Monday, November 12, 2012

One Day You'll Be Mine 28



Aku di kelilingi oleh manusia-manusia yang pelbagai peribadinya. Semuanya dengan keanehan tersendiri sehingga kadang-kadang aku rasakan yang aku ini merupakan magnet bagi manusia berperibadi unik. Kristine, Elisa, Nik, Farez serta Ehsan dan aku sangat yakin senarai itu tidak akan berhenti di sini sahaja. Keunikan Ehsan mengatasi yang lainnya. Hari ini sahaja sudah berbagai-bagai perkara yang tak masuk akal yang dilakukannya. Aku tak akan pernah faham cara fikirannya bergerak kerana setiap kali aku bertemunya, ada sahaja perkara baru yang dilakukannya.

Amat aneh apabila tiba-tiba sahaja Ehsan berlaku baik kepada aku, manusia yang telah merosakkan kamera kesayangannya, sedangkan pada mulanya dia begitu berazam untuk menyukarkan keadaan bagiku. Semuanya berubah sebaik sahaja aku bangun daripada tidur, seakan-akan segalanya tidak lebih daripada mimpi belaka. Nampaknya kejadian memalukan itu mempunyai kuasa ajaibnya yang tersendiri.

Persoalannya di sini, kenapa Ehsan seolah tidak terkesan walau sedikit pun dengan apa yang telah aku lakukan?

Kamera itu teramat penting kepadanya, dan ia bukan fakta rekaan semata malah diperakui oleh adiknya sendiri, Elisa. Sepatutnya sekarang ini dia sudah melapah aku hidup-hidup tetapi apa yang dia buat? Membuang masa kami berdua dengan merayau-rayau di OU. Kegilaan apakah itu?  Dia selalu sahaja bertindak di luar jangkaan, membuatkan aku selalu sahaja terpaksa menahan bahana kejutan yang dilakukannya.

Benar aku tidak sangka Ehsan akan memudahkan keadaan bagi aku. Semudah itu sahaja dia memaafkan aku? Agak mencurigakan tetapi untuk kebaikan bersama, aku akan membiarkan sahaja. Sekurang-kurangnya sekarang aku sudah boleh tidur dengan lena tanpa perlu memikirkan apa-apa lagi tentang Ehsan. Yang lebih penting, aku bebas daripada hutang kad kredit yang melampau. Mana taknya, kamera buruk macam tu pun dah beribu-ribu. Tak termampu aku! Kalaulah aku tahu begini jadinya, pasti aku tidak akan mengusutkan fikiran aku semalam dengan hal ini.

Aku masih tidak dapat mencari sumber perubahan Ehsan itu. Dia sendirinya yang mengatakan kepada aku yang dia tidak mahu berjumpa aku lagi tetapi kemudian secara tiba-tiba menukar pendirian. Aduh, sakit kepala aku dengan makluk yang satu ini!  Kalau ada sesiapa di luar sana faham situasi sebenarnya, tolonglah jelaskan kepada aku.

“Dah sampai.” ujar Ehsan sebaik sahaja dia mematikan enjin keretanya, sekali gus menyedarkan aku yang sedang jauh mengelamun itu.

Aku memandang sekeliling

“Oh, cepatnya!”

Rasanya seperti baru lima minit tadi aku menghenyakkan diri ke kusyen empuk kereta milik Ehsan dan sekarang kami sudah kembali berada di kawasan perumahannya. Aku berjeda untuk beberapa ketika sebelum keluar daripada keretanya, mengikuti langkah lelaki itu yang sudah dahulu meninggalkan aku. Dia kini sedang bersandar santai di pintu penumpang Lancer merahnya, memerhatikan aku dengan pandangan yang tidak dapat aku baca.

Sikap Ehsan pada hari ini sememangnya satu kebaikan buat aku tetapi itu tidak mengubah perasaan sebenarnya. Dalam tidak sedar dia sebetulnya menggunakan strategi yang sama tetapi lebih halus. Sesuatu yang aku tidak jangkakan daripada Ehsan. Dengan menutup perasaannya dan berpura-pura berlaku baik kepada aku, pastinya dengan lebih mudah dia dapat menghindari aku. Jika tidak, aku pasti akan terus mengganggunya dengan maaf aku. Wow, fikiran yang baik, Ehsan!

Oleh kerana itu, aku perlu ambil tahu tentang perasaannya yang sesungguh-sungguhnya.

“Hari ni hari yang sangat membazir, terima kasih untuk itu.” aku berkata.

Mention not.” intonasinya mendatar, seolah tidak begitu berminat untuk berlama-lama di situ dengan aku.

“Aku rasa kita perlu bercakap sekarang. Betul-betul bercakap dan kau perlu beritahu aku perasaan kau sejujurnya. Aku sakitkan hati kau dengan kata-kata yang teruk, kemudian aku tampar kau. Tak cukup dengan tu, aku hancurkan pula kamera bod...kesayangan kau. Sebagai balasannya, apa yang kau buat, Ehsan? Buang masa dengan aku berjalan tanpa tujuan di OU? Kau pasti bergurau, kan?” tegas suaraku, mahu dia tahu yang aku serius dengan kata-kataku.
Fokusku dituntaskan kepada makhluk aneh tersebut tanpa sesaat pun longgar.

“Kalau kau marahkan aku, jangan pendamkan hanya kerana kau tak sabar untuk mengusir aku. Just go ahead and shout at me. Tak mungkin kau tak marah selepas apa yang aku lakukan. Kadang-kadang kau buat aku keliru dengan sikap kau. Pagi tadi kau begitu meyakinkan apabila kau kata yang kau tak mahu jumpa aku lagi tetapi secara tiba-tiba sahaja kau berubah. Ada sesuatu yang aku perlu tahu?”

Ehsan sekadar berdiri di situ melontarkan pandangannya jauh ke hadapan.

“Mendiamkan diri tak akan menyelesaikan sebarang masalah. Kau perlu bercakap agar orang di sekeliling kau tahu perasaan sebenar kau. Aku tak memiliki kuasa psikik seperti kau, jadi semestinya aku tidak tahu apa sahaja yang bermain di dalam kepala kau tu. Cakap sesuatu.” desakku apabila Ehsan masih mendiamkan diri.

Perlahan-lahan dia menoleh mengadap wajahku.

Hrmm dia sudah terlebih awal bersedia dengan sistem ‘pertahanan’nya kerana riaknya ketika itu kosong, beku sekali gus mengundang rasa sedikit rasa kecewa ke dalam diriku. Sukar untuk aku menebak isi hatinya.

Bagaimana dia melakukannya dengan berjaya sekali?

You talked too much.” komennya.

And you’re completely the opposite.” balasku, tidak mahu kalah.

Ya, ya, aku sepatutnya cuba untuk membuka ruang kepada Ehsan untuk berkata-kata bukannya mencari pasal dan mengeruhkan keadaan yang sedia keruh. Ketahuilah amat sukar untuk menahan diri apabila berhadapan dengan makluk aneh ini. Apa mungkin untuk membiarkan diri dipijak-pijak dengan ucapannya yang tidak melalui sistem tapisan itu? Hati mana yang dapat menahan.

“Perasaan aku bukan masalah kau. Fitri, kau melebihi orang lain patut tahu yang aku tak suka semakkan kepala aku dengan perkara yang tak penting. Mungkin benar aku marah tetapi aku takkan biarkan perasaan tu mengganggu hidup aku.”

“Jadi kau lebih suka diri kau beku tanpa sebarang perasaan?”

“Kalau ia dapat menyelamatkan aku daripada orang macam kau, ya.” aku menyela.

Huh, orang seperti aku?!

“Ehsan, kau benci semua manusia kat dalam dunia ni.”

Stop exaggerating, aku tak cakap macam tu.”

“Tak perlu nak cakap sebab perbuatan kau dah menjelaskan segalanya. Aku tak tahu jika ada manusia di dunia ni yang kau suka. Semuanya hanya mendatangkan masalah kepada kau, baik keluarga kau sendiri pun. Kau buat aku kagum dan menyampah dalam masa yang sama.”
Ehsan yang sedari tadi hanya berdiri memeluk tubuh berpaling lalu menekan penal ‘Lock’ di kunci keretanya.

Lihatlah dunia, dia sekali lagi cuba untuk melarikan diri. Lihatlah betapa pengecutnya si beku itu sebenarnya. Dia tidak mampu untuk berlaku jujur kepada dirinya sendiri pun.

“Jadi kau marah dan bencikan aku? Kau benar maksudkannya bila kau cakap yang kau tak mahu tengok muka aku lagi, kan?” dan tidak sama sekali aku akan berundur.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Lupa terus aku kepada tujuan sebenar aku ke sini pada hari ini sehingga ‘berkhemah’ di hadapan rumahnya. Aku sepatutnya memohon maaf tetapi yang aku berjaya lakukan adalah satu lagi ‘pertempuran’ kecil dengan Ehsan.

Again, I didn’t say anything like that. Berhenti menyumbat perkataan ke dalam mulut aku sesuka hati kau. Sama ada aku maksudkannya atau pun tidak, ia takkan mengubah apa-apa. Aku tak tahu kenapa tapi aku tak boleh nak keluarkan kau daripada hidup aku. Kau seperti gula-gula getah yang melekat kat tapak kasut, tahu? Annoying.”

Oh...

Adakah aku akan memburukkan keadaan sekiranya aku menangis?  Itu satu kata-kata yang sangat, sangat, sangat dan sangat menyakitkan. Ehsan penuh dengan sesuatu yang begitu, bukan? Okay, tidak ada apa lagi yang mahu aku cakapkan. Aku sungguh tak mampu untuk menyusun kata lagi.

Hati aku...Apa ini mungkin untuk aku terluka demi satu ucapan yang datang daripada dia yang tidak penting?

“Aku benar maksudkannya bila aku minta maaf daripada kau. I’ll take my leave now. And oh, I think I prefer ‘sticky notes’ better than ‘sticky gum’.” tas tanganku aku genggam erat ke dada sepertilah Ehsan akan cuba merampasnya daripada aku.

Bibir Ehsan bergerak-gerak seperti sedang menahan ketawanya daripada pecah.

Tidak mahu berlama-lama di situ, laju sahaja aku melangkah ke menuju ke keretaku, sedayanya cuba untuk menahan air mataku daripada mengalir. Ehsan sudah semestinya tidak berkata apa-apa, apatah lagi menghalang langkah aku.

Makhluk aneh itu tidak boleh buat aku menangis! Aku immune dengan kata-katanya, aku immune.

Berkali-kali aku mengulangi barisan ayat itu dengan harapan ia akan memulihkan kembali kesakitan yang masih terasa bisanya. Tidak adakah vaksin yang mampu membuat aku kebal kepada serangan verbal Ehsan?

“Fitri.” panggil Ehsan yang mana mencipta perdebatan yang maha hebat di dalam diriku.

Berhenti atau meneruskan langkah tanpa mempedulikannya?

Yakin dia sengaja mahu menduga aku, aku menghentikan gerak kakiku dan lantas menoleh dengan satu senyuman yang cuba aku ikhlaskan. Anith Fitriah tidak lemah dan dia tidak akan kelihatan lemah di hadapan Ehsan sampai bila-bila pun.

Melihat dia berdiri di situ tanpa sedikit pun cela hanya membuatkan sang hati meronta-ronta menanggung kesakitan yang lebih hebat. Langsung dia tidak peduli jika dia telah melukakan aku.

“Kalau kau jumpa Nik, beritahu dia yang aku kata ‘Hai’. Actually, it’s my way of getting back at him. You know, by dragging you out with me. Aku pasti sekarang dia hampir gila kerana cemburu.” ujarnya.

Beberapa saat berlalu dan kami masih saling merenung sebelum akhirnya Ehsan menyerah kalah. Satu persatu gerakannya disusun meninggalkan aku yang masih tergamam.

Indahnya dunia ini. Aku tak lebih daripada alat yang sewenangnya boleh dipergunakan untuk mencapai sesuatu tujuan. Nik sudah melakukannya dengan berjaya dan kali ini Ehsan pula? Seolah-olah aku tidak mempunyai sebarang nilai.

Hanya untuk buat Nik cemburu dia heret aku keluar. Atas dorongan apa dia melakukan semua ini? Dan apabila memikirkan dia hanya mengambil beberapa minit untuk merangka pelan yang begitu mengagumkan. Aku pula membantu menjayakan rancangan baiknya dengan tidak menjawab panggilan daripada Nik. Ehsan sudah dapat mengagak semuanya.

Siapakah lelaki berhati batu itu sebenarnya? Manusia yang normal akan berfikir dua kali untuk mempergunakan manusia yang lain tetapi dia, tanpa sekelumit rasa pun.

Bagus kerana dia juga membantu aku untuk menyakitkan hati Nik walaupun sungguhnya aku tak berniat untuk berbuat demikian hanya untuk membalas dendam atas perbuatannya. Lagi pun, aku masih belum dengar cerita di pihaknya. Mungkin sahaja dia mempunyai masalah short term memory seperti di dalam filem ’50 First Dates’. Siapa tahu, bukan? 

Syukurlah aku masih boleh bergurau, bermakna masih wujud Anith Fitriah di sebalik semua kekalutan dan masalah yang melanda.

Masuk ke dalam kereta, aku menghidupkan enjin dan menekan penal penghawa dingin. Tas tangan aku capai lalu mengeluarkan telefon bimbitku yang sengaja aku matikan.

Patutkah aku kembalikan semula ‘nyawa’nya sekarang atau menunggu sehingga malam nanti? Akalan jahatku bertanya sendiri.

Okay, mungkin tidak sekejam itu!  Lagi pula, kalau ada panggilan penting daripada tempat kerja, mati aku. Atau mungkin panggilan daripada ibu. Yalah, aku switch on sekarang juga. Telefon bimbit tersebut aku letakkan semula di atas dashboard dan mengenakan seatbelt, bersedia untuk memulakan perjalanan pulang. Baru sahaja aku memasukkan gear apabila telefon bimbit aku berdering sedangkan tak sampai lima minit selepas aku ‘menghidupkannya’ kembali.

Mahu cuba teka siapa pemanggilnya?

Satu, dua, tiga, empat, lima. Telefon bimbit tersebut aku capai dan menekan penal ‘Answer’.

“Awak memang sengaja, kan?” tempik Nik di hujung talian sebelum sempat aku membuka mulut untuk memberi salam.

Aku mengeluh.

“Sengaja apanya pula ni?” aku berpura-pura tidak faham.

“Tempat biasa dalam masa setengah jam.” arah Nik tanpa kompromi. Suaranya sahaja sudah menyatakan yang dia benar-benar marah serta kurang senang.

Haa jangan tidak tahu yang Nik dahulunya terkenal dengan sikap autoritariannya. Namun begitu tidak pernah sekali pun dia mempraktikannya ke atas aku, sehinggalah sekarang. Nik memang sedang menahan bahang api cemburunya sendiri dan itu bermakna Ehsan sudah berjaya di dalam misinya untuk membalas dendam.

Tahniah, Encik Dzul Ehsan! Lelaki yang tidak suka bergaul dengan manusia yang lain tetapi memiliki kelebihan untuk membaca dan meneka fikiran mereka dengan jayanya tanpa perlu bersusah-payah.

“Aye aye, captain.” aku membalas, mematikan talian.

Kalau sekarang dia sudah mahu menguatkuasakan prinsip autoritariannya ke atas aku, maaflah tetapi aku tidak mungkin akan tunduk dan menurut. Hidup ini demokrasi, memerlukan pendapat dan penglibatan semua pihak bukan hanya satu. Nik tidak boleh memerintah aku sesuka hatinya.
45 minit adalah masa yang aku ambil untuk sampai ke ‘tempat biasa’ yang dikatakan Nik. Lima minit pula aku habiskan membelek wajahku di rear mirror. Tujuh minit merupakan jumlah masa yang aku ambil untuk membuka boot kereta mencari sepatu yang lebih selesa sebelum mengunci kereta tersebut. Dengan langkah yang perlahan aku menuju masuk ke dalam restoran.

Cekap sahaja mata aku menangkap figura Nik yang kelihatan segak berkemeja corak kekotak dan berjeans hitam. Bergaya dan kemas seperti biasa, mendatangkan bahaya kepada rancangan aku untuk berlaku tegas kepadanya. 

“Sangat menepati masa, Cik Anith Fitriah.” sela Nik sebaik sahaja aku mengambil tempat bertentangan dengannya. Kerutan di dahi lelaki itu menyatakan yang dia tidak berminat untuk memulakan perbualan kami dengan sebarang mukadimah indah.

“Walaupun saya cuti tapi itu tak bermakna saya tak sibuk.” tempelakku.

Mencerlung Nik sebaik sahaja perkataan-perkataan itu keluar daripada mulutku.

“Sibuk melayan Ehsan?”

“Awak perlu hentikan semua perkara tak masuk akal ni. Mengikuti setiap gerakan saya seperti saya ni penjenayah. Saya punya hak untuk menjalani hidup saya semahu saya. Tindakan awak tu buat saya lemas, tahu tak?”aku cuba untuk menahan kemarahan yang semakin meronta-ronta untuk membebaskan dirinya daripada kawalanku.

Aku sudah berazam untuk tidak membiarkan kemarahan menjadi penghalang kepada aku untuk berfikir dengan waras lagi. Biarlah semalam menjadi kali terakhir aku membenarkan diri aku sebodoh dan selemah itu. Tidak mahu aku terus hidup menjadi manusia yang cela peribadinya, membenarkan nafsu dan amarah beraja.

“Awak tak beri saya banyak pilihan, jadi semua tu perlu. Apa yang awak buat seharian dengan Ehsan, huh? Sampai panggilan saya pun awak tak angkat.” perangai Nik semakin sukar untuk aku fahami. Dari hari ke hari, dia seolah menjalani transformasi menjadi lelaki yang begitu asing kepada aku. Seperti segala yang dia pertontonkan kepada aku ketika pertama kali kami berjumpa selepas dia menghilang tidak lebih daripada hanya satu sandiwara untuk mengaburkan aku, supaya aku berteruskan menganggap yang dia tidak pernah berubah. Namun kini satu persatu cangkerang yang menyaluti lakonannya itu gugur, menampakkan kulitnya yang sebenar.

Adakah aku telah melakukan keputusan yang salah?

“Cuba untuk minta maaf untuk kekalutan yang awak cipta.” balasku acuh tak acuh.

Kerutan di dahi Nik semakin dalam sehingga aku risau ia akan meninggalkan parut ke atas wajah kacaknya. Mataku aku menyoroti segenap roman wajah milik Nik dan hati aku masih dilimpahi dengan kasih untuknya.

Perasaan aku masih sama.

Care to explain?” angkuh dan bersahaja dia bertanya.

Keangkuhan yang entah sejak bila berakar di dalam diri Nik kerana aku tahu, keangkuhan itu tidak wujud tiga tahun dulu. Keperitan sebagaimanakah yang kau lalui dahulu sehingga membuat kau berubah Nik? Aku benar-benar rindukan Nik Afezal dulu.

Ke mana ia menghilang, Nik Afezal?

“Saya tak sangka awak boleh jadi sekejam tu. Awak langsung tak fikirkan kesannya ke atas Aya.”

“Anith Fitriah, tak perlu nak berteka-teki dengan saya lagi sebab saya benar tak faham. Apa perkara kejam yang saya dah buat kepada Aya?” dia bertanya.

Aku sudah melalui hampir separuh daripada hari ini bertekak dengan Ehsan dan aku tidak berminat untuk menghabiskan separuh lagi bertekak dengan Nik pula. Ribut emosi yang melanda membuatkan aku sangat penat.

“Kenapa awak tak beritahu Farez telefon dan dia minta saya tolong jemput Aya daripada sekolah?” aku bertanya lemah dan lebih lemah untuk menanti jawapan daripadanya. Kerana aku seakan dapat rasa yang aku mungkin tidak akan menyukai jawapannya.

Nik berjeda, kelihatan serius berfikir.

Seminit berlalu hanya berlatarkan perbualan-perbualan kecil yang tidak jelas butirnya serta bunyi garfu dan sudu berlaga sesama sendiri.

Nik meraup wajah dan beberapa juraian rambut jatuh ke dahinya, membuatkan dia kelihatan tak ubah seperti anak muda yang masih mentah. Bagaimana makhluk secantik ini boleh jatuh hati kepada perempuan seperti aku? Jauh beza di antara kami laksana langit dan bumi sama ada daripada segi status mahu pun penampilan. Dia sentiasa segak tak kira apa pun yang dikenakan manakala aku pula, simple dan selekeh. Lihat sahajalah hari ini, hanya jeans dan t-shirt longgar berwarna kelabu pudar. Rambutku pula diikat kemas dengan skarf pemberian mama dengan beberapa helaian degil yang jatuh meliar ke bahu. Make up yang menghiasi wajahku hanyalah secalit lipstick.

Memikirkan itu tiba-tiba sahaja aku merasa tidak selesa berhadapan dengan Nik. Bau parfumnya sahaja sudah menceritakan keperibadian dan ketampanannya.

“Tentang tu...Saya sungguh terlupa.” ucapnya, menatap wajahku dengan mata yang penuh pengharapan. Harapan agar aku mempercayainya, agar aku memahaminya.

Dia mengeluh kehampaan apabila aku tidak memberi sebarang respons.

“Hidup saya agak kalut pada hari itu dengan panggilan yang tak penting dan rajukan awak...”

“Jadi ianya salah saya?” aku menyela, keras.

Spontan Nik mencapai tangan aku.

Kalau dia berterusan memandang aku begitu, aku mungkin akan rebah di sini juga. Kasihku kepadanya hanya melemahkan aku. Manusia manakah yang mengeluarkan teori bahawa cinta itu menguatkan seseorang?

Niatku untuk menghukumnya semakin goyah, aku tidak boleh berlama-lama lagi di sini atau dia sekali lagi akan menang dan tak mungkin akan mempelajari apa-apa.

Aku mahu dia tahu dia tidak boleh mengambil mudah diri aku kerana aku juga manusia yang tahu sakit dan pedih. Memaafkannya dengan mudah untuk kesalahan yang dilakukannya hanya akan membuat dia besar kepala dan berterusan melayan aku sesukanya.

Apa yang membuatkan urusannya lebih penting daripada urusan aku sehingga semudah itu dia terlupa?

“Sayang, awak tahu itu bukan maksud saya. Cuma waktu tu, terlalu banyak di dalam fikiran saya. Dia menelefon di waktu yang salah. Ah! Itu sahaja penjelasan saya kepada awak, saya terlupa dan benar tidak sengaja.’

Kekecewaan mula menikam aku tanpa sedikit pun belas kasihan sehingga aku begitu pasti Nik dapat melihatnya jelas di riakku. Aku menarik tanganku daripada pegangannya dengan kasar membuatkan lelaki itu pegun sebentar.

“Urusan saya juga sama penting dengan urusan awak. Aya penting kepada saya. Kalau awak tak dapat terima sesuatu yang sebegitu penting, mungkin kita patut fikirkan semula arah tuju hubungan ni.” pedihnya bukan kepalang meskipun aku yang melafazkannya.

Aduh...Bantulah aku, berilah aku kekuatan!

Aku memaksa diriku untuk bangun.

Nik, tolonglah cakap sesuatu.

“Fitri! Apa yang awak merepek ni? Memang salah saya tetapi tak perlulah nak menjatuhkan hukuman seberat itu. Saya tahu dia penting untuk awak. Saya tak pernah terfikir pun untuk ambil mudah dia atau pun awak. Cuma, saya ada masalah saya sendiri, sayang.”

“Apa sebenarnya yang awak tak beritahu saya, Nik?” aku bertanya, masih kaku berdiri tanpa mempedulikan mata-mata yang dihalakan ke arah kami, menonton drama kecil itu dengan penuh minat.

Nik tunduk, kembali membisu lagak seorang pesalah.

Bagus, bukan sahaja dia sentiasa menyakiti aku seperti Ehsan, dia juga mempunyai rahsia seperti makhluk aneh itu.

Apa dah jadi dengan semua lelaki di dalam dunia ini?

“Saya nak balik. Let’s not see each other for a while and please...stop following me around. Bye, Nik.”

Dengan berjayanya, air mata aku jatuh ke pipi, menyempurnakan hari manusia cengeng seperti aku. Pantas aku memaksa kaki ku keluar daripada restoran itu agar Nik tidak dapat melihat kelemahan aku itu.

Dia dah berubah dan dia dah tak percayakan aku untuk berkongsi masalahnya dengan aku sedangkan aku sayangkan dia. Kristine mungkin benar apabila dia mengatakan yang aku tak sepatutnya menerima Nik kembali. Lihatlah, lelaki itu hanya buat aku menangis dan menangis.

Bagaimana ia boleh menjadi sesuatu yang begitu salah jikalau perasaan aku membenarkannya?

Aku perlu bersabar dan memberinya waktu. Dan aku perlu menerima walau apa pun perubahannya. Bukankah cinta itu bererti menerima kekurangan dan kelebihan seseorang dengan hati yang terbuka?




Satu persatu paket mask yang terdapat di rak itu aku belek, membaca labelnya dengan teliti. Sekali-sekala jariku menolak semula sunglasses yang jatuh ke pangkal hidung. Salah seorang pekerja Guardian yang memerhatikan gerak-geriku dengan penuh curiga tidak aku pedulikan. Aku tidak boleh menyalahkannya kerana menjalankan tugas sebagai seorang pekerja yang baik dan cuba mengelakkan sebarang kecurian daripada berlaku. Mana mungkin apabila penampilan aku yang harus dipersalahkan. Oversize sweater yang dipadankan dengan jeans pudar serta sunglasses untuk melengkapkan penampilanku tentu sahaja menimbulkan rasa curiga sesiapa yang melihat.

Biarlah kerana aku tidak mempunyai minat untuk bergaya berlebihan setelah hampir semalaman tidak tidur yang mana hanya membuatkan mata aku bertambah bengkak. Apa lagi aktiviti aku selepas pertemuan aku dengan Nik semalam kalau bukan menangis seperti seorang manusia yang lemah dan cengeng? Anith Fitriah memang tidak akan berubah.

Memasukkan empat paket mask ke dalam bakul di tangan, aku bergerak pula ke rak yang menempatkan berus gigi.

Mujurlah Kristine tidak ada di rumah semalam atau pasti aku akan dileteri tanpa henti. Ketika aku keluar pagi tadi pun, Kristine masih belum bangun. Mana taknya, hampir subuh baru dia pulang. Menghabiskan masa bersama Hezry seperti biasa. Ah, perangai Kristine yang kurang sihat itu semakin lama semakin menjadi-jadi! Itulah tuan-tuan dan puan-puan apa yang orang kata ‘pengaruh negatif’. Dan dia cakap Hezry lebih baik daripada Nik. Huh, mustahil!

Sebagaimana dia tidak menyenangi Nik, sebegitu jugalah aku tidak suka akan Hezry.

Dalam kelekaan aku mencari berus gigi yang sesuai untuk Aya, tangisan seorang kanak-kanak menggangu konsentrasiku. Pada mulanya aku hanya membiarkan sahaja tetapi setelah beberapa minit tangisan itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda, aku liarkan mata mencari sumbernya.

Di mana kamu wahai si kecil?

Rak demi rak aku lewati dan tangisan itu semakin lama semakin hampir sehinggalah langkahku terhenti apabila mataku menangkap seorang pekerja Guardian sedang membongkok memujuk seorang kanak-kanak lelaki. Aku menghampiri mereka dan lantas pekerja tersebut mengangkat muka, kelihatan agak cemas. Kali pertama menghadapi situasi sebegini aku kira. Tetapi siapa yang tidak cemas kalau terpaksa menangani keadaan yang sudah tentunya tidak terdapat di dalam deskripsi kerja?

“Anak kakak ke?” gadis itu bertanya.

Aku menggeleng. Air mata kanak-kanak yang aku kira berusia setahun setengah itu mengalir laju, jelas ketakutan apabila semakin ramai yang mengerumuninya.

Bagaimana pula si comel ini boleh terpisah daripada ibunya? Bukankah dia terlalu kecil untuk dibiarkan berjalan sendiri?

“Baby, jangan menangis.” aku cuba memujuk setelah dua orang gadis tersebut mula kematian akal untuk menenangkannya. Seakan memahami ucapanku, kanak-kanak tersebut menghampiri aku dengan sepasang mata bulat meminta simpati dan pertolongan.

“Hantar ke kaunter informasi, Ina” salah seorang gadis tersebut memberi cadangan.

Gadis yang bernama Ina itu mengangguk sambil tangannya menarik kanak-kanak tersebut ke dalam dukungannya. Tindakannya itu hanya membuatkan tangisan kanak-kanak comel itu makin kuat, tangannya didepakan kepada aku.

Aku mengerut dahi kehairanan seraya menoleh ke belakang mencari kelibat manusia lain.

Kosong! Bermakna memang dia mahu aku yang mendukungnya?

“Oh.” aku berasa sedikit janggal apabila dia diberikan kepadaku. Wajah kedua gadis tersebut aku amati untuk seketika. Mereka kelihatannya seperti tidak mempercayai aku namun tersepit di antara kebimbangan aku akan menculiknya dan rontaan kanak-kanak itu yang semakin menjadi-jadi.

“Awak boleh ikut saya sekali.” aku berkata, cuba menyedapkan hati mereka. Ternyata ia adalah keputusan yang baik kerana kelegaan jelas terpancar di wajah mereka berdua.

“Syhh, janganlah menangis.” pujukku lagi.

Ke manalah pula pergi ibunya? Kenapalah dibiarkan kanak-kanak ini sendiri?

Baru sahaja kami melangkah keluar daripada kedai apabila satu jeritan kecil menyapa gegendang telinga. Serentak kami bertiga berpaling ke arah pemilik suara tersebut.

“Zarith, my baby!”

Dan sebaik sahaja mataku jatuh ke wajah pemilik suara tersebut, aku tidak berupaya untuk melakukan apa-apa meskipun berkedip.

Hanya berdiri pegun di situ seperti tiang lampu.



***********************************************************************
Successfully updated.
Siapa yang Fitri jumpa? Any guess? ^^
Pendapat, kritikan, komen dariapda semua sangat saya hargai.
Terima kasih untuk masa yang sudi diluangkan menjengah ke sini.


Jumpa nanti?   
Share:

3 comments:

mizz acu said...

is it nik afezal? anak nik???? anak ehsan mustahil la pulakkk

Syarp said...

Wah mistri mcm dah nk mula terurai..is ehsan trying to drag nik 2 b responsible to past history wic is so mistic til now

Inawza.Yusof said...

@mizz acu: anak nik? boleh jadi tapi...okay takleh bagi tau haha
terima kasih baca dan komen ^^



@Syarp: haha saya rasakan this is the beginning of a new mystery :)
terima kasih tau sentiasa baca dan komen. sangat-sangat menghargai...