkan Nahda tersenyum senang.

“Terima kasih, awak memang baik. Awak selesaikan dulu kerja awak tu. Nanti saya tunggu dekat sana.” jarinya diluruskan ke satu arah.

“Okay.” balasku.

Hrmm aneh sekali tetapi aku menyenanginya meskipun kami baru kenal.

Selepas sahaja menyelesaikan segala urusanku, aku menemui Nahda yang sudah sedia menanti dengan Zarith yang kini sudah tertidur nyenyak di dalam strollernya. Hanya Nahda dan Zarith di situ, suaminya tidak ikut bersamakah? Teringin juga aku untuk bertemu dengan lelaki yang berjaya menakluki wanita secantik ini. Tentunya dia memiliki kewibawaan dan kesegakan yang tersendiri sehingga mampu memenangi Nahda yang pada aku satu di dalam seribu. Kecantikannya sesuai dengan perwatakannya yang lembut dan baik itu. Sukar untuk berjumpa dengan orang sepertinya di zaman moden ini.

Wanita seperti Nahda sudah semestinya tidak akan membiarkan dirinya dikuasi kemarahan dan melakukan sesuatu bodoh yang memalukan diri sendiri. Aku tidak pasti jika wajah itu pernah atau mampu untuk mengukir kemarahan. Pastinya perempuan begini yang dicari oleh lelaki, bukan seperti aku. Spontan akalku membandingkan diriku dengan Nahda yang aku kenali tidak melebihi dua jam itu.

“Terima kasih.” ucapnya kepada pelayan yang baru sahaja selesai mengambil pesanan itu. Aku hanya mampu tersenyum memerhatikan pelayan tersebut meninggalkan meja kami dan bergerak ke kaunter.  Tidak mempunyai idea untuk memulakan sebarang perbualan, aku berpura-pura meneliti lukisan yang tersergam megah di dinding sebelum cuba mencongak jumlah lampu yang terdapat di situ.

Aktiviti yang tidak berfaedah, aku tahu tetapi aku tidak punya apa-apa untuk dikatakan. Kalaulah Nahda boleh berhenti merenung aku sebegitu dan berkata sesuatu...

“Kenapa?” akhirnya aku mengalah dan bertanya.

Nahda ketawa kecil, hanya menggeleng.

“Sangat gembira jumpa awak. I just couldn’t believe it.”

“Tak percaya apa?” aku mengerutkan dahi. Setiap kata-kata Nahda pasti sahaja membuatkan aku tertanya-tanya. Semenjak aku mengenalinya beberapa puluh minit yang lepas, sentiasa sahaja dia menuturkan sesuatu yang kedengaran agak pelik kepada ku. Seorang lagi yang boleh dimasukkan ke dalam senarai manusia pelik aku?

“Fitri adalah kawan pertama saya.” dia berkata.

“Kawan pertama?” kekurangan rehat membuatkan ‘transfer rate’ aku agak perlahan. Maklumat secara langsung yang sampai memerlukan masa yang lebih lama untuk diproses oleh otakku manakala maklumat secara tidak langsung atau kiasan mengambil masa dua kali ganda untuk diproses apabila aku kepenatan. Jadi amatlah tidak disaran untuk menggunakan teknik berkenaan sekiranya aku berada di dalam mode sedemikian.

“Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia pula tu.”

Wow, pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia?! Dari mana dia datang? Itu menjelaskan kenapa dia kelihatan seperti wanita bangsa asing; kulitnya yang putih, matanya yang kecoklatan.

“Betul? Sebelum ni awak tinggal di mana?”

Somewhere in the globe. Saya lahir, tinggal dan berkeluarga di sana tapi my mum memang asal Kuala Lumpur. Zarith pun lahir kat sana sebab tu saya begitu teruja untuk bawa dia balik Malaysia.”

“Oh kiranya bercuti dengan keluargalah ni? Berapa lama?” walaupun dibesarkan di luar negara, dia masih juga teringatkan negara kelahiran ibunya.

Sikap yang harus dipuji kerana tidak semua memiliki sifat patriotik sebegini. Lihat sahajalah pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negeri, hampir kesemuanya lebih gemar berkerja dan tinggal di sana daripada pulang mencari rezeki di tempat sendiri.Ya, memang harus diakui gaji yang ditawarkan di Malaysia jauh lebih rendah namun itu bukan alasan untuk bersikap pentingkan diri sendiri. Sebagai rakyat Malaysia kita amat bertuah sebenarnya kerana dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan. Berada di luar lingkaran api pasifik yang mana menjauhkan negara kita daripada sebarang kejadian alam yang menakutkan seperti gunung berapi, ribut taufan  dan gempa bumi. Kestabilan ekonomi dan politik yang menyelamatkan kita daripada sebarang kebuluran dan rusuhan. Ah, terlalu banyak kelebihannya!

Ehemm...kenapa pula aku tiba-tiba bertukar patriotik dengan membentangkan semua fakta yang pernah aku baca daripada buku geografi sekolah dahulu? Tak sangka pula aku masih mengingati semua itu. Boleh tahan juga daya ingatan aku rupanya.

“Lebih kurang macam tu tetapi tak pasti lagi berapa lama, bergantung kepada urusan saya di sini.”
“Suami ikut sekali ke?” aku tidak dapat menahan diri aku dariapda menyebut tentang itu. 

Sungguh aku penasaran untuk tahu.

Nahda tersenyum lagi seraya menggeleng.

Divorced.”

 “Maaf, itu soalan yang sangat tak sopan. Saya tak berniat nak sibuk hal hidup awak.”

“Eh, tak ada apa-apalah! Jangan risau. Saya dah terbiasa dengan soalan tu. ” Nahda mencari mengeluarkan sesuatu daripada dompetnya sebelum menghulurkan sekeping kad kepadaku.

Teragak-agak sebentar aku sebelum mencapainya, membaca satu persatu ayat yang tertulis di situ.

Oh, jadi Nahda seorang doktor! Terlopong aku membaca kelulusan yang dirangkai indah di dalam tulisan bertinta emas itu. Rasa kagumku kepada wanita itu semakin menggunung. Semakin kerdil terasa diri ini.

“Saya seorang psychiatrist. Salah satu sebab yang membaca kepada perceraian saya dan suami. Dia kata saya ni gila kerja dan mungkin dia benar. Tak boleh nak salahkan dia.”
Perasaan kurang percaya singgah di hati ini apabila melihat Nahda. Bukankah dia terlalu muda untuk melalui semua kepahitan sebegitu? Zarith pula masih kecil untuk kehilangan seorang ayah dan aku fikir kehidupan aku sudah teruk.

Setelah melalui masalah yang hebat itu, Nahda masih berupaya untuk kelihatan tenang. Membesarkan Zarith seorang diri membuktikan ketabahannya sebagai seorang manusia. Berbeza dengan aku yang hanya tahu menangis menyesali nasib setiap kali dihambat masalah.

Aku perlu berubah! Aku perlu berhenti menangis apabila masalah datang mengetuk kerana ia adalah sesuatu yang sangat tak cool. Ia buat aku kelihatan lemah, kan? Hakikatnya, aku mahu orang di luar sana memandang aku sebagai seorang yang cekal dan kuat tetapi kecengengan aku sedikit sebanyak mencalarkan imej aku terutamanya di hadapan Kristine serta keluargaku. Oleh kerana itu, mereka masih sahaja menganggap aku keanak-anakan. Itulah susahnya menjadi anak bongsu ini. Apalah nasib...

Nahda mengamati aku untuk beberapa ketika dengan satu riak yang tidak dapat aku interpretasikan.

“Cerita tidak selalunya indah, kan Fitri?” soalnya, seperti dapat membaca segala yang bermain di dalam fikiran aku.

Aku mengangguk perlahan.

“Kenapa, saya nampak macam ada masalah besar?” aku bertanya kembali, separa bergurau. Kurang senang apabila dia kembali meneliti aku, lagaknya seperti aku salah seorang pesakitnya pula. Tidak mengejutkan aku jika dia mengeluarkan recorder kecil daripada tas tangan yang sedari tadi di dalam pegangannya itu.

“Masalah tu ada di mana-mana. Yang berbeza hanyalah cara kita menerima masalah tersebut. Denial, anger, bargaining, depression and acceptance, the five stages of grief. Selalunya dikaitkan dengan penerimaan seseorang terhadap kematian atau pun kehilangan. Tahu?”

Aku memandangnya, sekadar mengangkat bahu.

“Semua orang sebenarnya melalui lima fasa ini apabila berhadapan dengan apa sahaja masalah. Masa peralihan daripada satu fasa ke fasa yang lain juga berbeza mengikut individu. Ada yang mengambil masa yang singkat untuk menerima realiti dan ada juga yang tersekat di fasa keempat untuk satu jangka masa yang lama. Kadang-kadang sehingga menjejaskan kehidupan sehariannya.”

Tidak tahu aku kenapa aku perlu mendengar semua itu, kerana semuanya bagi aku tidak lebih daripada satu informasi yang tiada kaitannya dengan aku. Sedayanya aku cuba untuk menahan diri daripada menguap, tidak mahu berlaku kurang sopan kepada Nahda yang semakin rancak bercerita. Pada pandangan aku, kata-katanya benar. Dia memang teramat menyayangi kerjayanya. Satu bidang yang sedikit pun tidak mempunyai kaitan dengan aku.

Adakah aku kelihatan seperti seorang yang sedang menghadapi masalah untuk menerima realiti?

“Aduh Fitri, maafkan saya. Membosankan kawan pertama saya kat sini dengan cerita pasal kerja saya.”

Pantas aku menggeleng, tersenyum mendengar apabila dia mengomel sesuatu tentang perangainya yang begitu teruja apabila bercerita tentang kerjayanya dan bebelan yang pernah diterima daripada bekas suaminya.

“Tetapi satu je saya nak awak tahu.”tangannya menggenggam erat tanganku, matanya memandang aku tanpa berkedip.

Membuat aku berdebar serta-merta.

“Terdapat garisan yang sangat tipis di antara kasih dan obsesi. Jangan mudah keliru.”ujarnya, serius.

Kami berpandangan untuk seketika, hanya senyap tatkala pelayan meletakkan minuman di atas meja. Sebelum beredar, sempat pula dia mencuit Zarith yang masih tidur itu.

“Maafkan saya tetapi saya tak rasa saya faham…”

“Tak ada maksud tersembunyi. Hanya itu yang saya cuba sampaikan.”

“Oh.” aku diam semula, tidak tahu apa lagi yang harus aku katakan. Hari ini terlalu pelik bagi aku. Perhatian aku alihkan pula kepada Zarith di dalam stroller.

“Nyenyak Zarith tidur.”

“A ah selalunya selepas habis sebotol susu, dia memang akan tidur nyenyak. Kadang-kadang naik risau pula kita bila dia tak bangun-bangun.” Nahda membuka cerita, jari telunjuknya mengusap pipi Zarith.

Perhatian kami berdua jatuh kepada anak comel itu, leka memerhatikannya yang sedang enak dibuai mimpi. Sungguh indah menjadi kanak-kanak, tidak dibebani sebarang masalah. Bebas bermimpi tanpa gangguan sesiapa pun. Tidak ada makhluk aneh yang menyakitkan hati mahu pun kekasih yang sukar untuk difahami. Jangan fikirkan mereka, Fitri! Amankanlah diri kau daripada mereka walaupun untuk seketika.

Berbual dengan Nahda rupa-rupanya agak menyeronokkan terutamanya apabila tidak berkaitan dengan kerjayanya. Dia seorang yang tinggi pengetahuan dan mempunyai banyak pengalaman yang dapat dikongsikan.

Kami bercerita tentang banyak perkara walaupun kebanyakannya adalah berkenaan dengan diri aku. Aku tidak tahu kenapa tetapi dia kelihatan begitu beriya-iya dan berminat untuk mengenali aku sehingga aku amat bersyukur apabila dia tidak mencatit semua jawapan yang aku berikan kepada setiap soalannya ke dalam buku nota. Terasa seperti aku juga salah seorang pesakit yang sedang dikajinya.

Lama juga kami menghabiskan masa bersama kerana ketika aku sampai ke rumah, jam sudah menginjak ke pukul satu tengah hari. Kepulanganku disapa dengan sekujur tubuh yang sedang berbaring melunjur di atas sofa dengan muka yang dipaluti mask kehijauan serta hirisan timun di kedua belah matanya. Begitu santai kelihatan seolah-olah berada di spa mewah pula.

Bau haruman aloe vera dan chamomile yang dicampur membangkitkan kesegaran yang menenangkan. Hilang sedikit penat aku dengan suasana yang dirasakan begitu damai seolah-olah berada di pantai. Bijak sahaja Kristine membangkitkan ketenangan sebegitu untuk merehatkan tubuh badannya setelah seharian menjalani hari yang mencabar. Rahsia kecantikan Kristine yang tidak memerlukan belanja yang banyak. Katanya, jikalau kita tidak mempunyai masa untuk memanjakan diri di spa, sekurang-kurangnya kita boleh membawa mood berada di spa itu ke rumah.  Aku sememangnya tidak mempunyai tabiat berkunjung ke pusat-pusat kecantikan dan boleh dikatakan perkataan ‘spa’ itu sendiri agak asing bagi aku.

Kekurangan bakat dalam menjadi seorang wanita sejati? Jangan jawab soalan tu kerana aku rasa aku sudah boleh agak jawapannya.

“Ke mana kau pergi? I almost lodge a police report for missing person you know.” tegur Kristine tanpa membuka mata mahupun menoleh, masih sahaja kaku seakan mumia di atas sofa.

“Beli barang sedikit, lepas tu jumpa kawan. Kau dah makan?” aku berbasa-basi.

“Pukul dua nanti nak keluar dengan Hezry. Oh putera katak kau hantar bunga ke sini. Nak minta maaflah tu. Apa yang kau dah buat kat dia? Mesti tak sehebat apa yang aku akan buat kepada dia jika aku berada di tempat kau.” gurau Kristine.

Aku mampir lalu mencapai hirisan timun yang diletakkan di atas mata kanannya.

“Fitri, letak balik. Aku tak mahu jumpa Hezry nanti kelihatan seperti seekor panda.” jeritnya sedikit kalut, menimbulkan rasa kelakar di dalam hatiku.

Agaknya apa yang dia akan buat kalau matanya bengkak seperti mata aku sekarang?

“OMG sweetie! Kau menangis semalaman, kan? Nik tingtong tu buat kau menangis lagi!” dia bingkas bangun, menarik tanganku agar duduk di sisinya.

“Bukan salah dia. Aku yang salah sebab cengeng sangat.” jawapanku itu hanya membuatkan Kristine mendengus geram. Dia menunjal dahiku dengan jari runcingnya.

Sakitlah!

“Kau tak perlu nak menangkan dia. Aku benci dengar. Janganlah berterusan biar diri kau dibuli. You above all people deserve to be happy. Fitri, kau cantik, kau baik, kau ada kerjaya dan aku amat yakin kau tak akan menghadapi sebarang kesukaran untuk mencari pengganti Nik. Dump him!”

Kalau ia semudah itu. Tidak tahukah Kristine bahawa apabila sekali sang hati sudah memberikan komitmennya kepada seorang lelaki, komitmen itu tidak akan mudah ditukar ganti?

“Terima kasih. Kau sangat sweet, Kristy. Oh aku perlu ke tempat kerja sekejap lagi! Aku masuk dululah. Have fun nanti, okay?”

“Larilah kalau itu akan buat kau bahagia. Aku hanya nak kau terima hakikat yang Nik bukan lelaki yang boleh buat kau bahagia.”

Bagaimana dia tahu semua ini kalau aku sendiri masih tidak pasti? Kuasa apa yang dia ada untuk menentukan kebahagian aku? Semakin mengarut pula si Kristine ni. Walaupun hubungan dia dan Hezry satu kejayaan, tapi itu tidak bermakna dia berhak memperkecilkan Nik.

Mungkin hubungan aku dan Nik ketika ini agak rapuh serta sering sahaja membuatkan aku sedih tetapi itu tidak bermakna tidak wujud kebahagiaan untuk kami. Bukankah manusia perlu melalui kesedihan untuk bahagia? Kebahagiaan dan kesedihan adalah dua elemen yang saling memerlukan umpama pantai dan ombak. Sepi lah pantai tanpa deburan ombak dan hilanglah ombak tanpa pantai yang setia menunggu kehadirannya.

“Bunga kau kat dalam sinki di dapur.”

Alright, thanks.”

Nik berikan aku bunga lagi. Itu sahaja modalnya untuk memujuk aku, sejak daripada zaman universiti lagi. Tidakkah dia tahu betapa perlunya untuk mencari teknik memujuk yang baru kerana tekniknya yang satu itu sudah lapuk dan tidak memberi sebarang kesan kepada aku lagi? Nanti sahajalah aku uruskan pemberiannya itu kerana sekarang aku perlu bersiap ke tempat kerja.




Hari-hari seterusnya yang aku lalui bebas daripada manusia bernama  Nik Afezal. Tidak sekali pun dia cuba untuk menghubungi aku, hanya memberikan masa untuk aku menenangkan diri dengan sabar meskipun aku tahu sabar dan Nik bukan lagi padanan yang cocok. Atau sebenarnya dia sudah bosan melayan rajukan serta karenah aku yang tidak sepenting urusannya itu? Namun aku tahu dia mengingati aku kerana setiap hari, ada sahaja jambangan bunga yang menanti aku di rumah sehinggakan Kristine sudah naik bosan untuk membuka pintu. Alaa, aku tahu yang dia sebenarnya cemburu kerana Hezry jarang sekali menghadiahkannya bunga. Yalah perempuan mana yang tak suka bunga, kan?

Tapi teruskanlah membazir, Encik Nik. Aku nak tengok selama mana kau mampu bertahan.

“Ibu, terima kasih tau sebab hantar Aya. Papa tu memang tak boleh harap!” Aya memeluk tubuhnya dengan muncung yang panjang sedepa.

Aku menahan ketawa, cuba untuk kelihatan serius atau Aya akan menyangka aku tidak memandang serius marahnya itu.

Sebetulnya ketika aku sedang membersihkan rumah pagi tadi, mama menelefon dan meminta supaya aku menghantar Aya ke studio Ehsan kerana katanya Ehsan tidak sempat untuk singgah ke rumah kerana sibuk bekerja.

Baguslah kerana itu bermakna Ehsan sudah berjaya ‘menyembuhkan’ kamera kesayangannya yang tiada ganti itu. Tetapi yang tidak bagusnya adalah perangai sambil lewanya juga sudah kembali.

Aduh, anak seorang pun tak terjaga! Tidak hairanlah sekiranya sehingga kini dia masih single tanpa pengganti. Namun aku rasa bukan itu sebabnya di dalam kes Ehsan. Sebagaimana kameranya tidak boleh ditukar ganti, begitu jugalah kewujudan ibu Aya, Mega Ariyana di dalam hidupnya walaupun dia enggan mengakuinya.

Ehsan begitu menyintai dan masih menyintai bekas isterinya.

Tanpa sedar, tanganku memegang dada yang secara tiba-tiba berubah berat.

Kesakitan apakah ini?

“Dia sibuk, Aya.” aku memujuk.

“Tapi Aya rasa papa sengaja buat macam tu supaya dia boleh jumpa ibu.” respon yang tidak diduga itu membuatkan air liur aku bertukar pahit, tersedak aku dibuatnya.

“Aa..apa yang Aya merepek ni? Mak Cu suruh cakap macam tu ke?”

Tersengih Aya dengan reaksi aku itu.

Cis!

Aku menarik Aya ke sisiku, menggenggam erat tangannya melintasi jalan menuju ke studio Ehsan.

“Aya rasa papa sukakan ibu.”

“Berhenti merepek. Papa Aya tu bukannya manusia normal. He has no feeling for people.” kedengaran agak tidak munasabah kata-kataku itu dan semestinya tidak sesuai diucapkan kepada anak kecil seperti Aya tetapi hanya itu yang mampu aku fikirkan di dalam masa yang singkat sebegitu. Lagipun kata-kata Aya sebentar tadi entah mengapa membuatkan aku sedikit tidak keruan.

Elisa, cerita apakah yang sudah kau suapkan kepada Aya sehingga dia mampu untuk berfikir begitu? Susah benar apabila mempunyai adik ipar yang tinggi imaginasinya. Benar imaginasi itu penting untuk perkembangan otak namun di dalam kes Elisa ini, ia hanya menggangu perjalanan oksigen aku.

Fuh bawa bertenang Fitri kerana Aya sendiri sebenarnya tidak tahu maksud kata-katanya tadi!
Aku menekan buzzer dan menunggu beberapa ketika sebelum Farez muncul. Aya melambaikan tangannya apabila anak muda itu mengenyitkan mata kepada kami berdua.

“Hari yang tenang?” soalnya sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke dalam studio.

Belum sempat aku membuka mulut, Ehsan yang baru keluar daripada ‘tempat persembunyiannya’ menyampuk.

“Cepat Farez, selamatkan semua peralatan. Pastikan tak ada satu pun benda yang boleh dipecahkan ada berhampiran.” wajahnya cukup selamba meskipun aku tahu itu adalah sebuah gurauan.

Lihatlah, mereka tidak akan berhenti mengusik aku tentang kejadian itu.  Ia amat memalukan tetapi siapa sangka makhluk-makhluk kreatif seperti mereka ini akan dapat mencari jalan untuk menjadikan kejadian itu sesuatu yang lucu.

 “Hey boys, be nice. I’m not here to destroy anything...”

“Manusia bodoh kat dalam sana, buka pintu ni.” serentak kami berempat mengalihkan pandangan kepada seorang manusia menakutkan yang sedang mengetuk-ngetuk pintu kaca studio Ehsan dengan kasar.

Buntang mata aku melihat wajah bengis itu. Hampir sahaja luruh jantung aku.

Kerana ketakutan, Aya menyembamkan wajahnya kepadaku manakala tangannya menggengam erat tanganku. Aku mengusap kepalanya, cuba untuk menenangkan Aya dan juga diriku sendiri. Usapan yang membawa janji yang aku tak akan membenarkan apa-apa atau sesiapa pun menyakitinya.

Aku menarik nafas yang dirasakan tersekat. Pelukan Aya yang bertambah erat seakan tidak membantu.

Masalah besar ni. Apa yang sudah berlaku sehingga dia sanggup ikut aku ke sini? Aku perlu melakukan sesuatu atau akan berantakan lagi studio ni dengan amukan yang berganda dahsyatnya.

“Tapi aku tak pasti pula tentang dia.” Ehsan dan aku berpandangan.

Open this damn door, morons!”

Ringan sahaja badan aku terasa. Janganlah pula aku pengsan di sini.

“Saya rasa saya masuk ke dalam dulu. Mari kita selamatkan diri, Aya!” Farez menepuk bahu Ehsan sebelum menarik Aya dan menghilang di sebalik pintu yang sedari tadi bertutup rapat.
Pengecut! Kalaulah boleh, aku juga mahu menuruti langkah Farez serta Aya. Apabila aku bangun pagi tadi, bergaduh dengan dia ni di hadapan Ehsan bukanlah sesuatu yang aku bayangkan untuk mewarnai hari aku atau mengisi kekosongan jadual harianku.

Arghh masak, masak! Nik, kau hantar hitman kau pula untuk menyerang aku sekarang? Penatlah begini.

“Maafkan aku tetapi benar yang aku tak tahu apa-apa tentang serangan hendap ni. Dan sungguh bila aku katakan yang aku datang ke sini dengan aman, bukan untuk mengharu-birukan studio kau.” aku berkata dengan laju, bimbang Ehsan akan salah faham. Berpeluh-peluh aku dibuatnya. Namun Ehsan hanya ketawa, menjentik hidungku sebelum bersandar santai bersilang kaki di meja receptionnya.

Terlongo aku dengan tindakannya itu.

“Sekarang Fitri yang tersayang, patut kita buka pintu dan benarkan dia masuk?” berdrama pula si Ehsan di waktu-waktu kritikal begini sedangkan perasaan aku ketika itu, usah dicerita lagilah.  Berkecamuk dengan emosi yang pelbagai.

Tak cukup dengan Ehsan dan Nik, sekarang aku perlu berhadapan dengan Firasha pula? Bawa bertenang, Fitri. Kau boleh menangani semua ni. Kalau dia sakitkan hati aku, aku mungkin boleh calarkan keretanya.

Hish, bergurau pula aku ni! Okay, sekarang mari kita uji kehebatan Cik Firasha kita.



******************************************************
Yay updated pada hari yang sangat indah~
Selamat hari lahir kepada diri sendiri haha ^^

Perjalanan cerita masih panjang sebenarnya dan ini adalah permulaan kepada satu kisah baru
Komen, kritikan sangat dihargai

Terima kasih untuk masa yang diluangkan singgah ke sini dan membaca tulisan tak seberapa ni. 
Saya sayang anda, anda, anda semua.   

Jumpa nanti?  






AY (22nd November 2012) 
Share:

3 comments:

eija said...

apy bdy....
apa yg bkal blaku yek... perang lg kot. .hailah fitri... ap sal ko msi xnk lpskn c nik 2...

Syarp said...

Nahda tu ex nik kan ..mcm lmbt plak plot cite ni byk narration

mizz acu said...

Hepi bestday~
Ai bygkn firashha ni cm gerggasi.. Hahahhaha.. Ape ke boodohnya dia ni.. Dh la nyebook hal org lain.. Pttnya si farishha ni yg kawen ngn nik.. Br sepadan!
Si nahda tu ex wife si nik kah? Gaya cm diia kenal siapa itu fitrri.. Hmmmm