“Perempuan tak
tahu untung. Tak sedar diri kau ya?” jerkah Firasha, meluru laju ke arahku
seperti peluru sesat.
Ketika itu, aku
hanya berharap agar aku boleh bertukar menjadi kecil seperti Alice in
Wonderland. Walaupun kedengaran seperti seorang pengecut yang hanya tahu
bersembunyi tetapi ketahuilah bahwa aku mempunyai seratus peratus hak untuk
merasa demikian.
Ini bukan kali
pertama aku berperang mulut dengan Firasha, jadi aku tahu benar kepetahan dan
kepedasan kata-katanya. Jujur aku katakan, aku sedikit gerun. Bertambah gerun
dengan kewujudan Ehsan di situ.
Bukankah dia
sepatutnya menuruti langkah Farez serta Aya dan meninggalkan aku untuk
berhadapan dengan Firasha seorang diri? Urusan aku bukan urusannya, sudah
semestinya Ehsan tak akan berlama-lama di situ, menjadi penonton kepada drama
yang tentu sahaja membosankan. Jadi kenapa dia masih lagi tercegat di sini dan
membuatkan aku bertambah cemas?
Aku cuba untuk
mengundur ke belakang tetapi terhalang oleh meja reception itu.
Jalan mati!
Sekiranya tak ada jalan untuk melarikan diri, apa yang boleh dilakukan adalah
cuba untuk bertahan.
Aku mendongak
membalas renungan tajam Firasha.
Perbezaan
ketinggian yang agak ketara di antara kami membuatkan aku semakin geram. Kalah
sebelum sempat berkata apa-apa...Arghh!
Firasha
tersenyum sinis sehinggakan aku andaikan sekiranya ini merupakan pergaduhan
kanak-kanak tadika, dia pasti akan mengejek aku dengan panggilan ‘si pendek’
atau ‘bantut’.
“Jadi tolonglah sedarkan aku. Beritahu aku apa
yang aku dah buat sehingga kau sanggup ikut minah kilang ni ke sini.” kataku
dengan berani.
Sepanjang 27
tahun hidup aku, belum pernah lagi aku diserang macam ni. Karma? Adakah ini
yang dirasakan oleh Ehsan semalam tatkala aku menyerang masuk ke studionya
melemparkan kata-kata yang berbisa? Ini adalah pembalasan tunai yang sungguh menyebalkan.
“Good one, Fitri.” puji Ehsan,
menyedarkan aku kembali akan kewujudannya di situ yang secara tiba-tiba
memberikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan lioness garang ini.
Mendengar itu,
wajah Firasha bertambah masam. Dia mencebik, seolah-olah jijik dengan kehadiran
Ehsan di situ.
“Diam! Lelaki dayus macam kau tak layak
bersuara.” sinis sahaja kata-kata itu dilontarkan kepada Ehsan.
Ouch! Perempuan
ni memang sangat menyakitkan hati. Oh sabarlah Fitri! Jangan kau buat satu lagi
perkara bodoh.
Aku meneliti reaksi
Ehsan tetapi seperti biasa, dia kelihatan sedikit pun tidak terkesan dengan
penghinaan Firasha itu. Memang benar dia seorang yang tidak punya perasaan.
Tumpuan Firasha
kini beralih kepada Ehsan.
Bagus,
sasarannya kini bukan sahaja aku tetapi Ehsan juga. Terima kasih kerana
memburukkan keadaan.
Satu jelingan
tajam aku hadiahkan kepada Ehsan di sisi.
Sejak bila pula
dia suka masuk campur hal orang lain? Polisi hidupnya sepatutnya menghalang
Ehsan daripada berada di sini bersama aku, apatah lagi untuk bersuara tentang
sesuatu yang jelas tidak mempunyai kaitan dengannya. Sungguh aku tidak memahami
perubahan mendadak itu. Adakah dia suka dihina, diherdik dengan butiran yang
dahsyat bisanya? Rupanya hati Ehsan lebih keras daripada apa yang selama ini aku
sangkakan.
“Firasha, kau
datang sini untuk bercakap dengan aku. Abaikan saja apa yang Ehsan kata. Anggap
dia tak wujud kalau itu dapat membantu. Sekarang beritahu aku, kenapa kau ke
sini menjerit-jerit macam orang hilang akal?” tuturku lembut, masih cuba untuk
menyelesaikan masalah ini dengan penuh diplomasi walaupun kesukarannya semakin
menggugat kesabaran.
“Kau fikir diri
kau dah cukup bagus untuk buat Nik macam tu? Hey, kau patut bersyukur lelaki
macam dia nakkan perempuan low class
macam kau! Kalau tak, kau akan end up
dengan sampah macam dia ni je.” satu lagi penghinaan keras terbang laju
daripada mulut Firasha dan hinggap di hatiku yang mula membara.
Dia menunjal
keras dadaku sebelum aku menepisnya dengan kasar.
Nik...Sekali
lagi kerana lelaki itu! Mangsanya masih sama, Ehsan dan juga aku. Mudah sahaja
untuk Firasha memperkecil-kecilkan orang lain. Siapa dirinya sehingga mempunyai
hak yang sebegitu besar untuk berkata sedemikian? Kaya sangatkah dirinya? Hebat
sangatkah penampilannya? Setinggi manakah darjatnya untuk menyamakan kewujudan
manusia yang lain dengan sampah?
Ehsan tidak
layak menerima penghinaan sebegitu kerana dia tidak tahu apa-apa!
“Siapa kau untuk
masuk campur urusan kami? Hitman Nik?
Ini masalah aku dengan dia dan akan diselesaikan di antara aku dan dia.
Kedatangan kau ke sini hanya memburukkan keadaan.”
“Aku bukan hitman tapi aku boleh upah sorang kalau
aku nak. Nik dah lalui macam-macam untuk berada di sini dengan kau yang aku
kira tak layak untuk dapat semua tu. Perkara yang paling mulia boleh kau buat
adalah hargainya.”
Pengorbanan
apakah yang telah dilakukan Nik untuk bersama aku sehingga Firasha
meletakkannya begitu tinggi sekali? Sehebat manakah ianya sehingga Ehsan serta
diriku sendiri terpaksa menerima bait-bait penghinaan yang begitu biadap
daripada Firasha? Aku tak tahu kerana Nik tidak pernah mahu berkongsi ceritanya
dengan aku seolah-olah ia merupakan rahsia mutlak dirinya. Dia sungguh tidak
mempercayai aku lagi.
“Itu aku punya
pasal!” bentakku dengan geram.
Dia tinggalkan
aku selama tiga tahun tanpa sebarang khabar dan apabila dia kembali,
menghuru-harakan hidup aku, aku perlu menyanjunginya pula? Sekadar membenarkan
perbuatan salah yang telah dilakukannya? Undang-undang apakah itu?
“Sekarang kau
cuba nak beritahu aku yang kau lebih suka habiskan masa dengan sampah ni dan
anak har...”
Jangan Fitri,
jangan!
Namun sebelum
sempat aku tahan, ringan sahaja tangan ini melayang ke pipinya.
Ya, peristiwa
yang sama berulang kembali cuma bezanya kali ini, sedikit pun aku tidak menyesal
atau rasa bersalah. Memang sepatutnya dia ditampar kerana kata-kata yang kurang
ajar sebegitu. Tidak aku peduli lagi apa hubungan Firasha dengan Nik kerana
sungguh dia tak berhak untuk menghina mereka yang penting di dalam hidup aku
sesukanya. Mereka juga manusia yang perlu dihormati meskipun mereka tidak punya
kedudukan yang gah.
Tanganku yang
kebas itu tidak aku pedulikan, sebaliknya membalas pandangan terkejut Firasha
tanpa berkedip.
“Jangan libatkan Aya atau Ehsan.” aku memberi
amaran.
“Kurang ajar!
Berani kau tampar aku, bodoh.” serentak Firasha mengangkat tangannya untuk
membalas tamparan aku tadi dan kali ini mungkin dengan kesakitan yang berganda.
Jantungku
semakin laju. Di dalam tidak sedar, aku memejamkan mata, bersedia untuk
menerima apa saja yang akan berlaku. Tidak langsung aku cuba untuk
mempertahankan diri daripada serangannya itu. Seluruh tubuhku seolah-olah
membeku, memaksa aku untuk menerima dan bertahan.
Waktu dirasakan
bergerak terlalu perlahan.
“Nope, I
don’t it’s necessary to do that.”
suara garau Ehsan membuatkan aku membuka mata.
Wajah Ehsan
serius manakala tangannya sedang
menggenggam erat tangan Firasha sehingga berkerut dahi wanita itu menahan
kesakitan. Dia meronta-ronta cuba untuk melepaskan diri namun Ehsan tetap diam,
berpura-pura tidak memahami maksud rontaan itu. Sebaliknya, dia menguatkan lagi
cengkamannya sehingga aku bimbang tangan kecil milik Firasha akan patah akibat
tekanan kuat itu.
“Get your filthy hand off me! Sakitlah.”
jerit Firasha.
“Kau perlu biarkan si Nik tu selesaikan
masalah dia sendiri supaya kau boleh habiskan lebih masa untuk belajar sedikit
adab sopan. Sekarang tolong keluar daripada sini sebelum aku baling kau
daripada tingkap tu.” kata-kata itu tidak lebih daripada hanya satu bisikan,
diucapkan tanpa sebarang emosi tetapi ia masih berjaya membuat aku menggeletar.
Aku memandang
Firasha.
Tiba-tiba sahaja
simpati aku jatuh padanya.
Tidak aku tahu
hubungan sebenar Firasha dan Nik namun aku tahu satu perkara, apa yang
dilakukan Firasha pada hari ini adalah kerana sayangnya kepada lelaki itu.
Lelaki yang hanya berjaya menoreh-noreh hatiku meninggalkan calar dan luka. Ya,
hanya dia yang mampu untuk melakukan sesuatu seperti itu. Firasha hanya cuba
untuk mempertahankan sesuatu yang dirasakannya adalah hak Nik kerana baginya
tidak adil bagi aku untuk menghukum Nik dengan terus mendiamkan diri. Kasih
sayangnya itu membuatkan dia lupa bahawa manusia yang terluka di sebalik semua
ini sebenarnya adalah aku! Aku yang menanggung perit tiga tahun dulu, menyangka
satu-satunya lelaki yang aku cintai mati kerana aku. Aku yang menanggung pedih
apabila dia kembali dengan hanya satu penjelasan yang cukup rapuh. Aku yang
merasai semua itu! Aku!
Sangkaku duka
itu cuma kenangan, sayangnya aku salah apabila setiap kali aku melangkah ke
hadapan untuk mencari episod bahagia bersama dia yang aku sayangi, aku hanya
akan ditolak tersungkur ke belakang semula. Sehingga kadang-kadang, sebahagian
diri ini seakan dapat menyakinkan aku betapa mustahilnya dongengan indah yang
aku impikan itu. Hatiku perlahan-lahan mula membeku untuk cuba menelan semua
yang ‘dihadiahkan’ oleh Nik kepadaku. Mungkin kerana itu aku betah untuk
membiarkan dia tertunggu-tunggu.
Ehsan melepaskan
pegangannya dengan kasar.
Firasha
mendengus. Dadanya berombak-ombak menahan kemarahan, tetapi mulutnya berkunci
rapat. Seumpama kanak-kanak yang merajuk mainannya diambil, Firasha
menghentak-hentakkan kakinya menuju ke pintu.
Sekali pintu itu
cuba dibukanya, namun gagal.
Nampaknya, Ehsan
masih belum puas mengenakan Firasha. Ah, adakah semua perkara tidak lebih
daripada gurauan kepadanya?!
“Boleh tak kau
buka pintu ni?” Firasha menoleh, menghadiahkan panahan berapi kepada Ehsan.
“Aku ingatkan
kau nak keluar melalui tingkap tu.” balas Ehsan dengan cukup selamba.
“Firasha,
beritahu aku yang Nik tak suruh kau ke sini?” kata-kata itu sebenarnya lebih
kepada satu kenyataan dan harapan daripada pertanyaan. Kerana aku tak rasa aku
mampu untuk menerima sebuah jawapan yang hanya akan membuatkan cinta aku kepada
Nik menjadi satu hukuman yang tidak punya belas kasihan.
Tolonglah
Firasha, katakan Nik tidak sekejam itu! Tolonglah benarkan keyakinanku yang
masih tinggi untuk lelaki itu. Aku pasti Nik Afezal tak mungkin akan melakukan
sesuatu yang pengecut begini. Menghantar seseorang untuk menghentam aku
manakala dirinya sendiri terus bersembunyi.
“Aku ke sini atas kehendak aku sendiri. Nik
tak tahu apa-apa and I intend to keep it
that way.”
Aku menarik
nafas.
Terasa seperti
satu bebanan yang menghempap badan ini diangkat pergi. Kelegaan yang
benar-benar aku harapkan. Lihatlah, aku masih mengenali Nik Afezal.
Ehsan berpaling
dan menekan sesuatu di atas meja.
“Nik loves you. More than anything else on
Earth and you have no idea what you’ve put him through for the past three years.
Kalau sesuatu berlaku, aku nak kau ingat tu.” ujar Firasha sebelum berlalu
meninggalkan studio itu tanpa pandangan kedua.
Dalam kata-kata itu menerobos masuk,
meninggalkan satu macam perasaan yang tidak dapat aku gambarkan.
Jikalau sesuatu berlaku? Apa maksud
Firasha? Oh Tuhan, janganlah Kau timpakan apa-apa ke atas Nik. Selamatkanlah
dia walau di mana dia berada, apa juga yang dilakukannya. Aku tak tahu apa yang
aku akan lakukan kalau aku kehilangan dia sekali lagi. Bagaimana aku akan...Oh!
Aku bukan sahaja masih sayangkan dia tetapi aku sangat sayangkan dia.
“Kau okay?” Ehsan bertanya,
menyedarkan aku kembali daripada segala fikiran yang kurang enak.
“Uh aku..ermm...itu bukan sesuatu
yang biasa bagi aku. Jadi soalan jenis apa tu? Semestinya aku tak okay.” aku
berkata, bergerak menjauhi Ehsan yang dirasakan hanya seinci daripada ku.
“Betul? Diserang macam tadi tu adalah
perkara bias dalam hidup aku. Sekurang-kurangnya sejak aku kenal kau.”
Aku yang mendengar sekadar menggosok
hidung, menahan pedas gurauan kasarnya itu. Apa yang aku lakukan kepada Nik itu
bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan dan aku tak harap pun agar Ehsan
melupakannya sebaik sahaja permohonan maaf aku diterima cuma dia tak perlulah
mengulanginya setiap setengah jam.
“Keadaan dah selamat?” Farez
menjengulkan kepalanya daripada sebalik pintu.
“Dah. Korang boleh ke...”
“Keluar selepas dua minit.” potong
Ehsan.
Pandanganku dituntaskan kepada Ehsan
yang benar simple dengan bermuda shorts dan t-shirt polo berwarna kuning air.
Rambut duri duriannya digayakan kemas dengan gel, membuatkan dia kelihatan
tidak ubah seperti remaja belasan tahun.
Aku pasti Ehsan hanya bergurau. Tak
mungkin dia mahu Aya dan Farez terus berkurung di dalam sana selepas subjek
yang merbahaya itu kini sudah tiada?
Kami hanya bertentangan tanpa suara.
Dia serius. Sesuatu yang mahu
dikatakannya kepada aku? Sesuatu seperti ‘Jangan datang ke sini lagi kalau
hanya untuk bawa masalah’ mungkin?
Dup dap dup dap jantung ini tetapi
Ehsan nampaknya tidak akan membuka mulut untuk menghentikan debaran yang
beraja. Mahu aku memulakan dahulu? Di manakah sifat gentlemannya yang dipamerkan sebentar tadi? Takkanlah hilang
bersama waktu yang bergerak pergi.
Sungguh aku terharu apabila dia
bersuara untuk aku tadi. Sesuatu yang tidak aku jangkakan daripada makhluk aneh
sepertinya yang lebih gemar mengamalkan konsep ‘mind your own business’.
Mempertahankan aku sebegitu, ah hati mana yang tidak cair?
Jangan dibuai angan yang mengarut,
Fitri! Ketahuilah yang tidak ada apa pun yang akan berubah. Dia masih Dzul
Ehsan yang tak akan pernah berhenti buat kau sebal. Jangan mudah terpedaya
dengan lakonannya itu. Ehsan hanya mahu menyakitkan hati Nik, tak lebih dan tak
kurang.
Walaupun begitu, aku masih perlu berterima kasih kepadanya.
“Err...aku tahu ini akan jadi awkward kepada kita tapi...terima kasih
sebab selamatkan aku daripada kena tampar tadi walaupun aku memang patut dan
layak kena tampar. Sekurang-kurangnya aku akan tahu apa perasaan kau.” aku
memaksa diriku untuk ketawa agar kejanggalan yang wujud dapat dikurangkan.
“Mention
not. Aku yang patut berterima kasih sebab kau stood up for Aya dan juga aku mungkin hrmm?” duga Ehsan, sengaja
mahu melihat reaksi aku.
“Uh itu! Dia menghina orang yang aku
sayang.”
Pada mulanya itu sekadar ucapan biasa
yang tidak punya makna tertentu tetapi apabila Ehsan menjungkitkan keningnya,
barulah aku sedar bagaimana ia sebenarnya kedengaran.
“Aku maksudkan Aya. Kau tak ada di
dalam senarai. Lagi pun, kata-kata sebegitu tak akan mampu untuk mencalarkan
kekebalan sistem pertahanan kau yang mengagumkan tu.”
Ehsan merenung aku, menimbang
kebenaran yang wujud di dalam ucapan itu.
Bahaya!
Satu suara tiba-tiba menjerit
membuatkan aku mula kaget.
Apa yang bahaya? Aku bertanya kembali
kerana sememangnya aku tidak tahu.
Dia akan nampak.
Huh, nampak apa?
“Aku rasa aku patut pergi sekarang.
Err kau hantar Aya balik?” tidak mahu mengambil tahu jawapan kepada soalan itu,
aku mengorak satu persatu langkah ke pintu sebelum ditarik semula ke tempat aku
mula berdiri tadi.
“Melarikan diri tak akan
menyelesaikan sebarang masalah, Fitri.”
“Apa maksud kau melarikan diri?!”
marahku, agak geram kerana pergerakan aku terhalang.
Ehsan sekadar mengangkat bahu.
“Tak ada apa-apa yang terjadi kepada
Aya. Aku tak kisah langsung apa yang Nik dah buat. Don’t let other people dictates your life. Keputusan kau adalah hak
kau. Jangan biarkan apa-apa pun berdiri di antara kau dan kebahagiaan kau. Because I would never allow that.”
“Apa yang cuba kau cakapkan...” aku membuka
mulut untuk bertanya tetapi sebelum sempat aku menghabiskan barisan ayatku,
Ehsan sudah terlebih dahulu memotong. Wajahnya kosong, tidak memberikan aku
sebarang klu untuk menyelesaikan teka-teki yang baru diberikannya.
“Okay, dua minit dah habis! Aku nak selesaikan
kerja aku.” dia mengambil susunan portfolionya di atas meja dan berlalu pergi,
meninggalkan aku terpinga di situ tanpa sebarang penjelasan.
Sejam kemudian kereta aku
selamat dipakirkan di perkarangan rumah ibu yang sudah hampir dua minggu tidak
aku kunjungi dek kerana kesibukan yang tiada berpenghujung. Jikalau ibu tidak
menelefon tadi menyuruh aku singgah untuk makan tengah hari bersama dengan
leteran panjang yang amat aku rindui, sudah tentu aku akan terus pulang ke
rumah dan berterusan mengasingkan diri daripada dunia dengan harapan ia dapat
menyelamatkan aku daripada kedukaan yang lebih parah.
Kereta Abang Asyraf dan
abah digaraj memberitahu aku bahawa mereka juga akan turut serta makan tengah
hari itu. Selalunya abah sibuk dengan urusan kerja manakala Abang Asyraf pula
tidak menentu cutinya. Jadi agak mustahil bagi kami untuk makan bersama tetapi
nampaknya, hari ini hari yang bertuah. Aku bukan sahaja boleh berjumpa dengan
abah, malah Abang Asyraf serta anak-anak saudara yang tersayang.
Sebaik sahaja aku masuk ke dalam rumah, hatiku
serta-merta bertukar sejuk dan tenang. Dengan dekorasi bahagian dalam rumah
yang sederhana, dinding putih bersih yang dihiasi lukisan-lukisan abstrak
kegemaran abah, sungguh mendamaikan. Sebetulnya aku benar-benar rindukan rumah
ini, rindukan ibu serta abah.
Ah, bukankah 27 terlalu tua untuk homesick?!
Aku memberi salam, mengejutkan abah
yang sedang mengagah Hariz serta Abang Asyraf yang sedang membelek telefon
bimbitnya itu.
“Eh Fitri! Tak dengar bunyi kereta
pun.” tegur abah.
“Dah ada bakat jadi pencuri nampak.
Masuk pun senyap je.” sampuk Abang Asyraf pula.
Aku sekadar tersenyum, menghampiri
kedua entiti yang aku rindui itu lalu menyalami tangan mereka sebelum mengambil
tempat duduk di sebelah abah.
“Nampak kurus dan tak sihat. Are you eating well?” abah bertanya.
Kerisauan jelas kelihatan di wajah tua itu.
“Penat dan kurang tidur, selain
daripada tu Fitri sihat je. Selepas makan masakan ibu, Fitri akan lebih baik.
Masakan ibu ada kuasa untuk menyembuh.” aku menjawab riang, cuba untuk
menghilangkan kerutan di dahi abah.
Abang Asyraf memandang aku dengan
penuh curiga, seolah dapat menghidu punca kepada keadaan aku yang padanya agak
teruk itu. Yalah, mana ada orang yang nampak cantik dengan lingkaran gelap
bawah mata, kan? Namun aku mengabaikan pandangannya itu dan mengalihkan
perhatian kepada si comel Hariz. Pipinya aku cubit dan satu ciuman aku hadiahkan
ke dahinya.
“Kalau duduk bersendirian terlalu
berat, rumah ni sentiasa terbuka untuk Fitri. Pindah balik ke sini dan temankan
ibu serta abah. Kami berdua bukannya bertambah muda. Kalau ada anak-anak,
lapang sikit rasanya dada ni.” abah berkata lagi.
“Fitri tak duduk sorang-soranglah.
Kan Kristine ada.” walaupun dia jarang ada kat rumah sebab asyik melayan
karenah Hezry yang mengarut tu. Aku menambah di dalam hati.
“How’s
everything with your you-know-who?” Abang Asyraf akhirnya tidak dapat
membendung lagi keinginannya untuk mengambil tahu hal peribadi aku. Sengaja
mahu merendahkan pilihanku itu di hadapan abah mungkin.
Soalan yang hanya membuatkan aku
bertambah penat. Penat untuk memikirkan pembohongan yang mampu menyelamatkan
Nik serta diriku sendiri daripada pandangan buruk orang lain, ibu bapaku
terutamanya.
“Jawapan yang macam mana abang
harapkan?” aku mengeluh kerimasan, sengaja tidak memandang ke arah Abang
Asyraf. Bukan kerana takut, bukan juga kerana marah. Aku hanya mahu melalui
hari ini tanpa sebarang konfrontasi. Seseorang itu hanya mampu melalui satu
kejadian yang besar di dalam sehari dan konfrontasi Firasha sudah cukup
mengambil sebahagian daripada tenaga aku.
“Tak perlulah berterusan membela dia.”
tempelak Abang Asyraf, kurang senang apabila aku seolah-olah mahu
mempertahankan Nik.
Tidak mahu sesuatu yang sepatutnya
menjadi perbualan bertukar menjadi perbalahan, apatah lagi dengan abangku
sendiri, aku mengangkat tangan menyerah kalah serentak bangun.
“Fitri nak join gossip ladies kat dapur.”
Abang Asyraf juga seperti Firasha.
Mereka berdua tidak berniat jahat, hanya dua manusia yang mengharapkan sesuatu
yang terbaik buat orang yang mereka sayang. Tetapi mereka tersalah percaturan
apabila mereka menganggap campur tangan dan desakan mereka akan memudahkan
keadaan. Ia hanya membuatkan segalanya bertambah berantakan dan berserabut. Aku
menghargai perhatian Abang Asyraf ke
atas ku, sungguh tetapi dia perlu membenarkan aku menjalani kehidupan aku
sendiri dan berhenti mengecilkan Nik. Kalau benar dia sayangkan aku, dia kena
belajar menghormati orang yang aku sayangi.
“Hello
my two and the half beautiful ladies.”
“Mak Cu!” jerit Melati. Dia yang
sedang sibuk menghancurkan sisa bawang besar di atas meja dapur itu berlari
mendapatkan aku.
Kak Rini tersenyum dan senyuman itu
kelihatan lemah sekali. Wajahnya pucat, membuatkan aku sedikit risau.
“Kak Rini okay ke? Kenapa nampak
macam tak sihat je?” aku bertanya.
“Err...Semua orang asyik tanya soalan
tu je dekat Kak Rini. Cakaplah sejak dapat baby
baru ni, Kak Rini makin kurang cantik.” Kak Rini menarik muncung, berpura-pura
merajuk.
“Begitulah, Fitri. Orang cakap
betul-betul, dia bergurau pula. Ibu pun sampai naik risau. Pucat sangat muka
tu.” bebelan ibu membuatkan muncung Kak Rini bertambah panjang. Aku ketawa
dengan gelagat manjanya itu.
“Siapa cakap Kak Rini kurang cantik?
Beritahu Fitri, meh Fitri debik dia.” gurauku.
“Mari kita mula dengan yang duduk kat
luar sana tu dulu. Nama dia mula dengan huruf ‘A’.” kata-kata Kak Rini yang
selamba tu sekali lagi mengundang ketawaku. Hilang segala masalah yang bertamu
di hati. Benarlah, ketawa dan keluarga adalah ubat kesakitan yang cukup
mujarab.
“Daripada mana ni?” ibu bertanya,
menyenduk tomyam yang masih berasap ke dalam mangkuk kaca.
“Studio Ehsan. Hantar Aya tadi.”
“Aya tak datang?” soal Melati, mata
galaknya tiba-tiba bercahaya.
Aku menggeleng.
“Dia tinggal dengan papanya.”
jawapanku itu membuatkan Melati sedikit kecewa.
Tentu sahajalah dia mengharapkan
kehadiran Aya atau dia akan bersendirian tanpa teman untuk bermain.
“Semakin kerap ke sana nampak. Dari
mata turun ke hati?” ujar Kak Rini.
“Hish apa Kak Rini merepek ni? Fitri
ke sana pun sebab Aya je. Kalau tak, kirim salam jelah. Lagi pun, bukannya Kak
Rini tu tak kenal Ehsan macam mana. Dia tak suka kalau Fitri asyik kacau dia.
Macamlah Fitri teringin sangat nak kacau dia. Please.” balasku dengan lancar, membuatkan ibu menjeling tajam.
Masakan tidak, Ehsan kan menantu pilihannya. Aku masih lagi tak faham apa yang
ibu nampak di dalam diri Ehsan sehingga ibu membuat keputusan dia adalah lelaki
yang terbaik untuk aku. Kadang-kadang, cara ibu bapa berfikir amat sukar untuk
dibaca dan diramal.
“Ya ke dia tak suka?” misteri sungguh
cara Kak Rini berkata-kata sehingga aku dan ibu sama-sama berpandangan sebelum
menuntaskan perhatian kepadanya yang sedang mengambil pinggan daripada kabinet
itu.
“Apa?” dia bertanya, berpura-pura
tidak faham.
“Rini ada berbual dengan Ehsan ke?”
ibu bertanya, sedikit berharap bunyinya. Berharap untuk apa aku kurang pasti.
Kak Rini lantas menggeleng.
“Oh.” hanya itu respon ibu sebelum
kembali menyelesaikan kerjanya di sinki yang tertangguh.
Aku menjungkitkan kening.
“Tak ada apa-apalah, Fitri adikku sayang.”
Dan aku tahu yang ada sesuatu di
sebalik ‘tak ada apa-apalah’ Kak Rini itu. Sesuatu yang dirahsiakannya dan
sesuatu itu tentang Ehsan. Perasaan ingin tahuku semakin membuak-buak.
Kak Rini aku hampiri dengan muka
selamba, berpura-pura membantunya menyusun pinggan di atas meja.
“Itu je? Fitri tak akan memaksa?”
tanya Kak Rini, bercekak pinggang dan kelihatan amat tidak berpuas hati.
Aku mengangkat bahu, cuba untuk
kelihatan tidak berminat. Memang aku tidak mempunyai walaupun sedikit bakat
lakonan tetapi aku rasa tak salah mencuba, kan? Sudah semestinya aku nak tahu
sebab di sebalik kenyataan Kak Rini yang mencurigakan itu. Apa maksudnya
apabila Kak Rini katakan yang Ehsan sebenarnya tak bencikan aku? Atau itulah
yang aku rasa Kak Rini maksudkan.
“Walaupun ia mungkin sesuatu yang
dapat mengubah tanggapan Fitri kepada Ehsan?” Kak Rini masih mahu berteka-teki,
mungkin dia akan bertambah gembira sekiranya dia tahu yang dia berjaya menyeksa
aku dengan rasa ingin tahuku sendiri.
Aku yang baru selesai menyusun gelas
di dalam dulang itu pantas menoleh.
“Okay
my lady, spill it out.”
Kak Rini tersenyum lebar tetapi dia
tidak terus membuka cerita, sengaja membiarkan beberapa saat berlalu dengan
penuh debaran.
“Fitri pun tahu yang kan yang si Ehsan tu
kawan baik Asyraf dulu. Dan...” Kak Rini memandang aku, membasahkan bibirnya
sebelum menyambung.
“Dan menurut Asyraf, he used to develop a crush on you. High
school crush, things like that. Sepatutnya ni rahsia diorang berdua tapi
tahulah kan abang Fitri tu macam mana. Tak boleh nak simpan rahsia. Kak Rini
pun tak sepatutnya beritahu Fitri tapi tak apalah. Fitri patut tahu dan
gembira. You might be his first love
after all. Seingat Kak Rini, cinta pertama selalunya sukar untuk
dilupakan.”
******************************************************************
Hello!
A little bit of romance to spice up this beautiful morning. ^^
Apa pendapat semua untuk bab kali ni?
Nik again anyone?
Terima kasih seperti biasa untuk semua yang sudi singgah ke sini, baca dan komen. Sangat dihargai.
p/s: Nak tahu pasal Firasha, boleh baca mula daripada bab 19. Dan saya dah ubah sikit bab 22 sebenarnya.
p/s: Nak tahu pasal Firasha, boleh baca mula daripada bab 19. Dan saya dah ubah sikit bab 22 sebenarnya.
Jumpa lagi nanti ya?
13 comments:
Fitri seorang yg pelik,kalo dia masih x dpt tangkap yg sbnarnye Ehsan 2 dh lama cintakan dia.....hehehe...
ye lor...ehsan n fitri...haddooiii bila la dia nk sedar..dah dpt jwpn dri publisher ker...xsabar la tunggu n3 n end up citer ni...nk beli buku...
Err? Biar betul? Hbs knapanya ms fitri still wife dia.. Dia xcuba pikat fitri? Nape kawenn ngnn org laiinn??
Hrp Fitri pun jatuh cintan kat Ehsan jugak
high school crush....betchaaa!!! Ehsan ehsan...si cold ice neh...ssh sgt nk say 3 magic words tu khen....
Ms author yooo....the story getting hot...plot pun dah berkembang...yeahh....4-5hr teaser...pastu a week after baru full n3....argghhh cant wait...
anway..thx a lot ms author....
Ahah .., first love rupenye ...
..suke sgt2!!
Twice a day sy bukak page ni... bila nk smbung?? Senang2 novelkan jela.. hehe.
tak sabar nak tunggu ni apa akan jadi kepada diorang ek
fitri mempertahankan orang yang dia sayang dah terbukti yang dia juga sayangkan ehsan hahaha lagi satu nak tergelak pun ada firasha nak kena baling dari tingkap dengan ehsan fuhh serius takut
Where is the sambungan??!!please lah..I want no know what happen after that.. ~mashitah
Nguekk!!nak sambungan..nak tahu apa yang jadi..wahai penulis yang baik...please bagi sambungannya!!
Dear Mashitah Najwa,
For your information, One Day You'll Be Mine has been published as a novel. So, memang saya letak entri sampai sini saja. Kalau nak baca sambungannya, kenalah cari novel hahaha :)
Thanks for reading.
xoxo
Post a Comment