Saturday, September 15, 2012

One Day You'll Be Mine 23



‘Bodoh’ merupakan satu-satunya respon yang aku dapat daripada Kristine setelah aku menceritakan semula kepadanya apa yang berlaku. Bodoh kerana aku menerima Nik kembali dengan mudah. Kali pertamanya aku memilih untuk tidak menyukarkan keadaan. Berterusan membiarkan masalah kami tergantung begitu sahaja semata-mata untuk melampiaskan marahku tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Meskipun aku berharap aku tidak akan menyesal dengan keputusan yang aku ambil ini.

Tolonglah jadikan ini sebagai permulaan baru untuk aku, untuk kami berdua. Sekarang, aku berfikir bagaimana aku mahu membuat ibu faham dan menerima dengan terbuka kewujudan Nik dalam hidup aku kembali? Itu juga merupakan satu lagi cabaran yang perlu aku lalui. Bukan perkara yang mudah sebenarnya kerana ibu tak akan berhenti sehingga dia berjaya membuat aku merasa aku telah mengambil keputusan yang salah, membuat aku ragu-ragu dengan keputusan sendiri.

Sebuah kehidupan yang normal, sebagaimana orang lain. Hanya itu yang aku harapkan. Tiada lagi sebarang masalah yang boleh mengembalikan semula ribut yang baru sahaja berlalu pergi. Perasaan aku ketika ini tidak dapat aku nilai. Gembira tetapi kosong! Ah wujudkah sesuatu seperti itu? Pelik dan merunsingkan kerana aku sendiri seolah-olah tidak tahu apa mahu ku. Kenapa jadi begitu sedangkan aku sudah dapat kembali hidup yang selama ini aku inginkan?
Fitri, aku fikir kau sudah berjanji untuk tidak membuat keadaan bertambah rumit.

“Berangan lagi.”Nik memetik jarinya di hadapan wajahku di dalam usaha untuk mendapatkan perhatianku.

Aku tersedar, mengalihkan pandangan ke arahnya semula.

“Kenapa?”aku bertanya.

Nik menghela nafas.

“Ini kali ketiga awak hidup dalam dunia awak sendiri. What’s on your mind or should I say who’s on your mind?”Nik menolak troli, mengambil apa sahaja yang berada di rak sepanjang laluannya walaupun dia tidak memerlukannya.

Aku mengetap bibir, geram dengan lelaki yang bernama Nik Afezal itu.
Suka hati dia je nak ambil apa pun. Hish...

“Nik Afezal, awak tak suka almonds dan sejak bila awak makan coklat?”aku mengambil Van Houten’s Almond Chocolate bar lalu meletakkan semula di rak.

Nik mengangkat bahu kelihatan tidak peduli dengan fakta itu.

Pagi tadi dia menelefon aku, mengajak aku menemaninya memberi barang dapur yang aku sangat yakin tidak lebih daripada alasannya untuk mengajak aku keluar setelah beberapa kali rancangan kami digagalkan Elisa. Aku tahu, Nik masih lagi cuba bersabar dan menerima sahaja setiap kali aku terpaksa membatalkan janji kami apabila Elisa enggan mengalah dan berterusan berkeras mahu aku menemaninya keluar bersama Farez. Walaupun aku rasa bersalah terhadap Nik namun Elisa juga penting buat aku kerana sekarang ini aku terasa seperti kekurangan ‘penyokong’ apabila gadis itu juga seakan-akan tidak menyukai Nik setelah mendengar cerita versi Kristine. Jikalau aku membantah dan berkata ‘tidak’ kepada Elisa, pasti dia akan mengatakan aku lebih mengutamakan kekasih hati daripada keluarga. Elisa menganggap aku sebahagian daripada keluarganya dan itu sahaja sudah mampu membuatkan aku lemah. Anith Fitriah memang mengalami masalah untuk berkata ‘tidak’, kan?

Nik, aku minta maaf.

“Awak buat lagi.”Nik mengeluh, kelihatan sedikit kecewa kerana hari ini tidak berjalan seperti yang dikehendakinya.

“Okay, sorry. Banyak sangat dalam fikiran ni.”aku tersenyum memandangnya yang sudah mula menolak troli menjauhi aku  Sungguh aku tak patut biarkan fikiran aku terbang jauh, sekurang-kurangnya bukan sekarang.

Tolonglah kasihankan Nik, wahai Anith Fitriah.

“Termasuk dia?”

Nik dan cemburu butanya. Sudah tiga minggu sejak kami kembali bersama tetapi dia masih juga mencurigai perasaan aku kepadanya. Bimbang aku mula menyimpan hati kepada Ehsan.
Mengarut betul kerana aku tidak pernah memandang Ehsan lebih daripada...err makhluk aneh? Berkali-kali aku cuba menyakinkannya tetapi keadaan masih juga sama. Kelakar dan merimaskan pada waktu yang sama kerana sebelum ini, Nik Afezal bukan seorang yang kuat cemburu. Tidak mudah baginya untuk melayan sebarang imaginasi mengarut yang singgah di fikiran kerana Nik merupakan manusia rasional yang lebih berpegang kepada fakta daripada emosi. Sekarang, dia sungguh seperti remaja belasan tahun. 

Aku menyikunya, membuatkan muncungnya bertambah panjang. Wajah redupnya jelas menunjukkan yang dia sedikit pun tidak senang dengan keadaan kami sekarang. Namun dia masih cuba untuk bertahan dan hanya memendam perasaan tersebut agar tidak timbul masalah baru di antara kami. Sesuatu yang baik kerana itu menunjukkan yang dia masih mampu berfikir dengan waras sebelum membuat sebarang keputusan.

“Teruskanlah cakap macam tu dan saya mungkin akan jatuh cinta betul dengan dia.”kata-kata itu tak lebih daripada satu gurauan tetapi wajah Nik menyedarkan aku bahawa ia bukan satu gurauan yang baik.

“Nik , berapa kali lagi kita nak cakap pasal ni? There’s no Dzul Ehsan in my mind, not now, not ever.”dua perkataan terakhir itu seakan-akan enggan keluar daripada bibirku sehingga kini, aku pula yang mula meragui kata-kataku tanpa sebab.

Jangan sombong, Fitri. Masa hadapan adalah sesuatu yang tidak pasti, jadi kita tak tahu apa yang akan dan boleh berlaku. Diriku memberi amaran.

Cuba untuk mengalihkan tumpuan, tanganku mencapai baju bayi pertama yang singgah di pandanganku sebaik sahaja kami tiba di bahagian yang menjual pakaian serta keperluan bayi.
Hadiah untuk baby Abang Asyraf dan Kak Rini yang sekarang hanya menunggu hari untuk melihat dunia. Oh baby, auntie love you so much!

“Uh saya tak ada banyak pilihan kat sini, Fitri. Everyone hates me. Keluarga awak, kawan baik awak, bekas adik ipar awak.  Senarai tu semakin meningkat daripada hari ke hari. Mungkin semua orang lebih suka kalau awak terus dengan Ehsan.”suaranya kedengaran sedih, dan sekali gus dengan jayanya membuatkan aku bersimpati kepadanya.

Aku sendiri sedar keadaan juga tidak mudah bagi Nik. Dia sudah sedia maklum yang kepulangannya tidak disenangi oleh mereka yang rapat dengan aku.

Aku cuba untuk membuatkan keadaan lebih baik untuknya tetapi kedegilan manusia-manusia tersebut terlalu tebal...arghh!!! Sehingga aku naik geram apabila Kristine enggan mendengar kata-kataku walaupun sepatah. Baginya, Nik adalah antagonis di dalam kehidupan aku. Kalau aku boleh menerima buah hatinya Hezry yang tak pernah gagal membuatkan hati aku berasap, kenapa dia tak boleh terima Nik Afezal kembali sedangkan mereka pernah rapat dahulu?
Jika aku selaku protagonis telah memaafkan Nik, apa yang menghalang Kristine daripada melakukan perkara yang sama? Setahu aku, Nik tidak pernah melakukan apa-apa untuk menyakitkan hatinya. Elisa pula tidak habis-habis dengan komen ‘Kak Ngah boleh dapat yang lebih baik’nya.

Bagaimana mereka tahu apa yang lebih baik untuk aku kerana sejujurnya, aku sendiri tidak tahu apa yang baik untuk aku lagi?

“Jangan risau perkara yang tak patut.”aku mengangkat sepasang baju bayi berwarna kuning lembut, meminta pendapatnya. Pantas dia menggeleng, mencapai sepasang lagi yang berwarna biru cair. Aku ketawa sedar bahawa dia sememangnya tidak meminati warna kuning. Salah satu perbezaan kami kerana aku sememangnya meminati warna kuning kerana ia warna yang melambangkan keceriaan bagi aku.

“Dan biar awak risau sorang-sorang? I don’t think so.”balasnya walaupun ketika itu tangannya turut sibuk membelek setiap helaian baju bayi yang ada. Dan ‘sibuk’ di sini membawa maksud mengacau kerana apabila aku mencapai sepasang pakaian yang aku rasakan cantik dan comel, dia akan mengambil baju dari tangan aku dan kemudian berpura-pura menelitinya dengan serius. 

Aku menampar tangannya dengan geram, membuatkan lelaki itu ketawa.

“Ermm awak betul. Tak patut kalau otak saya saja berat.”

“Awak dan sense of humor awak.”

Tidak mempedulikan kata-katanya itu, aku bergerak pula ke barisan rak yang lain. Dia membontoti langkahku. Beginilah keadaan kami dahulu sebelum keadaan menjadi kacau dan dia menghilang, meninggalkan aku seorang diri.  Aku tersangat rindukan saat-saat itu.

Ya Allah, sungguh aku berharap agar semua ini bukan hanya satu lagi mimpi. Permudahkanlah jalan untuk kami berdua dan kuatkanlah kami untuk menghadapi apa saja dugaan yang mendatang.

“Saya bercadang nak ke rumah ibu nanti. Untuk beritahu mereka tentang...kita. ” aku memberitahu.

Tiga minggu dan aku masih lagi tidak membuka sebarang cerita kepada keluargaku walaupun aku yakin mereka sudah dapat menghidunya. Terlalu ketara bagi mereka yang aku akan menerima Nik semula, tiada yang aneh tentang itu.

Nik kelihatan seperti sedang serius memikirkan sesuatu, menimbulkan tanda tanya dalam diriku. 

Aku mencuit tangannya.

“Ada masalah ke?”

“Fitri, kita jumpa ibu abah awak sama-sama.”balasnya.

“Saya bukan ajak awak...”

“Tahu tapi saya nak jumpa parents awak. I owe them an apology. Saya betul-betul nak mulakan segalanya dengan baik.”potongnya, benar-benar serius.

Sekarang tahu kenapa aku sayangkan dia? Kerana sikap Nik yang beginilah aku jatuh hati. Dia takkan pernah mengambil mudah sesuatu perkara tak kiralah walau sekecil mana pun hal tersebut. Sikap tanggungjawabnya tak pernah gagal membuatkan aku kagum, dan sekarang, dia hanya mejadikan aku bertambah menyayanginya lagi. Sangat tak patut!

Agaknya ada tak sikap aku yang buat dia bertambah sayangkan aku dari hari ke hari? Haha...Sebab aku rasa macam tak ada saja.

“Okay tetapi amaran, ibu saya mungkin akan cuba untuk menyakitkan hati awak. Ermm...mungkin ‘cuba’ bukan perkataan yang sesuai. Ibu saya pasti akan menyakitkan hati awak.”

I’ll take my chances. Ini baju untuk siapa pula?”dia menunjuk ke arah overall di dalam pegangan aku itu.

“Aya. Oh, itu ingatkan saya! Saya masih belum kenalkan lagi Aya kepada awak. Anak Ehsan tapi perangai dia tak sama sikit pun macam Ehsan. She’s a good kid. You’ll love her because I know I do.”aku berkata, ceria.

“Aya...Zuhul Danisa Alya, tujuh tahun, satu-satunya anak Ehsan dengan Mega Ariyana. Ermm, bahagian terakhir tu sedikit pelik bagi saya. Mungkin saya patut tukar sedikit statement tu. Should I or should I not?”Nik berpura-pura berfikir tidak mengendahkan aku yang terlopong mendengar.

Wow! Aku tak tahu nak cakap apa melainkan satu lagi ‘Wow’. Ini satu pencerobohan privasi yang serius. Aku tak sangka dia juga tahu tentang Aya, malah lebih daripada aku sendiri. Sehingga begitu sekali dia ambil kisah pasal aku?

“Awak sungguh perlu kenalkan saya kepada informer awak.”

Nik ketawa.

Be impress, Fitriah, sebab ini kali pertama dan terakhir saya buat benda-benda macam ni. Dan hanya untuk awak.”

“Bagus, jangan buat lagi kerana awak dah mula menakutkan saya. Tak ada satu perkara pun yang awak tak tahu tentang saya sepanjang tiga tahun lepas?”aku meminta kepastian. Gelengannya membuatkan aku menelan air liur seperti menelan sebiji batu.

Berbanggalah Anith Fitriah kerana buah hati anda seorang stalker yang hebat dan...menakutkan.

“Tetapi kenapa awak perlu libatkan Aya dengan Ehsan sekali?”

“Tak ada sebab lain kecuali saya perlu tahu semuanya.”jawab Nik ringkas namun nampaknya dia tidak berminat nak bercerita dengan lebih lanjut. Mungkinkah masih ada perkara tentang dirinya yang aku tidak tahu?

Ah, jangan pedulikan perasaan mengarut sebegitu! Tak ada apa-apa lagi melainkan mainan perasaan semata-mata. Tiba-tiba sahaja otak aku memainkan semula kata-kata Nik mengenai Ehsan sebentar tadi. Zuhul Danisa Alya, satu-satunya anak Dzul Ehsan dengan Mega Ariyana.

Mega Ariyana...

Jadi itulah nama bekas isteri Ehsan. Unik sekali. Mendengar namanya sahaja aku sudah dapat membayangkan wajahnya. Semestinya cantik, anggun, ayu, berkarisma sehingga mampu membuatkan Ehsan terluka dengan sebegitu teruk. Ketahuilah bahawa pilihan Ehsan sudah semestinya terbaik, seperti kekasihnya sekarang. Dan aku, sejujurnya begitu kerdil jika dibandingkan dengan mereka. Apa pun, aku berharap Ehsan akan bahagiadengan sesiapa sahaja pilihannya. Mega Ariyana atau pun the lady in red, makhluk aneh tersebut berhak untuk bahagia.



“Aku masih tak rasa keputusan kau untuk terima Nik semula adalah sesuatu yang bijak.”kedengaran suara Kristine daripada ruang tamu, bercampur dengan bunyi iklan di televisyen.

Ketika itu aku sedang bersiap untuk makan malam dengan keluarga aku dan juga Nik. Rasa di hati ini memang tidak boleh digambarkan lagilah. Entah berapa puluh kali perut aku buat gimnastik, seolah-olah kat dalam sana sekarang ni ada pesta sukan Commonwealth.

Mana mungkin aku tak takut, Abang Asyraf juga akan turut serta sekali gus menjadikan pasukan ibu bertambah kuat. Malam ini akan menjadi malam penentuan sama ada mereka mengambil keputusan untuk memudahkan keadaan dengan memaafkan Nik atau menyukarkan lagi hidup aku dengan membantah hubungan kami berdua. Tetapi, aku tak perlu risau kerana sekurang-kurangnya malam ni ada manusia yang akan bersikap rasional walau apa juga situasinya, iaitu abah. Harap-harap begitulah.

Just be happy for me would you?”balasku kembali lalu duduk di meja solek, sementara menunggu Nik sampai.

Aku menarik nafas, memandang wajah gugupku di cermin. Kalau aku gugupnya begini, agak-agaknyalah Nik pula bagaimana?

Nik pasti tenang sahaja seperti petang tadi ketika aku membawanya berjumpa dengan keluarga Ehsan, memperkenalkan dia kepada mama supaya wanita itu tidak berterus berharap akan sesuatu yang tak mungkin terjadi. Meskipun hati aku kasihan melihat riak sedih mama yang cuba ditutupnya dengan senyuman, tetapi aku perlu melakukannya juga kerana ini satu-satunya cara yang dapat membuatkan dia faham dan sedar. Pada mula aku memperkenalkan Nik kepada mama serta abah Ehsan, mereka sedikit pun tidak kelihatan terkejut. Mungkin kerana mereka sudah mendapat tahu daripada Elisa, kerana aku yakin Ehsan tidak akan membuka mulut untuk bercerita.

“Macam mana kau boleh lupa yang he chose money over you, darling?”Kristine berkata lagi.

Perbincangan hangat kami di rumah sejak hampir sebulan yang lalu sehingga aku sendiri sudah bosan untuk menunggu Kristine bosan dengan topik tersebut. Masih lagi dia tidak berputus asa untuk cuba menyakinkan aku bahawa Nik adalah sesuatu yang sangat salah untuk aku. Mama juga begitu namun kata-katanya lebih berhemah. Keluarga Ehsan melayan Nik dengan baik, membuatkan aku bertambah yakin untuk memberitahu keluarga aku keadaan sebenarnya. Yang paling membuatkan hati aku bertambah berbunga adalah melihat Nik dan Aya. Aku suka melihat cara dia cuba untuk memulakan perbualan dengan Aya, mengambil hati anak tersebut walaupun hakikatnya dia tidak perlu melakukan semua itu. Daripada awal lagi sudah aku katakan kepadanya yang dia tidak perlu memaksa dirinya untuk berbaik atau menerima Aya dan mujurlah dia sedikit pun tidak mengambil peduli kata-kataku. Aya pula sudah semestinya dengan sifat pemalunya namun dia nampak senang dengan Nik. Masih terlalu awal untuk aku membuat konklusi tetapi kita lihat sahajalah bagaimana nanti.

“Semua orang akan buat keputusan yang salah sekali dalam hidup mereka, Kristine. Tak ada manusia yang sempurna tapi itu tak bermakna kita perlu tolak mereka hanya kerana kekurangan mereka, kan? Kita perlu belajar mencintai kekurangan orang dan barulah orang juga akan mencintai kekurangan yang ada pada diri kita.”

“Jadi pakar motivasi pula Cik Fitri kita ni. Aku bukan apa. Aku tak mahu tengok kau kecewa lagi. Dia dah ketepikan kau sekali untuk kepentingan diri dia sendiri, dan dia boleh buat perkara yang sama untuk kali yang kedua.”

Bosan bercakap dengan hanya mendengar suara masing-masing, aku melangkah keluar daripada bilik.

“Dan apa yang buat kau fikir Mr.Hezry, the macho man, takkan kecewakan kau?”

Sebelum sempat Kristine menjawab soalan aku itu, pintu rumah kami diketuk diiringi dengan salam daripada suara yang cukup tidak asing bagi aku.

“Biar aku buka pintu.”Kristine bingkas bangun namun pantas aku menariknya agar kembali duduk.

“Duduk. Jangan bergerak, walaupun seinci.”

Membiarkan Kristine dan Nik bertemu empat mata merupakan perkara terakhir yang akan aku lakukan buat masa ini. Perang dunia ketiga berkemungkinan akan meletus jika perkara itu terjadi. Siapa tahu kata-kata apa yang akan dilemparkan Kristine kepada Nik? Dan lelaki itu pula semestinya akan cuba mempertahankan dirinya dengan cara yang cukup berhemah. Akhir cerita, kedua-dua mereka akan bertekak tetapi sayang kerana Nik tidak dibekalkan dengan bakat ‘mempertahankan diri’ seperti Ehsan.

Kristine sekarang ini sudah mempunyai satu perangai baru yang sangat tidak menyenangkan iaitu berkata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu. Mungkin kerana kami terlalu rapat sehingga dia memikirkan sudah tidak ada perlu lagi untuknya menapis setiap butir perkataannya. Sehingga kini aku juga terdorong untuk melakukan perkara yang sama dalam usahaku untuk mempertahankan diri sendiri, seperti yang aku lakukan sebentar tadi. Self-defence bukan satu kesalahan, kan?

Kristine mencebik, menuntaskan semula pandangannya ke arah televisyen. Mencapai tas tangan aku di atas meja, aku berlalu membuka pintu. Wajah manis Nik Afezal menyapa pandanganku.

“Assalamualaikum, Anith Fitriah binti Kamaruzaman.”

“Waalaikummussalam. Dah bersedia untuk ujian terakhir yang sangat dahsyat?”aku bergurau.

“Ah, senang awak masih boleh bergurau di waktu yang macam ni!”kami berjalan beriringan menuju ke kereta.

            Sepanjang perjalanan, masing-masing tidak banyak bicara. Sibuk melayani fikiran serta perasaan sendiri. Jantung aku usah dicerita betapa laju degupannya sehingga aku rasa jika keadaan ini berterusan, aku berkemungkinan besar akan dimaksudkan ke hospital.
Kenapalah ibu bukan seperti mama yang lebih memahami keadaan aku? Sungguhpun Nik bersalah, tetapi itu tak bermakna dia perlu berterusan dihukum. Setiap manusia berhak untuk diberikan peluang kedua. Peluang kedua dan terakhir dalam kes aku ini kerana aku tak yakin jika aku masih mampu bertahan sekiranya perkara yang sama berlaku lagi kepada aku. Kadang-kadang aku rasakan, terlalu menyayangi seseorang juga sangat tidak sihat. Ia hanya membuatkan kita terlupa untuk menyayangi diri sendiri sedangkan dalam peringkat menyintai, kita perlulah menyintai diri kita terlebih dahulu sebelum menyintai orang lain. Namun, peraturan tersebut teramat sukar untuk diguna pakai terutamanya dalam urusan yang berkaitan dengan cinta. Kehidupan ini rumit tetapi bagaimana Ehsan boleh menganggap semuanya mudah sahaja?

            Itu mengingatkan aku yang kami kini sudah jarang berjumpa. Boleh dikatakan semenjak aku dan Nik kembali bersama. Maklumlah Elisa kini sudah tidak memerlukan aku untuk ‘menyeludup’ Farez keluar daripada studio Ehsan setelah hubungan terlarang mereka mendapat green light daripada abah serta mama. Kalau aku ke rumah mama untuk menjemput Aya pun, Ehsan tidak ada di sana. Mungkin setakat ini sahajalah kisah kami berdua. Masing-masing sudah memilih jalan yang tersendiri. Aku sudah punya Nik, dan dia pula sudah punya the lady in red. Maafkanlah aku kerana tidak dapat menyelesaikan misteri makhluk aneh bernama Ehsan itu kerana aku bukannya Sherlock Holmes atau pun Nancy Drew yang mempunyai kepakaran untuk membongkar setiap misteri yang ada. Lagi pun, tahap kepekaaan aku kepada persekitaran sangatlah mendukacitakan untuk aku bergelar seorang penyiasat yang handal. Atau aku mungkin boleh menggunakan khidmat penyiasat peribadi Nik Afezal yang amatlah cekap dalam kerjanya sehingga tidak ada satu pun aktiviti harian aku terlepas daripada pengetahuan Nik. Kecekapannya sangat membanggakan sehingga mahu sahaja aku menamparnya sekiranya kami bertemu. Menyusahkan aku sahaja! Apakah sekarang pun Nik masih lagi menyuruh orang untuk mengikuti setiap langkahku, walaupun setelah kami kembali bersama? Hrmm...satu lagi perkara yang perlu kami bincangkan nanti.

Nik mematikan enjin kereta, menandakan kami berdua sudah sampai ke destinasi yang dituju. Terasa pendek pula perjalanan kali ini atau mungkin kerana aku sibuk melayani fikiran sendiri?

“Awak tak perlu buat semua ni, Nik. Sungguh. Lebih mudah untuk saya kalau...”aku melemparkan pandangan ke arah pintu dengan hati yang cukup berat. Sungguh aku tak mahu Nik melalui semua ini.

“Kita akan jumpa mereka bersama dan keputusan saya muktamad! Saya bukan pengecut yang akan lari hanya kerana takut dengan sindiran ibu awak.”dia membalas, memandang terus ke mataku.

Aku mengeluh.

“Tapi Nik...”

“Syhh! Awak percayakan saya?”

Perlahan-lahan aku mengangguk tetapi ini bukan soal percaya atau tidak, Encik Nik Afezal. Sudah tentunya aku mempercayai kau tetapi yang aku tak percaya sekarang ini ialah ibu serta Abang Asyraf. Tidakkah kau lihat apa yang terjadi kepada dunia apabila Jerman, Itali dan Jepun bergabung membentuk kuasa paksi? Perang dunia kedua, sayangku!!!

“Jadi awak tahukan yang tak kira apa pun ibu awak cakap kepada saya, saya takkan kecil hati atau marah. Her words can’t kill me. Apatah lagi nak jauhkan saya daripada awak.”

“Kenapa?”

Nik yang baru sahaja mahu melangkah keluar daripada kereta kaku sebaik sahaja soalan itu aku lontarkan kepadanya. Soalan yang hanya membawa gambaran bahawa aku masih lagi meragui keikhlasan dirinya.

Two reasons actually. First, it’s my fault and I intend to make it right. And second...”Nik diam, seolah-olah mahu membiarkan aku meneka sendiri.

Second?”aku bertanya akhirnya.

“Nik Afezal sayangkan Anith Fitriah sangat, sangat, sangat.”kami berpandangan.

Segala kekuatan yang ada terpaksa aku gunakan dalam usaha aku untuk menahan diri daripada menangis.

Arggh, mudah sungguh tersentuh hati ini! Tetapi siapa yang tidak tersentuh dengan kata-kata sebegitu? Nik sanggup berjumpa dengan keluarga aku kerana dia sedar akan kesalahannya sebelum ini sedangkan dia boleh memilih untuk lepas tangan dan tidak mempedulikan apa saja pandangan mereka terhadapnya.  Ah, ini kau kata keputusan yang salah Kristine?!

“Oh.”hanya itu respon yang mampu aku tuturkan.

Nik ketawa, hanya membuatkan aku bingung. Bercakap tentang respon yang tidak kena dengan tempatnya. Apa yang lucu di sini?

“Sekarang jom kita masuk. Jangan lupa fruit basket tu.”Nik keluar dan mula berjalan menuju ke pintu rumahku.

Lima minit selepas itu, aku masih lagi membatu di dalam kereta. Seluruh anggota badanku terutamanya kaki seperti enggan berfungsi. Alahai, penyakit penakut aku sudah kembali bertandang. Kali terakhir aku melalui sesuatu sebegini, ada Ehsan di sisiku. Dia yang berjaya mengawal keadaan, sekali gus membuatkan aku lebih tenang.

Ehsan...

Telefon bimbitku berbunyi, membuatkan aku sedikit terlompat sehingga hampir sahaja fruit basket jatuh daripada pegangan. Kus semangat you.

Tas tangan di atas dashboard aku capai lalu mengeluarkan telefon bimbit tersebut. Nama pengirim sms yang tertera di skrin membuatkan aku tersenyum. Pantas aku menjeling ke arah Nik yang kini sudah berdiri di hadapan pintu rumahku, memandang ke arah kereta.

:syg skrg sy dh mula takut.awk tak berniat nk biarkn sy jumpa family awk sorang2 kn?

Perlahan-lahan aku keluar daripada kereta, menarik nafas sedalam mungkin sebelum melangkah ke ‘medan perang’ yang sudah sedia menanti kehadiran aku dan seorang tetamu yang sangat tidak diundang.

Masanya dah sampai, Fitri.



Aku membontoti langkah ibu ke dapur, meninggalkan Nik bersama Abang Asyraf dan abah. Boleh dikatakan hari ini berjalan seperti yang aku jangkakan. Orang selalunya gembira sekiranya sesuatu itu bergerak seperti jangkaan tetapi tidak dalam kes ini. Kasihan sungguh aku kepada Nik apabila dia terpaksa menangkis serangan yang pelbagai daripada ibu dan Abang Asyraf. Walaupun mereka tidak menengking atau memaki-hamunnya tetapi sindiran mereka sudah cukup untuk membuatkan aku menangis sekiranya aku berada di tempat Nik.

Apalah yang cuba mereka buktikan dengan melayan Nik sebegitu? Oh sangat melampau! Sejujurnya aku katakan di sini, ibu sangat bersikap tidak matang. Sama sahaja seperti Kristine. Bukankah sebagai orang tua dia sepatutnya lebih bijak dan rasional berfikir? Ini tidak, hanya melulu berkata-kata mengikut perasaan. Ibu serta Abang Asyraf telah mengecewakan aku dengan teruk pada hari ini. Abah melayan Nik seperti biasa, tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda tidak senang atau benci kepadanya. Mereka berbual seolah-olah tidak ada apa-apa yang berubah, seperti peristiwa tiga tahun dahulu langsung tidak berlaku. Kenapalah ibu tidak seperti abah? Asyik ikutkan perasaan marahnya sahaja, begitu juga Abang Asyraf. Patutlah orang cakap anak lelaki selalunya ikut perangai ibu. Lihatlah, contohnya sudah ada di depan mata.

Ketika kami mula-mula sahaja melangkah ke dalam rumah, pembulian ke atas Nik sudah bermula apabila abah mengajak Nik untuk berjemaah maghrib bersama. Terpinga-pinga lelaki itu apabila Abang Asyraf tiba-tiba sahaja menyuruhnya mengimamkan solat. Itu aku tidak kisah kerana sememangnya aku mahu melihat Nik menjadi imam yang mana secara automatik menaikkan sahamnya di mataku. Alahai, lemah lutut aku apabila mendengarnya membaca Al-Fatihah dan mungkin itu adalah satu sebabnya mengapa aku tidak menyertai mereka solat berjemaah tadi. Ya, ketahuilah bahawa Anith Fitriah sememangnya sudah tidak waras dan penyebabnya hanyalah satu, manusia yang bernama Nik Afezal.

Fasa kedua serangan bermula di meja makan apabila bertubi-tubi soalan dihadiahkan kepadanya. Soalan yang sebenarnya tidak memerlukan sebarang jawapan, yang hanya diutarakan sekadar untuk memuaskan hati yang sedang sarat dengan kemarahan. Salah satunya adalah ‘Sekarang mummy dengan daddy kamu dah tak ada, kamu nak dengar cakap siapa pula lepas ni?’ dan ianya adalah daripada ibu tersayang aku. ‘Kepulangan yang tak dinantikan. Apa pendapat Nik tentang tu?’ merupakan soalan Abang Asyraf yang berjaya membuat buah hati aku itu tersedak. Sopan sungguh cara dia memberitahu Nik bahawa kepulangannya ke sini sebenarnya tidak diundang ataupun ditunggu.Pada awalnya Nik cuba sedaya upaya untuk menjawab setiap soalan yang diajukan meskipun aku tahu kesemua mengguris hatinya tetapi setelah lama dan sedar mereka tidak mengharapkan sebarang jawapan daripadanya, Nik sekadar diam dan menggangguk sahaja. Abah cuba membantu menangkis setiap serangan ibu dan Abang Asyraf terhadap Nik dengan sama ada mengalihkan topik perbualan atau pun berdehem sekiranya dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Kak Rini hanya tersengih melihat gelagat kami sekeluarga. Meja makan dah jadi macam medan perang tetapi tidak adil kerana hanya sebelah pihak sahaja yang menyerang.

Good job, ibu. You almost kill him with your words. Termasuklah suami tersayang Kak Rini tu.”aku mengecilkan mata, memandang ibu yang sedang menuang air masak ke dalam botol untuk dimasukkan ke dalam peti ais itu. Pandangan aku beralih pula kepada Kak Rini yang sedang membelek majalah Nona dengan muka tidak bersalah.

“Untuk sejam yang akan datang, Kak Rini tak kenal mana-mana manusia yang bernama Anith Asyraf. Serius.”

“Bagus sebab dua jam sebelum ni pun Fitri rasa Fitri tak ada abang.”aku membalas, melepaskan geram yang terbuku di dada sejak dua jam yang lalu.

Ibu tidak mempedulikan aku, meneruskan kerjanya seperti biasa seolah-olah aku tidak wujud di situ. Tiada sedikit senyuman pun menghiasi wajah ibu, cemberut sahaja kelihatannya. Siapa yang bersalah dalam hal ini? Sepatutnya aku yang marah, bukannya ibu. Sukar betul aku nak memahami perangai orang di sekeliling aku sekarang ini.

“Ibu dah puas hati?”tanyaku.

“Untuk lelaki macam tu, Fitri marahkan ibu?”ibu bertanya kembali, membuatkan aku kehilangan kata.

Arghh, begitu pula tanggapannya! Bagaimana harus aku jelaskan kepada ibu yang aku tidak marahkannya cuma aku hanya kecewa dengan layanannya terhadap Nik? Dan itu tak bermakna aku melebihkan Nik daripada ibu aku sendiri, cuma aku rasa dia berhak dilayan dengan lebih baik.  Tolong sesiapa jelaskan kepada Puan Asmah agar dia faham keadaan sebenar dan tidak menganggap aku cuba untuk menjadi anak derhaka pula.

Okay, fine! Mungkin aku marah tetapi itu sangat normal bagi sesiapa yang berada di dalam situasi aku.

“Ibu dah janji dengan Fitri untuk beri Nik peluang. Tapi apa yang ibu buat hari ni?”

“Pastikan yang dia tak akan buat perkara yang sama.”jawab ibu.

“Terima kasih, sangat dihargai tapi tolonglah berhenti. Ibu sangat-sangat mengecewakan Fitri.”aku menggelengkan kepalaku, menunjukkan rasa kesal yang bersarang di dada.

Kak Rini hanya mendiamkan diri, tidak mahu masuk campur seperti juga awal tadi.  Walaupun begitu, rasa sakit hatiku kepada suaminya sedikit pun tidak berkurangan. Ikutkan hati mahu sahaja aku melapah abang aku itu hidup-hidup.

“Abang Asyraf cakap esok kena pergi hospital?”

Kak Rini mengangguk.

“Rabu lepas pergi regular check up. Doktor kata kurang air. Kalau ikutkan, memang hari Rabu hari tu lagi admitted tapi pakar cakap Ahad sebab jantung baby masih lagi normal.”

“Kiranya esok dapat baby barulah ni?”suara aku mula ceria.

Kehadiran seorang lagi anak saudara yang amat dinanti-nantikan. Mana tidaknya, bertambah meriahlah keluarga kecil aku dengan tangisan dan suara bayi.

“InsyaAllah. Kak Rini pun takut sekarang ni. Doakan semuanya berjalan lancar, ya?”

“Semestinya. Oh, gembiranya Fitri!”aku memeluk Kak Rini, membuatkan wanita itu ketawa.

“Kalau dah macam ni rupanya, baik ajak Nik kahwin cepat. Timang anak sendiri lagi seronok tau.”usik Kak Rini.

Ibu menjeling ke arah kami berdua, tidak senang mungkin dengan kata-kata Kak Rini itu.

“Err...masih kurang bersedia. Setahun, dua tahun lagi, siapa tahu?”aku membalas.

Aku sudah berkahwin sebelum ini! Kadang-kadang aku lupa dengan hakikat itu, hanya kerana perkahwinan tersebut tidak membawa sebarang makna kepada aku. Tetapi benar, aku masih belum bersedia untuk melaluinya sekali lagi, meskipun bersama Nik. Masih terdapat banyak perkara yang perlu aku selesaikan dan pastikan. Tiga tahun berlalu dan kini aku berasa seakan-akan berada di dalam proses mengenali Nik kembali kerana terdapat perkara baru tentangnya yang tidak aku ketahui. Lagi pun, tidak manislah jika aku berkahwin kembali sedangkan tak sampai setahun perceraian aku. Nanti diorang fikir perceraian itu berlaku kerana orang ketiga pula. Bukan boleh percaya sangat otak kreatif manusia zaman ini.

“Patutlah dulu Fitri beriya-iya nak tunggu dia, kan? Rupanya masih hidup. Kuat benar perasaan Fitri terhadap dia.”tiba-tiba Kak Rini berkata, membuatkan aku tersenyum.

Kalau difikirkan kembali, memang tak masuk dek akal dan mengarut. Semuanya seakan-akan telenovela yang selalu dimainkan di televisyen setiap petang. Heroin berkahwin dengan hero  setelah kematian kekasih hatinya. Kemudian, setelah beberapa lama hidup sebumbung tanpa cinta, si heroin mula sukakan hero dan bermula percintaan mereka berdua. Dan tanpa diduga, kekasih lama si heroin yang disangka mati muncul semula sekali gus membuatkan heroin serba salah untuk memilih.

Hrmm kisah aku pula berbeza langsung daripada apa yang sepatutnya terjadi. Aku sepatutnya jatuh cinta dengan Ehsan dan aku sedikit pun tidak keliru atau serba salah untuk memilih kerana pilihan aku sedari awal lagi hanya satu. Tahniah, itu sebenarnya telah menjadikan cerita kehidupan aku lebih kurang tahap kerumitannya! Patutlah semua cerita kat televisyen tu panjang berjela-jela, sampai berpuluh-puluh episod. Terlalu banyak konflik yang perlu dilalui heroin dan hero. Kasihan mereka, kan?

“Haa tu ibu.”Abang Asyraf yang sedang memimpin tangan Melati menunjuk ke arah Kak Rini.

“Dia nak pergi tandas.”beritahu Abang Asyraf.

“Pemalaslah abang ni. Apa salahnya abang yang bawa dia ke tandas?”gurau Kak Rini.

Because she specifically asked for you. Lagi pun, I’m in the middle of an interrogation, if you know what I mean.”Abang Asyraf memandang aku sekilas lalu, sengaja mahu menduga reaksi aku terhadap kata-katanya sebentar tadi.

Aku mengetap bibir.

“Alasan power betul.”dengan penuh susah-payah, Kak Rini bangun dan membawa Melati yang baru bangun daripada tidur itu ke tandas.

“Anith Asyraf, be nice or I’m gonna kill you.”aku menjegilkan mataku kepadanya namun Abang Asyraf hanya ketawa.

He’s fun to break.”dia mengenyitkan mata sebelum berlalu semula ke ruang tamu.

Ish, abang aku sangat jahat! Malam ni, aku mahu bermimpi Abang Asyraf sebagai sekeping biskut supaya mudah untuk aku patah-patahkannya menjadi serpihan kecil.

Aku memandang ke arah ibu yang sedari tadi hanya senyap, merenung sinki. Kalaulah pandangan boleh membunuh, entah berapa juta kuman di sinki tersebut sudah berjaya dihapuskan.

Perlahan-lahan aku berjalan menghampiri ibu lalu memeluknya seerat mungkin.

“Ibu, maafkan Fitri tetapi Fitri nak ibu tahu yang Fitri sayang kedua-duanya. Keluarga Fitri dan juga Nik.”perlahan, aku berkata.

“Fitri tak minta banyak, ibu. Hanya restu ibu untuk kami berdua. Tolonglah beri Nik satu lagi peluang.”aku menyambung setelah ibu masih lagi membatu.

Beberapa minit berlalu pergi tetapi ibu masih juga tidak memberi sebarang respon walaupun aku tahu dia mendengar setiap kata-kataku. Aku tahu ibu melakukan semua itu kerana sayangnya kepada aku. Benar aku menghargainya tetapi aku sudah dewasa. Aku tahu menjaga diri sendiri walaupun aku tidak dapat melakukannya dengan baik. Mana ada manusia yang boleh menghalang dirinya daripada disakiti?

“Fitri rasa ibu patut tahu yang Fitri lebih kuat berbanding dulu. Fitri dah lebih bersedia untuk menghadapi apa pun yang datang.”

Aku melepaskan pelukanku dan perlahan-lahan bergerak ke ruang tamu. Apa gunanya sebuah perhubungan sekiranya tidak mendapat restu ibu tercinta? Bukankah orang berkata restu ibu membawa ke syurga? Ya Allah, kenapa begini pula jadinya? Lembutkanlah hati ibuku agar dia mudah menerima dan memaafkan Nik Afezal.

Sejam kemudian, aku dan Nik sudah bersedia untuk pulang kerana lelaki itu mempunyai hal yang perlu diurus keesokannya padahal esok merupakan hari Ahad. Tidak aku fahami jadual manusia yang bernama Nik Afezal itu. Kalau tak salah aku, dia sebenarnya masih lagi menganggur meskipun sudah hampir sebulan dia kembali ke Malaysia. Sudah aku katakan terlalu banyak perubahan tentang Nik yang memerlukan masa untuk aku sesuaikan diri.

“Abah, tolong rotan Abang Asyraf ni. Tak menghormati tetamu langsung.”aku menyalami tangan abah.

Abang Asyraf ketawa, sedikit pun tidak mengambil serius kemarahan aku itu.

“Yalah, yalah. Nanti abah rotan dia. Makin tua makin nakal pula dia.”gurau abah kembali.

“Abang Asyraf tak terima dia sebagai adik ipar.”kata Abang Asyraf, agak kuat membuatkan aku yang sedang menyarungkan kasut itu pantas menoleh ke arah Nik yang sudah berada di dalam kereta. Bimbang sekiranya dia mendengar kata-kata Abang Asyraf itu.

 “Shut up!”desisku.

You’re pampering him, sister and that’s not good.”Abang Asyraf berkata lagi.

“Esok kalau ada apa-apa, telefon Fitri okay?”aku berkata kepada Kak Rini, berpura-pura tidak mendengar komen Abang Asyraf tadi.

Kak Rini mengangguk laju.

“Balik dulu, abah, ibu. Assalamualaikum.”wajah ibu yang kini tanpa emosi itu aku tatap dengan sejuta harapan.

Kali ini, aku letakkan sepenuh kepercayaan kepada masa. Mudahan-mudahan masa dapat menyejukkan hati ibu meskipun ia tidak berupaya menyembuhkan luka di hati aku dulu.



***************************************
Okay, updated! 
Team Nik, anyone?
Eh tunggu, tunggu jap. Not the end yet, silent readers.
Komen, kritikan, support, kasih-sayang sangat, sangat, sangat, dihargai! haha ^^
And for those who haven't, please take the poll above. Break the tie, lovely people~
So, I'm gonna go (and try to) study something. 
Jumpa lagi di update yang akan datang.
Share:

17 comments:

Syarp said...

Xnak nik,nak ehsan gak ahaks

Anonymous said...

best. tp lg best klau ade ehsan..even dia fail to sosialize and ade mulut yg sangat macam longkang..tp dia ttp best and much better than si nik yg poyo tuh...

Anonymous said...

definitely ehsan..

Anonymous said...

nik or ehsan... ehsan or nik.... both have their pros and cons....

Ikut suka penulis ler nak jodohkan dgn siapa... Asalkan hati Fitri tak dilukai lagi dan Fitri menemui kebahagiaan dgn pilihan yg tepat...

Anonymous said...

vote 4 EHSAN..!!

Anonymous said...

EHSAN PLSSSSS!!!!! :-)

Anonymous said...

Ehsan jugak.....xnk nik.......

-yayo

ezz an said...

ehsan...ehsan...ehsan......tak suka Nik....serius seram weihh....perlu lebih masa tuk Fit mengenali Ehsan....

Anonymous said...

tiba2 rs janggal kt sini.....satu2ny nik supporter ahakkss
mmg dia salah tp smua org wat slahkn...dia xperfect n dia sdndiri dh ngaku..
effort dia nk dptkn blk fitri ptut dipuji..bkn sng nk org wat smpai mcm tu skali huhuhuhu
apa yg ehsan wat??kalu btl dia nk fitri..dia kna la usaha bknny asyik mnykitkn hati je
alahai emo plak
tp mmg best....cepat update!!

Anonymous said...

tetap nk EHSAN jgk,walaupn dia mnyakitkn hati tp dia ttp lekat dihati..awww...si nik rase mcm poyo sket,kurang rempah la kalo dlm masakan..hehe memandai plak..so go EHSAN pikat fitri cpt2....

Anonymous said...

fitri ni sng cair .. dia syg nik tp nik xbest mcm ehsan
at least ehsan ttp btahan utk org yg dia syg smpai jd prangai mcm tu
ehsan ehsan ehsan all the way hahah

Yong said...

Oh really, now i don't know which group i should choose. hehe. it is up to you, i will respect your choice unequivocally. ;-)
waiting the lady in red to appear, is she mega or a new character?

Anonymous said...

nak ehsan. nik, syuhhh...g men jauh2 dr fitri. ;p

~nor...

mizz acu said...

Jus found this blog n I'm finissh da marathon..
Erm.. I'm vote for ehsan.. Coolioo man ;)

Camon fitri..pls forget that dead guy.. Seems like he has a secret.. Hmm

Anonymous said...

syaa pun nak ehsan.. queen...

Anonymous said...

if i cud vote both....tamak x?
nik and ehsan both amazing in their very own way...arggghh miz author...u really put us in dilemma....imagine how fitri wud feel like?

erica71 said...

NIK...EHSAN.....first love will alwiz be in our heart no matter what!!!Since Nik still alive,so pls give 'em 2nd chance,ok???Ehsan....if U really love Fitri,try 2 win her back b4 it's tooooo late!!! PEACE DZUL EHSAN VOTER....