Aku
di kelilingi oleh manusia-manusia yang pelbagai peribadinya. Semuanya dengan
keanehan tersendiri sehingga kadang-kadang aku rasakan yang aku ini merupakan
magnet bagi manusia berperibadi unik. Kristine, Elisa, Nik, Farez serta Ehsan
dan aku sangat yakin senarai itu tidak akan berhenti di sini sahaja. Keunikan
Ehsan mengatasi yang lainnya. Hari ini sahaja sudah berbagai-bagai perkara yang
tak masuk akal yang dilakukannya. Aku tak akan pernah faham cara fikirannya
bergerak kerana setiap kali aku bertemunya, ada sahaja perkara baru yang
dilakukannya.
Amat aneh
apabila tiba-tiba sahaja Ehsan berlaku baik kepada aku, manusia yang telah
merosakkan kamera kesayangannya, sedangkan pada mulanya dia begitu berazam
untuk menyukarkan keadaan bagiku. Semuanya berubah sebaik sahaja aku bangun
daripada tidur, seakan-akan segalanya tidak lebih daripada mimpi belaka.
Nampaknya kejadian memalukan itu mempunyai kuasa ajaibnya yang tersendiri.
Persoalannya di
sini, kenapa Ehsan seolah tidak terkesan walau sedikit pun dengan apa yang
telah aku lakukan?
Kamera itu
teramat penting kepadanya, dan ia bukan fakta rekaan semata malah diperakui
oleh adiknya sendiri, Elisa. Sepatutnya sekarang ini dia sudah melapah aku
hidup-hidup tetapi apa yang dia buat? Membuang masa kami berdua dengan
merayau-rayau di OU. Kegilaan apakah itu?
Dia selalu sahaja bertindak di luar jangkaan, membuatkan aku selalu
sahaja terpaksa menahan bahana kejutan yang dilakukannya.
Benar aku tidak
sangka Ehsan akan memudahkan keadaan bagi aku. Semudah itu sahaja dia memaafkan
aku? Agak mencurigakan tetapi untuk kebaikan bersama, aku akan membiarkan
sahaja. Sekurang-kurangnya sekarang aku sudah boleh tidur dengan lena tanpa
perlu memikirkan apa-apa lagi tentang Ehsan. Yang lebih penting, aku bebas
daripada hutang kad kredit yang melampau. Mana taknya, kamera buruk macam tu
pun dah beribu-ribu. Tak termampu aku! Kalaulah aku tahu begini jadinya, pasti
aku tidak akan mengusutkan fikiran aku semalam dengan hal ini.
Aku masih tidak
dapat mencari sumber perubahan Ehsan itu. Dia sendirinya yang mengatakan kepada
aku yang dia tidak mahu berjumpa aku lagi tetapi kemudian secara tiba-tiba
menukar pendirian. Aduh, sakit kepala aku dengan makluk yang satu ini! Kalau ada sesiapa di luar sana faham situasi
sebenarnya, tolonglah jelaskan kepada aku.
“Dah sampai.”
ujar Ehsan sebaik sahaja dia mematikan enjin keretanya, sekali gus menyedarkan
aku yang sedang jauh mengelamun itu.
Aku memandang
sekeliling
“Oh, cepatnya!”
Rasanya seperti
baru lima minit tadi aku menghenyakkan diri ke kusyen empuk kereta milik Ehsan
dan sekarang kami sudah kembali berada di kawasan perumahannya. Aku berjeda
untuk beberapa ketika sebelum keluar daripada keretanya, mengikuti langkah
lelaki itu yang sudah dahulu meninggalkan aku. Dia kini sedang bersandar santai
di pintu penumpang Lancer merahnya, memerhatikan aku dengan pandangan yang
tidak dapat aku baca.
Sikap Ehsan pada
hari ini sememangnya satu kebaikan buat aku tetapi itu tidak mengubah perasaan
sebenarnya. Dalam tidak sedar dia sebetulnya menggunakan strategi yang sama
tetapi lebih halus. Sesuatu yang aku tidak jangkakan daripada Ehsan. Dengan
menutup perasaannya dan berpura-pura berlaku baik kepada aku, pastinya dengan
lebih mudah dia dapat menghindari aku. Jika tidak, aku pasti akan terus mengganggunya
dengan maaf aku. Wow, fikiran yang baik, Ehsan!
Oleh kerana itu,
aku perlu ambil tahu tentang perasaannya yang sesungguh-sungguhnya.
“Hari ni hari
yang sangat membazir, terima kasih untuk itu.” aku berkata.
“Mention not.” intonasinya mendatar,
seolah tidak begitu berminat untuk berlama-lama di situ dengan aku.
“Aku rasa kita
perlu bercakap sekarang. Betul-betul bercakap dan kau perlu beritahu aku
perasaan kau sejujurnya. Aku sakitkan hati kau dengan kata-kata yang teruk,
kemudian aku tampar kau. Tak cukup dengan tu, aku hancurkan pula kamera
bod...kesayangan kau. Sebagai balasannya, apa yang kau buat, Ehsan? Buang masa
dengan aku berjalan tanpa tujuan di OU? Kau pasti bergurau, kan?” tegas
suaraku, mahu dia tahu yang aku serius dengan kata-kataku.
Fokusku dituntaskan
kepada makhluk aneh tersebut tanpa sesaat pun longgar.
“Kalau kau
marahkan aku, jangan pendamkan hanya kerana kau tak sabar untuk mengusir aku. Just go ahead and shout at me. Tak
mungkin kau tak marah selepas apa yang aku lakukan. Kadang-kadang kau buat aku
keliru dengan sikap kau. Pagi tadi kau begitu meyakinkan apabila kau kata yang
kau tak mahu jumpa aku lagi tetapi secara tiba-tiba sahaja kau berubah. Ada
sesuatu yang aku perlu tahu?”
Ehsan sekadar
berdiri di situ melontarkan pandangannya jauh ke hadapan.
“Mendiamkan diri
tak akan menyelesaikan sebarang masalah. Kau perlu bercakap agar orang di
sekeliling kau tahu perasaan sebenar kau. Aku tak memiliki kuasa psikik seperti
kau, jadi semestinya aku tidak tahu apa sahaja yang bermain di dalam kepala kau
tu. Cakap sesuatu.” desakku apabila Ehsan masih mendiamkan diri.
Perlahan-lahan
dia menoleh mengadap wajahku.
Hrmm dia sudah
terlebih awal bersedia dengan sistem ‘pertahanan’nya kerana riaknya ketika itu
kosong, beku sekali gus mengundang rasa sedikit rasa kecewa ke dalam diriku.
Sukar untuk aku menebak isi hatinya.
Bagaimana dia
melakukannya dengan berjaya sekali?
“You talked too much.” komennya.
“And you’re completely the opposite.”
balasku, tidak mahu kalah.
Ya, ya, aku
sepatutnya cuba untuk membuka ruang kepada Ehsan untuk berkata-kata bukannya
mencari pasal dan mengeruhkan keadaan yang sedia keruh. Ketahuilah amat sukar
untuk menahan diri apabila berhadapan dengan makluk aneh ini. Apa mungkin untuk
membiarkan diri dipijak-pijak dengan ucapannya yang tidak melalui sistem
tapisan itu? Hati mana yang dapat menahan.
“Perasaan aku bukan masalah kau. Fitri, kau
melebihi orang lain patut tahu yang aku tak suka semakkan kepala aku dengan
perkara yang tak penting. Mungkin benar aku marah tetapi aku takkan biarkan
perasaan tu mengganggu hidup aku.”
“Jadi kau lebih
suka diri kau beku tanpa sebarang perasaan?”
“Kalau ia dapat
menyelamatkan aku daripada orang macam kau, ya.” aku menyela.
Huh, orang
seperti aku?!
“Ehsan, kau benci semua manusia kat dalam
dunia ni.”
“Stop exaggerating, aku tak cakap macam
tu.”
“Tak perlu nak
cakap sebab perbuatan kau dah menjelaskan segalanya. Aku tak tahu jika ada
manusia di dunia ni yang kau suka. Semuanya hanya mendatangkan masalah kepada
kau, baik keluarga kau sendiri pun. Kau buat aku kagum dan menyampah dalam masa
yang sama.”
Ehsan yang
sedari tadi hanya berdiri memeluk tubuh berpaling lalu menekan penal ‘Lock’ di
kunci keretanya.
Lihatlah dunia,
dia sekali lagi cuba untuk melarikan diri. Lihatlah betapa pengecutnya si beku
itu sebenarnya. Dia tidak mampu untuk berlaku jujur kepada dirinya sendiri pun.
“Jadi kau marah
dan bencikan aku? Kau benar maksudkannya bila kau cakap yang kau tak mahu
tengok muka aku lagi, kan?” dan tidak sama sekali aku akan berundur.
Alang-alang
menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Lupa terus aku kepada tujuan
sebenar aku ke sini pada hari ini sehingga ‘berkhemah’ di hadapan rumahnya. Aku
sepatutnya memohon maaf tetapi yang aku berjaya lakukan adalah satu lagi
‘pertempuran’ kecil dengan Ehsan.
“Again, I didn’t say anything like that.
Berhenti menyumbat perkataan ke dalam mulut aku sesuka hati kau. Sama ada aku
maksudkannya atau pun tidak, ia takkan mengubah apa-apa. Aku tak tahu kenapa
tapi aku tak boleh nak keluarkan kau daripada hidup aku. Kau seperti gula-gula
getah yang melekat kat tapak kasut, tahu? Annoying.”
Oh...
Adakah aku akan
memburukkan keadaan sekiranya aku menangis?
Itu satu kata-kata yang sangat, sangat, sangat dan sangat menyakitkan.
Ehsan penuh dengan sesuatu yang begitu, bukan? Okay, tidak ada apa lagi yang
mahu aku cakapkan. Aku sungguh tak mampu untuk menyusun kata lagi.
Hati aku...Apa
ini mungkin untuk aku terluka demi satu ucapan yang datang daripada dia yang
tidak penting?
“Aku benar
maksudkannya bila aku minta maaf daripada kau. I’ll take my leave now. And oh, I think I prefer ‘sticky notes’ better
than ‘sticky gum’.” tas tanganku aku genggam erat ke dada sepertilah Ehsan
akan cuba merampasnya daripada aku.
Bibir Ehsan
bergerak-gerak seperti sedang menahan ketawanya daripada pecah.
Tidak mahu
berlama-lama di situ, laju sahaja aku melangkah ke menuju ke keretaku,
sedayanya cuba untuk menahan air mataku daripada mengalir. Ehsan sudah
semestinya tidak berkata apa-apa, apatah lagi menghalang langkah aku.
Makhluk aneh itu
tidak boleh buat aku menangis! Aku immune
dengan kata-katanya, aku immune.
Berkali-kali aku
mengulangi barisan ayat itu dengan harapan ia akan memulihkan kembali kesakitan
yang masih terasa bisanya. Tidak adakah vaksin yang mampu membuat aku kebal
kepada serangan verbal Ehsan?
“Fitri.” panggil
Ehsan yang mana mencipta perdebatan yang maha hebat di dalam diriku.
Berhenti atau
meneruskan langkah tanpa mempedulikannya?
Yakin dia
sengaja mahu menduga aku, aku menghentikan gerak kakiku dan lantas menoleh
dengan satu senyuman yang cuba aku ikhlaskan. Anith Fitriah tidak lemah dan dia
tidak akan kelihatan lemah di hadapan Ehsan sampai bila-bila pun.
Melihat dia
berdiri di situ tanpa sedikit pun cela hanya membuatkan sang hati meronta-ronta
menanggung kesakitan yang lebih hebat. Langsung dia tidak peduli jika dia telah
melukakan aku.
“Kalau kau jumpa
Nik, beritahu dia yang aku kata ‘Hai’. Actually,
it’s my way of getting back at him. You know, by dragging you out with me.
Aku pasti sekarang dia hampir gila kerana cemburu.” ujarnya.
Beberapa saat
berlalu dan kami masih saling merenung sebelum akhirnya Ehsan menyerah kalah.
Satu persatu gerakannya disusun meninggalkan aku yang masih tergamam.
Indahnya dunia
ini. Aku tak lebih daripada alat yang sewenangnya boleh dipergunakan untuk
mencapai sesuatu tujuan. Nik sudah melakukannya dengan berjaya dan kali ini
Ehsan pula? Seolah-olah aku tidak mempunyai sebarang nilai.
Hanya untuk buat
Nik cemburu dia heret aku keluar. Atas dorongan apa dia melakukan semua ini?
Dan apabila memikirkan dia hanya mengambil beberapa minit untuk merangka pelan
yang begitu mengagumkan. Aku pula membantu menjayakan rancangan baiknya dengan
tidak menjawab panggilan daripada Nik. Ehsan sudah dapat mengagak semuanya.
Siapakah lelaki
berhati batu itu sebenarnya? Manusia yang normal akan berfikir dua kali untuk
mempergunakan manusia yang lain tetapi dia, tanpa sekelumit rasa pun.
Bagus kerana dia
juga membantu aku untuk menyakitkan hati Nik walaupun sungguhnya aku tak
berniat untuk berbuat demikian hanya untuk membalas dendam atas perbuatannya.
Lagi pun, aku masih belum dengar cerita di pihaknya. Mungkin sahaja dia
mempunyai masalah short term memory seperti di dalam filem ’50 First Dates’.
Siapa tahu, bukan?
Syukurlah aku
masih boleh bergurau, bermakna masih wujud Anith Fitriah di sebalik semua
kekalutan dan masalah yang melanda.
Masuk ke dalam
kereta, aku menghidupkan enjin dan menekan penal penghawa dingin. Tas tangan
aku capai lalu mengeluarkan telefon bimbitku yang sengaja aku matikan.
Patutkah aku
kembalikan semula ‘nyawa’nya sekarang atau menunggu sehingga malam nanti? Akalan
jahatku bertanya sendiri.
Okay, mungkin
tidak sekejam itu! Lagi pula, kalau ada
panggilan penting daripada tempat kerja, mati aku. Atau mungkin panggilan
daripada ibu. Yalah, aku switch on
sekarang juga. Telefon bimbit tersebut aku letakkan semula di atas dashboard dan mengenakan seatbelt, bersedia untuk memulakan
perjalanan pulang. Baru sahaja aku memasukkan gear apabila telefon bimbit aku
berdering sedangkan tak sampai lima minit selepas aku ‘menghidupkannya’
kembali.
Mahu cuba teka
siapa pemanggilnya?
Satu, dua, tiga,
empat, lima. Telefon bimbit tersebut aku capai dan menekan penal ‘Answer’.
“Awak memang
sengaja, kan?” tempik Nik di hujung talian sebelum sempat aku membuka mulut
untuk memberi salam.
Aku mengeluh.
“Sengaja apanya
pula ni?” aku berpura-pura tidak faham.
“Tempat biasa dalam
masa setengah jam.” arah Nik tanpa kompromi. Suaranya sahaja sudah menyatakan
yang dia benar-benar marah serta kurang senang.
Haa jangan tidak
tahu yang Nik dahulunya terkenal dengan sikap autoritariannya. Namun begitu
tidak pernah sekali pun dia mempraktikannya ke atas aku, sehinggalah sekarang.
Nik memang sedang menahan bahang api cemburunya sendiri dan itu bermakna Ehsan
sudah berjaya di dalam misinya untuk membalas dendam.
Tahniah, Encik
Dzul Ehsan! Lelaki yang tidak suka bergaul dengan manusia yang lain tetapi
memiliki kelebihan untuk membaca dan meneka fikiran mereka dengan jayanya tanpa
perlu bersusah-payah.
“Aye aye,
captain.” aku membalas, mematikan talian.
Kalau sekarang
dia sudah mahu menguatkuasakan prinsip autoritariannya ke atas aku, maaflah
tetapi aku tidak mungkin akan tunduk dan menurut. Hidup ini demokrasi,
memerlukan pendapat dan penglibatan semua pihak bukan hanya satu. Nik tidak
boleh memerintah aku sesuka hatinya.
45 minit adalah
masa yang aku ambil untuk sampai ke ‘tempat biasa’ yang dikatakan Nik. Lima
minit pula aku habiskan membelek wajahku di rear mirror. Tujuh minit merupakan
jumlah masa yang aku ambil untuk membuka boot kereta mencari sepatu yang lebih
selesa sebelum mengunci kereta tersebut. Dengan langkah yang perlahan aku
menuju masuk ke dalam restoran.
Cekap sahaja
mata aku menangkap figura Nik yang kelihatan segak berkemeja corak kekotak dan
berjeans hitam. Bergaya dan kemas seperti biasa, mendatangkan bahaya kepada
rancangan aku untuk berlaku tegas kepadanya.
“Sangat menepati
masa, Cik Anith Fitriah.” sela Nik sebaik sahaja aku mengambil tempat
bertentangan dengannya. Kerutan di dahi lelaki itu menyatakan yang dia tidak
berminat untuk memulakan perbualan kami dengan sebarang mukadimah indah.
“Walaupun saya
cuti tapi itu tak bermakna saya tak sibuk.” tempelakku.
Mencerlung Nik
sebaik sahaja perkataan-perkataan itu keluar daripada mulutku.
“Sibuk melayan
Ehsan?”
“Awak perlu
hentikan semua perkara tak masuk akal ni. Mengikuti setiap gerakan saya seperti
saya ni penjenayah. Saya punya hak untuk menjalani hidup saya semahu saya.
Tindakan awak tu buat saya lemas, tahu tak?”aku cuba untuk menahan kemarahan
yang semakin meronta-ronta untuk membebaskan dirinya daripada kawalanku.
Aku sudah
berazam untuk tidak membiarkan kemarahan menjadi penghalang kepada aku untuk
berfikir dengan waras lagi. Biarlah semalam menjadi kali terakhir aku
membenarkan diri aku sebodoh dan selemah itu. Tidak mahu aku terus hidup
menjadi manusia yang cela peribadinya, membenarkan nafsu dan amarah beraja.
“Awak tak beri
saya banyak pilihan, jadi semua tu perlu. Apa yang awak buat seharian dengan
Ehsan, huh? Sampai panggilan saya pun awak tak angkat.” perangai Nik semakin
sukar untuk aku fahami. Dari hari ke hari, dia seolah menjalani transformasi
menjadi lelaki yang begitu asing kepada aku. Seperti segala yang dia
pertontonkan kepada aku ketika pertama kali kami berjumpa selepas dia
menghilang tidak lebih daripada hanya satu sandiwara untuk mengaburkan aku,
supaya aku berteruskan menganggap yang dia tidak pernah berubah. Namun kini
satu persatu cangkerang yang menyaluti lakonannya itu gugur, menampakkan
kulitnya yang sebenar.
Adakah aku telah
melakukan keputusan yang salah?
“Cuba untuk
minta maaf untuk kekalutan yang awak cipta.” balasku acuh tak acuh.
Kerutan di dahi
Nik semakin dalam sehingga aku risau ia akan meninggalkan parut ke atas wajah
kacaknya. Mataku aku menyoroti segenap roman wajah milik Nik dan hati aku masih
dilimpahi dengan kasih untuknya.
Perasaan aku
masih sama.
“Care to explain?” angkuh dan bersahaja
dia bertanya.
Keangkuhan yang
entah sejak bila berakar di dalam diri Nik kerana aku tahu, keangkuhan itu
tidak wujud tiga tahun dulu. Keperitan sebagaimanakah yang kau lalui dahulu
sehingga membuat kau berubah Nik? Aku benar-benar rindukan Nik Afezal dulu.
Ke mana ia
menghilang, Nik Afezal?
“Saya tak sangka
awak boleh jadi sekejam tu. Awak langsung tak fikirkan kesannya ke atas Aya.”
“Anith Fitriah,
tak perlu nak berteka-teki dengan saya lagi sebab saya benar tak faham. Apa
perkara kejam yang saya dah buat kepada Aya?” dia bertanya.
Aku sudah
melalui hampir separuh daripada hari ini bertekak dengan Ehsan dan aku tidak
berminat untuk menghabiskan separuh lagi bertekak dengan Nik pula. Ribut emosi
yang melanda membuatkan aku sangat penat.
“Kenapa awak tak
beritahu Farez telefon dan dia minta saya tolong jemput Aya daripada sekolah?”
aku bertanya lemah dan lebih lemah untuk menanti jawapan daripadanya. Kerana
aku seakan dapat rasa yang aku mungkin tidak akan menyukai jawapannya.
Nik berjeda, kelihatan
serius berfikir.
Seminit berlalu
hanya berlatarkan perbualan-perbualan kecil yang tidak jelas butirnya serta
bunyi garfu dan sudu berlaga sesama sendiri.
Nik meraup wajah
dan beberapa juraian rambut jatuh ke dahinya, membuatkan dia kelihatan tak ubah
seperti anak muda yang masih mentah. Bagaimana makhluk secantik ini boleh jatuh
hati kepada perempuan seperti aku? Jauh beza di antara kami laksana langit dan
bumi sama ada daripada segi status mahu pun penampilan. Dia sentiasa segak tak
kira apa pun yang dikenakan manakala aku pula, simple dan selekeh. Lihat
sahajalah hari ini, hanya jeans dan t-shirt longgar berwarna kelabu pudar.
Rambutku pula diikat kemas dengan skarf pemberian mama dengan beberapa helaian
degil yang jatuh meliar ke bahu. Make up yang menghiasi wajahku hanyalah
secalit lipstick.
Memikirkan itu
tiba-tiba sahaja aku merasa tidak selesa berhadapan dengan Nik. Bau parfumnya
sahaja sudah menceritakan keperibadian dan ketampanannya.
“Tentang
tu...Saya sungguh terlupa.” ucapnya, menatap wajahku dengan mata yang penuh
pengharapan. Harapan agar aku mempercayainya, agar aku memahaminya.
Dia mengeluh
kehampaan apabila aku tidak memberi sebarang respons.
“Hidup saya agak
kalut pada hari itu dengan panggilan yang tak penting dan rajukan awak...”
“Jadi ianya
salah saya?” aku menyela, keras.
Spontan Nik
mencapai tangan aku.
Kalau dia
berterusan memandang aku begitu, aku mungkin akan rebah di sini juga. Kasihku
kepadanya hanya melemahkan aku. Manusia manakah yang mengeluarkan teori bahawa
cinta itu menguatkan seseorang?
Niatku untuk
menghukumnya semakin goyah, aku tidak boleh berlama-lama lagi di sini atau dia
sekali lagi akan menang dan tak mungkin akan mempelajari apa-apa.
Aku mahu dia
tahu dia tidak boleh mengambil mudah diri aku kerana aku juga manusia yang tahu
sakit dan pedih. Memaafkannya dengan mudah untuk kesalahan yang dilakukannya
hanya akan membuat dia besar kepala dan berterusan melayan aku sesukanya.
Apa yang
membuatkan urusannya lebih penting daripada urusan aku sehingga semudah itu dia
terlupa?
“Sayang, awak
tahu itu bukan maksud saya. Cuma waktu tu, terlalu banyak di dalam fikiran
saya. Dia menelefon di waktu yang salah. Ah! Itu sahaja penjelasan saya kepada
awak, saya terlupa dan benar tidak sengaja.’
Kekecewaan mula
menikam aku tanpa sedikit pun belas kasihan sehingga aku begitu pasti Nik dapat
melihatnya jelas di riakku. Aku menarik tanganku daripada pegangannya dengan
kasar membuatkan lelaki itu pegun sebentar.
“Urusan saya
juga sama penting dengan urusan awak. Aya penting kepada saya. Kalau awak tak
dapat terima sesuatu yang sebegitu penting, mungkin kita patut fikirkan semula
arah tuju hubungan ni.” pedihnya bukan kepalang meskipun aku yang
melafazkannya.
Aduh...Bantulah
aku, berilah aku kekuatan!
Aku memaksa
diriku untuk bangun.
Nik, tolonglah
cakap sesuatu.
“Fitri! Apa yang
awak merepek ni? Memang salah saya tetapi tak perlulah nak menjatuhkan hukuman
seberat itu. Saya tahu dia penting untuk awak. Saya tak pernah terfikir pun
untuk ambil mudah dia atau pun awak. Cuma, saya ada masalah saya sendiri,
sayang.”
“Apa sebenarnya
yang awak tak beritahu saya, Nik?” aku bertanya, masih kaku berdiri tanpa
mempedulikan mata-mata yang dihalakan ke arah kami, menonton drama kecil itu
dengan penuh minat.
Nik tunduk, kembali
membisu lagak seorang pesalah.
Bagus, bukan
sahaja dia sentiasa menyakiti aku seperti Ehsan, dia juga mempunyai rahsia
seperti makhluk aneh itu.
Apa dah jadi
dengan semua lelaki di dalam dunia ini?
“Saya nak balik.
Let’s not see each other for a while and
please...stop following me around. Bye, Nik.”
Dengan
berjayanya, air mata aku jatuh ke pipi, menyempurnakan hari manusia cengeng
seperti aku. Pantas aku memaksa kaki ku keluar daripada restoran itu agar Nik
tidak dapat melihat kelemahan aku itu.
Dia dah berubah
dan dia dah tak percayakan aku untuk berkongsi masalahnya dengan aku sedangkan
aku sayangkan dia. Kristine mungkin benar apabila dia mengatakan yang aku tak
sepatutnya menerima Nik kembali. Lihatlah, lelaki itu hanya buat aku menangis
dan menangis.
Bagaimana ia
boleh menjadi sesuatu yang begitu salah jikalau perasaan aku membenarkannya?
Aku perlu
bersabar dan memberinya waktu. Dan aku perlu menerima walau apa pun
perubahannya. Bukankah cinta itu bererti menerima kekurangan dan kelebihan seseorang
dengan hati yang terbuka?
Satu
persatu paket mask yang terdapat di
rak itu aku belek, membaca labelnya dengan teliti. Sekali-sekala jariku menolak
semula sunglasses yang jatuh ke
pangkal hidung. Salah seorang pekerja Guardian yang memerhatikan gerak-geriku
dengan penuh curiga tidak aku pedulikan. Aku tidak boleh menyalahkannya kerana
menjalankan tugas sebagai seorang pekerja yang baik dan cuba mengelakkan
sebarang kecurian daripada berlaku. Mana mungkin apabila penampilan aku yang
harus dipersalahkan. Oversize sweater
yang dipadankan dengan jeans pudar serta sunglasses
untuk melengkapkan penampilanku tentu sahaja menimbulkan rasa curiga sesiapa
yang melihat.
Biarlah kerana
aku tidak mempunyai minat untuk bergaya berlebihan setelah hampir semalaman
tidak tidur yang mana hanya membuatkan mata aku bertambah bengkak. Apa lagi
aktiviti aku selepas pertemuan aku dengan Nik semalam kalau bukan menangis
seperti seorang manusia yang lemah dan cengeng? Anith Fitriah memang tidak akan
berubah.
Memasukkan empat
paket mask ke dalam bakul di tangan,
aku bergerak pula ke rak yang menempatkan berus gigi.
Mujurlah
Kristine tidak ada di rumah semalam atau pasti aku akan dileteri tanpa henti.
Ketika aku keluar pagi tadi pun, Kristine masih belum bangun. Mana taknya,
hampir subuh baru dia pulang. Menghabiskan masa bersama Hezry seperti biasa.
Ah, perangai Kristine yang kurang sihat itu semakin lama semakin menjadi-jadi!
Itulah tuan-tuan dan puan-puan apa yang orang kata ‘pengaruh negatif’. Dan dia
cakap Hezry lebih baik daripada Nik. Huh, mustahil!
Sebagaimana dia
tidak menyenangi Nik, sebegitu jugalah aku tidak suka akan Hezry.
Dalam kelekaan
aku mencari berus gigi yang sesuai untuk Aya, tangisan seorang kanak-kanak
menggangu konsentrasiku. Pada mulanya aku hanya membiarkan sahaja tetapi
setelah beberapa minit tangisan itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda,
aku liarkan mata mencari sumbernya.
Di mana kamu
wahai si kecil?
Rak demi rak aku
lewati dan tangisan itu semakin lama semakin hampir sehinggalah langkahku
terhenti apabila mataku menangkap seorang pekerja Guardian sedang membongkok
memujuk seorang kanak-kanak lelaki. Aku menghampiri mereka dan lantas pekerja
tersebut mengangkat muka, kelihatan agak cemas. Kali pertama menghadapi situasi
sebegini aku kira. Tetapi siapa yang tidak cemas kalau terpaksa menangani
keadaan yang sudah tentunya tidak terdapat di dalam deskripsi kerja?
“Anak kakak ke?” gadis itu bertanya.
Aku menggeleng.
Air mata kanak-kanak yang aku kira berusia setahun setengah itu mengalir laju,
jelas ketakutan apabila semakin ramai yang mengerumuninya.
Bagaimana pula
si comel ini boleh terpisah daripada ibunya? Bukankah dia terlalu kecil untuk
dibiarkan berjalan sendiri?
“Baby, jangan
menangis.” aku cuba memujuk setelah dua orang gadis tersebut mula kematian akal
untuk menenangkannya. Seakan memahami ucapanku, kanak-kanak tersebut menghampiri
aku dengan sepasang mata bulat meminta simpati dan pertolongan.
“Hantar ke kaunter informasi, Ina” salah
seorang gadis tersebut memberi cadangan.
Gadis yang
bernama Ina itu mengangguk sambil tangannya menarik kanak-kanak tersebut ke
dalam dukungannya. Tindakannya itu hanya membuatkan tangisan kanak-kanak comel
itu makin kuat, tangannya didepakan kepada aku.
Aku mengerut
dahi kehairanan seraya menoleh ke belakang mencari kelibat manusia lain.
Kosong! Bermakna
memang dia mahu aku yang mendukungnya?
“Oh.” aku berasa
sedikit janggal apabila dia diberikan kepadaku. Wajah kedua gadis tersebut aku
amati untuk seketika. Mereka kelihatannya seperti tidak mempercayai aku namun
tersepit di antara kebimbangan aku akan menculiknya dan rontaan kanak-kanak itu
yang semakin menjadi-jadi.
“Awak boleh ikut
saya sekali.” aku berkata, cuba menyedapkan hati mereka. Ternyata ia adalah
keputusan yang baik kerana kelegaan jelas terpancar di wajah mereka berdua.
“Syhh, janganlah
menangis.” pujukku lagi.
Ke manalah pula
pergi ibunya? Kenapalah dibiarkan kanak-kanak ini sendiri?
Baru sahaja kami
melangkah keluar daripada kedai apabila satu jeritan kecil menyapa gegendang
telinga. Serentak kami bertiga berpaling ke arah pemilik suara tersebut.
“Zarith, my baby!”
Dan sebaik sahaja
mataku jatuh ke wajah pemilik suara tersebut, aku tidak berupaya untuk
melakukan apa-apa meskipun berkedip.
Hanya berdiri
pegun di situ seperti tiang lampu.
***********************************************************************
Successfully updated.
Siapa yang Fitri jumpa? Any guess? ^^
Siapa yang Fitri jumpa? Any guess? ^^
Pendapat, kritikan, komen dariapda semua sangat saya hargai.
Terima kasih untuk masa yang sudi diluangkan menjengah ke sini.
Jumpa nanti?
3 comments:
is it nik afezal? anak nik???? anak ehsan mustahil la pulakkk
Wah mistri mcm dah nk mula terurai..is ehsan trying to drag nik 2 b responsible to past history wic is so mistic til now
@mizz acu: anak nik? boleh jadi tapi...okay takleh bagi tau haha
terima kasih baca dan komen ^^
@Syarp: haha saya rasakan this is the beginning of a new mystery :)
terima kasih tau sentiasa baca dan komen. sangat-sangat menghargai...
Post a Comment