Saturday, November 22, 2008

Cerpen: Sempurnakah?

'Kita dilahirkan sekali, hidup pun hanya sekali,
Memiliki hari ini tidak beerti memiliki hari esok,
Masa datang dan pergi,
Hari ini tak mungkin kembali,
Esok pula belum pasti,
Watak kita berbeza, jiwa kita tak sama,
Namun, perbezaan bukan untuk menjauhkan kita,
Perbezaan itu membentuk,
KESEMPURNAAN...'


"Azana..."tegur ibu.

Aku yang sedang jauh mengelamun itu sedikit tersentak. Pantas aku menyapu air mata yang berguguran di pipi.

"Yang dah lepas tu, sudahlah. Tak tenang arwah kalau tengok keaadan kamu macam ni."ibu memberi nasihat.

Aku pula rasakan sukar sangat untuk menerima nasihat itu. Terlalu mudah bagi mereka, meminta aku melupakan segalanya.

"Kita tak boleh tolak takdir Allah. Dia lebih mengetahui. Kita ni sebagai hambaNya perlu redha dengan setiap ketentuanNya."ibu berkata lagi. Wajahnya menunjukkan simpati kepadaku.

Air mata aku mengalir lagi. Apabila seraut wajah itu menyapa pandangan. Semuanya kerana aku terlalu dungu. Fikiran aku menerawang kembali ke saat kami masih bersama.

*******
“Baik awak berhenti menyanyi. Karang hujan tak boleh pulak saya nak balik." aku berkata dengan wajah yang sengaja diseriuskan.

Nikhil Azmi mencebik.

"Eleh, jealous dengan kemerduan suara saya lah tu."balasnya.

Dia kembali menyanyi, tidak mempedulikan orang di sekitarnya. Aku menyembamkan muka ke meja, menahan malu.

Tolonglah aku! Haizz, ini lah masalahnya ada buah hati tiga suku macam ni.

"Stop, please!"aku meminta.

Suaranya itu telah membuatkan mereka yang duduk di meja bersebelahan kami, tersenyum-senyum memandang kami.

"Marah lagi ke tak?"tanyanya.

Aku memandang Nikhil, tidak percaya dengan cara yang digunakannya untuk memujuk aku itu.

"Awak ni..."

Mendengar jawapan aku itu, Nikhil membuka mulut, mahu mula menyanyi sekali lagi. Tapi cepat-cepat aku menekup mulutnya.

"Yalah, yalah. Dah tak marah."

Nikhil ketawa. Nampak senang apabila kemenangan berada di pihaknya.

Kadang-kadang hati aku terhibur dengan sikap Nikhil yang selamba dan gemar bergurau itu. Ada saja yang dilakukan dan dikatakannya yang boleh mengundang ketawa. Mengenali diri masing-masing sejak daripada tingkatan tiga dan berlanjutan apabila sama-sama memilih universiti swasta yang sama untuk melanjutkan pengajian. Kerana menyenangi diri masing-masing, kami membuat keputusan untuk bersama. Dan alhamdulillah, hubungan kami masih bertahan sehingga kini.

"Nak pergi library ke malam ni?"dia memerhatikan gelasnya yang kosong itu, kemudian dengan selambanya menarik gelas berisi fresh orange aku yang tinggal separuh itu dan menyedutnya.

"Awak nak pergi ke?"aku bertanya kembali.

"Malaslah. Rasa macam nak main game je malam ni."

"Main game lagi? Semalam dah main."

"Semalam main game lain, hari ni main game lain pulak."

"Mainlah sampai terjojol biji mata tu. Biar saya pergi library tu sorang-sorang."aku berkata, seolah-olah merajuk.

"Err...awak. Awak tak takut ke?"dia bertanya, tiba-tiba.

Berkerut dahi aku, tidak faham dengan soalan itu.

"Takut apa?"aku bertanya kembali.

"Tak takut tua ke rajin sangat marah ni?"terburai ketawanya.

"Nikhil Azmi, awak memang nak kena kan?"

*******
 
Selepas selesai kelas, aku segera bergerak ke tempat letak kereta. Kelihatan Nikhil sedang berbual-bual dengan rakannya.

Aku menghampiri mereka.

"Dah habis kelas?"tanyanya.

Aku mengangguk, melemparkan senyuman kepada kawan-kawannya.

"Korang nak pergi mana?"Adli bertanya.

"Pergi makan. Perut aku dah mengalunkan irama rock dah ni."balas Nikhil.

"Nissa, aku tau. Nak pura-pura apa lagi?"Nikhil bergurau pula dengan Anissa.

"Apa, Mat Bedal ooii?"

"Eleh, Mat Bedal konon. Aku taulah kau tu syok kat aku."terkekeh-kekeh Adli dan Nikhil ketawa. Merah padam muka Anissa.

Aku hanya menjadi pemerhati sahaja. Sudah sedia maklum dengan perangai Nikhil yang memang gemar mengusik itu. Cuma kadang-kadang aku cemburu juga apabila dia rapat dengan perempuan lain. Bergurau dengan mesranya.

"Kau ni kan..."Anissa menampar Nikhil tapi berjaya dielaknya.

"Final dah dekat. Kau dah study?"tanya Adli kepada aku.

"Bolehlah."jawab aku.

"Kawan kita tu, study hard sungguh. Tak mau kantoi lah tu. Maklumlah final year."Adli menjuihkan bibir ke arah Nikhil.

"Dia study hard? Main game je kot."tempelak aku.

"Itulah kau. Aku ni housemate dia. Hari-hari, dia duduk mengadap buku je tau."

"Oitt ayang, jom!"dia mencuit aku.

********

Aku seorang yang fokus dan mementingkan masa depan, tetapi Nikhil, dengan sikapnya yang sebegitu, selalu sahaja mengambil mudah semua perkara. Dia tidak bersungguh-sungguh, dan sikap itu kini, selalu saja mendatangkan marahku. Tamat pengajian, masing-masing memulakan pekerjaan sebagai jurutera di dua kilang swasta yang berbeza.

"Patutlah jalan ke sini mendung je tadi. Rupa-rupanya awak bad mood hari ni. Kenapa, yang?"suara Nikhil seperti mahu mengusik aku.

Aku membatu, tidak memberi sebarang reaksi. Sikap Nikhil yang dulunya boleh membuatkan aku ketawa, kini hanya boleh membuatkan aku bertambah marah. Dia masih lagi seperti dahulu, tak pernah serius. Bilalah agaknya dia akan berubah?

"Marahkan saya lah ni? Kenapa?"

"Oh come on, Nik. Look at yourself."bentak aku.

"Me? What’s wrong with me?"

"Grow up, please. You’re acting like a five-year old kid."

Air muka Nikhil berubah, menunjukkan kata-kata itu menghiris hatinya.

"Kita tak boleh macam ni terus. Awak, kita perlu mula serius memikirkan masa depan. Kalau awak berterusan berperangai macam budak-budak ni, berterusan dengan lawak bodoh awak tu, we’re not going anywhere."

"Azana, walaupun perangai saya macam ni, saya ada pekerjaan dan saya lebih serius daripada yang awak sangka memikirkan tentang masa depan kita."dia menjelaskan, dengan nada yang lembut.

"Apa yang buat awak hangat hati sangat dengan saya ni?"dia bertanya lagi.

"Just forget it!"sela aku.

Nikhil terus mendiamkan diri, tidak berusaha untuk memujuk aku lagi.

*******

"Awak tak kerja semalam." mendatar suaranya. Wajahnya tanpa emosi, tetapi matanya menikam aku tajam.

Aku agak terkejut mendengar itu. Dari mana dia tahu yang aku tidak bekerja semalam?

"Saya pun tak kerja semalam. Haha. Kenapa tak beritahu saya? Kalau tak saya boleh temankan awak dan kawan awak semalam tu pergi shopping. Handsome sungguh kawan awak semalam tu. Nama apa, ya? Lain kali kenalkanlah kat saya."selamba sahaja dia berkata.

Aku cuba menangkap riak wajahnya, namun kosong! Wajah itu tiada beremosi.

Aku baru sahaja membohongi dia dan keluar bersama lelaki lain, tetapi dia, tidak marah? Nikhil Azmi ini memang seorang yang teramat aneh.

Lelaki itu Fikri, Nik. Entah kenapa, tapi aku rasakan cinta aku untuk kau semakin hilang daripada hati ini. Malah, hati ini mula tertarik kepada lelaki lain. Fikri bukan seperti kau, Nik. Dia begitu serius memikirkan masa depannya. Tidak semua itu adalah gurauan baginya. Itu yang aku perlukan, Nik.

Sanggupkah aku melafazkan kata itu kepada Nikhil?

Nikhil menggeleng.

"Awak, walaupun sikap saya tak menunjukkannya, tapi, saya sayangkan awak. Lebih daripada yang awak sangkakan. Memang kekurangannya saya kerana tak dapat menjadi seperti yang awak mahukan. Ya, saya tak pernah serius dalam menjawab soalan awak, tapi itu tak bermakna saya tak serius dengan hubungan kita."

"Azana, cuba awak bayangkan hubungan yang wujud tanpa gelak ketawa. Bosannya."

Terpana sebentar aku mendengar kata-kata itu keluar daripada mulutnya. Dialah orang terakhir yang aku bayangkan untuk menuturkan kata-kata seperti itu. Dengan perangainya yang sebegitu, semestinya dia tak pernah mengucapkan walaupun sebait kata-kata indah untuk aku. Dulu aku tak ambil peduli, tapi aku sendiri tak faham kenapa kini ia begitu besar kepada aku.
Nikhil, tidak memiliki ciri-ciri lelaki yang aku inginkan.

**********

"Sayang, kita keluar makan hari ni?"suara Nikhil kedengaran di hujung talian.

"Err...saya sibuklah. Tak boleh temankan awak makan."

"Kalau macam tu, tak apalah. Kerja rajin-rajin."suara Nikhil kedengaran masih ceria sebelum dia memutuskan talian.

Hubungan kami sedang menuju kehancuran, dan satu-satunya orang yang sedang cuba memperbetulkan keadaan adalah Nikhil. Sampai bila dia mahu bertahan dengan sikap aku yang sebegini?


 
"Azana, awak nak pergi mana?"tanya Nikhil.

Entah apa yang membuatkan lelaki itu tergerak untuk berkunjung ke rumah ku, aku pun tak tahu. Sehinggalah tercetus situasi yang tidak enak di antara kami.

Nikhil memandang ke arah Fikri yang sedang bersandar di tepi keretanya itu.

"Nak keluar." balas aku.

"Keluar? Saya hantar?"

Aku menggeleng.

"Saya pergi dengan Fikri. Awak baliklah dulu. Nanti saya call awak."aku masih mahu menjaga hatinya.

"Awak nak keluar lagi dengan dia. Sebetulnya,apa hubungan awak dengan dia?"Nikhil meminta penjelasan.

"Nik, kita bincang nanti. Saya nak keluar ni."

Fikri sudah masuk ke dalam kereta.
 
"Azana, apa dah jadi? Awak berubah sangat. Sikap saya ni buat awak benci saya, kan?"tekanya, kelihatan amat terluka.

Aku mula dilanda serba salah.

"Kita bincang nanti."dengan itu, tanpa menoleh ke belakang, aku terus masuk ke dalam kereta Meninggalkannya keseorangan di situ.

Itulah kesilapan yang terbesar dalam hidup aku. Meninggalkan dia...

*******

Kami tak pernah berbincang pun soal itu. Aku langsung tidak menghubungi dia. Lebih baik aku menjauhkan diri darinya. Kerana jika aku terus berada di sampingnya, apa yang aku buat hanyalah menyakitkan hatinya. Setiap panggilannya tidak aku jawab, sms daripadanya tidak aku pedulikan. Hingga ke satu tahap aku nekad menukar nombor, agar tidak lagi diganggunya.

Aku juga nekad menyewa rumah, agar dia tidak dapat mencari aku.

Bodoh benar aku! Tetapi entah kenapa, dia masih tidak berputus asa terhadap aku. Masih berterusan mengharapkan aku.

Teruk benarkah sikap Nikhil sehingga aku menghukumnya sebegitu rupa? Aku senang dengan Nikhil dulu, sehinggalah aku mula tertarik kepada Fikri. Fikri...ya, lelaki itu berbeza daripada Nikhil. Kata-katanya serius, romantis, membuatkan aku begitu tertarik.

Nikhil tidak seromantis itu. Sikapnya yang selamba, kata-katanya yang selamba, sentiasa penuh dengan gurauan.

*********

Setahun berlalu, hubungan aku dan Nikhil masih tidak bernoktah.

Kejam diri aku memperlakukan dia sebegitu. Dan aku rasa, aku sudah mendapat balasan aku. Fikri ternyata sudah berumah tangga. Dan isterinya, sudah memberi amaran kepada aku agar tidak mengganggu suaminya. Sungguhpun Fikir berjanji untuk menceraikan isterinya, tapi aku tahu, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Dia tak mungkin akan pernah meninggalkan isterinya untuk aku.
 
"Azana Marrisa, looking great as usual." tegur seseorang, sehingga hampir sahaja aku menjatuhkan buku yang sedang aku belek itu.

Perasaan aku bercampur baur melihat pemilik suara itu. Dia berubah benar. Wajahnya pucat, senyumannya lemah.

"Nik..."

"Saya dah penat main kejar-mengejar ni. Mujurlah saya dah jumpa awak."dia tersenyum lagi, lemah benar, menunjukkan yang dia benar-benar penat.

"Saya terharu awak masih boleh ingat nama saya."dia bergurau. Sikapnya seperti dahulu, tak ada apa-apa yang berubah. Dan, aku rindukan sikap itu.

Aku rindukan Nikhil. Ya, aku rindukan dia!

Tapi pantaskah aku untuk bersamanya lagi setelah apa yang aku lakukan terhadapnya? Aku malu dengan diri aku sendiri.

"Awak sihat?"aku bertanya.

Pantas, dia menggeleng.

"No, I’m not! In fact, I’m sick."

Aku menangkat kening, mempamerkan wajah yang risau.

"Love sick."sambungnya lagi. Kemudian, ketawanya berderai.

Dia tak marahkan aku?

"How’s your life? Dah dapat pengganti?"aku memberanikan diri bertanya tentang itu.

"Tak ada apa yang berubah dalam hidup saya. Saya masih sayangkan awak. Sampai bila-bila."ucap Nikhil.

Aku memandangnya, terharu mendengar itu.

"Awak ni bodoh! Dah macam-macam yang saya buat kat awak. Patutnya awak benci saya."

"Benci? Sebenarnya saya dah cuba, tapi tak bolehlah. Mungkin benar, saya ni bodoh. Terpulanglah. Saya hanya nak habiskan masa saya dengan awak mulai sekarang. Bersama dengan orang yang saya cintai. Awak tak akan lari daripada saya lagi kan kali ni?"

Lambat-lambat, aku menggeleng.

*******

Pagi-pagi lagi, Nikhil sudah sedia menunggu di luar rumah. Katanya mahu ke taman, menghirup udara segar.

"Sayang, awak nampak tak sihat saja. Awak okay?"aku menegur.

"Ish, mana ada! Sihat walafiat ni."jawabnya, dengan suara yang ceria. Namun aku dapat mengesan sesuatu dalam nada itu. Nada ceria yang sengaja dibuat-buat.

Kami duduk di kerusi batu itu, melemparkan pandangan ke arah tasik yang begitu mendamaikan.
Nikhil melentokkan kepalanya ke atas bahuku.

"Saya sayang awak sangat, Azana.\"tiba-tiba dia berkata.

"Awak tak patut tinggalkan saya kerana lelaki tu. Kenapalah awak tak nampak betapa sayangnya saya kat awak? Semua orang suruh saya lupakan awak, tapi saya tak boleh. Perhubungan yang kita ada lebih lama daripada jangka masa setahun awak tinggalkan saya tu. Walaupun hati saya sakit dengan apa yang awak dah buat tapi tak mungkin saya dapat buang semuanya dengan mudah. Mungkin salah saya, kerana sikap saya ni. Kalau awak nak tahu, saya bersedia tunggu awak lebih lama daripada setahun tu, tapi, saya tak ada masa, Azana."

Menitis air mata aku mendengar itu.

Ya, aku telah mempersiakan cintanya. Tetapi dia masih boleh menerima aku. Aku adalah manusia yang tidak tahu malu. Masih mengharapkan cinta daripadanya setelah apa yang telah aku lakukan kepadanya.

"Saya tak patut buat awak macam tu. Kenapa awak masih nak terima saya?"

"Sebab, tak akan wujud ‘kita’ tanpa awak. Hrmm, lupakan saja, ya. Semua tu dah tak penting sekarang ni."

*******

Kami semakin kerap menghabiskan masa bersama. Sekiranya aku tidak bekerja, pasti kami akan ke taman, mengadap tasik, membiarkan angin membelai menenangkan kami. Dan Nikhil pasti akan melentokkan kepalanya di atas bahuku, sambil matanya memandang ke arah tasik.

Yang paling merisaukan aku, dia nampak lebih teruk daripada sebelum ini. Mukanya pucat, dan matanya cengkung. Apabila aku bertanya, dia pasti akan bergurau dan menukar hala tuju perbualan.

"Kita dilahirkan sekali, hidup pun hanya sekali, memiliki hari ini tidak beerti memiliki hari esok, masa datang dan pergi, hari ini tak mungkin kembali, esok pula belum pasti, watak kita berbeza, jiwa kita tak sama, namun, perbezaan bukan untuk menjauhkan kita, perbezaan itu membentuk, kesempurnaan...."dia mengangkat kepala, memandang wajah aku tanpa berkedip.

"Sekarang, sapa cakap saya tak romantik, haa?"dia mencuit hidungku.

Aku ketawa. Dan aku tahu ada maksud tersirat di dalam kata-katanya itu.

"Yalah, awak romantik."

"Awak cintakan saya, Azana? Sebelum ni, saya saja yang asyik kata saya cintakan awak. Tapi awak tak pernah pun kata yang..."

"Perasaan saya pada awak tak pernah hilang. Baru saya sedar. Ia sentiasa wujud di dalam hati saya. Saya cintakan awak, Nikhil Azmi."

Dia kembali meletakkan kepalanya di atas bahuku, seolah-olah selesa begitu.

"Terima kasih. Azana, pelikkan kita dapat menyayangi seseorang melebihi diri kita sendiri? Awak terlalu bermakna kepada saya untuk saya buang daripada ingatan. Saya kenal awak daripada tingkatan tiga lagi. Sehinggalah sekarang. Saya tak sangka saya masih akan dapat peluang untuk bersama dengan awak macam ni."

"Mungkin kepada awak, saya ni tak sempurna. Tapi kepada saya, awak sentiasa sempurna. Tak kiralah apa yang awak dah buat kepada saya. Hati saya takkan pernah berubah, jauh sekali untuk membenci awak. Sayangnya kita tak boleh bersama selamanya, kan?"

"Nikhil..."

"Syhh. Saya nak awak dengar apa yang nak saya cakapkan ni. Terima kasih sebab menyayangi saya. Untuk pengetahuan awak, saya serius mahu membina sebuah keluarga dengan awak. Terlalu serius, sehingga saya tak dapat gambarkannya. Dan saya benar cintakan awak. Awak tak sangkakan, saya boleh jadi seserius ni?"dia ketawa, makin lemah kedengarannya.

"Kalau awak tak ada, diri saya tak sempurna. Kalau saya tak ada, sempurnakah awak?"

"Just let me sleep for a minute, sayang. Wake me up, kalau awak rindu."tiba-tiba aku rasa titisan suam menimpa tanganku.

"Awak menangis, Nik?’

"Entahlah. Tiba-tiba rasa diri ni jiwang plak."balasnya.

"Ish!"

Keadaan senyap.

Aku melemparkan pandangan jauh ke hadapan.

Kenapa lelaki ini begitu aneh? Aku manusia yang buta kerana tidak dapat menilai cintanya dulu. Sedangkan dia sudah lama berada di hadapan aku. Aku tidak tahu menilai yang mana kaca, yang mana intan. Syukurlah kerana aku masih mendapat peluang untuk memperbetulkan keadaan. Hanya kerana mengidamkan seorang kekasih yang sempurna, aku meninggalkan dirinya.

Teringat kembali bait-bait indah yang dilafazkannya sebentar tadi.

‘Perbezaan bukan untuk menjauhkan kita, perbezaan itu membentuk, kesempurnaan....’

Aku masih memikirkan kata-katanya yang begitu sayu dan indah sekali kebelakangan ini.

‘Kalau awak tak ada, diri saya tak sempurna. Kalau saya tak ada, sempurnakah awak?’

Matahari kian tenggelam. Kami perlu pulang ke rumah.

"Nik, bangun! Hari dah nak malam pun."aku menggerakkannya lembut.

Namun, tak ada respon daripadanya. Sangkaku, dia mahu bergurau.

"Awak tak bangun, saya tinggalkan awak kat sini. Saya bilang sampai tiga. Satu...dua...tiga!"

Nikhil masih tidak bergerak. Walau seinci pun. Hanya kaku di bahu ku.

"Sayang!"aku menoleh. Dan dia terus jatuh di ribaanku.

*******

"Kak Azana, ikut Tika sekejap."bisik Tika, adik bongsu Nikhil. Aku yang sedang membawa yasin bersama dengan beberapa orang lagi itu, terhenti. Ibu Nikhil mengesat air matanya. Mereka semuanya sudah tahu tentang penyakit yang dihadapi oleh Nikhil.

Hanya aku seorang sahaja.

Ah...aku sudah kehilangan banyak masa untuk bersama dengannya.

Aku meminta diri dan mengikuti Tika mendaki tangga ke sebuah bilik. Tika membuka pintu bilik tersebut.

"Masuklah, Kak Azana."

Aku memberanikan diri melangkah masuk ke dalam bilik itu.

Terpegun aku melihat apa yang ada di dalam bilik itu. Mataku meliar memandang sekeliling. Gambarku berada di setiap ceruk bilik itu.

"Ini bilik Abang Nik. Selama setahun tu, Abang Nik selalu saja ada dekat dengan Kak Azana. Tak pernah lupakan Kak Azana setelah apa yang Kak Azana dah buat kat dia. Ni, semua gambar ni, diambil setahun dulu. Dia memang tak boleh hidup tanpa Kak Azana."sebuah album diberikan kepada aku dengan kasar.

Aku membuka album itu perlahan-lahan.

Ya, penuh dengan gambar aku! Kiranya, selama setahun tu dia tahu di mana aku berada.

Air mata aku menitis.

Dia benar mencintai aku. Bagaimana aku boleh terlalu buta menilai cintanya dulu? Dia lelaki yang sempurna untuk aku. Namun, segalanya sudah terlambat.

"Kak Azana tak layak pun untuk Abang Nik. Apa yang dia dapat kerana terlalu mencintai Kak Azana? Kak Azana hancurkan hati dia. Tapi, dia tetap sayangkan Kak Azana, sampailah dia hembuskan nafas dia yang terakhir. Dah tahu semua ni, bahagiakan hidup Kak Azana?"bentak Tika.

Aku menggeleng. Air mataku makin laju.

"Kalau Kak Azana rasa akak kenal sangat dengan Abang Nik, sebenarnya akak salah. Kaka Azana tak tahu apa-apa tentang dia. Kalau tidak, pasti Kak Azana dapat menilai perasaan dia pada akak meskipun sikap dia begitu."

Wajarlah jika Tika memarahi aku. Marahlah aku sepuas-puasnya, sekurang-kurangnya rasa bersalah aku akan lega sedikit.

"Ini diari Abang Nik."Tika menyerahkan sebuah diari kepada aku, sebelum terus berlalu keluar.

Aku duduk di atas katil milik Nik, menyelak diari itu. Kebanyakannya tentang kisah kehidupannya dan ya, tentang perhubungan kami.

-
Perlu tunjukkan lebih perasaan aku terhadap dia. Atau aku mungkin akan kehilangan dia. Masalahnya, macam mana aku nak jadi seperti yang dia impikan tu?

Aku menyelak ke helaian lain pula.

-
Aisey, dia tak boleh datang pulak. Baru je aku nak propose dia. Ish! Dahlah dengan penuh sudah payah aku karang ayat nak melamar dia. Tak boleh datang pulak. Rasanya mungkin jumpa mamat tu lagi. Hish! Aku dalam bahaya...

Aku memerhatikan tarikh catatan itu dibuat. Ya, dia ada mengajak aku keluar pada hari itu. Tetapi aku menolaknya dengan alasan aku penat.

Nikhil...

Kemudian, lama dia tidak mencatatkan apa-apa di dalam diarinya berdasarkan tarikh catatan seterusnya. Selepas perpisahan kami, barulah dia mencatatkan sesuatu.

Di sana pungguk menanti
Mengharap bulan membalas rindu di hati
Di sini aku berdiri
Menunggu penuh dengan kesabaran

Tanpa manis madah
Janji yang puitis
Tuk persembahan
Hanya ketulusan
Sekeping hati suci

Aku
Berikan kasih
Kalau itu yang kau mahu dari ku
Aku
Berikan cinta
Untuk membahagiakan hari mu
Aku
Sayang dirimu
Biarpun nafas ku sampai terhenti

Akanku kota janji kita
Mendirikan Tajmahal cinta
Seteguh kasih
Shah Jehan kepada Mumtaznya


Dan antara semua catatan, hanya satu catatan yang begitu mengusik jiwa aku.

Kita dilahirkan sekali, hidup pun hanya sekali,
Memiliki hari ini tidak beerti memiliki hari esok,
Masa datang dan pergi,
Hari ini tak mungkin kembali,
Esok pula belum pasti,
Watak kita berbeza, jiwa kita tak sama,
Namun, perbezaan bukan untuk menjauhkan kita,
Perbezaan itu membentuk,
KESEMPURNAAN...


Cintanya sudah pasti bukan milik aku lagi selepas ini...tetapi cinta aku pasti miliknya, selama-lamanya.

*****

Nikhil, diri aku juga tak akan sempurna, tanpa kau!





********************************************************
Share:

0 comments: