Merah.
Jumpa lagi nanti ya?
Perkataan itu menerpa
masuk ke dalam akalannya sekali lagi dan reaksinya tetap juga sama- tersenyum
sendirian seperti orang yang sudah kehilangan akal. Masih waras sebenarnya dia
cuma di ketika ini, kewarasannya lebih didominasi oleh satu susuk yang tak
pernah henti membuai perasaan dan membuat hati berbunga.
Ah, sebenarnya dia
memang sudah gila! Entah sejak bila dirinya begini pun dia tidak pasti. Yang
dia tahu, saban malam dia akan menghabiskan masa di meja tulisnya, ditemani
secawan kopi serta perasaan yang berbaur.
Tangannya ligat sahaja
mencapai kotak rokok di sisi sebelum menyalakan sebatang. Sekadar memerhatikan
apabila asap putih yang tercipta itu perlahan-lahan mengikut gerak angin
meninggalkannya.
Dan bayangan itu datang
lagi.
Bukankah lebih baik
jika ianya juga turut hilang bersama kepulan asap itu?
Manis sekali, terlalu
manis dan cocok warna itu buatnya. Sehinggakan setiap kali dia bergerak atau
menuturkan sesuatu, dunia sekeliling seolah-olah pudar serinya.
Aduh, semakin parah nampaknya!
Kacau kalau begini terus. Apa yang mereka akan kata kalau mereka dapat melihat
keadaan aku sekarang ni?
Si hebat yang kini
semakin berhabuk kewibawaannya.
Dia ketawa kecil seraya
menggeleng. Lucu melayani fikiran sendiri.
Si hebat konon. Apa
saja yang dia ada untuk melayakkannya menyandang panggilan itu?
Kosong.
Ya, kerana dia tak
pernah mempunyai apa-apa. Tidak dulu, dan apa mungkin akan berubah sekarang?
**********
“Hai, Mira. Macam mana
hari ni?” Sarah bertanya, matanya meliar memandang keadaan sekeliling restoran
yang sedikit lengang.
Masih awal, dan
kebanyakkannya masih tersekat di dalam kesesakan trafik yang cukup mengerikan.
Memakan masa dan juga tenaga sehingga pastinya memerlukan kesabaran yang
tinggi. Mujur sahaja hari ini dia bernasib baik, tidak perlu berhadapan dengan
cubaan yang satu itu.
“Oh macam biasa! Tengah
hari tadi tak menang tangan. Sekarang ni baru boleh berehat sikit. Awal Kak
Sarah datang hari ni?” gadis genit itu menjawab.
“Abang Kefli habis
kerja awal.”balas Sarah.
Kepenatan yang mula
meresapi ke segenap penjuru badan setelah beberapa hari gagal untuk melelapkan
mata tidak dipedulikannya. Untuk apa mengeluh jika dia sendiri yang memilih
untuk hidup seperti ini? Sibuk dan tenggelam dengan tugasan yang tak
henti-henti supaya dapat mengisi fikirannya yang kosong.
Perkataan yang benar
untuk menggambarkan keadaan dirinya – kosong.
Tanpa sebarang perasaan
atau ingatan yang pernah menjadi sebahagian daripada diri, bukankah itu membuatkan
seseorang itu kosong? Hampir enam bulan dan tetap tiada perkembangan. Dirinya
kini tak lebih daripada robot yang bekerja mengikut manual yang telah tertulis
rapi.
Satu kejadian yang
meragut semua rasa itu lalu meninggalkannya di dalam satu jurang gelap yang
sangat dahsyat.
“Sayang, apa yang dimenungkan
tu?”lembut suara itu mengelus cuping telinganya.
Enam bulan dan Sarah
masih lagi gagal untuk menanam kembali perasaan yang pastinya pernah wujud
untuk tunangan di sisinya ini. Lelaki yang setia bersama, melayani kejanggalan
yang tercipta di antara mereka tanpa jemu atau marah. Tetap juga sabar meskipun
dia sedar yang peluang untuk dirinya mengingati kembali sejarah yang pernah
terlakar di antara mereka amat tipis.
Cuba untuk mengukir
senyuman, Sarah sekadar menggeleng.
Tak perlu dicerita apa
yang sedang bersarang di dalam hatinya. Kefli pastinya lebih arif untuk meneka
dan memahami. Bukankah itu yang sering diutarakannya sejak enam bulan dulu? Dan
sekarang sungguh dia perlu berhenti membebani tunangannya itu dengan rungutan
yang tak penting.
“Abang Kefli nak jadi waiter lagi ke hari ni?” gurau Mira.
Tentu saja dia merujuk kepada peristiwa beberapa hari lalu di mana restoran itu
kekurangan pekerja apabila salah seorang daripada pelayan tiba-tiba sahaja
mengambil cuti sakit. Pada hari itu jugalah restoran miliknya dilanda kesesakan
memberangsangkan sehingga dirinya dan juga Kefli yang sekadar datang untuk
melawat terpaksa turut sama membantu. Mujurlah Kefli tidak kisah, malah
kelihatan cukup senang melakukannya.
Tunangan sebegitu baik,
tetap kenapa perasaan itu tidak muncul kembali?
Kefli mengangkat bahu.
“Boleh saja, no problem. Kefli Zulkarnain sentiasa
sedia untuk berkhidmat.”guraunya kembali.
Lelaki itu dan sifat
humornya, memang takkan pernah gagal membuat hatinya terhibur. Mungkin itulah
salah satu sifatnya yang membuat hatinya tertawan suatu ketika dahulu.
Leka sebentar Sarah
meneliti tunangan yang sedang berbual rancak dengan Mira. Kefli Zulkarnain,
lelaki berkulit sawo matang yang cukup bergaya dengan ketinggian yang sesuai
dengan binaan badannya. Wajahnya merupakan himpunan sejuta keyakinan yang
menggunung, lambang utuh keperibadiannya. Bertepatan sekali dengan kerjayanya
sebagai pengurus projek yang sudah sering berhadapan dengan urusan rumit yang berharga
nilainya.
Wajah itu jugalah yang
pertama menyapa pandangannya saat dia kembali membuka mata setelah beberapa
hari terlantar seperti patung. Kerisauan dan kesedihan yang menghiasi riak itu
dahulu cukup menggusarkan hati, seperti sudah kehilangan seluruh dunia pula.
Namun, tidak pernah
pula Kefli membuka cerita tentang hubungan mereka yang lalu apatah lagi cuba
membantu dirinya untuk mengingati kembali. Sehingga kadang-kadang Sarah merasa
seolah Kefli seperti tidak mahu dia memperoleh semula ingatannya.
Tidak
mahukah dia melihat Sarah yang dahulu atau dirinya yang sebelum ini terlalu
menyebalkan sehingga tak perlu dibangkitkan semula?
Manusia
yang sebagaimana kau dulunya, wahai Sarah?
**********
Kefli memeluk tubuh,
bersandar santai di pintu Golf GTI putih miliknya. Matanya tertacap penuh
kepada sesusuk tubuh yang sedari tadi membeku di tepi pusara, langsung tidak
menghiraukan terik mentari yang semakin menikam. Menunggu dengan sabar, sedar
bahawa tunang kesayangannya itu memerlukan waktu.
Ya, mereka berdua boleh
dikatakan pengunjung setia pusara itu. Yakin sepenuhnya itu yang diperlukan
oleh Sarah – bersama dengan ibu tercintanya walaupun kini sekadar bertemankan
dua nisan sahaja. Satu-satunya ingatan yang masih kukuh, langsung
tidak terusik selepas kemalangan itu. Selain daripada itu, segalanya tak lebih
daripada satu kisah yang kabur.
Kejamkah jika dia
katakan yang dia lebih selesa begitu? Tidak ada yang menarik untuk diingati
kembali, semuanya adalah himpunan cerita yang menyakitkan hati. Mungkin tidak
adil bagi Sarah tapi…
Entahlah, kalau
dibiarkan rasional akal dan pujukan hati terus berdebat, memang boleh gila
jadinya.
Mungkin Sarah tidak
ingat tetapi dia, Kefli Zulkarnain tak pernah lupa.
Dia tahu segalanya.
Sungguh kerana dia sentiasa peduli tentang apa saja yang berkaitan dengan
Sarah. Terlalu penting buatnya.
“Maaf buat awak tunggu lama. Terleka
pula.”suara lembut itu meragut terus segala yang berlegar di kotak fikirannya.
Matanya jatuh kepada seulas bibir yang kini sedang menguntum senyuman.
Manis sekali.
Sampai bilakah dia akan
buat aku terus angau begini? Bertahanlah, Kefli. Nasib badan, nasib badan.
“Tak ada masalah. I could
wait forever.”ujarnya, separa serius.
Bukankah itu yang
dilakukannya sebelum ini? Menunggu, menunggu dan menunggu.
“Awak rajin mengelamun
sekarang, kan? Saya membosankan atau ... awak teringatkan girlfriend lain?” gurau Sarah seraya menarik sunglasses yang dipakainya.
Berderau darah Kefli
yang mendengar. Jantungnya seakan berhenti berdenyut.
Dia ingat atau aku yang
terlalu paranoid?
Kefli ketawa, cuba
menghilangkan kegugupan yang mula beraja di dalam sana.
“Semakin pandai
bergurau Cik Sarah kita sekarang ni. Girlfriend
lain tu memang tak adalah kot. Tapi kalau bahagian membosankan tu ermm…
mungkin benar.” sebagai balasan, satu cubitan hinggap ke lengannya. Sarah turut
ketawa, aman dan menyenangkan sahaja bunyinya.
Saat yang terlalu
berharga tapi sampai bila mampu bertahan?
“Dan awak nak tanya
lagi daripada mana saya dapat perangai loyar buruk tu? Oh Encik Kefli, you’re ruining me.” Sarah menjegilkan
matanya, berpura-pura marah.
“Come on, good sense of humor makes you more attractive. Tengok
saya, kacak bergaya kelakar disukai ramai, kan?” lelaki itu mendepangkan
tangannya.
Sarah merenungnya dan
Kefli kenal benar makna disebalik renungan yang penuh rasa bersalah itu.
“Err
sebelum perasan saya jadi lebih kronik, jom kita pergi makan.” dia membukakan
pintu kereta, mengisyaratkan kepada tunangan tersayang supaya masuk.
Namun,
Sarah langsung tidak berganjak, tetap juga beku di tempatnya tadi.
“Awak
tak jemu, Kefli?”
“Untuk
apa saya jemu?”
“Maafkan
saya sebab saya sungguh tak boleh ingat apa-apa. Awak terlalu baik dan benar
kalau saya katakan saya akan lakukan apa saja untuk dapatkan semula yang pernah
kita ada dulu. Sekarang, ‘kita’ terlalu hambar, kan?” soalnya. Satu soalan yang
memerlukan jawapan yang terbaik.
Perlahan
Kefli menghampirinya.
“Percayalah
bila saya kata apa yang kita ada sekarang ni lebih baik. Kita tak perlukan
‘masa lalu’ untuk terus bergerak ke hadapan, Sarah. Apa salahnya kalau kita
buka lembaran yang baru? Apa yang ada di belakang tak penting selagi apa yang
kita mahukan ada di depan sana.”
“Tapi…”
Kefli
menggeleng.
“Awak
tak nak mulakan kisah yang baru dengan saya? I would do anything to win you back, you know.”
Sedar,
dia sedang bermain dengan api. Terlalu banyak halangan sebenarnya.
Sememangnya
selama enam bulan lalu dia berjaya menyembunyi apa saja yang berkaitan dengan
kehidupan lalu milik wanita kesayangannya itu tetapi sampai bila? Tak mungkin
dia selamanya mampu menjauhkan Sarah daripada hidupnya yang lalu, daripada
mereka yang mengenalinya.
Atau
patutkah dia memberitahu Sarah yang semua yang ada di hadapannya kita tak lebih
daripada satu kepalsuan semata?
“Kefli
Zulkarnain, I would like to see you try.”
Kata-kata
Sarah itu seperti menjawab pertanyaannya.
Tidak,
dia tidak perlu tahu!
**********
Dia tidak memberi
sebarang reaksi, hanya membeku di situ memerhatikan langkah wanita bersanggul
tinggi itu. Hatinya merobak-robak menahan marah kerana dia tahu persis tujuan
kedatangannya pada malam itu – mahu mengganggu ketenangan malam yang
menyenangkan.
Wanita itu memang
takkan mungkin membiarkan dia aman! Bukan saja dirinya, malah mama juga pernah
menerima nasib yang sama.
Mama… Sebak datang
bertandang apabila terbayang wajah pucat mama. Bertahun-tahun menanggung derita
kanser sendirian. Hanya dia tempat mama mengadu, namun sayangnya ketika itu dia
masih terlalu kecil untuk memahami. Abah?
Ah, dia patut bersyukur
lelaki itu masih mahu mengakuinya sebagai anak! Setelah bertahun-tahun
mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah serta suami, apabila mama
sudah pergi jauh meninggalkannya barulah lelaki itu muncul semula.
Semua kerana perempuan
di hadapannya kini – ibu tiri yang sangat tidak diundang kewujudan dan
kedatangannya.
Dia mengepal penumbuk.
Terlalu menyakitkan apabila mengingati kembali kenangan lampau. Dan kerana itu
Sarah beruntung, cukup beruntung sebenarnya.
“Auntie nak
you hentikan semua perkara tak masuk
dek akal tu.”setelah puas meneliti sekeliling rumah bujang itu, dia berkata.
Matanya merenung tajam wajah milik anak muda itu.
“Care to explain, Puan Astri?”selamba dia membalas.
“Jangan nak belagak
bodoh. Auntie tahu apa yang you cuba lakukan. Semua rancangan
bodoh you tu ada dalam poket auntie.”
Astri mencebik, benci apabila anak tirinya itu masih lagi mahu bermain tarik
tali dengannya. Padahal dia tahu apa yang sedang dilakukannya, dia sudah dapat
menjangka.
Bukankah seluruh
keluarga mereka sememangnya gemar merampas?! Hati Astri memekik. Memang anak
ini tidak tahu apa-apa tetapi itu tak dapat mengubah amarah yang disimpannya
bertahun-tahun. Demi pujukan si suami, dia cuba membukakan hati untuk menerima
kehadirannya ke dalam keluarga mereka. Ya Tuhan, betapa dia cuba untuk
menganggap anak itu sebagai anak kandungnya namun entah mengapa terlalu keras
hati ini.
Dan akhirnya, inilah
yang terhasil. Sama-sama hanyut dibuai kemarahan serta dendam yang tak mungkin
terbalas. Daripada pandangan anak muda ini, dia yang bertanggungjawab merampas
kebahagiaan keluarga kecil mereka sedangkan hakikat adalah sebaliknya.
Itu adalah rahsia
antara Astri dan suaminya, anak tirinya ini tak perlu tahu.
“Itulah masalahnya.
Rancangan bodoh yang mana satu?”
Astri mengetap bibir.
Sedar anak yang satu itu hanya mempermainkannya.
“Rancangan bodoh yang
melibatkan Sarah!”
“You don’t own her!”tempik anak muda itu. Dadanya berombak-ombak
menahan kemarahan yang menggunung.
“Neither do you. Stop messing with her life! Dia bukan anak patung
atau pun robot yang boleh diprogram sesuka hati. Jangan jadi gila.” marah
Astri. Sebolehnya dia mahu anak tirinya itu faham dan berhenti melakukan apa
saja yang sedang dilakukannya sekarang.
“You don’t understand. She is all I have! She is all I have… but your
son took her away from me. Dan auntie
harap saya duduk dan biarkan saja sekarang ni? Keadaan dah berubah kerana
saya takkan biarkan perkara yang sama berlaku kepada saya.”
Dia membalas renungan
ibu tirinya dengan berani, meskipun kebenarannya, kekuatannya semakin bersisa
kini. Mungkin kerana semua yang dikatakan oleh wanita itu benar. Dia tidak
punya hak ke atas Sarah, apatah lagi menentukan kisahnya.
Sarah juga punya
pilihan sendiri!
“Dia saja yang saya ada
sekarang ni.”sekali lagi diulanginya, tetapi kini tak lebih daripada satu
bisikan.
“Jangan mengarut!
Hentikan semua ni atau auntie akan beritahu
dia semuanya. Sarah perlu tahu kebenarannya, hidupnya yang lalu.”
Astri menggelengkan
kepala. Kesal sungguh dengan segala yang menimpa.
“Dia bahagia dulu. Mereka bahagia.”sengaja perkataan ‘mereka’
itu ditekannya.
“Oh really, she was happy? Are you sure?”
Dahi Astri berkerut,
kurang memahami apa yang cuba disampaikan. Sepertinya anak itu mengetahui
sesuatu.
“Kalau mahu dia tahu,
cerita sekali tentang perangai sebenar lelaki yang pernah disanjung-sanjungnya
dulu tu.”
“Auntie tak faham.”
Dia ketawa. Bangga
melihat jalur keliru yang wujud di wajah bermekap tipis itu.
Nampaknya tak semua
perkara di dalam genggaman Puan Astri.
“Your son was cheating on her.”
**********
Kedua belah tangannya
menutup mulut, kelihatan sedikit pun tidak percaya. Hampir saja terjelopok Astri
di situ.
Benarkah apa yang
didengarnya tadi? Apa mungkin untuk anaknya melakukan sesuatu serendah itu?
Tidak, tidak! Dia tidak sama seperti ayahnya.
Anak muda itu
mengangguk laju. Anggukan yang penuh dengan keyakinan dan kesakitan bersilih
ganti.
“Mana you tahu?”desisnya.
“I’m his half-brother, of course I know. Dan kalau auntie dah lupa, Sarah tu kan…”
“Mana you tahu anak auntie buat perkara macam tu?”potong Astri, kasar dan dingin.
Seolah-olah kata-kata selanjutnya daripada anak tirinya itu bakal menusuk lebih
dalam.
“Dia cerita semuanya
kat saya. Supaya kesakitan yang saya rasa berganda. Auntie dengan dia sebenarnya memiliki persamaan yang cukup banyak. Like mother, like son.”sinis kedengaran
responnya.
“Ambil saja milik saya
yang masih bersisa, auntie. Saya dah
penat sebenarnya. Tak punya apa-apa tetapi tetap juga merasa kehilangan tu.”
Astri menggenggam kedua
belah tangannya, terpukul dengan kata-kata itu.
Memang dia yang
bersalah sebenarnya. Bukannya dia tidak tahu perasaan anak tirinya itu kepada
Sarah tetapi sengaja dia buat tuli. Tetap juga berusaha untuk menjodohkan Sarah
dengan anak kesayangannya.
Sarah – gadis yang
baginya sudah seperti anak sendiri. Dengan sikap lemah-lembut dan peramahnya,
hati ibu mana yang tak berkenan. Ketika pertama kali diperkenalkan oleh anak
tirinya, dia sudah memasang rencana sendiri. Begitu tekad dengan niatnya
sehingga dia bertindak memujuk sang suami untuk menghantar anak yang sering
saja mengundang kebenciannya itu jauh daripada sini. Sejauh mungkin supaya
rancangannya tidak punya penghalang.
Baginya, tiada yang
dapat membahagiakan gadis itu selain daripada…Razif. Atau dia sebenarnya tidak mahu melihat anak
tirinya itu bahagia dek kerana dendam yang masih tersimpan kukuh kepada ibunya?
“Sarah tahu tentang
perbuatan Razif tu?”
“Sehari sebelum
kemalangan. Razif memang tak cintakan Sarah, auntie. Dia sengaja terima kerana mahu menyakitkan hati saya. Apa
lagi yang baru? Bukankah itu matlamat utama keluarga auntie?”
“Tttak…tak, Kefli.
Bukan macam tu… Ya Tuhan!” Astri menggeleng, cuba menidakkan sesuatu yang cukup
benar.
Betapa dia berusaha
untuk menghalang sebarang komunikasi di antara Sarah dan juga Kefli.
Sehinggalah apabila Kefli pulang semula ke tanah air, tiada apa lagi yang mampu
dilakukannya untuk menghalang perhubungan yang sudah tercipta. Salah dia juga
kerana mempergunakan rasa bersalah dan kesedihan Sarah untuk menjayakan
rancangannya.
Untuk apa semua itu
kini? Razif sudah tiada, Sarah kehilangan hampir separuh hidupnya dan Kefli
pula terpaksa menjadi mangsa kepada semua percaturannya.
Pentingkan diri!
Dia sedar kini, Razif
bukanlah lelaki yang tepat untuk membahagiakan Sarah. Malah bukan tempatnya
untuk membuat keputusan itu.
Astri menarik nafas,
memandang wajah beku Kefli.
Sekarang, hanya tinggal
satu perkara lagi untuk dilakukan.
“Auntie bagi you dua pilihan, Kefli. Either
you tell her the truth, or I will.” tegas Astri berkata.
**********
“Mira, nanti kalau Niky
masuk kerja, suruh dia jumpa saya tau.” Sarah berkata. Jarinya ligat sahaja
menekan kalkulator mengira bil-bil bulan ini yang masih belum berbayar. Dia
sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh terlalu leka sehingga begitu sekali.
Itulah padahnya kalau
berterusan membiarkan diri hanyut dengan fikiran yang pelbagai. Susahnya diri
sendiri. Mujurlah sekarang segala urusan boleh diselesaikan secara on-line. Memudahkan sedikit kerjanya dan
yang pasti, lebih membuatkan dia leka dan lalai.
“Kak Sarah nak bagi
gaji lebih ke kat si Niky tu? Alaa, bestnya.” ujar Mira, kedengaran sedikit
cemburu.
“Bukan macam tu lah.
Niky tu student lagi, nak pakai duit
lebih. Kalau Mira pun minta gaji awaal sebab nak jelaskan yuran, Kak Sarah confirm bagi punya.”
“Yalah, Mira kan
pekerja kesayangan.”sampuk Rehar pula yang baru muncul membawa pesanan makanan.
Mira mencebik. Rimas
tentunya apabila sering sekali diusik Rehar.
Daripada pintu masuk,
kelihatan sesusuk tubuh yang amat dikenalinya. Seolah sudah melekat kembali ke
dalam akalnya yang kosong. Dua minggu menghilangkan diri, tanpa sebarang khabar
di atas alasan sibuk bekerja, baru sekarang lelaki itu muncul. Setelah
berhari-hari membuat hatinya risau dan bimbang.
Hrmm, nampaknya
perasaan yang pernah wujud untuk lelaki bernama Kefli itu masih kukuh di dalam
sana. Dia hanya terlupa cara untuk menyintainya dan perasaan itu memang tak
pernah hilang.
Lelaki yang punya
kewibawaan yang tinggi sehingga dapat memenangi perasaannya kembali. Kefli,
Kefli, cukup mengagumkan.
“Haa tu, hero pujaan
hati Malaya dah sampai.”gurau Mira.
Kasar saja kelihatannya
Kefli melangkah, tidak seperti selalu. Wajahnya juga muram, dipenuhi dengan
emosi yang tak mampu ditebak.
Hati Sarah mula resah.
Apa yang sudah berlaku?
Tak pernah sekali pun dia melihat Kefli begini. Masalah di tempat kerja?
“Sarah, we need to talk.” pendek saja dia
berkata. Tidak berusaha untuk menerangkan tatkala tangannya memegang erat
lengan Sarah supaya menuruti langkahnya.
“Kefli, kenapa
ni?”soalnya, mula panik.
“Saya terangkan nanti.”
Memang inilah yang
harus dilakukannya sedari awal lagi. Berterusan berbohong dan menyembunyikan
kebenaran takkan pernah membantu.
Sayangnya dia hanya
sedar semua itu apabila ibu tirinya tidak memberi sebarang pilihan lain lagi.
Sarah perlu mendengar daripada mulutnya sendiri, insan bernama Kefli Zulkarnain
yang suatu ketika dulu pernah menyerahkan seluruh hatinya kepada wanita itu.
Dia juga sebenarnya
sama seperti Puan Astri yang hebat. Sewenang-wenangnya mempercaturkan hidup
orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Bukan haknya untuk menentukan jalan
cerita Sarah sungguhpun dia ingin benar menjadi salah satu daripada watak
penting di dalamnya.
Sarah, wanita yang
dikenalinya sejak zaman sekolah lagi. Anak yatim piatu yang kehilangan kedua
ibu bapa di usia 15 tahun, tanpa saudara-mara rapat. Mungkin kerana persamaan
di antara mereka itulah yang menarik dirinya untuk terus mendekati Sarah.
Kesalahannya hanya
satu, terlalu lurus dan bodoh! Memperkenalkan Sarah kepada Astri dan abah
merupakan penyesalan terbesarnya. Siapa sangka ibu tirinya itu akan merancang
sesuatu seperti itu? Ah, tak guna!
Dia tahu betapa
bermaknanya diri Sarah kepada Kefli! Hanya Sarah yang dia ada ketika itu, yang
memahaminya, yang mendengar kisahnya tanpa bosan. Kerana walaupun dia masih
punya ayah, seorang ibu tiri dan adik tiri, jiwanya kosong. Tak pernah sekali
pun mereka menganggap dirinya sebahagian daripada keluarga, tetapi sekadar
menunaikan tanggungjawab kerana di dalam tubuhnya juga mengalir darah yang sama
seperti abah dan juga Razif!
Cukup tidak menghairankan
apabila abah bersetuju dengan cadangan Astri untuk menghantarnya jauh daripada
sini untuk melanjutkan pelajaran. Kalau boleh, untuk selamanya mungkin.
Rancangan Astri cukup
baik kerana selepas itu, dia bertindak membawa Sarah tinggal bersamanya, menjadikan
wanita itu anak angkatnya. Ya, supaya dia mudah untuk menggunakan rasa
terhutang budi Sarah untuk mengikatnya kepada Razif.
Sepanjang ketiadaan
Kefli, tak pernah sekali pun dia dapat berbicara dengan Sarah. E-mailnya tak
pernah berbalas, surat apatah lagi. Seolah-olah sudah tidak punya ruang lagi
untuk dirinya di sana.
Kepulangannya semula ke
sini disambut dengan berita yang cukup menghancurkan hati. Namun dia masih cuba
untuk bertahan, tidak akan mudah mengaku kalah dengan kesakitan itu.
Apa lagi yang mampu
dilakukan jika semua yang wujud seperti senang dengan perhubungan yang tercipta
di antara dua manusia itu? Sarah sendiri redha menerimanya, jadi tak mungkin
dia pula yang melebih-lebih walaupun hampir saja muka Razif dipecahkannya saat
lelaki itu memberitahu dengan bangga kisah cintanya dengan wanita lain.
Senang hatinya melihat
aku seperti manusia yang kehilangan akal. Syabas, Razif! Bentak hati Kefli.
Tetapi hilang langsung
amarahnya apabila teringatkan pemergian lelaki itu yang kini sudah hampir tujuh
bulan. Tak baik menyimpan dendam kepada orang yang sudah tiada. Mudah-mudahan
dia ditempatkan bersama orang yang beriman.
Akibat daripada
kemalangan yang meragut nyawa itu, Sarah hilang ingatan. Keadaan yang cukup
untuk memberi harapan baru kepada Kefli. Dia tekad untuk mempergunakan
kelebihan itu sepenuhnya – memberikan Sarah identiti baru yang jauh daripada
manusia-manusia yang mungkin mengenalinya.
Rumah, pekerjaan,
kawan-kawan; segalanya yang Sarah ada sekarang tak lebih daripada sebuah
rancangan bodohnya. Padahal wanita itu memiliki sebuah kehidupan yang cukup
berjaya sebelumnya.
“Kefli, apa semua ni? Tolong jelaskan.” Sarah
menarik-narik tangan Kefli di dalam usaha untuk menarik perhatian lelaki itu.
“Ini rumah awak
dulu.”jawab Kefli.
Sarah memerhati sekeliling
rumah itu. Terasa sungguh asing tetapi gambar-gambar yang dipamerkan megah di
dalam frame berwarna emas berukir
cantik itu membenarkan kata-kata Kefli.
Gambarnya bersama
seorang lelaki lain…bukan Kefli. Kelihatan cukup bahagia dengan senyuman yang menghiasi
bibir masing-masing.
Dia punya abang? Sarah
tertanya sendiri.
Perlahan-lahan frame itu dicapainya.
“Muhd Razif bin Azmi.”
Muhd Razif bin Azmi?
Kedengaran cukup benar di telinganya meskipun Sarah sedar yang dia tidak punya
ingatan langsung tentang lelaki bernama Razif. Tidak, bukan Razif yang menarik
perhatiannya tetapi…
Kefli Zulkarnain bin
Azmi.
Oh…jadi lelaki di dalam
gambar ini adalah saudara Kefli? Kepalanya mula berdenyut.
“Adik awak?”
Kefli mengangguk.
“Adik tiri saya, dan…”
Kefli menelan liur yang tersekat di kerongkong.
Teruskan, Kefli. Jangan
ragu lagi. Dia perlu tahu.
“Tunang awak.”
“Apa awak cakapkan ni?
Tunang saya… Habis awak?”Sarah mengambil beberapa tapak menjauhi Kefli yang
tiba-tiba dirasakan berupaya untuk menyakitinya. Sekali lagi dia menatap gambar
itu.
Arggh, tetap juga
kosong! Dia memang tak ingat apa-apa.
Benci sungguh Sarah
dengan keadaannya ketika itu. Terasa begitu rapuh dan kerdil.
“Sarah, Razif
sebenarnya yang patut berada di tempat saya sekarang ni. Dan betul kalau awak
katakan yang saya mengambil kesempatan di atas keadaan awak. Tapi…entahlah. Memang
agaknya saya tak berfikiran waras waktu buat semua keputusan tu.”
“Awak tipu saya, Kefli?
Saya percayakan awak! Mana Razif sekarang?”
“Kemalangan tu…dia…ughh
Sarah, dia…Razif dah tak ada. Malam kemalangan tu awak bersama dia.” Kefli
tunduk memandang lantai, tidak mampu membalas pandangan berbisa Sarah.
Memang dia layak
menerima kemarahan itu. Salahnya kerana menyembunyikan kebenaran di atas
sesuatu bernama sayang dan cinta.
“Kenapa awak sorokkan
semua ni daripada saya? Kenapa perlu awak tipu saya? Patutlah senang benar awak
kalau saya tak ingat apa-apa. Tak sangka…”
“Saya buat semua tu
sebab saya sayangkan awak, Sarah. Ah, awak takkan faham! Ya, mungkin saya pathetic, sangat menyedihkan sehingga
perlu mengambil bayangan adik sendiri untuk mendapatkan awak. Katakan apa saja
yang mahu, fikir saja apa yang awak suka tapi saya tak peduli. I have nothing to lose anymore.”
Kefli mengeluarkan
sesuatu daripada dompetnya lalu diletakkan di atas meja di hadapan Sarah. Dia
tak mampu lagi berlama-lama di situ.
Ini adalah kali
terakhir dia akan membenarkan sang hati punya rasa. Kali terakhir juga dia akan
berada di sini mungkin.
Kenapalah dia terlalu
benak untuk menyedari yang dia sememangnya tak pernah punya apa-apa. Sarah
bukan miliknya dulu, bukan juga miliknya sekarang atau sampai bila-bila.
Bodohlah kerana membiarkan dirinya terus berharap!
Bukankah dia sudah aman
dengan kekosongan yang wujud sebelum kedatangan Sarah ke dalam hidupnya? Jadi,
apa yang mengubah kenyataan itu? Si hebat Kefli Zulkarnain tidak memerlukan
sesiapa untuk terus hidup.
“Ini kad ibu Razif.
Saya pasti dia lebih daripada bersedia untuk jawab semua pertanyaan awak tu.”
Dengan berat dia
menapak ke arah pintu.
“Saya
tamatkan segalanya kat sini, Sarah.”
**********
Hati Sarah sedikit
berdebar, tidak tahu sebenarnya apa yang bakal terjadi nanti sekiranya
bertentang muka. Seminggu dibiarkan berlalu begitu sahaja demi menenangkan
fikiran yang maha kusut. Dan semalam, dia mendapat panggilan daripada Puan
Astri, err ibu… Hrmm, Sarah masih belum dapat membiasakan diri memanggil wanita
itu dengan panggilan ibu meskipun wanita itu sudah banyak berjasa kepadanya.
Dia sudah tahu
segalanya kini, meskipun tanpa sebarang memori semua yang sudah berlaku. Sarah
perlu membuat keputusan dan tanpa diberikan waktu yang lebih, si pengecut itu
mahu ‘melarikan’ diri jauh daripada sini pula.
Berani sungguh dia!
Sudah mempermainkan perasaannya, berlakon menjadi tunangan yang begitu
mencairkan hati, dan sekarang, dia mahu pergi begitu saja?
Jangan harap!
Ketika dia sampai,
Kefli baru selesai mengangkat kotak berisi buku-buku miliknya keluar,
menyusunnya dengan kemas di hadapan pintu. Memang gayanya seperti sudah tidak
mahu pulang lagi ke sini.
“Nak pergi mana?”soal
Sarah, mengjungkitkan keningnya.
Kefli pantas menoleh.
Kelihatan seolah tidak percaya pula dengan kehadirannya di situ.
Membeku sebentar dia,
cuba menyakinkan diri sebelum kembali menumpukan perhatian kepada kotak-kotak
di sisi. Rokok yang dikepit di antara dua jarinya dibuang begitu saja ke dalam
pasu bunga.
“Apa awak buat kat
sini?” sedikit pun tidak punya kemesraan di situ.
Cepat benar manusia
berubah, kan? Sedangkan sebelum ni dia berkata hanya aku yang dirinya ada.
Sarah menghampiri,
membelek kotak-kotak yang sudah sedia tersusun dengan kagum. Banyak juga
barang-barang lelaki ini, mengalahkan dirinya pula.
“Semua ni untuk
dibuang.” ujar Kefli.
Terlopong Sarah yang
mendengar.
“Buang? Kenapa?”
“Barang lama. Menyakitkan
mata je. Tak penting semua tu. Apa awak buat kat sini?” Kefli sekali lagi
mengulangi soalannya. Tidak peduli kalau ayat yang dituturkannya tadi mengguris
perasaan wanita di hadapannya itu.
Ah, kehadiran Sarah di
sini saja sudah mampu membuatkan fikirannya bercelaru! Sedangkan beberapa hari
lalu dia sudah tekad dengan keputusannya. Terlalu besar rupanya kuasa Cik Sarah
ke atas diri Kefli Zulkarnain.
Fuh, bertahan Kefli!
Sarah menggigit bibir.
“Kalau awak ke sini nak
tawarkan simpati awak, manusia menyedihkan ni tak perlukannya. Jadi, balik
sajalah, Sarah. Mungkin ibu angkat kesayangan awak tu boleh bantu carikan awak
lelaki yang terbaik, yang lebih sesuai.”
“Kemahiran berkata-kata
awak memang tak meragukan, Encik Kefli. Okay, kalau macam tu, buangkan ini
sekali. Saya pun dah tak perlukannya. Barang lama, menyakitkan mata saja.”
Sarah mengeluarkan beberapa pucuk surat yang daripada tas tangannya lalu
dihulurkan kepada Kefli.
Terpinga-pinga sebentar
lelaki itu, tidak memahami sehinggalah pemberiannya tadi bertukar tangan.
“Ughh surat saya dulu.
Mana awak dapat ni?”soalnnya.
“Puan Astri yang
berikan. Dia dah cerita semuanya kepada saya dan saya…dah tahu persis awak ni
bagaimana.”
“Oh…”
“Awak pernah menjadi
sesuatu yang penting kepada saya juga nampaknya dulu.”Sarah ketawa, menutup
kegugupan hati.
Mengangkat bahu tanda
tidak peduli, Kefli mencampakkan surat-surat tersebut ke dalam satu kotak.
“Tak penting. It’s all in the past now.”
Keras rupanya hati
manusia yang satu ini. Sarah menggeleng.
“Awak tak nak mulakan
kisah yang baru dengan saya?” lunak suara itu bertanya, hampir luruh di saat
yang sama jantung Kefli.
“Aa..Apa awak mengarut
ni?”
“I would do anything to win you back, you know.”Sarah berpura-pura
tidak mendengar, menyambung dengan muka yang cukup selamba.
“Bukan sepatutnya awak
marahkan saya sebab tipu awak ke? Atau..atau kerana mengatur hidup awak sesuka
hati saya?”
Ya, itu lebih tepat.
Sarah memang patut berasa marah kerana ditipu tetapi sekarang kenapa pula dia
mengarut yang bukan-bukan? Demam kerana terkejutkah wanita pujaan hatinya itu?
Sarah mengerutkan
dahinya seraya mengangguk.
“Awak benar. Tapi untuk
apa marah kalau ada orang yang sayangkan saya sepenuh hatinya? Kefli
Zulkarnain, mungkin saya tak ingat apa-apa tetapi sekarang ni, hanya awak yang
betul-betul melekat di dalam fikiran. Awak yang bertanggungjawab memberikan
saya nafas baru atau selamanya saya tak akan bernyawa.”
“Wow, macam pernah
dengar! Daripada novel terbaru yang awak baca?”
Satu tamparan hinggap
ke dadanya.
“Jangan bergurau. Saya
serius ni.” wanita itu menjegilkan matanya.
“Okay, saya pun serius.
Tapi apa yang buat awak ubah fikiran? Seminggu yang lalu awak seperti tak
sanggup nak tengok muka saya pun.”
Sarah tersenyum.
“Sebab mengetahui perkara sebenar dan memahami
keadaan sebenar adalah dua perkara yang berbeza.”
Dan dengan jawapan
terbaik itu, hatinya kembali terpaut.
Mungkin si hebat ini masih punya sesuatu untuk menceriakan hidupnya yang
kosong.
Masa yang sesuai untuk
memulakan sebuah lembaran yang lebih indah, dengan nafas baru.
“Cik Sarah, bagaimana
awak nak mulakan cerita baru kita?”
“Ermm, ‘once upon a time’ terlalu klise. I want something that would look good on
our wedding card? Something like…”
Di sini bermulanya kisah kami…
**********************************
Lama rasanya tak menulis cerpen, rasa kekok sikit.
Terima kasih daun keladi kepada semua yang sudi baca.
Amat menghargai sebarang komen dan kritikan~
Untuk One Day You'll Be Mine, sampai sini saja updatenya. ^^
Maaf kerana terlalu lama dibiarkan menunggu.
Berjuta-juta terima kasih kepada semua yang menyokong, sentiasa bertanya, tak pernah jemu meninggalkan komen-komen yang cukup terbaik - tak terbayar usaha dan jasa anda, anda dan anda sekalian.
Dan bila Ehsan, Fitri & Nik sudah zahir menjadi sebuah novel nanti, saya harap sokongan tu akan tetap berterusan.
Terima kasih sekali lagi.
Amat menghargai sebarang komen dan kritikan~
Untuk One Day You'll Be Mine, sampai sini saja updatenya. ^^
Maaf kerana terlalu lama dibiarkan menunggu.
Berjuta-juta terima kasih kepada semua yang menyokong, sentiasa bertanya, tak pernah jemu meninggalkan komen-komen yang cukup terbaik - tak terbayar usaha dan jasa anda, anda dan anda sekalian.
Dan bila Ehsan, Fitri & Nik sudah zahir menjadi sebuah novel nanti, saya harap sokongan tu akan tetap berterusan.
Terima kasih sekali lagi.
Jumpa lagi nanti ya?