Monday, September 30, 2013

Once Upon A Time 1, 2

            
1
            Melangkah keluar dari balai ketibaan, jantungnya tiba-tiba terasa beberapa degup lebih pantas. Bahang yang mula membakar segenap ruang tubuh seolah tidak dapat disejukkan oleh penghawa dingin lapangan terbang antarabangsa tersebut.
Dia menghela nafas, menarik bersama bagasi di tangan dan mula mengatur langkah.
Gementarkah aku?
Hampir pecah ketawanya apabila akalan itu singgah. Lucu dan sungguh mengarut.
Mustahil perasaan nan satu ini gementar. Tak pernah ada tempat di dalam hidupnya untuk perasaan kecil yang menjatuhkan sebegitu kerana dia takkan pernah mungkin membenarkan walau sedikit pun ruang untuk kelemahan seperti itu menetap.
Dia berjeda seketika, membenarkan diri untuk mengamati sejenak panorama yang menghiasi pandangan. Udara yang dulu selalu mendodoi tidur malamnya dihirup dalam-dalam seolah melepaskan rindu yang terlalu lama ditanggung.
Sentimental atau dirinya sengaja membuang masa untuk berlama-lama di sini daripada berjumpa dengan mereka yang tak pernah hilang walau seminit pun daripada ingatan?
Memikirkan itu membuatkan dia kembali mempersoalkan tujuan sebenar kepulangannya. Soalan yang seperti tak punya jawapan yang benar kerana dia sendiri tak tahu.
Cuma yang pasti, dia tak mahu menghabiskan seluruh hidupnya seorang diri di negara asing. Terlalu ‘kosong’ walaupun untuk seseorang yang tak pernah peduli akan apa-apa sepertinya.
Cermin mata hitam aviator-nya ditanggalkan lalu disangkut ke kolar jaket yang dipakai.
Ah, lagi pun sudah terlalu lama dia berada di sana! Kalau dia benar mahu membina kehidupan yang baru, dia perlu memulakannya daripada tempat segala kisah tercipta. 
Meskipun jika itu bermaksud dia terpaksa berhadapan dengan manusia-manusia yang pasti sudah lebih daripada bersedia untuk melapah dirinya hidup-hidup.
Dan untuk itu, dia tahu persis siapa yang perlu dicari dan destinasi pertama yang perlu dituju.
Bibirnya mengukir senyum.


“Tak ada rancangan untuk hari ni?” sapa Masyitah kepada anak daranya yang baru menjejakkan kaki ke ruang tamu setelah sedari pagi mengurung diri di dalam ofis kecil miliknya bersama kerja-kerja yang seakan tak pernah selesai.
Lily mengambil tempat di sisi ibunya, mengjungkitkan kening berpura-pura tak memahami.
“Tak keluar dengan buah hati ke?” Masyitah bertanya lagi, mahu menyakat.
Lily ketawa. Lantas terbayang wajah encik tunangan yang kini sudah hampir tiga hari berada di rantauan atas urusan kerja. Ibu pula bukan tak tahu akan hal tersebut tapi tetap juga mahu mengusik.
“Ibu bercakap tentang buah hati yang mana ni? Sebab kalau tak salah Lily, buah hati Lily satu-satunya sekarang ada kat Philippines. Lagi pun, bukan ke hari tu ibu pesan dengan Lily supaya jangan kerap sangat keluar dengan dia?” duga Lily kembali.
“Tapi, itu tak bermaksud Lily kena duduk dalam ofis tu 24 jam sepanjang hari minggu.” komen Masyitah.
Agaknya anak dara zaman sekarang lebih selesa bekerja sampai turut dibawa kerja-kerja tersebut pulang ke rumah dijadikan peneman siang malam. Haish, dia yang tengok pun kadang-kadang naik pening!
Lily menggaru-garu kening, tak tahu apa yang harus dikatakan untuk membalas komen ibunya yang tepat mengena sasaran itu. Harus diakui, memang hujung minggu kebelakangan ni dia lebih banyak menghabiskan masa dengan bekerja, tambahan pula dengan ketiadaan tunangan tersayang.
Alah, ibu serta ayah sendiri pun bukan selalu ada di rumah. Jadi, daripada dia tercongok kebosanan seorang diri, baik dia tumpukan sepenuh perhatian dan tenaga kepada kerja. Lagi pula, susah nak puaskan hati klien yang satu ni.
“Okay, tak kisahlah kalau itu buat Lily bahagia tapi kesihatan kena jaga juga tau.” Masyitah meletakkan kembali majalah di dalam pegangan ke atas meja lalu bangun. Dia membetulkan baju kurung moden berwarna biru muda yang dipakainya lalu mencapai tas tangan di atas sofa.
“Jadi ke pergi rumah pak ngah malam ni?” soal Lily, meneliti ibunya yang rapi berdandan.
“Ayah dah tukar rancangan. Esok pula katanya ke rumah pak ngah. But I’m meeting your dad for dinner tonight at Marriot. Nak ikut sekali?”
Lily laju menggeleng.
“Habis tu nak buat apa saja hari ni? Lily Nadira, jangan beritahu ibu yang Lily nak sambung buat kerja balik.” mata ibunya membuntang bulat seakan tak percaya.
 “Hrmm, not sure yet but I do feel like reading. Maybe I’ll try to read one of those romance novels that I so absent-mindedly bought three hundred years ago.”
Mendengar itu, Masyitah ketawa.
Kalau dengan Lily, memang banyak karenah. Ada saja kata-kata selamba yang lucu keluar daripada mulut anak gadis itu.
Mereka berdua bergerak ke pintu. 
“Kalau macam tu, selamat membaca. Ibu gerak dulu. Jumpa malam nanti.” 
“Okay, kirim salam kat ayah. Toodles.” pipi ibunya itu dicium.
Lily melambai, memerhatikan sehingga kereta milik ibunya keluar daripada perkarangan rumah lalu hilang daripada pandangan sebelum kembali menutup pintu.
Kekosongan mula menghuni segenap penjuru rumah. Walaupun dia memang tak punya sebarang keinginan untuk keluar pada hari ni, tapi kesunyian yang wujud sungguh buat dia rasa tak selesa.
Mengingatkan dia kepada perasaan itu. Perasaan yang takkan pernah pergi tak kira berapa lama waktu berjalan. Perasaan ditinggalkan, kehilangan.
Cukup memalukan untuk diingatkan kembali tetapi terlalu menyakitkan untuk dilupakan begitu saja.
Lily tersentak, memarahi diri sendiri kerana sekali lagi membenarkan rasa itu mengambil alih.
Hrmm, kerana itulah dia lebih suka membebankan diri dengan kerja daripada membiarkan waktu terbuang begitu saja. Kerana dia tahu, satu saat tanpa melakukan apa-apa, fikirannya pasti akan melayang jauh mengingatkan perkara yang tak perlu.
Namun tentu saja ibu tak perlu tahu tentang hal ini atau pasti orang tua itu akan bertambah risau. Bukan mudah untuk menyakinkan mereka semua yang dia sudah benar-benar bergerak ke hadapan walaupun hakikatnya, kesakitan itu masih menjadi sebahagian dirinya.
Cukup perit, terlalu pahit.
Lupakan semuanya, Lily. It’s not worth it. Hatinya memujuk.
Sekadar mencapai sebuah buku daripada rak dan bersama secawan milo di tangan, Lily bergerak ke patio. Dengan dekorasi ringkas yang tak pernah gagal membangkitkan ketenangan, ianya merupakan tempat kegemaran Lily untuk berehat.
Dia membaringkan diri di atas hammock dan menghabiskan beberapa minit kemudiannya membelek setiap perincian buku tersebut sebelum mula menyelak helaian pertama.
Baris demi baris dibacanya, disulami dengan kuapan yang cukup mengganggu konsentrasi. Sama ada keadaan yang terlalu selesa membuatkan dia mengantuk atau otaknya memang tak mampu menampung pembacaan sebegini.
“Aku rasa kau dah hidup sorang lama sangat sampai kau dah lupa cara untuk hidup dengan manusia normal macam aku ni.” jerit aku dan segera melangkah ke bilik.
“Dan kau pula kena belajar hidup dengan manusia, bukannya kenangan silam.” kata-kata itu menyapa telinga ku bagaikan halilintar.
Sekali lagi tangannya menekup mulut menahan kuapan, memaksa diri untuk terus membaca.
Dia takkan pernah gagal menyakitkan hati aku!
Sebaris ayat penutup dan akhirnya Lily menyerah kalah, membenarkan matanya untuk terus terpejam diulit damai angin petang.

2
            Lelaki itu tersenyum sendiri,  senang melihat gelagat tuan puteri yang baru terjaga daripada lena yang sungguh nyenyak. Sedikit pun tidak menyedari kehadiran manusia lain bersamanya yang sedang merenung dengan penuh minat tatkala wanita itu mengomel memarahi diri kerana tertidur sehingga ke lewat petang begini.
Rambutnya yang melepasi bahu itu ditocang meskipun ikatannya tidak kemas, membenarkan beberapa juraian jatuh mengelus pipi.
Perutnya sekali lagi melonjak gementar seperti tadi apabila dia menghampiri perkarangan rumah milik Lily Nadira. Terasa seolah berada di zaman remaja semula dan walaupun dia tak suka mengakuinya tapi Ermeelia benar.
Perasaan itu masih wujud.
Aduh! Kalau dengan orang lain dia sedikit pun takkan terkesan tapi tidak dengan wanita ini. Namun tiada yang menghairankan kerana Lily Nadira sentiasa berbeza daripada yang lain, cukup unik kepada dirinya.
“You’ll make a great Sleeping Beauty but we both know that being a princess is not really your cup of tea.” sapaannya membuatkan wanita itu terjerit kecil. Hampir terlompat sebelum laju saja dia menoleh. Kedua belah tangan mulusnya digenggam erat, bersedia untuk mempertahankan diri daripada apa juga jenis serangan. 
Namun, segala gerakan si gadis terhenti sebaik saja pandangannya mendarat kepada sumber suara tadi. Sepasang mata bulatnya merenung tanpa berkedip, seolah tak percaya pula dengan kewujudannya di situ.
Untuk beberapa ketika,  pandangan mereka menjadi satu.
Segala kenangan serta kisah yang pernah wujud di antara mereka berputar kembali bagaikan rakaman yang tak pernah luput. Masih jelas dan segar di ingatan seolah masa tak pernah berlalu walau sesaat pun dan mereka masih di zaman remaja yang tak membanggakan. Penuh dengan akalan tak matang yang hanya membawa masalah.
Lelaki itu bangun daripada duduknya dan mula mengatur langkah dengan rentak yang cukup perlahan. Rentak yang sengaja diambil untuk mendera perasaannya dan mungkin juga perasaan Lily yang masih membatu tanpa sebarang kata.
Terkejut benar nampaknya.
“Lily.” meluncur laju nama itu daripada bibirnya, tetap tenang walhal kekalutan yang beraja di dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu.
Lily menelan liur yang tersekat di kerongkong. Nafasnya terasa sesak kerana tak kiralah apa juga yang telah berlaku, tak ada satu pun yang pernah menyediakannya untuk saat-saat begini.
Bertentang empat mata dengan manusia yang bernama Kuzer Harmy, mengadap keangkuhan menggunung ditambah pula dengan ketenangannya yang tak tercarik. Argh, percaturan yang terlalu kejam!
Berbagai-bagai perasaan menghimpit sehingga untuk berdiri begitu saja sudah terlalu menyakitkan.
Empat tahun dan sekarang dia tiba-tiba muncul. Nampaknya kegilaan Kuzer Harmy tak pernah berkurangan walaupun satu darjah.
Ughh, memang tak guna! Namun yang pasti, Lily Nadira tak mahu kelihatan lemah berhadapan dengan lawan seperti Jay.
“Well, well, well,  if it isn’t the runaway groom.” membasahkan bibir, Lily berkata sinis. Matanya mencerlung merenung tatkala ketawa lelaki itu meletus, membingitkan telinganya.
 “Glad you could still remember me. Apa khabar?” tidak mempedulikan sindiran Lily, dia mengambil beberapa lagi tapak ke hadapan supaya kali ini dia terus berdiri tepat di hadapan wanita itu.
“Selepas apa yang kau dah buat, ‘lupa’ tu perkataan yang cukup besar. Kau nak apa, Jay? Siapa yang benarkan kau masuk?” sela Lily, pantas. Tidak mahu membuang masa barang seminit pun untuk mukadimah yang tak punya nilai. 
Dia bukan bodoh dan Kuzer Harmy bukan orang asing kepadanya. Segala lakonan serta helah raksasa ni sudah ada di dalam tangan.
“Aku kan kawan lama kau, tentulah pembantu rumah kau benarkan aku masuk. And as for why I am here, isn’t it obvious? I miss you, Lily.” memang sengaja Jay memilih respons sebegitu. Terlalu lama menghabiskan masa bersama sehingga dia tahu jelas ‘butang’ mana yang perlu ditekan untuk menaikkan darah wanita itu. Dan tidak ada yang lebih menyeronokkan daripada melihat Lily cuba menahan marahnya daripada meletus seperti gunung berapi aktif.
Lily mencebik seraya mengambil beberapa tapak ke belakang, mencipta kembali jarak di antara mereka. Berterusan berada terlalu hampir dengan Jay hanya tambah membuatkan kepalanya berserabut dan Lily sendiri yakin, Jay tahu jelas akan hal tersebut.  Lelaki ini terlalu mahir mempergunakan kelebihan yang wujud. Cis!
Dia mendongak dan pandangan mereka sekali lagi bertaut.
Empat tahun berlalu dan tak ada perbezaan ketara di antara Jay yang dikenalinya dulu dengan yang sedang berdiri di hadapannya kini. Tentu saja, mereka dua manusia sama yang telah menghancurkan hatinya.
Lelaki itu masih dengan jaket, t-shirt serta jeans pudar. Rambutnya yang kini mencecah kolar baju disisir kemas, mewujudkan keranggian tersendiri. Di tambah pula dengan kompleksi sawo matang yang menunjukkan dia masih lagi gemar bersukan, sepasang mata yang tajam merenung serta tulang pipi yang merupakan salah satu aset termahalnya, Kuzer Harmy merupakan bukti kukuh sebuah kematangan dan gabungan genetik yang baik.
“See anything you like?” usikan Jay membuatkan muka lantas Lily bertukar panas.
Terasa kerdil dan bodoh kerana memberi peluang kepada Jay untuk mengenakannya. Entah apa pula kerjanya dia meneliti rupa makhluk yang satu ni. Hish!!
“Tak ada apa tentang diri kau yang menarik. In fact, you disgust me! Hampir setengah dekad dan baru sekarang kau nak tunjuk muka? Oh please, Jay. Apa pun permainan gila kau, simpan saja. Aku tak berminat. Now get out of my house!” suara Lily meninggi, membenarkan marah mengambil tempat. Marah yang lebih ditujukan kepada diri sendiri kerana terlalu mudah berasa selesa dengan kewujudan Jay di situ.
Apa yang sepatutnya dia lakukan ialah mencakar ketenangan yang menghuni wajah itu, bukan mengagumi kelebihan yang dimilikinya. Haish, Lily Nadira!
Jay diam dan untuk seketika, Lily pasti dia dapat melihat rasa bersalah singgah ke wajah tenang itu.
“Aku tahu apa yang aku buat dulu tak…”
“No, you don’t know anything, Jay. Tak apa, biar aku jelaskan supaya kau lebih faham. You’ve completely humiliated my family, humiliated me!! Kau buat aku rasa tak ada nilai langsung. ”
“Come on, it can’t be that bad.”
Spontan, tangan Lily mencapai mug berisi milo daripada atas meja lalu dicurah isinya ke muka lelaki itu. Bibirnya diketap geram, hatinya membakar dengan amarah.
“Kalau kau fikir tindakan kau dulu takkan beri sebarang kesan, nampaknya kau lagi gila daripada apa yang aku sangka.”
Jay meraup wajahnya yang mula melekit akibat ‘serangan’ kecil Lily sebentar tadi.
Memang dia layak menerima apa saja bentuk kemarahan wanita itu dan dengan kelancangan kata-katanya tadi, dia layak mendapat balasan yang lebih teruk lagi sebenarnya.
“We were a mess back then. Marriage won’t make things better. We were so young and selfish and… and corrupted. Aku… aku…” dia menghela nafas, kehilangan kata untuk menjelaskan.
“Whatever, Jay. Kalau kau nak jadi pengecut, jangan heret aku sekali. You’re incapable of loving anyone else but yourself. I should have known better.” bidas Lily.
Berdesing telinga Jay. Sememangnya dia tahu kebolehan wanita itu untuk menyakitkan hatinya dan dia sepatutnya lebih bersabar tapi kata-kata Lily itu terlalu pedih. Orang lain boleh memikirkan apa pun tentangnya, mencipta berbagai-bagai fakta sendiri tapi Lily Nadira tak ada hak itu.
Bertahun-tahun bersama dan itu pandangan Lily terhadap dirinya selama ni?  Yang dia tak mampu untuk menyayangi orang lain?! Jadi, selama ini hatinya itu diberikan kepada siapa, huh?!
“Keputusan tu untuk kita berdua. Kalau kau berkeras tak nak faham, itu hak kau. And for your information, I did meet someone that I really care about after I left.”
Lily terdiam.
Jantungnya terasa seperti mahu meletup, wajahnya mula membahang.
Apa mungkin untuk kesakitan itu berganda? Dia yakin sudah tak ada perasaan lain untuk raksasa bernama Kuzer Harmy ini selain daripada kebencian, jadi mana mungkin untuk dia berasa cemburu.
Cemburu kerana bukan dia orang yang mampu membuka pintu hati Jay untuk belajar menyayangi? Haish Lily, berhenti buat perkara lebih rumit!
“Baguslah. The beast has finally learned to actually care about someone. Err …” Lily berdehem.
“Aku masuk dulu. Perlu bersiap untuk keluar makan dengan tunang tersayang.” ujarnya lagi dengan senang.
Jay mendengus.
“Nampaknya tak ada apa-apa yang berubah. You’re still a good liar I must say. Tunang, Lily? Seriously?”
Laju saja Lily menggeleng. Matanya tiba-tiba bersinar kerana kali ini, dia sudah punya jalan untuk menunjukkan kepada Jay si bongkak yang dirinya sudah tak ada apa-apa makna kepada Lily Nadira. Hanya sebuah kisah silam yang perlu dilupakan.
“Opps, kau memang kenal aku, Jay. Aku memang menipu. Apa boleh aku cakap, bad habits die hard. Tapi satu-satunya yang aku tipu adalah tentang keluar makan tu. Yang lain semua benar. I’m engaged… to be married.” tangannya diangkat supaya Jay dapat melihat sendiri cincin yang kini sudah dua tahun menghiasi jari manisnya.
Dahi lelaki itu berkerut dengan riak tidak senang.
Satu markah kepada Lily Nadira. Tahniah!
“I’ve moved on, Jay. And you’re nothing more than my old highschool memory.”
Beberapa saat berlalu pergi, diisi sebuah kesunyian yang sarat dengan kedinginan serta kesakitan tersendiri. Masing-masing kehilangan kata, seolah mengakui yang mereka berdua masih mempunyai kesan ke atas satu sama lain dan empat tahun bukan satu tempoh  masa yang mampu untuk membunuh perasaan yang sudah berakar lebih lama daripada itu.
“Siapa?” Jay memaksa diri bertanya.
Dia tak layak untuk berasa kecewa sebenarnya. Normal bagi Lily untuk bergerak ke hadapan walaupun dia tak senang mendengarnya. Tambahan pula apabila dia begitu yakin wanita itu takkan mengambil langkah terburu-buru seperti memulakan sebuah perhubungan yang baru setelah apa yang terjadi.
Ah, bodohlah dia kalau dia fikir Lily akan terus menunggunya selepas apa yang dia dah buat! Tak kiralah macam mana sekali pun Jay berusaha untuk membenarkan keputusannya dulu, menghilang hanya beberapa hari sebelum mereka bergelar suami isteri, namun harus diakui, tindakannya itu salah.
Lily mungkin benar, semua tu sekadar alasan semata. Tipikal Jay, melarikan diri seperti seorang pengecut apabila dia mula merasakan tanggungjawab itu terlalu berat buatnya.
“Jay.”
“Uh ya, bukan masalah aku. Anyway, congratulations. Err kau rasa Ed ada kat rumah tak? Aku ingat nak buat kejutan.  Dan ya, sebab aku perlukan tempat untuk tidur malam ni.”
“Keluarga kau tak tahu kau balik?”
Jay menggeleng.
“Aku perlukan masa. You know, before they chop me into tiny pieces, a punishment that I so totally deserve.”
“Yup, you deserve to be chopped into pieces.” balas Lily.
“Oh aku kira ‘mandi’kan aku dengan milo tadi tu hanya pengenalan untuk hukuman lain yang lebih dahsyat?”  gurauan Jay yang akhirnya berjaya membuatkan Lily tersenyum lantas mewujudkan suatu perasaan yang tak dapat digambar. Terlalu sukar dirasakan untuk mengalihkan pandangan daripada terus berlabuh di wajah Lily yang kini sedang tunduk merenung flip flops merah jambu yang dipakainya.
Mereka berdua senyap, membuatkan keadaan kembali janggal.
Janggal… Perkataan yang tak sepatutnya wujud di antara mereka. Pada dasarnya seolah tak ada apa yang berubah. Lily masih seperti Lily, manis dan berani, dua kombinasi membentuk seorang wanita yang sering menghiasi ruang fikirannya.
Namun kenyataannya, tak ada lagi yang sama. Perit untuk diakui, tapi mereka kini sudah menjadi dua orang asing yang pernah berkongsi sebuah kisah sebelum membawa haluan masing-masing. Terima kasih kepada perbuatan gila dan bodoh manusia bernama Kuzer Harmy yang sememangnya pakar dalam menghancurkan segala macam perkara, terutama sekali hidupnya sendiri.
“Lily, aku minta maaf. Sungguh. Aku tahu aku tak boleh ubah apa-apa tapi…”
“Ughh, aku masuk dulu. Dah lewat ni. Kau tahu jalan keluar, kan?” pintas Lily.
Sebarang penjelasan daripada Jay hanya akan membuatkan mereka lebih lama di sini. Melihat lelaki itu saja sudah membuatkan hatinya sakit, apatah lagi mendengar karangan ayat serta alasan membela diri terbaik yang entah sejak bila lagi disusun.
Terlalu banyak yang mereka lalui bersama dan untuk terus berpura-pura seakan semua itu tak punya sebarang makna memerlukan sepenuh kekuatan. Kekuatan yang pada ketika ini terlalu rapuh dan goyah.
“Bye, Lily.”
“Toodles. And Jay…”
Langkah Jay mati dan dia menoleh, mengjungkitkan keningnya.
“Welcome home.” 

**************************************************
Hello and good morning ^^

Chapter 1. 
Pengenalan kepada beberapa watak.
More characters to come, more stories to be revealed, more dark secrets to delve into.

Komen dan kritikan amat dihargai.


Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti~

Saturday, September 28, 2013

Once Upon A Time : Prolog



                 Lily Nadira merenung kosong ke arah cermin meja solek di hadapan. Refleksinya memantulkan kembali debat perasaan yang maha hebat di dalam hati yang kini mula mengganggu rasionalnya untuk berfikir.
Kesakitan yang menghimpit bersama jutaan perasaan lain membuatkan dia terlupa sebentar kepada sepasang mata yang sedari tadi memerhati dan menanti untuk dia memberi respons.
Tapi bukankah sudah terlambat? Apa saja kata-katanya selepas ini takkan mampu mengubah semua yang sudah berlaku.
 “Kak Ngah dah cuba halang dia daripada buat kerja gila ni tapi…” satu keluhan berat keluar daripada bibir wanita yang lima tahun lebih tua daripadanya itu. Risau dengan kekalutan yang bakal tercipta apabila berita ini sampai ke pengetahuan semua.
Sungguh kalut, bakal berantakan segalanya.
Wajah Maira Athira juga nampak kusut, sesak dengan masalah yang baru bertandang
“Bukan Lily tak kenal dia macam mana.” tambah Athira sambil memicit pangkal lehernya. Kelihatan cukup kesal dengan apa yang telah berlaku.
Lily sekali lagi membatu.
Memang dia kenal lelaki itu, terlalu kenal sebenarnya. Sudah ramai menjadi bahan mainannya dan sekarang, dia juga merupakan salah seorang daripada mereka.
Sayangnya, lelaki itu tak dapat memilih masa yang lebih baik lagi untuk menamatkan permainan.
Tiga hari sebelum pernikahan mereka? Ah, kau memang hebat! Lily mengetap bibir.
Marah, geram, malu, dan kecewa, semuanya bergabung membentuk sebuah perasaan yang terlalu menyakitkan.
“Kak Ngah ikut dia sampai ke lapangan terbang dan…”
“Kenapa?” pintas Lily. Suaranya mendatar cuma.
Athira memandang wajah kosong milik gadis berusia 20 tahun itu, sedikit bingung dengan ketenangan yang dipamerkannya.
Untuk seseorang yang baru saja ditinggalkan beberapa hari sebelum hari bahagianya, Lily terlalu tenang atau lebih tepat lagi, terlalu handal menyembunyikan perasaannya.
“Apa penjelasan dia?” soal Lily kembali, kali ini setiap patah perkataan ditekannya.
“Err… dia cakap ini jalan yang terbaik. He said that both of you wasn’t ready for this kind of commitment, that it was all too hasty. Something about being too perfectly corrupted for one another. Entahlah, apa yang dia cakap tak masuk akal.”
Lily mengangguk.
Jadi, apa saja yang lelaki itu beritahu dia selama ni tak benar.  Ah, sepatutnya Lily lebih tahu!
Menyeru kekuatan yang masih bersisa, Lily memaksa diri untuk bangun.
“Lily nak pergi mana? Kita kena fikirkan cara untuk selesaikan masalah ni.” suara Athira sedikit kalut. Tangannya pantas mencapai lengan Lily.
“Kalau itu yang dia fikir, mungkin kita patut hormati keputusan dia. Don’t worry, no judgement. Semua orang kenal dia macam mana.” Dia memang tak guna. Tambah Lily di dalam hati.
“Lily…”
Menarik lengannya daripada pegangan Athira, dia memaksa satu senyuman.
“Excuse me, I have a wedding to stop.” 


*******************************************************
Hello, good day! ^^
Lama tak jumpa heee~ 

Jadi, ni salah satu 'pet project' saya selepas lama ber'hiatus'. 

Hrmm, what to expect from this one? 

  • expect it to be cheesy, real cheesy :)
  • less complicated (as compared to One Day You'll Be Mine)
  • 3rd POV
  • gaya penulisan yang masih 'skema' dan tak sempoi hehe 
  • lots amount of sweetness in a not-so-romantic possible way

Mengambil nasihat salah seorang kawan, untuk biar imaginasi saya terbang bebas. Dan inilah hasilnya - sesuatu yang kurang 'serius' dan lebih santai (hopefully). Kita tengok macam mana nanti ^^

Macam biasa, sokongan, komen dan pandangan anda, anda semua sangat dihargai. 


Terima kasih daun keladi, jumpa lagi nanti~